Rihat Minda


Friday, 19 June 2009

Aurat Wanita Dari Al-Quran Dan Hadis
www.iluvislam.com
khawarizmi
Editor:lailatulema

1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " (An-Nur : 31)

5. Gigi
-'Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.' (Riwayat At-Thabrani)
-"Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah"(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: 'Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya"(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata
-"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya." (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik."( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, "Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. "(An Nur : 31).
-"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Riwayat Al Bazzar).
-"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

-"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).




ZIKIR & FIKIR, Di Mana Kita?
www.iluvislam.com
Yussamir Yusof
Editor: arisHa27

Biasanya perkataan ZIKIR lebih dominan dengan golongan agama, manakala perkataanFIKIR pula ditujukan kepada mereka yang berfikir ataupun dikenali sebagai intelektual. Perlabelan ini menjadi semakin jelas ketika zaman pertengahan Eropah wujud. Pertembungan dua gelombang antara golongan beragama dan golongan berfikir semakin meninggi, semuanya bermula dengan keengganan gereja menerima dan mengiktiraf pandangan-pandangan saintis ketika itu.

Semasa zaman pertengahan Eropah yang dikenali dengan zaman Enlightment (pertengahan abad ke-17), masyarakat yang berfikir sentiasa dimusuhi oleh masyarakat yang berzikir. Peristiwa pertembungan antara golongan gereja dan ahli sains ketika itu telah mencipta jurang yang sangat besar antara
ZIKIR dan FIKIR. Kemuncaknya apabila Galileo dihukum sebagai pembuat bidaah dan berbahaya oleh pihak gereja.

Ini kerana teori yang dikemukan oleh Galileo iaitu Matahari adalah pusat cakerawala dan bukannya Bumi. Manakala golongan
FIKIR pula menjadi elergik terhadap golongan ZIKIR. Pada pandangan mereka, golongan ini adalah manusia yang tidak produktif dan manusia yang tidak menyumbangkan apapun terhadap ketamadunan. Maka muncullah golongan Sekularisme dimana kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan (Zikir) tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran (Fikir).

Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dari kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Islam melihat permisahah ini sebagai satu racun dan kemudaratan terhadap sistem kehidupan. Islam tidak membenarkan permisahan antara
ZIKIR dan FIKIR, kerana Islam mengiktiraf kedua-duanya sebagai saling melengkapi.

Larangan pemisahan jelas dapat dilihat didalam al-Quran apabila, Allah menyuruh orang-orang beriman agar mengambil agama secara keseluruhan iaitu
ZIKIR dan FIKIR. Kata Allah;

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

Peringatan ini sangat diperlukan apabila sebahagian umat Islam sudah mula untuk cenderung mengambil sikap memisahkan antara
ZIKIR dan FIKIR. Sejak kejatuhan Khilafah Turki Utsmaniah pada 1924, kecenderungan ini mula nampak apabila Kamal Attartuk memisahkan rakyat Turki dari agama dengan kehidupan apabila secara rasminya meletakkan negara itu dibawah bumbung pemerintahan Sekuarlisme.

Bukan hanya rakyat Mahrain yang terpengaruh dengan doktrin pemisahan
ZIKIR danFIKIR ini, malahan para sarjana Islam juga tidak terkecuali. Syeikh Ali Abdul Raziq (1888-1966) seorang sarjana dalam bidang Syariah dan juga Syeikh di Al-Azhar, mencetuskan kontroversi apabila buku beliau yang bertajuk “Al-Islam Wa Usul Al-Hukm” (Polemik Islam & Dasar Pemerintahan) yang diterbitkan pada tahun 1925 sejurus setahun selepas kejatuhan Khilafah Utsmaniah membicangkan dan menekankan bahawa politk dan sistem pemerintahan seharusnya dipisahkan dari agama.

Buku beliau mendapat bantahan yang keras dari pelbagai sarjana Islam dan Universiti al-Azhar telah melucutkan gelaran Syeikh daripada beliau. Peristiwa ini sangat jelas memberitahu kepada kita bahawa kekalutan dan kemudaratan yang besar akan berlaku apabila
ZIKIR dan FIKIR tidak lagi disatukan. Di dalam kita berzikir dengan merenung dan bertadabbur ayat-ayat Quran, sebenarnya dalam masa yang sama kita juga menggerakan minda kita untuk berfikir.

Buktinya sangat jelas apabila Allah mengkhbarkan kepada manusia tentang Matahari bukanlah statik tetapi mempunyai orbitnya sendiri melalui surah Yassin ayat 38,

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

Maksudnya:..dan (sebahagian dari dalil Yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat Yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui.

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Quran ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama.

Di dalam kita berzikir sebenarnya kita juga berfikir, fakta ini juga membuktikan bahawa Islam tidak pernah memisahkan manusia khususnya penganutnya dari Zikir dan Fikir. Malahan meraikan kedua-duanya, kerana kedua-duanya sangat diperlukan dalam membina sisitem kehidupan yang sejahtera dan bertamadun. Buktinya, Allah berkata dalam surah al-Imran ayat 191,

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Jadi persoalannya kini, dimanakah ZIKIR dan FIKIR kita?



Thursday, 18 June 2009

PAS UMNO : Nasharuddin Menghilangkan Diri

Nasharudin Mat Isa yang baru sahaja meraikan kemenangan sebagai Timbalan Presiden PAS untuk penggal ketiga berturut-turut kini keseorangan dalam isu kerjasama dengan Umno.

Bermula pagi semalam, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali menjelaskan pendirian yang berbeza dengan Nasharudin dalam jawapan kepada Datuk Seri Najib Razak yang berkata PAS ikhlas dalam mewujudkan kerjasama.

Nasharudin dilihat mengalu-alukan kenyataan Najib, yang banyak ditafsirkan sebagai satu perangkap, dengan berkata ia sesuatu yang positif, walaupun tetap menolak pembentukan kerajaan perpaduan.

Kenyataan orang nombor dua PAS itu telah, tanpa disengajakan, meresahkan pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Dalam sidang akhbar semalam, Mustafa pula cuba menutup pintu kerjasama politik PAS-Umno apabila menegaskan pembentukan kerajaan perpaduan hanya boleh dibuat dengan penyertaan PKR dan DAP, namun terus mempertahankan usaha-usaha perbincangan dengan Umno untuk isu-isu kepentingan negara.

Pada waktu yang sama Mustafa memberikan kenyataan itu, di Parlimen wakil Pengkalan Chepa Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menegaskan isu kerjasama dengan Umno tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat.

Sementara di Kota Baru, hanya beberapa jam selepas sidang akhbar Mustafa,Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula membuat kenyataan mengejutkan menyuruh Nasharudin mengosongkan kerusi Bachok.

Sebelum itu, beliau memanggil mereka yang mahu kerajaan perpaduan sebagai boneka Umno, dan di kawasan sekitar Kota Darul Naim, pusat pentadbiran kerajaan Kelantan kain-kain rentang telah dinaikkan untuk menunjukkan sokongan kepada Nik Aziz dan penolakan kepada usaha kerjasama dengan Umno.

“Tuan Guru, sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan, berhak menyuruh Nasharudin meletakkan jawatan,” kata seorang sumber yang rapat dengan pejabat mentri besar Kelantan.

“Seperti Ibrahim Ali yang kini menentang PAS, Tok Guru juga telah suruh dia letak jawatan,” tambahnya merujuk kepada ahli Parlimen Pasir Mas yang bertanding atas tiket parti Islam itu tetapi kini condong kepada Barisan Nasional.

Mereka yang rapat dengan Nik Aziz percaya kenyataan itu dibuat secara terancang kerana beliau dikenali sebagai ahli politik yang licik.

Hari ini, Nasharudin yang telah menghilang diri dari Parlimen sejak tengahari semalam ditekan lagi, kali ini oleh dua naib presiden parti itu.

Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar secara berasingan memberitahu wartawan bahawa Nasharudin mesti bersemuka dengan Nik Aziz sebelum mesyuarat khas jawatankuasa kerja pusat minggu depan untuk meleraikan kekusutan dan keresahan dalam isu kerjasama dengan Umno.

Jika pertemuan itu dapat dilangsungkan, ini kali kedua dalam setahun pemimpin kanan PAS terpaksa berhadapan dengan Nik Aziz selepas bertikam lidah secara umum.

Tahun lalu, Mustafa, yang ketika itu pengarah pilihanraya, terpaksa menghadap Nik Aziz setelah mengkritik secara terbuka rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

Malang bagi Nasharudin tiada siapa yang berani mempertahankannya sementara presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, orang yang mencadangkan idea kerajaan perpaduan itu, kini berada di luar negara dan apabila beliau mempengerusikan mesyuarat khas Isnin depan sudah pasti akan menjarakkan dirinya dari insiden yang memalukan dan memecah-belahkan parti itu.

Tidak mungkin Hadi berani mempertahankan timbalannya secara terbuka. Nasharudin perlu berhadapan dengan Nik Aziz dan penyokongnya secara berseorangan. -Adib Zalkapli

Mengambil pengajaran Perang Siffin dan usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan PAS - Khalid Samad


Sanggah Tok Sago


SHAH ALAM: Pada hari terakhir Muktamar, saya telah ke depan, menyokong usul yang dibawa oleh PAS Tambun berhubung pembentukan Suruhnjaya Di Raja untuk mengkaji ‘rampasan kuasa’ di Perak. Dalam penghujahan saya pada hari itu, saya telah menyebut peristiwa perang Siffin dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan keadaan politik kita pada ketika ini. Oleh kerana masalah masa yang diberikan amat singkat, saya tidak sempat untuk menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci. Saya akan cuba lakukannya di sini.

Untuk mereka yang tidak tahu mengenai peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.

Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”. Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan.

Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.” Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.

Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.

Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu.

Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesame kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.

Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing. Ini dinyatakan sebagai bukti keikhlasan mereka untuk ‘berdamai’ dengan kita. Tetapi seperti yang saya katakan tempohari, “apalah nilai sepanduk-sepanduk ini berbanding mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing”? Walaupun dengan mushaf-mushaf Al-Quran sendiri, sejarah membuktikan penipuan berlaku! Ya, memang, kita tidak sebaik tentera Saidina Ali. Tetapi ingat! Mereka juga jauh lebih buruk dari tentera Muawiyyah!

Seterusnya mereka akan memuji dan melambung pemimpin-pemimpin yang mencadangkan ‘perpaduan’ ini dan menyatakan betapa mereka berterima kasih dengan cadangan tersebut. Mereka bermesra dengan PAS, bermanja dengan pemimpin-pemimpin pro-perpaduan ini dan dengan itu merejamkan lembing perbalahan di antara kita!

Punca perbalahan dan ‘perpecahan’ di kalangan kita adalah kerana cadangan ‘perpaduan’ yang datang tanpa perbahasan dan tiada yang mempersetujuinya kecuali sedikit. Namun yang sedikit yang setuju bercakap bagi yang ramai yang tidak!

Yang agak pelik, dalam senario peperangan Siffin, cadangan perdamaian datangnya dari pihak yang diasak kerana hampir-hampir dikalahkan. Dalam keadaan kita sekarang, perdamaian dicadangkan oleh kita yang sedang mengasak yang hampir-hampir menang! Dengan itu akan terlepaslah peluang untuk mencapai kemenangan yang muktamad!

UMNO/BN akan menggunakan ‘persetujuan’ mereka untuk menimbangkan cadangan PAS sebagai bukti keikhlasan mereka. Penolakan oleh PKR dan DAP yang hampir pasti berlaku akan digunakan sebagai bukti ketidak-ikhlasan mereka berdua. “Mereka tidak mahu orang Islam Melayu bersatu” akan dilaungkan secara nyaring oleh pemimpin-pemimpin yang sedang seronok dilambung pujian dan sanjungan dari semua pihak. Pegawai Kerajaan, Professor Universiti, Pakar perubatan Melayu UMNO dan sebagainya akan disusun satu demi satu untuk memberi sanjungan dan akhirnya apa yang dinginkan akan berlaku, seperti berlakunya apa yang diinginkan oleh Amr Al-As dalam perang Siffin.

Perbalahan akan berlaku di antara kita di dalam PR dan malah di dalam PAS itu sendiri dan akhirnya, pemimpin-pemimpin yang disanjung dan dilambung itu akan menjadikan PAS berseorangan berpakat dengan UMNO. Tidak mungkin PAS menolak apabila cadangan itu datang dari PAS sendiri! Pemimpin pro-perpaduan ini akan berusaha supaya perhubungan kita dalam PR semakin keruh hingga akhirnya PAS diminta keluar kerana dilihat semakin rapat dengan UMNO. Akan kedengaran pada masa itu, “Bukan kami yang nak keluar, kami diminta keluar!” dan “Kalau dengan PKR dan DAP boleh bersama, takkan dengan UMNO tidak boleh”. Mereka akan bertanya kepada ahli-ahli yang masih terpingnga-pingnga dengan keadaan yang baru ini. Hanya semalam menyerang UMNO/BN, hari ini menjadi kawan? Hanya semalam bersama PR, hari ini menjadi lawan?

Adakah ini disebabkan inginkan kemenangan yang segera seperti mi segera atau mi celup? Adakah ianya kerana tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah berada diambang kemenangan? Atau, lagi teruk, adakah ianya disebabkan keengganan mencapai kemenangan melalui Pakatan Rakyat? Ini semua merupakan persoalan yang valid dan wajar difikirkan bersama.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan oppurtunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.

Namun yang lebih teruk, keadaan kita akan begitu terdedah, bergantung kepada ihsan UMNO. Sekiranya kita dikhianati UMNO, ke mana hendak kita pergi? Sekiranya selepas mencapai matlamat mereka dan berpisahnya kita dari PR dan kekuatan PR tergugat, UMNO mengusir kita seperti dahulu, ke mana hendak kita pergi?

Berseorangan, bagaikan parti politik murahan, ayam tak patuk, itik tak sudu. Ke PR pun tidak dan ke BN pun tidak. 3 penjuru? Yang akan menang ialah salah satu dari dua kumpulan parti yang lain, tetapi bukan PAS! Mahu merayu dan kekal bersama ‘perpaduan’ PAS-UMNO-BN? Kerusi dimenangi UMNO tetap ditandingi UMNO. Kita bertanding kerusi yang kita menang dan kerusi yang PR menang. Dengan sokongan golongan anti-BN yang terdiri dari Cina dan India serta Melayu yang dibelakang mereka, kita akan kalah. Kecuali di Terengganu dan Kelantan.

Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain…

Oleh YB ABDUL KHALID SAMAD
Yang Dipertua PAS / Ahli Parlimen Shah Alam

THURSDAY, JUNE 18, 2009

KRISIS PEMIKIRAN DALAM PAS

PAS berhadapan dengan kemelut dalaman parti yang tidaklah serius dan separah masalah dalaman UMNO sebagaimana yang cuba digambarkan oleh media arus perdana. Perbezaan pendapat antara pimpinan parti bukan bermakna PAS telah berpecah belah. Kemelut dalaman parti ini hanyalah krisis pemikiran antara pimpinan tertinggi parti akibat isu Kerajaan Perpaduan.

Krisis pemikiran yang berlaku semakin berlarutan akibat masing-masing pimpinan menjadikan media sebagai saluran mempertahankan pandangan, sepatutnya perbezaan pendapat dalam perkara-perkara besar seumpaman ini dibincangkan dan diutarakan dalam muzakarah dan mesyuarat dalaman parti.

Selain itu, UMNO melalui media sememangnya menunggu peluang ini, perbezaan pendapat antara pimpinan PAS dibesar-besarkan oleh media arus perdana. Pimpinan UMNO kononnya menyokong pendapat sebelah pihak dengan pujian yang melambung, selama ini tidak ada pimpinan tertinggi UMNO memuji sebegitu rupa. Tujuan pujian hanyalah untuk mengeruhkan keadaan, ini yang UMNO mahu. Dalam keadaan UMNO semakin ditolak oleh rakyat, manakala Pakatan Rakyat semakin disenangi oleh rakyat, peluang seumpama inilah yang ditunggu oleh UMNO.

Berhadapan dengan kemelut pemikiran ini, sebagai ahli dan penyokong PAS, sewajarnya kita menjadi pendengar yang baik. Kita tidak boleh terus terburu-buru menghukum mana-mana pihak yang pandangannya berbeza dengan kita. Itu sikap yang tidak adil.

Kita wajar bahkan wajib mengikuti perkembangan dengan teliti, mendengar dari sumber-sumber yang dipercayai, pandangan kedua-dua pihak hendaklah sama-sama kita dengar, kemudian diteliti. Jauhi dari mendengar dari pandangan pihak ketiga, apatah lagi media-media cetak atau media elektronik, lebih-lebih lagi bloggers yang berat sebelah.

Membaca dan mendengar bagi mengikuti perkembangan adalah baik, tetapi jangan cuba mengulasnya kalau maklumat yang kita perolehi samar-samar dan ragu-ragu, sekalipun maklumat itu benar dari sumber yang dipercayai, kalau ingin mengulas, ulaslah dengan cermat dan adil bukannya menjadi batu api atau semakin mengeruhkan keadaan.

Buat masa ini, lebih baik kita ikuti sahaja perkembangan. Anggaplah pandangan-pandangan pimpinan yang berbeza dalam isu ini ada asas dan hujjah masing-masing, kita boleh ikuti dengan penuh minat, teliti, tertib dan beradab. Buat sementara waktu, elakkan dari memihak.

Di samping itu, kita sangat mengharap supaya pimpinan tertinggi parti mencari jalan terbaik menyelesaikan isu ini melalui muzakarah, semua pihak hentikan dari membuat kenyataan melalui media walaupun media rasmi parti. Ceramah-ceramah PAS juga bukan medan terbaik menjelaskan isu ini, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Mesyuarat khas parti hendaklah segera diadakan bagi membincangakan isu. Semua pimpinan mesti memberi pandangan dan sikap terhadap isu ini.

Sekiranya peringkat pimpinan juga tidak boleh menyelesaikan isu ini, Muktamar Khas parti hendaklah segera diadakan. Serahkan kepada Muktamar bagi membuat keputusan terhadap kemelut dan krisis pemikiran ini. Sebagaimana dalam perlembagaan PAS, Muktamar adalah kuasa tertinggi dalam memutuskan suatu perkara yang tidak mampu diselesaikan sebagaimana proses biasa.

Ketika inilah, kita berhak menyokong mana-mana pandangan yang berdasarkan penelitian kita, pandangan itu benar dan betul. Ahli parti hendaklah patuh dengan keputusan Muktamar walaupun boleh jadi pandangan kita berbeza dengan keputusan Muktamar. Disiplin dan akhlak berjamaah hendaklah menjadi amalan, Insya Allah PAS tidak akan mengulangi sejarah lampau dengan perpecahan yang akhirnya wujud parti baru.



18 jun 2009

KAMI BERPEGANG TEGUH DENGAN `AMANAT HAJI HADI'

`AMANAT HAJI HADI'

"Percayalah, Perjuangan kita adalah jihad..." "Kita menentang Umno Bukan Kerana ianya Umno"... Amanat ini kami pegang walaupun ada pemimpin kami yang melupakannya.

Oleh: WFAUZDIN NS

HANYA seminggu dua sahaja Umno merasa selesa untuk bernafas apabila menyaksikan Pas bergelut dengan isu Kerajaan Perpaduan. Syabas, buat penyokong setia Pas yang terus mara ke hadapan menjadi perisai agar tembok pertahanan Pas tidak ditembusi oleh Umno dengan propagandanya. Disaat pimpinan Pas lebih banyak mendiamkan diri, penyokong-penyokong setia Pas termasuk penyokong-penyokong kuat PR berterusan menjadi penghalang kepada objektif Umno untuk melihat Pas terkubur

Meskipun Harakah, satu-satunya media Pas yang sepatutnya boleh diharapkan untuk mempertahankan maruah dan moral Pas dari di`jual' dengan murah kepada Umno, tetapi akhbar tersebut terikut dengan rentak pemimpin mereka. Lesu dan tidak bermaya malahan kadangkala kelihatan laporan atau beritanya saling tidak tumpah seperti Utusan Meloya pula. Mujur, usaha yang berterusan dari penyokong-penyokong bawahan yang mahukan Pas terus dihormati dan disegani bukan di`beli', disedari oleh Mursyidul Am Pas. Lantas, beliau mengeluarkan kenyataan yang agak keras bagi `mengejut'kan beberapa pimpinan yang mungkin `terlena' dengan mimpi indah bersama bakal `tunangan'nya bernama Umno.

Selepas itu, barulah seorang demi seorang mengeluarkan pandangan masing-masing dari segala pelusuk negeri. Apabila terjaga dari `lena' barulah mereka tahu bahawa idea Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan sesama pimpinan Pas apatah lagi bersama PR rakan yang banyak membantu Pas sebelum ini. Rahsia bahawa cadangan Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan, bahkan semata-mata pendapat atau keinginan peribadi dua tiga orang di dalam Pas telah didedahkan di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Ustaz Abdul Halim. Ketika itu, baru kita faham sebenarnya situasi yang berlaku walaupun sebelum ini beberapa pemimpin Pas mengutarakan berbagai helah dan dalil untuk meyakinkan kita agar menerima `jalan yang mudah' itu. Alhamdulillah, Tuan Guru Nik Aziz terlebih awal `menghidu' bau busuk dari idea tersebut walaupun Mufti Perak menghidunya sebagai wangi yang teramat harum.

Setelah menyedari bahawa bukan semua penyokong dan ahli-ahli Pas boleh di`beli' dengan harga yang terlalu murah, Umno mula gelisah dan mahu tidak mahu terpaksa juga pemimpin-pemimpin Umno memuji melangit dua tiga tokoh Pas ini agar impian Umno akan menjadi kenyataan. Jika dahulu mereka mengecam tokoh Pas ini dengan menuduh fatwanya `mengkafirkan Umno' dalam amanat yang terkenal itu, kini mereka terpaksa menjilat ludahnya kembali. Umno tidak mengerti bahawa masih ramai di kalangan penyokong-penyokong dan ahli Pas yang masih memegang kuat fatwa `Amanat Haji Hadi' itu kerana mereka yakin bahawa itu adalah amanat yang betul dan tidak silap walaupun mungkin terdapat dua tiga tokoh Pas sekarang ini yang menganggap amanat itu tidak lagi releven. Kerana Amanat itulah penyokong-penyokong dan ahli Pas menentang keras sebarang usaha ke arah Kerajaan Perpaduan bersama Umno. "Kita menentang Umno bukan kerana ianya Umno". / wfauzdin.blogspot.com

Gabungan Pakatan Rakyat sebenarnya kerajaan perpaduan – TGNA



18jun
2009

TGNA Akan Menjemput Presiden,Timb.Presiden dan Beberapa Pimpinan Lagi Untuk Bincang isu kerajaan perpaduan

KOTA BHARU: Isu kerajaan perpaduan yang hangat dalam Pas ketika ini sehingga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta timbalan presiden parti itu Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan jika mahu meneruskan agenda itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas parti itu tidak lama lagi.
Nik Aziz berkata, selaku Mursyidul Am Pas, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengatur dan mempengerusikan mesyuarat yang hanya akan dihadiri pemimpin tertinggi Pas termasuk Nasharudin.
“Saya sendiri akan menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin Pas lain yang akan saya tentukan kemudian.
“Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini. Buat masa ini, masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut kenyataannya semalam yang meminta Nasharudin melepaskan jawatan, Nik Aziz berkata, beliau belum dihubungi Nasharudin.
Ketika ditanya mengenai kerajaan perpaduan mengikut kehendaknya, Nik Aziz berkata, gabungan pakatan pembangkang ketika ini adalah yang sebenarnya kerajaan perpaduan.
“Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat sudah menghilangkan “Islam fobia” oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan,” katanya.
Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam Pas Kelantan masih dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini dipegang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.
“Hari ini adalah mesyuarat yang pertama penggal baru dan saya masih memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan,” katanya
TIDAK KEMASKINI


Maaf, berlaku kerosakan kabel TM menyebabkan saya tidak dapat kemaskinikan Blog sejak Hari Isnin dan baru sahaja dapat dibaik pulih dan InsyaAllah akan dikemaskinikan seperti biasa.




Sunday, 14 June 2009


Beramal Dengan Ilmu: Ringkasan Sifat Solat Nabi



Beramal dengan ilmu! Mungkin itulah kempen besar-besaran yang mampu kita lakukan bersama demi menyemarakkan lagi pemahaman umat Islam khususnya di Malaysia tentang ajaran Islam. Beramal dengan ilmu bukanlah satu idea baru, malah inilah juga kempen para Nabi dan Rasul kepada umat Islam.

Solat semestinya satu perkara penting dalam kehidupan umat Islam, Akan tetapi tidak semua umat Islam di Malaysia beramal dengan ilmu, tidak keterlaluan jika penulis katakana majority umat Islam di Malaysia masih mempraktikkan Islam dengan kaedah ikut-ikutan seperti mana yang telah saya jelaskan dalam artikel-artikel yang lepas seperti “3 Jumaat Berbeza Tetapi Dengan ‘Adat’ Yang Sama”.

Hatta ada yang meremehkan persoalan bab solat ini untuk dikempenkan supaya ianya dilakukan dengan ilmu, saya percaya kelak dialog-dialog yang diutarakan dan yang telah dijawab dalam artikel “Memperbaiki Wuduk & Solat Menurut Sunnah” akan dapat merungkai persoalan remeh tersebut. Kita bukan berkempen untuk murtadkan para pembaca daripada mazhab mereka, tetapi apa yang kita inginkan ialah umat Islam ini beramal dengan ilmu daripada sekecil-kecil perkara sehinggakan sebesar-besar isu apatah lagi dalam hal ehwal solat yang merupakan rutin harian kita. Itulah juga yang saya ulang dan ulang dan ulang di dalam artikel-artikel lain seperti “Solat Mazhab Syafie’ Vs. Mazhab Lain?” atau dalam artikel “Sifat Solat Albani Atau Sifat Solat Nabi?”.

Jika ada usaha yang lebih, sememangnya wajar untuk kita pergi lebih jauh dengan membaca dan menelusuri perbahasan perbezaan dalam pendapat para imam dan muhaddith baik Syaikh al-Muhaddith Nasiruddin Al-Albani yang popular dengan kitabnya “Sifat Solat Nabi”, mahupun Syaikh al-Muhaddith Abdul Aziz Torifi, hatta kitab “Sahih Sifat Solah an-Nabi” oleh Hasan ibn 'Ali as-saqqaf walaupun beliau ini terkenal dengan pengkhianatannya terhadap agama dan telah dijawab oleh para ilmuan timur tengah seperti Syaikh al-Muhaddith Sulaiman bin Nasir al-Ulwan. Kadang kala kita perlu telusuri pelbagai pandangan untuk yakin dan samapi kepada kesimpulan terhadap apa yang kita fahami dan telah pelajari, itulah ilmu!

Tetapi ini bukan artikel yang sesuai untuk bacaan para ilmuan dan para mujtahid kita yang mampu membelek kitab-kitab dan perbahasan hadis dalam hal ehwal fekah solat. Bukan juga cuba mempromosi mana satu praktik yang lebih tepat dari yang lain. Tetapi hanya satu usaha ringkas untuk para pembaca awam menilai amalan solat mereka berdasarkan perbuatan Nabi Sallahu ‘alaihi wa Sallam. Di bawah ini ialah isi kandungan Sifat Solat Nabi produksi al-Markaz yang boleh juga ditonton di youtube.

"Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat" (Bukhari dan Muslim)

BerWudhu'

"Tidak diterima solat seseorang tanpa bersuci" (Muslim)

1)Membaca Basmallah (Abu Daud, Ibn Majah)
2)Mencuci dua telapak tangan 3X (Bukhari dan Muslim)
3)Berkumur2 dan memasukkan air ke dalam hidung sebanyak 3X kemudian mengeluarkannya.(Bukhari dan Muslim)
4)Mencuci Wajah 3X (Bukhari dan Muslim)
5)Mencuci tangan kanan sampai siku 3X kemudian tangan kiri sampai siku 3X (Bukhari dan Muslim)
6)Mengusap kepala dan mengusap telinga 1 kali (Bukhari dan Muslim)
7)Mencuci kaki kanan sampai mata kaki 3X kemudian kaki kiri dsmpai mata kaki 3X (Bukhari dan Muslim)
8)Doa selepas wudhu' (Bukhari dan Muslim)


Pembatal Wudhu'
1)Apa-apa yang keluar dari kemaluan depan dan belakang berupa kotoran atau angin
2)Tidur nyenyak
3)Hilangnya akal kerana mabuk atau sakit
4)Menyentuh kemaluan tanpa penghalang dengan diikuti syahwat
5)Makan daging unta
(Al-Wajiz fi Fiqhi As-Sunnah wa Al-Kitabi Al-'Aziz hal. 36-37)
Tayammum
(Surah Al-Maidah 5:6)
Berkata Abu Ishaq:"As-Shaid adalah muka bumi,dan As-Shaid tidak semestinya tanah,akan tetapi muka bumi baik berupa tanah atau bukan,misalnya di gurun/padang pasir"
"Boleh bertayamumm dengan menggunkan debu yang ada di dinding,baik dari tanah atau batu,dengan cat atau tidak"(Al-Wajiz hal. 50)


Tatacara Tayammum
1)Memukul kedua telapak tangan ke muka bumi (satu kali) (Bukhari dan Muslim)
Pembatal Tayammum
1)Sama dengan pembatal wudhu'
2)Menemukan air atau boleh menggunkan air semula.(Al-Wajiz hal.50)
Persiapan Solat
1)Jika Engkau hendak berdiri untuk solat maka sempurnakanlah wudhu' kemudian menghadapkanlah ke kiblah lalu bertakbirlah.(Bukhari dan Muslim)
2)Berdiri (Al-Baqarah 238),Diperbolehkan Solat duduk jika sakit atau kesulitan berdiri (Bukhari,Abu Daud,Ahmad)
3)Pahala orang yang duduk, separuh dari solat orang yang berdiri (Bukhari, Abu Daud, Ahmad)
4)Diperbolehkan juga solat sambil duduk di atas perahu (Al-Bazzar, Daruqutni)
5)Jika imam solat dengan duduk kerana sakit,maka makmum wajib solat dengan duduk walaupun mereka mampu berdiri (Bukhari dan Muslim)
6)Menghadap Sutrah-Janganlah kalian solat kecuali menghadap Sutrah (Ibn Khuzaimah dengan hadith semakna terdapat dalam Bukhari dan Muslim)
Sutrah(Pembatas) boleh berupa tiang,dinding,belakang orang,beg,atau apa sahaja yang mempunyai tinggi (minimum) satu hasta (Al-Masjid fi Al-Islam hal. 78)
7)Niat-Sesungguhnya seluruh amal itu bergantung kepada niatnya (Bukhari dan Muslim)

Gerakan Solat
1)Takbir-Jika engkau ingin solat maka sempurnakanlah wudhu' kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbirlah (Bukhari dan Muslim)
-Mengangkat tangan bersamaan ucapan takbir (Bukhari)
-Mengangkat tangan setelah mengucapkan takbir (Bukhari)
-Mengangkat tangan sebelum mengucapkan takbir (Bukhari)
2)Beliau mengangkat kedua tangannya dengan membuka jari-jarinya lurus ke atas (Abu Daud,Ibn Khuzaimah dll)
3)Beliau mengangkat kedua tangannya sejajar dengan bahu (Bukhari)
4)Rasulullah meletakkan tangan kanannya pada lengan tangan kirinya (Bukhari)
dan bersedekap di dada (Abu Daud, Ibn Khuzaimah)
5)Rasulullah meletakkan lengan kanan pada punggung telapak kirinya, pergelangan dan lengan kirinya (Abu Daud, An-Nasai)
6)Rasulullah terkadang menggenggamkan jari-jari tangan kanannya pada hasta kirinya (An-Nasai, Daruqutni)

Khusyu'
1)Sewaktu solat Rasulullah menundukkan kepala dan memandang ke tempat sujud (Baihaqi, Hakim)
2)Jika diganggu syaitan hendaklah membaca ta'awwudz kemudian meludah ke sebelah kirinya sebanyak 3X (Muslim, Ahmad)
3)Rasulullah pernah membukakan pintu untuk 'Aisyah padahal beliau sedang solat (Sahih An-Nasai 1151)
4)Apabila seseorang diantara kalian solat menghadap sutrah kemudian ada orang hendak melanggarnya maka cegahlah semampunya sebanyak 2X,jika orang itu enggan maka bunuhlah dia kerana dia adalah syaitan (Bukhari dan Muslim)
(Bunuh bukan bererti bunuh,ia hanya bermekasud melewati orang sedang solat merupakan Dosa Besar)
Lebih baik menunggu 40 (tahun) daripada lewat di depan orang yang sedang solat (Bukhari dan Muslim)

Ruku'
1)Setelah membaca ayat Al-Quran, Rasulullah berhenti sejenak (Abu Daud,Hakim)
lalu beliau ,,mengangkat tangan bertakbir dan ruku' (Bukhari dan Muslim)
2)Beliau meletakkan tangan pada lutut (Bukhari)
3)Meluruskan punggungnya (Baihaqi) Sehingga apabila air diletakkan di atas punggung beliau air tersebut tidak akan bergerak (Thabrani)
3)Beliau tidak mendongakkan atau menundukkan kepalanya (Abu Daud, Bukhari) tetapi tengah-tengah antaranya (Muslim)
4)Orang yang tidak menyempurnakan ruku'nya merupakan pencuri yang paling jahat, iaitu pencuri dalam solat (Ibn Abi Syaibah, Thabrani, Hakim)
5)Sesungguhnya tidak ada solat bagi orang yang tidak meluruskan punggungnya dalam ruku' dan sujud (Ahmad)
6)Dianjurkan melamakan ruku' (Bukhari dan Muslim) dan dilarang membaca Al-quran sewaktu Ruku' (Muslim)
7)Subhanarab biyal 'Azim , Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung 3X (Ahmad, Abu Daud dll)

'Ittidal
1)SamiAllahu liman Hamidah , Allah mendengar orang yang memujiNya (Bukhari dan Muslim)
2)Rabbana wa lakal Hamd , Wahai Rabb kami, dari segala puji adalah milik-Mu (Bukhari dan Muslim)
3)Rasulullah memerintahkan untuk meluruskan punggung, menegakkan kepala, sampai ruas tulang punggung kembali ke tempat semula (Bukhari dan Muslim)
4)Rasulullah bertakbir untuk sujud (Bukhari dan Muslim)
5)Terkadang beliau mengangkat tangan ketika hendak sujud (An-Nasai, Daruqutni dll)

Sujud
1)Rasulullah mendahulukan kedua tangannya pada saat turun menuju sujud (Ibn Khuzaimah, Daruqutni, Hakim)
2)Rasulullah sujud di atas 7 anggota (Bukhari dan Muslim) [kening &hidung, kedua telapak tangan,kedua lutut, jari-jari kaki]
3)Rasulullah terkadang meletakkan tangannya sejajar dengan bahunya (Abu Daud, An-Nasai)
4)Rasulullah terkadang meletakkan tangannya sejajar dengan daun telinganya (Abu Daud, An-Nasai)
5)Rasulullah merapatkan jari-jarinya (Ibn Khuzaimah, Baihaqi) dan menghadapkannya ke arah kiblat (Baihaqi)
6)Beliau merapatkan kedua tumitnya (At-Thahawi, Ibn Khuzaimah) dan menegakkan telapak kakinya (Baihaqi)
7)Beliau mengangkat kedua lengannya dan menjauhkannya dari perutnya sampai kelihatan putih ketiaknya (Bukhari dan Muslim) (untuk solat bersendirian-pen)
8)Disunnahkan untuk memperbanyakkan do'a sewaktu sujud (Muslim)
9)Subhanarabbi yal 'ala, Maha Suci Rabb-ku yang Maha Tinggi 3X atau lebih (Ahmad,Abu Daud dll)

Duduk Antara Dua Sujud
1)Rasulullah menegakkan telapak kaki kanan (Bukhari)
menghadapkan jari-jari kaki ke kiblat (An-Nasai)
2)Rasulullah duduk di atas telapak kakinya (Bukhari)
3)Kadang-kala beliau duduk Iq'a (Muslim) [duduk dengan menegakkan telapak dan kedua tumitnya]
4)Rabbighfirrli Warhamni Wajburrni Warfa'ni Wahdini Wa'afini Warzuqni , Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, lindungilah aku, angkatlah darjatku, tunjukilah aku, sihatkanlah aku, berilah aku rezeki (Abu Daud dll)

Duduk Istirehat (Sebelum bangkit)
1)Sepertimana duduk di antara dua sujud kemudian bertumpu pada kedua tangan dengan menggenggam jari jemari ke tanah (ya'jim-pen).(An-Nihayah) [seperti menumbuk permukaan lantai untuk menyokong diri daripada naik berdiri]
2)Rasulullah melakukan a'jn dalam solatnya (Baihaqi, Abu Ishaq Al-Harbi)
*Kesemu gerakan tadi diulang-ulang pada rakaat seterusnya.


Tashahud Awwal
Solat 2 Rakaat
1)Beliau duduk iftirasy pada solat 2 rakaat (An-Nasai) [Posisi duduk iftirasy seperti mana duduk antara dua sujud,duduk di atas telapak kaki kiri dan menegakkan kaki kanan sambil jari kaki kanan menghadap ke kiblat]
2)Demikian juga keadaan duduk untuk tasyahud awal pada solat 3 rakaat atau 4 rakaat (Bukhari, Abu Daud)
3)Beliau meletakkan telapak tangan kanan di atas paha kanan (Muslim) dalam riwayat lain lutut kanan
4)Beliau meletakkan telapak tangan kanan di atas paha kiri (Muslim) dalam riwayat lain lutut kiri
5)Beliau mengacukan telunjuknya ke kiblat (Muslim)
6)Beliau menggerak-gerakkan jari telunjuknya (Abu Daud)
7)Rasulullah mengarahkan pandangan mata ke telunjuk (Muslim)

Cara Rasulullah Mengisyaratkan Jari
1)Ibu jari memegang jari tengah (Muslim)
2)Ibu jari dan jari tengah membentuk bulatan (Abu Daud, An-Nasai ,Ibn Hibban dll)

Nabi bangkit ke rakaat ketiga seraya mengucapkan takbir (Bukhari dan Muslim)
dan beliau mengangkat kedua tangannya (Bukhari, Abu Daud)
Saat bangkit ke rakaat ke empat beliau duduk istirehat kemudian bertumpu dan bertakbir (Bukhari, abu Daud)
Kadang-kala Nabi bangkit ke rakaat ke empat dengan mengangkat kedua tangannya (Abu 'Awanah, An-Nasai)

Tashahud Akhir
1)Rasulullah duduk secara tawarruk yakni punggung telapak kaki kiri menempel ke tanah, hujung kaki kiri dan kaki kanan berada pada satu sisi (Bukhari) danb menjadikan kaki kirinya berada di bawah paha dan betis kaki kanannya (Muslim)
2)Beliau menegakkan telapak kaki kanannya (Muslim)
3)Beliau kadang-kala mendatarkannya (Muslim) [telapak kaki kanannya-pen)
Doa Tahiyyat Awal sama dengan bacaan Doa tahiyyat akhir dengan tambahan beberapa doa yang warid Rasulullah bacakan.

Memberi Salam
1)Rasulullah membaca doa perlindungan dari 4 hal sebelum salam (Muslim)
2)Sebelum salam dibolehkan untuk membaca do'a yang disukai (Bukhari dan Muslim)
4 Cara Rasulullah Memberi Salam
1)Rasulullah berpaling ke kanan sampai terlihat pipi kanan beliau yang putih (Muslim)
Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh (Abu Daud, Ibn Khuzaimah)
kemudian Rasulullah berpaling ke kiri sampai terlihat pipi kiri beliau yang putih (Muslim)
Assalamua'laikum warahmatullah (Muslim)
2)Rasulullah berpaling ke kanan seraya mengucapkan Assalamua'laikum warahmatullah (Muslim)
dan berpaling ke kiri seraya mengucapkan Assalamua'laikum warahmatullah (Muslim)
3)Rasulullah berpaling ke kanan seraya mengucapkan Assalamua'laikum warahmatullah (Ahmad, An-Nasai) dan berpaling ke kiri seraya mengucapkan Assalamua'laikum (Ahmad, An-Nasai)
4)Rasulullah menoleh sedikit ke kanan seraya mengucapkan Assalamua'laikum (Baihaqi, Ibn Khuzaimah dll)

*Tatacara solat yang diterangkan berlaku (sama)baik untuk lelaki mahupun perempuan kerana Rasulullah bersabda "Solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat "(Bukhari dan Muslim) tanpa mengkhususkan tatacara yang berbeza antara jantina.

Kesalahan-Kesalahan Dalam Solat
1)Rasulullah melarang menyelak lengan baju dalam solat (Bukhari dan Muslim)
2)Isbal [menurunkan pakaian melebihi mata kaki/buku lali]
3)Tumit tidak bersentuhan akibat telapak kaki tidak menghadap kiblat
4)Menjauhi sutrah/ terlalu jauh dari sutrah atau lebih teruk tidak menggunakan sutrah.
5)Kesalahan takbir apabila tangan tidak diangkat dengan sempurna atau tidak dihadapkan ke arah kiblat.
6)Bersedekap tidak mengikut sunnah yakni di dada tetapi di selainnya.
7)Pandangan mata melilau ke arah yang tidak sepatutnya.
8)Ruku' yang tidak sempurna apabila punggung tidak lurus atau meletakkan tangan pada betis atau tangan di lutut dirapatkan.
9)Tidak mengangkat tangan ketika turun untuk ruku'
10)Kesalahan waktu sujud-
Jari tidak menghadap ke arah kiblat atau rapatnya perut dengan peha.
Posisi tumit tidak dirapatkan atau tidak sujud dengan 7 anggota.
Atau hanya jari yang bersentuhan dengan tanah tetapi mengangkat telapak tangan.
Lengan dijatuhkan atau ditempelkan ke arah tanah sepert anjing.
Menyelak rambut ketika sujud.Rasulullah melarang menyelak rambut dalam solat (Muslim)
11)Sujud setelah salam tanpa sebab mahupun bersebab tanapa pernah dicontohkan oleh Nabi.
12)Tidak Tuma'ninah (Meletakkan tulang pada tempatnya)-Sangat cepat.
13)Tidak menghalangi orang yang melewati sutrah
14)Membuka telapak tangan selepas salam kek kanan dan ke kiri.ini meruapakan perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah (Muslim)
15)Mengusap muka setelah salam
16)Imam tidak meluruskan saf terlebih dahulu sebelum memulakan solat.
17)Kesalahan posisi makmum ketika satu orang yang salah yakni mundur sedikit ke belakang daripada imam.
18) Kesalahan posisi makmum ketika dua orang yakni kiri dan kanan belakang imam.
19)Makmum yang masbuk menunggu imam sehingga berdiri.
20)Makmum mendahului,bersamaan,atau terlambat jauh dari gerakan imam.
Bila dilakukan dengan sengaja boleh membatalkan solat (Taudihu al-Ahkam)
21)Berlari-lari sewaktu mendatangi solat.
"Jika kalian mendatangi solat,maka berjalanlah dengan tenang,apa-apa yang kamu dapati maka solatlah,dan apa yang terlewat olehmu maka sempurnakanlah." (Bukhari dan Muslim)

Apa yang disertakan hanyalah ringkasan sifat solat nabi. Tidak saya nafikan ada perbahasan panjang dalam fekah terhadap sesetengah bab di atas yang melibatkan permasalahan status hadis dan ianya tidak disertakan dalam artikel ini. Cuma sahaja apa yang perlu para pembaca ketahui ialah setiap poin di atas dibincangkan panjang lebar oleh para imam muktabar. Hanya sahaja terpulang pada para pembaca untuk menilainya sendiri dalam mengamalkannya selagi mana ianya berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah seperti mana yang difahami oleh para salaf as-soleh.

"Tepuk selera, tanya iman."

Wallahu'allam.
Ibn Yusof
14 Jun 2009/ 21 Jumad Thani 1430
3.30 p.m

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive