
Menurut Mohd Nazri, artikel yang disiasat disiarkan dalam web itu pada 5 September, berjudul "Mat Indera: Umno guris hati rakyat Johor".
Artikel itu antaranya mengulas buku keluaran Yayasan Warisan Johor (YWJ) Pengukir Nama Johor yang dipetik Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bagi mempertahankan dakwaan bahawa Mat Indera wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong.

Dalam perenggan ketujuh, Harakahdaily memetik tulisan di akhir biografi ringkas Mat Indera yang menyebut Mat Indera sewajarnya diabadikan sebagai pejuang, bukan petualang.
Kandungan buku yang dipetik Harakahdaily itu berbunyi:
"Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Mat Indera adalah seorang yang berani berjuang secara terbuka melibatkan jasmaninya, rohaninya, inteleknya, dan emosinya demi bangsa dan negara.

Dalam perenggan terakhir pula, Harakahdaily melaporkan Mat Indera bertanggungjawab mengarahkan serangan di rumah pasung Bukit Kepong "tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina".
Ketika dihubungi Malaysiakini selepas disoal siasat hampir sejam dari 11.40 pagi hingga 12.30 tengah hari di pejabat Harakahdaily di Kuala Lumpur, Mohd Nazri berkata, polis asalnya turut mahu merakamkan kenyataan Ketua Pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong tetapi membatalkannya.
Mohd Nazri berkata, perkara itu mungkin disebabkan tiada keperluan berbuat demikian pada masa ini.

Tambahnya, polis juga bertanyakan kepada mereka sama ada fakta tersebut ditokok tambah, direka-reka atau dibuat berdasarkan kesimpulan sendiri.
"Kami beri kerjasama dan pertahan laporan itu," katanya sambil memberitahu siasatan itu dibuat ekoran terdapat laporan polis dibuat terhadap artikel itu.