Lebih 50,000 hadir Rapat Rakyat Perdana
| Aziz Muda, | 15 Januari 2012 | 

ALOR SETAR, 15 Jan: Lebih 50,000 rakyat di seluruh  Kedah hadir pada Rapat Rakyat Perdana yang diadakan di Stadium Sultan  Abdul Halim Mu'adzam Shah,  di sini, malam tadi.
Kehadiran  orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat itu menjadikan  padang bola  Stadium Sultan Abdul Halim penuh sesak sehingga melimpahi ke  luar  stadium.
Keadaan itu menjadikan suasana di padang stadium itu  dipenuhi pandangan  kopiah yang memutih yang cukup memukau pandangan  jika dilihat dari atas  tempat duduk di stadium itu.
"Macam  duduk di Padang Arafah," begitulah reaksi yang dituturkan oleh   Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hendak   memulaklan ucapannya.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri  Besar Kelantan antara lain  mengingatkan orang ramai agar sentiasa  mematuhi perintah Allah sepanjang  hidup di dunia ini.
Sebelum  itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika  berucap  antara lain meminta orang ramai mengekalkan sokongan kepada PAS  bagi  membolehkan Kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah di negeri itu  pada  PRU Ke-13 akan datang.
Program yang dipengerusikan oleh Naib  Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar  itu turut menampilkan beberapa  penceramah lain dari PAS dan Pakatan  Rakyat, dengan dimulai Menteri  Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul  Razak.
Turut hadir dan  menyampaikan ucapan termasuk Ketua Pembangkang yang juga  Ketua Umum PKR  , Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden dan Timbalan  Presiden PKR, Datuk  Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali.
Manakala dari DAP, Pengerusi dan Timbalan pengerusi parti itu, Karpal Singh dan Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.
 Ceramah pada malam tadi adalah kemuncak kepada Konvensyen Pakatan  Rakyat  Ke-3 yang diadakan di stadium tersebut bermula jam 8.00 pagi  tadi
 
 
No comments:
Post a Comment