Rihat Minda


Tuesday 9 August 2011

MENTERJEMAH HIKMAH RAMADHAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

4 Ramadhan 1432H,

PUASA menurut syariat adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dengan disertai dengan niat kepada Allah. Semua perintah Allah yang disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaatnya, begitu juga dengan segala laranganNya yang pasti ada kemudaratannya.

Dari segi kesihatan, puasa dapat menghindarkan penyakit. Sepertimana kita tahu, dewasa ini manusia meninggal dunia disebabkan oleh pemakanan. Hadis Nabi juga menyebut bahawa ‘perut adalah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat’.

Seharian kita berpuasa telah mendidik perut kita hanya menerima makanan pada masa yang ditetapkan sahaja. Jika hari-hari biasa, merata tempat kita manusia menikmati hidangan makanan tanpa mengira masa selagi mata belum terpejam. Jadi perut pun bekerja tanpa rehat.

Para penyelidik ilmu perubatan juga mengakui bahawa puasa dapat membuang toksin dari badan dan secara tidak langsung meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.

Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Berpuasa juga mengajar mereka yang mengerjakannya mengenal erti kesusahan dan keperitan manusia lain yang mengalami kekurangan makanan. Jika sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran akan penderitaan mereka, jadi melalui puasa kita banyak bersabar dan banyak mendekatkan diri kepada Allah bagi memanjatkan kesyukuran.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang suci antara semua bulan. Solat Tarawih yang ditunaikan sepanjang Ramadhan banyak hikmahnya. Setiap malam yang ditunaikan mempunyai faedahnya tersendiri yang ditetapkan oleh Allah.

Lailatul Qadar yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan merupakan malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam hinggalah terbit fajar. Pada malam tersebut Allah melipatkan rahmatnya kepada seluruh mukmin yang masih hidup dan juga yang telah mati. Ini menandakan betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambaNya.

Dengan segenap hikmah yang terkandung di dalam ibadah puasa marilah kita kita mengumpul segala kelebihannya itu untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Jadikanlah ‘Madrasah Ramadhan’ sebaik-baik tempat latihan agar kita dapat menjalankan kehidupan berdasarkan kesederahanaan, kesabaran, keinsafan perihal wujudnya sejuzuk manusia di dunia ini yang perlu dibantu. Juga pentingnya ketahanan dan pembinaan mental dan fizikal untuk mencapai apa yang dicita-citakan

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive