Rihat Minda


Saturday, 1 August 2009

02 ogos 2009

Syaaban masa paling sesuai muhasabah diri

JUNHAIRI BIN ABD JALI

REJAB sudah berlalu. Kini Syaaban menjelang. Lambaian Ramadan sebulan lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda:

"Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

"Allhuma Bariklana fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan",

Bermaksud : "Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkanlah keberkatan untuk kami pada Rejab danSyaaban, dan sampaikanlah kami Ya Allah hingga Ramadan (yakni panjangkan umur kami Ya Allah sehingga kami dapat bertemu dengan Ramadan."

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak. Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang. Air adalah bekalan dan kehidupan bagi pejuang. Mengapa pentingnya kita mengenang pejuang dan menyalakan semangat perjuangan? Perjuangan kita dalam hidup ini adalah untuk kemerdekaan. Merdeka jiwa. Merdeka daripada segala bentuk perhambaan manusia kepada manusia.

Lebih 50 tahun lalu pejuang berjaya membawa negara kita keluar daripada belenggu penjajahan. Penjajahan tanah air, jiwa, rasa dan minda.

Bayangkan dan rasakan, mereka berjuang membela negara ini bukan untuk hidup mereka, bukan untuk keluarga mereka, bukan pula untuk hari meriah itu. Mereka berjuang untuk masa depan anak cucu dan bangsa ini. Mereka berjuang untuk kita, yang hidup saat ini, juga untuk anak cucu.

Bayangkan dan rasakan apakah pejuang akan senang melihat penjajah British dan Jepun serta pengkhianat Komunis Bintang Tiga menghina maruah umat?

Apakah pejuang akan senang melihat maraknya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan beberapa pemimpin dan pihak bertanggungjawab? Adakah pejuang rela membiarkan rakyat bergelumang dengan dadah, judi, jenayah rogol, seks rambang dan syak wasangka kaum dan agama? Adakah pejuang boleh goyang kaki melihat umat hanyut dalam budaya hedonisme melampau sehingga tidak peka dengan budaya ilmu dan intelektual?

Kita perlu membuat pejuang bangga dan senang, dengan membangun negara ini dengan hati, bersih jiwa dan minda, jujur, bertanggung jawab, disiplin, kerjasama, adil, wawasan dan prihatin. Mari membuat bangsa ini dihormati dan disegani di mata bangsa lain di dunia.

Sempena Syaaban kita perlu mengasah dan memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala. Jiwa pejuang adalah jiwa menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.
Firman Allah bermaksud:

"Dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa." – (Surah Al-Baqarah: ayat 177).

Antara perkara yang disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang. Kini masanya qada puasa bagi sesetengah kita yang tertinggal puasanya pada Ramadan lalu atas sebab keuzuran dibenarkan.

Contohnya kerana sakit, musafir dan menyusukan anak. Kita tidak boleh menundanya hingga Ramadan berikutnya kerana kita akan didenda membayar kafarat ke atas setiap hari ditinggalkan.

Budaya bertangguh menggantikan puasa ini bukan baru bagi kita tetapi sudah menjadi sebati dalam kehidupan umat Islam hari ini. Ini bukan amalan pejuang. Firman Allah bermaksud:

"Dan sekali-kali, Tuhanmu tidak lalai daripada apa yang kamu kerjakan". (Surah Hud, ayat 123).

Hikmah diperintahkan untuk membanyakkan puasa pada Syaaban untuk membuat persediaan mental dan fizikal, melatih diri membiasakan berpuasa pada Ramadan nanti.

Kita disunatkan membanyakkan amalan puasa sepanjang Syaaban bukan hanya pada malam Nisfu Syaaban saja. Rasulullah selalu melakukannya. Dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, dia berkata:

"Aku belum pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa selama satu bulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku belum pernah melihat beliau memperbanyakkan puasa (sunat) dalam satu bulan kecuali pada Syaaban".

Syaaban dikenali sebagai bulan muhasabah diri, iaitu memperbaiki dan melihat kembali watak diri sendiri. Memperbaiki sifat mazmumah seperti dengki, takbur dan sombong yang semakin runcing membekam dalam diri sebahagian daripada kita, umat Islam masa kini. Selain memperbaiki, digalakkan juga melihat kembali sifat mahmudah.

Adakah kita selama 11 bulan lalu sudah memperbanyakkan amalan baik seperti ikhlas, reda dan sedekah. Tidak cukup dengan solat, puasa dan zakat maka kita murnikan dengan ikhlas dan reda.

Apalah maknanya solat yang banyak tetapi tidak ikhlas? Sering berpuasa tetapi turut mengamalkan lihat perkara yang 'syubhah'. Apalah ertinya setiap tahun kita mengerjakan haji tetapi riak mahu dilihat sebagai orang yang berada dan suka dipuji?

Dalam Syaaban kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah:

"Barang siapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit."

Dalam kita beramal meraikan Syaaban, janganlah pula kita kaitkan dengan amalan bidaah tertentu yang tidak disyariatkan oleh Allah.

INFO

· Syaaban adalah detik memupuk jiwa pejuang melalui amalan membangkitkan semangat, memupuk kesucian sekali gus mengumpul pahala.

· Jiwa pejuang adalah menghayati makna keinsafan, kesusahan dan penderitaan.

· Antara perkara disyariatkan pada Syaaban ialah menjelaskan hutang puasa yang tertinggal sebelum ini. Syaaban bulan melangsai hutang.

· Kita digalakkan bertaubat, membanyakkan doa, menggandakan zikir dan berselawat kepada Rasulullah. Masa sesuai muhasabah diri.

Friday, 31 July 2009


Kisah Siti Fatimah r.a
www.iluvislam.com
Oleh: Ummu Muslim
Editor: NuurZaffan

Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s. a. w. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r. a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s. a. w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah s. a. w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah s. a. w. pernah bersabda kepada Sayyidina Ali,"Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."(Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu.

Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."

Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?"

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah s. a. w. menghentikannya.

Berkata Rasulullah s. a. w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.

Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?"

"Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya



13 Comments · 1008 Reads · Print Bookmark and Share

PAHLAWAN SYIRIK?

31 July 2009

Salam 2 all.

Hari ini Jumaat 09 Sya'ban 1430 bersamaan 31 Julai 2009. Menjadi tradisi dinegara ini meraikan Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun.

Bagaimanapun, sangatlah mendukacitakan kerana hari yang penuh dengan makna bagi para anggota keselamatan kita dicemari dengan perbuatan mensyirikkan ALLAH!

Pagi Jumaat yang mulia ini kita menyaksikan bagaimana sambutan itu dimulakan dengan upacara bertafakkur di hadapan Tugu Negara.

Acara dimulakan dihadapan Tugu Peringatan iaitu monumen tiang yang dipenuhi dengan nama para anggota keselamatan yang telah terbunuh dalam tugas keselamatan. Disitu Perdana Menteri akan berdiri menerima tabik hormat daripada perbarisan anggota dan pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia, yang kebanyakkannya, kalau bukan semua pun adalah beragama Islam.

Kemudian Perdana Menteri bersama dengan Ketua Polis Negara berserta Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Laut akan berdiri bertafakkur dihadapan Tugu Negara, dituruti oleh semua hadirin yang ada termasuk anggota pasukan keselamatan yang berbaris sejak subuh tadi.

Tugu Negara ini adalah terdiri daripada beberapa buah patung yang besar dengan figurin tubuh manusia yang lengkap. Walaupun pernah dibom pada tahun 1976, namun ianya telah diperbaiki dan dipercantikkan semula. Tugu yang pernah menjadi patung manusia terbesar yang pernah dibuat ini diilhamkan oleh YAM Tunku Abdul Rahman, yang juga telah mengilhamkan pembinaan patung beliau sendiri yang kini megah bersemadi dihadapan Bangunan Parlimen Malaysia.

Majlis tafakkur dihadapan Tugu Negara ini akan diiringi dengan tiupan muzik "Last Post". Kemudian diikuti oleh bacaan sajak yang diiringi oleh alunan muzik yang mendayu.

Majlis Fatwa Kebangsaan dalam muzakarah Kali ke-19 pada 06-07 Oktober 1987 telah memfatwakan perbuatan bertafakkur dihadapan Tugu Negara ini sebagai perbuatan syirik dan mesti dihentikan serta merta. Saya sendiri telah membangkitkan isu ini pada sidang Parlimen 29.06.2009, dimana Menteri Bahagian Agama Islam JPM menjawab bahawa Kerajaan menyedari berkenaan fatwa tersebut.

Apa yang mengejutkan saya ialah setelah hampir 22 tahun fatwa tersebut diputuskan, sehingga hari ini majlis syirik ini masih diamalkan. Mengapa tidak diambil tindakan segera membenteras gejala syirik ini. Kalau Al Arqam diisytihar sesat kerana mengagungkan Syeikh Suhaimi, kalau Ayah Pin dkatakan sesat kerana kerajaan langit serta teko dan kole besarnya, maka bagaimana pula dengan bertafakkur dihadapan Tugu Negara yang telah difatwakan dengan sarih dan jelas sebagai syirik!

Dan yang lebih menyedihkan, bagaimana Kerajaan boleh justifikasikan perbuatan syirik ini dengan berselinding disebalik malam bacaan Yaasin untuk memperingati Hari Pahlawan! Apakah bacaan Yaasin itu boleh meluputkan dosa syirik yang dilakukan, sedangkan ALLAH dengan jelas menyebut bahawa Dia mengampuni semua dosa lain kecuali syirik!

Berapa ribu anggota keselamatan kita yang beragama Islam terpaksa bergelumang dengan dosa syirik gara-gara sikap kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini.

Kasihanilah anggota keselamatan kita. Mereka menggadai nyawa untuk membebaskan dan memerdekakan kita daripada penjajahan politik, tidak kah boleh kita membalas jasa mereka dengan membebaskan dan memerdekakan mereka daripada penjajahan aqidah ini.

Semoga ALLAH mengampuni kita semua dan memberikan kita petunjuk dan hidayahNya.

Selamat Hari Pahlawan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
09 Sya'ban 1430
31 Julai 2009


Thursday, 30 July 2009

SEJARAH HARI-HARI DALAM KEHIDUPAN INI


PERISTIWA YANG BERLAKU PADA HARI JUMAAT

1.Pernikahan diantara Nabi Adam dan Hawa A.s
2.Pernikahan diantara Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha A.s
3.Pernikahan diantara Nabi Musa dan Shafrawo A.s
4.Pernikahan diantara Nabi Sulaiman dan Balkis A.s
5.Pernikahan diantara Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah A.s
6.Pernikahan diantara Nabi Muhammad SAW dan Siti Aisyah A.s
7.Pernikahan diantara Saidina Ali b. Abi Thalib dan Fatimah R.anha


PERISTIWA YANG BERLAKU PADA HARI SABTU


1.Perancangan jahat kaum Nabi Nuh terhadapnya
2.Perancangan jahat kaum Nabi Saleh terhadap unta Nabi Saleh
3.Perancangan jahat saudara kandung Nabi Yusuf terhadap Nabi Yusuf
4.Perancangan jahat firaun terhadap Nabi Musa A.s
5.Perancangan jahat yahudi terhadap Nabi Isa.
6.Perancangan jahat kaum quraish di Dar An-Nadwah terhadap Nabi Muhammad SAW.
7.Perancangan jahat kaum yahudi terhadap larangan Allah SWT.


PERISTIWA YANG BERLAKU PADA HARI AHAD

1.Penciptaan tempat laluan bintang-bintang
2.Penciptaan bintang-bintang yang bergerak
3.Penciptaan api neraka pada hari ahad
4.Penciptaan tujuh lapis bumi
5.Penciptaan tujuh lautan yang besar
6.Penciptaan tujuh anggota yang besar
7.Penciptaan tujuh hari dalam seminggu
bersambung..

KENDURI ARWAH.


(Disini saya cuba menampilkan pandangan ulama’ berkaitan masalah ini. Ini kerana masalah ini sering dibincangkan dan tidak kurang juga berlakunya perbalahan disebabkan masalah ini.)

Berkata Syeikh Abdul Qadir Isa di dalam kitabnya ‘Al-Mizan Al-‘Aadil’:
“Sesungguhnya di dalam masalah jamuan selepas kematian, para ulama ada dua pandangan:

Pandangan pertama.

Sebahagiannya berpendapat makruh bagi keluarga si mati menyediakan makanan utk org ramai, dan ada yang mengharamkannya.

Dalil-dalil mereka.

Dalil pertama.
Imam Ahmad, Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yg sohih dari Jarir bin Abdillah katanya: “Kami menganggap perhimpunan dengan keluarga si mati dan menyediakan makanan termasuk di dalam ‘Niyahah’ (ratapan yg dilarang)

Berdasarkan ini ulama Hanafiyyah berkata : “Makruh menyediakan makanan pada hari pertama, kedua ketiga dan selepas seminggu (dari kematian) (Lihat Hasyiah Ibnu Abidin Jld 2 MS 240)

Dalil kedua.
Imam At-Tirmizi, Al-Hakim dan lain-lain meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda (ketika kematian Ja’far) :

اصْنَعُوا لِأَلِ جَعْفَرَ طَعاماً فَقَدْ جاءَهُم ما يُشْغِلُهُم

Maksudnya : “ sediakanlah makanan kepada keluarga Ja’far , sesungguhnya telah datang kepada mereka apa yg menyibukkan mereka (musibah)
Hadis ini dihukum Hasan oleh At-Tirmizi dan sohih menurut Hakim.

Mereka berkata: “Sesungguhnya (menurut) sunnah ialah jiran si mati atau keluarganya yg jauh dengan si mati menyediakan makanan kepada keluarga si mati pada hari dan malam tersebut”. Inilah pandangan jumhur ahli feqh termasuk ulama’-ulama dalam mazhab empat.

Pendapat kedua.

Ada sebahagian ulama lain berpendapat harus bagi keluarga manyediakan makanan (kpd org ramai) walaupun pada hari pertama kematian.

Dalil-dalil mereka:

Dalil pertama.
Imam Ahmad bin Mani’ meriwayatkan di dalam musnadnya dari Al-Ahnaf bin Qais katanya : “Ketika Sayyidina Umar ditikam , dia menyuruh Suhaib mengimamkan sembahyang tiga hari dan dia menyuruh supaya disediakan makanan kepada orang ramai (iaitu selepas kematiannya)

Kata Ibnu Hajar Al-Asqallani: Sanadnya Hasan. (Matholib Aliyah jld 1 ms 199, No hadis 709)

Dalil kedua.
Imam Ahmad meriwayatkan di dalam ‘Az-zuhd’ dari Thowus (seorang ulama tabien) katanya: “sesungguhnya orang yg telah mati menghadapi fitnah kubur selama tujuh hari, dan mereka (sahabat atau tabien) menyukai makanan disediakan pada hari tersebut utk mereka (si mati dengan di niatkan pahala sedekah kepadanya)

Ibnu Hajar berkata : “Sanadnya kuat”. (Matholib Aliyah no hadis 710)

Tarjih Syeikh Abdul Qadir Isa:
“ Walaupun dalil pendapat kedua sahih tetapi tidak dapat menandingi dalil-dalil pendapat pertama. Dengan ini aku mentarjihkan (menguatkan dan menyaokong) bahawa perbuatan tersebut adalahmakruh.” (Al-Mizan Al-Aadil ms 69-70)

Syeikh Al-Hafiz Abdullah Siddiq Al-Ghumari pula mentarjihkan bahawa hukumnya adalah harus. Di antara hujjahnya ialah penyediaan makanan tersebut samalah seperti memberi upah dalam tugas-tugas keagamaan seperti membaca Al-Quran, menjadi imam dan lain-lain (Lihat Itqanus Shon’ah fi Tahqiq Ma’na Al-Bidah (terjemahan Us Mahfuz Muhammad Ms 93)

Syekh Abdul Halim Mahmud (mantan Syeikh Azhar) pula menegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah ‘khilaful aula’ (iaitu lebih baik ditinggalkan tetapi tidak sampai ke tahap makruh ataupun haram) (Lihat Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud jil 2 ms 272)

Kesimpulan.
1) Masalah ini masih boleh dikatogerikan dalam masalah khilafiyyah. Dalil-dalil yg dikemukakan masih ada ruang untuk dimunaqasyahkankan (diperdebatkan), (saya tidak mahu memanjangkan lagi munaqasyah kerana khilaf yg seperti ini mungkin tiada kesudahan). Ia bukanlah satu dalil yang ‘qat’iyyut thubut’ dan ‘qatiyyud dalalah’ (dalil yg benar-benar putus), dan oleh itu pintu ijtihad masih ada, dan perbezaan ijtihad adalah perkara yg dibenarkan.

2) Hukum dalam masalah ini berlegar di antara haram atau bidah, makruh dan harus. Tidak ada ulama yg menghukumnya wajibseperti sangkaan sebahagian masyarakat. Ini semua adalah hukum yg ‘Zonni’ bukannya ‘Qat’ie’ yg tidak perlu dijadikan perbalahan.

3) Masalah menghadiahkan bacaan kepada si mati adala masalah yg lain. Kebanyakan ulama mengharuskannya.

Wallahua’lam.

Ust Khairul Azmi
12 nov 2008.

Rujukan
1. Al-Matholib Aliyah, Ibnu Hajar Al-Asqallani, Tahqiq Syeikh ‘Aazhomi.
2. Al-Fiqh Al-Islami, Dr Wahbah Zuhaili
3. Fatawa Syekh Abdul Halim Mahmud.
4. Al-Mizanul Aadil, Syeikh Abdul Qadir Isa.
5. Itqanus Shon’ah fi Tahqiq ma’na Al-Bid’ah, Syeikh Abdullah Al-Ghumari
6. Al Bidah fi Al-Mafhum Al-Islamy Ad Daqiq, Dr Abdul malik Sa’diy
7. dll.

KHILAFIYAH DAN BID'AH

Menangani masalah Khilafiyah dan Bid’ah, mengelak fitnah dan perpecahan
Berkata Syeikh Hasan al-Banna; “Khilaf Fiqh dalam masalah-masalah cabang hendaklah jangan menjadi sebab berlakunya perpecahan dalam agama dan membawa kepada permusuhan dan kebencian kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya….”.[1]

Taujihat Hasan al-Banna tersebut sewajarnya menjadi ingatan setiap muslim hari ini kerana di depan kita ada matlamat perjuangan yang perlu kita capai. Kalau kita asyik bergaduh sesama sendiri dalam masalah furu’, sudah tentu penumpuan tidak dapat kita berikan kepada agenda yang lebih besar dan utama.Islam membenarkan berlakunya khilaf di kalangan para mujtahid dalam perkara-perkara furu’ yang tidak berkait dengan usul. Apabila berlaku khilaf tidak semestinya yang satu benar dan yang satu lagi salah, yang satu hak dan yang satu batil.

Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Dua orang lelaki keluar bermusafir (pada zaman Rasulullah s.a.w.). Apabila masuk waktu solat, mereka tidak memiliki air untuk mengambil wudhuk, lalu mereka bertayammum dan mengerjakan solat. Namun setelah itu mereka menemui air dan waktu solat masih ada. Maka salah seorang dari mereka mengambil wudhuk dan mengulangi solatnya, adapun yang seorang lagi tidak mengulangi solatnya. Tiba di Madinah, mereka datang merujuk kepada Rasulullah s.a.w.. dan menceritakan apa yang berlaku itu. Lalu Rasulullah berkata kepada lelaki yang tidak mengulangi solatnya; “Apa yang kamu lakukan menepati sunnah dan solat kamu adalah sah/dikira bagi kamu”. Kepada seorang lagi pula Rasulullah berkata kepadanya; “Bagi kamu pahala/ganjaran dua kali”. (Riwayat Imam Abu Daud dan an-Nasai. Lihat hadis ini dalam Subulus-Salam, bab at-Tayammum)

Kerana itu bagi Imam as-Suyuti, khilaf yang berlaku di antara mazhab-mazhab berlegar antara yang paling benar dan yang benar, bukan di antara yang benar dan yang salah.[2]
Oleh demikian, berdasarkan pandangan ini, apabila kita berpegang dengan suatu pandangan mazhab –dalam masalah khilaf-, kita hanya layak untuk berkata; ‘Pada hemat saya inilah pandangan yang paling benar, adapun pandangan lain adalah benar’. Tidak harus kita berkata; “Bagi saya inilah sahaja pandangan yang benar, adapun pandangan lain adalah batil, munkar, bid’ah atau salah”.Perbezaan pendapat di antara para ulamak mujtahid mendatangkan rahmat kepada umat.

Hal ini ditegaskan oleh banyak ulamak. Antaranya Imam Ahmad yang berkata; “Perbezaan pendapat itu adalah kelapangan (bagi umat)”.

Berkata Umar Abdul ‘Aziz; “Aku tidak gembira jika para sahabat tidak berbeza pendapat. Kerana jika mereka tidak berbeza pendapat tidak akan ada kelapangan bagi umat…”. Berkata Imam as-Syatibi; “Ikhtilaf antara ulamak adalah rahmat bagi umat”.[3]

Oleh demikian, setiap orang Islam hendaklah berlapang dada dan menerima kepelbagaian pandangan dalam Islam yang dikeluarkan oleh para ulamak mujtahid. Tidak menjadi kesalahan jika ia hendak mengkaji di antara semua pandangan ulamak dalam suatu masalah, mana yang paling tepat. Namun hendaklah ia benar-benar memiliki kemampuan untuk berbuat demikian, di samping menjaga adab dengan para ulamak terdahulu serta meraikan adab-adab khilaf.

Khilaf yang tidak diizinkan

Namun, harus difahami juga bahawa bukan semua perkara harus berlaku khilaf. Khilaf hanya harus dalam masalah furu’. Adapun dalam masalah aqidah atau usul, tidak harus berlaku khilaf.

Oleh demikian, apabila berlaku pertembungan antara aqidah Ahlus-Sunnah dengan Muktazilah, Qadariah, Syi’ah dan seumpamanya, orang Islam wajib berpegang dengan aqidah Ahlus-Sunnah kerana ia adalah satu-satunya fahaman aqidah yang menepati al-Quran dan as-Sunnah. Dalam suasana hari ini, umat Islam wajib menolak segala bentuk ideologi yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti Sekular, Komunis, Sosialis, Liberalisme dan sebagainya kerana tidak harus berlaku perbezaan dalam pegangan aqidah di kalangan umat Islam.

Berkata Imam al-Khattabi;
Khilaf dalam agama ada tiga bahagian;
Pertama; dalam mengisbatkan Pencipta dan keesaanNya. Mengengkari yang demikian adalah kufur.
Kedua; Dalam masalah sifat-sifat Allah dan kehendaknya. Mengengkarinya adalah bid’ah.
Ketiga; Dalam masalah furu’ yang diihtimalkan pelbagai pandangan. Hal ini dijadikan Allah sebagai rahmat dan kemuliaan bagi para ulamak. Khilaf jenis inilah yang dimaksudkan dalam hadis “Ikhtilaf (ulamak mujtahid) umatku adalah rahmat”.[4]Berkata Imam as-Subki; “Tiada syak bahawa khilaf dalam usul adalah sesat dan menjadi penyebab kepada segenap kefasadan sebagaimana ditunjuki al-Quran”.[5]

Tidak harus mengingkari masalah khilaf
Dalam senarai kaedah-kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang menegaskan;لا ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه“Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”.[6]Berkata al-Hafidz Ibnu Rajab; “Munkar yang wajib diingkari ialah yang telah diijmakkan oleh para ulamak ke atasnya. Adapun perkara yang diikhtilafkan berkenaannya, maka di antara pandangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Hanbali); tidak wajib mengingkari orang yang melakukannya kerana ijtihadnya atau kerana ia bertaklid kepada seorang mujtahid dengan taklid yang harus”.[7]

Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya’nya; Tidak harus bagi seorang bermazhab Hanafi mengingkari seorang bermazhab Syafi’ie yang memakna dhab, dubu’ dan yang tidak dibacakan Basmalah (ketika disembelih). Begitu juga, tidak harus seorang bermazhab Syafi’ie mengingkari seorang yang bermazhab Hanafi yang meminum nabiz yang tidak memabukkan…”.

Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid adalah benar.

Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan/mazhab lagi; yang benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”.Berkata Imam Ibnu Taimiyyah; “Jika suatu masalah itu harus ijtihad padanya maka tidak dipertikaikan orang yang berbeza pandangan sama ada ia seorang mujtahid atau yang bertaklid”.

Berpegang dengan mazhab

Kaum muslimin terdiri dari dua golongan;
1. Golongan yang memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini dikenali sebagai mujtahid dan bilangan mereka amat sedikit kerana para ulamak silam meletakkan syarat yang cukup ketat bagi ijtihad demi menjaga agama dari diseleweng atau disalahtafsirkan. Golongan ini tidak harus bertaklid. Mereka wajib mencungkil sendiri hukum hakam dari al-Quran dan as-Sunnah.

2. Golongan yang tidak memiliki kemampuan untuk berijtihad. Golongan ini adalah kebanyakan penganut Islam. Mereka dituntut merujuk kepada alim-ulamak berdasarkan perintah Allah;“…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”. (an-Nahl: 43)فإنما شِفَاء العِيّ السُّؤالُ“Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya”. (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni)
Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “Harus bertaklid bagi orang yang tidak sampai darjah ijtihad. Wajib atasnya mengikuti seorang imam yang dapat ia mengambil panduan darinya dan bertaklid kepadanya dalam mengenali hukum-halam halal dan haram. Tidak harus bagi orang sepertinya untuk memberi fatwa kepada orang lain sekalipun ia memiliki keseluruhan kitab-kitab hadis”.[8]Berkata Imam as-Syatibi; “Fatwa-fatwa para mujtahidin dinisbah kepada orang-orang awam umpama dalil-dalil Syarak dinisbah kepada para mujtahid”. [9]

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh….”.[10]

Masalah Bid’ah

Bid’ah akhir-akhir ini telah menggoncang kesatuan para pendokong Islam dalam menghadapi musuh-musuh mereka yang semakin hebat dan semakin licik mengatur serangan. Melakukan bid’ah sememangnya suatu kesalahan atau dosa dalam Islam. Tetapi harus diingat bahawa bukan bid’ah sahaja satu-satunya penyakit yang bakal merosakkan umat Islam dan kekuatan mereka. Di sana terdapat penyakit kufur, syirik, nifaq, munkar, dosa dan maksiat yang di mana penyakit-penyakit ini diulangi berpuluh kali oleh Allah di dalam al-Quran (malah juga as-Sunnah) berbanding dengan bid’ah yang disebut dalam beberapa hadis sahaja.

Malah dewasa ini munkar dan maksiat menjadi masalah besar dalam masyarakat kita, namun terdapat sesetengah pihak cuba memalingkan perhatian kita dari memikirkan masalah besar tersebut kepada memikirkan persoalan bid’ah dalam hal-hal furu’.

Para ulamak sepakat bahawa istilah bid’ah mengikut Syarak hanya berlaku dalam masalah agama. Secara khususnya ia merangkumi tiga persoalan;1. Aqidah2. Ibadah3. Halal dan haramBegitu juga, mereka mensepakati bahawa perkara baru dalam agama yang direka-reka tanpa mempunyai sebarang asas atau asal-usul dari Syarak (sama ada dari al-Quran, as-Sunnah, Ijmak atau sebarang bentuk pendalilan yang muktabar di sisi ulamak), maka ia adalah bid’ah yang sesat. Ia dinamakan sebagai bid’ah haqiqiyah yang disepakati ulamak bahawa ia haram dan tercela. Contohnya ialah;

1. Dalam masalah aqidah; bid’ah Muktazilah, Jabariyah, Qadariah. Pada hari ini dapat kita masukkan dalam bid’ah jenis ini; Islam liberal, Sekular, Sosialis dan sebagainya.
2. Dalam masalah ibadah; memuja dan berdoa kepada kubur-kubur yang dianggap keramat, bernazar kepada selain Allah.3. Dalam masalah halal-haram; menghalalkan riba, arak, judi, pelacuran, pendedahan aurat dan sebagainya.

Di sana terdapat bentuk bid’ah yang diikhtilafkan antara ulamak iaitu bid’ah yang dinamakan sebagai bid’ah idhafiyyah. Bid’ah Idhafiyyah ialah suatu amalan yang terdapat asal-usulnya dalam syarak, cuma kaifiyat dan cara pengamalannya sahaja yang ditambah dari yang disebutkan Syarak. Kerana itu ia dinamakan Idhafiyah yang bermaksud sandaran/tambahan.

Contoh amalan yang termasuk dalam kategori bid’ah idhafiyah ini ialah;1. Berzikir dan berdoa selepas solat beramai-ramai (secara berjamaah).2. Bersalaman selepas solat fardhu.3. Membaca tahlil beramai-ramai.4. Muazzin membaca selawat dengan suara yang kuat selepas melaungkan azan.5. Tambahan Saidina dalam selawat.6. Membaca Yaasin malam jumaat.7. Berpuasa nisfu Syaban8. Himpunan maksurat yang dibaca di waktu pagi dan petang.

Para ulamak dalam mentafsirkan bid’ah terdapat dua kecenderungan;[11]
Pertama; Meletakkan semua jenis bid’ah adalah haram dan sesat tanpa membahagikannnya kepada bid’ah hasanah dan bid’ah saiyyiah atau mazmumah. Antara ulamak yang mempunyai kecenderungan ini ialah Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim, as-Syatibi dan aliran Salafi hari ini. Bagi kumpulan ini, bid’ah idhafiyah juga tergolong dalam bid’ah yang diharamkan. Bagi mereka, bukan hanya amalan perlu ada dalil, malah kaifiyat dan cara mengamalkan juga perlu ada dalil.

Kedua; Membahagikan bid’ah kepada dua kategori iaitu bida’h hasanah dan bid’ah saiyyiah. Bid’ah hasanah ialah amalan-amalan yang menepati dalil-dalil Syarak. Adapun bid’ah saiyiah ialah yang bercanggah dengan dalil-dalil Syarak. Pandangan ini menjadi pegangan jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Ibnu Hazm, Imam al-Ghazali, Imam Ibnu al-Athir, Imam Nawawi, Imam Ibnu Hajar, Imam al-Zarkasyi, Imam al-Qarafi dan sebagainya. Bagi pandangan ini, jika suatu amalan itu terdapat asal-usulnya dari Syarak, maka tidak boleh dinamakan bid’ah yang sesat jika dilakukan dengan kaifiyat yang ditambah asalkan kaifiyat itu tidak bertentangan dengan Syarak. Kecualilah jika terdapat dalil yang menegaskan suatu amalan itu wajib dilakukan dengan kaifiyat tertentu, maka tidak harus berpaling kepada kaifiyat yang lain seperti solat lima waktu dan sebagainya.

Berkata Imam Syafi’ie; “Perkara-perkara baru dalam urusan agama ada dua jenis;

Pertama; Perkara baru yang menyalahi al-Quran, as-Sunnah, atsar (kata-kata sahabat) atau ijmak, maka ia adalah bid’ah yang sesat.

Kedua; Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak ada seorang ulamak pun yang mempertikainya, maka ia adalah perkara baru yang tidak tercela.

Saidina Umar r.a. pernah berkata mengenai solat Terawikh (yang dilakukan berjamaah di belakang seorang imam); “Sebaik-baik bid’ah ialah ini”. Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belum pernah dilakukan sebelumnya…”.[12]Berkata Imam Ibnu Rajab; “Yang dimaksudkan dengan bid’ah itu ialah perkara yang baru diwujudkan yang tidak ada dalil yang membuktikannya di dalam Syariat. Manakala sesuatu yang mempunyai dalil yang menunjukkannya, maka ia bukanlah bid’ah dari segi Syarak walaupun ia bid’ah dari segi bahasa”[13]

Dalam apa keadaan sekalipun, setiap muslim harus menerima hakikat bahawa amalan-amalan dalam bid’ah idhafiyah tersebut menjadi medan khilaf di kalangan ulamak. Sebagaimana ditegaskan tadi, dalam masalah khilafiah kaum muslimin hendaklah berlapang dada sesama sendiri demi menjaga kesatuan sesama mereka. Adalah lebih baik memberi tumpuan kepada membasmi gejala murtad, maksiat, munkar dan bid’ah haqiqiyah dari menyebukkan diri dengan bid’ah idhafiyah yang pastinya tiada penyudahnya.

Hal tersebut telah diperingatkan oleh Syeikh Hasan al-Banna sejak 50 tahun yang lalu di mana beliau menulis dalam risalah Usul al-‘Isyrinnya;“Setiap bid’ah di dalam agama yang tiada asal-usulnya (dari nas Syarak), hanya semata-mata dipandang elok oleh hawa-nafsu manusia sama ada dengan menambah atau mengurangnya, ia adalah sesat dan wajib diperangi. Namun untuk membasminya hendaklah dengan jalan terbaik yang tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar”. (Usul ke 11)“Bid’ah Idhafiyyah dan at-Tarkiyyah dan melazimi ibadah-ibadah yang mutlak merupakan khilaf fiqh di mana setiap ulamak terdapat pandangannya tersendiri. Namun tidak menjadi kesalahan untuk mencari kebenaran berdasarkan dalil dan bukti”. (Usul ke 12).

Syeikh Said Hawa juga menegaskan; “Tidak harus kita menghukum suatu amalan sebagai bid’ah yang diharamkan kecuali apabila telah disepakati oleh imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa bahawa ia adalah bid’ah. Adapun jika mereka berikhtilaf dalam membid’ah atau mengharamkannya, maka perkara terbabit adalah luas (yakni diberi kelonggaran) dinisbah kepada orang awam. Adapun bagi orang yang mengetahui jalan-jalan dalil, maka perkara tersebut baginya lebih sempit di mana jika yang rajih baginya ialah dalil terkuat yang membid’ahkannya, maka wajib atasnya menjauhi perkara tersebut. Namun tidak ada hak baginya untuk berkeras mengingkari orang yang mengikuti imam-imam mujtahid atau imam-imam fatwa dalam hal atau masalah seumpama itu…”

.[14]*** والله أعلم بالصواب***Akhukum,Us. Ahmad Adnan Fadzil,Pusat Bimbingan Wawasan Ummah,Changlun, Kedah.18 Sya’ban 1427, 11 Sept. 2006.Bacaan dan rujukan1. Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, Dar al-I’tisham, Qaherah-Mesir (1989)2. Fahmul-Islam Fi Dzilali al-Usul al-‘Isyrin, Syeikh Jum’ah Amin Abdul-Aziz, Dar ad-Da’wah, Iskandariyah-Mesir (1990).3. Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, Imam an-Nawawi, Muassasah al-Mukhtar, Qaherah-Mesir (2001)4. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, al-‘Allamah al-Minawi, Dar al-Fikr (tanpa tarikh).5. Al-Asybah wa An-Nazair Fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh asy-Syafi’iyyah, Imam as-Suyuti, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan.6. Taghyir an-Munkar Baina al-Ifrat wa at-Tafrit, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, Dar al-Kitab al-‘Arabi, Syirbin-Mesir (1991).7. Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).8. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut-Lubnan (1996)9. Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, Dar as-Salam, Qaherah-Mesir (1992).10. Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, Dar at-Tauzi’ wa an-Naysr al-Islami, Qaherah-Mesir (1993).Nota Hujung;[1] Usul ke 8 dari Usul Isyrin, Syeikh Hasan al-Banna.[2] Ikhtilaf al-Mazahib, Imam as-Suyuti, hlm. 34.[3] Fahmul-Islam, hlm. 134.[4] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi.[5] Faidhul-Qadier, hadis no. 288.[6] Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.Dikecualikan khilaf yang lemah dan boleh menjadi faktor pendorong kepada larangan yang telah disepakati. Contohnya; Khilaf dalam masalah riba an-Fadl. Sekalipun terdapat pandangan Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar mengharuskannya, tetapi pandangan mereka amat lemah kerana terdapat hadis soheh yang banyak yang menegaskan pengharamannya. Malah terdapat keterangan bahawa mereka berdua telah menarik kembali pandangan mereka itu. Begitu juga, khilaf dalam masalah nikah Mut’ah. Khilaf tersebut adalah lemah dan boleh membawa kepada penzinaan. (Rujuk; Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 64. Lihat juga; Al-Asybah wa An-Nazair, Imam as-Suyuti, hlm. 202.).[7] Taghyir an-Munkar, al-Hafidz Ibn Rajab al-Hanbali, hlm. 63-64.[8] Fahmul-Islam, hlm. 111.[9] Fahmul-Islam, hlm. 111.[10] Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hlm. 409.[11] Fahmu Usul al-Islam, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, hlm. 123.[12] Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, Imam an-Nawawi, jil. 3, hlm. 21.[13] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (dinaqalkan dari kitab Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 361).[14] Al-Asas fi As-Sunnah wa Fiqhhuha, Syeikh Said Hawa, jil. 1, hlm. 341-342.Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 8:04 PM

Wednesday, 29 July 2009

Solat Sunat Dhuha dan Kelebihannya
www.iLuvislam.com
Dihantar Oleh: easya
Editor: naadherah



Solat sunat Dhuha ini dikerjakan pada ketika sedang naik matahari (anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi).

Solat sunat Dhuha ini dilakukan sebanyak 2 rakaat. boleh juga dilakukan sebanyak 4, 6, 8 sehingga 12 rakaat dan setiap dua rakaat satu salam dan boleh juga setiap 4 rakaat satu salam.

Cara melakukan solat Dhuha:

a) Bacaan niat solat sunat Dhuha


Ertinya: " sahaja aku solat sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala".

b) Bacaan rakaat pertama surah Al-Fatihah dan As-Syam

c) Bacaan surah rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Ad-Dhuha

d) Setelah selesai salam, lalu membaca doa



maksudnya;

"Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Kelebihan:

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

" Barangsiapa yang melakukan solat Dhuha membaca rakaat pertama surah Al-Fatihah dan ayat Kursi 10 kali, dan pada rakaat kedua surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas 10 kali, nescaya ia mendapat kerelaan Allah Yang Maha Besar." (HR. Anas B Malik).

" Barangsiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan terus menerus, akan diampuni dosanya oleh Allah, sekalipun dosa itu seluas lautan." (HR Tirmizi)

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى

" Rasullullah S.A.W bersabda: setiap pagi masing-masing persendian/ruas tulang daripada kamu sedekah, dan setiap bertasbih sedekah dan setiap tahmid (ucapan Alhamdulillah) itu sedekah, dan setiap ucapan takbir itu sedekah, dan menyeru dalam kebaikan sedekah, dan melarang dari perbuatan jahat itu sedekah, dan sebagai ganti semua itu, cukuplah dengan mengerjakan solat Dhuha dua rakaat." (HR Ahmad, Muslim dan Daud)

Rujukan : koleksi 100 solat-solat sunat oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Hj. Ahmad B. Hj. Ibrahim. terbitan Al-Hidayah Publisher







11 Comments · 1984 Reads · Print
Adakah H1N1 Merupakan Propaganda Yahudi Untuk
Alihkan Perhatian Masyarakat Dunia?
www.iLuvislam.com

Nur Syamimi Mohamad Napis
Editor : Im Koyube


Sehingga hari ini, dilaporkan 429 kematian diseluruh dunia disebabkan oleh virus H1N1. Laporan ini dikeluarkan berdasarkan statistik yang dibuat merangkumi 135 buah negara. Jumlah kematian tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah jangkitan yang dilaporkan iaitu 94,450 kes. Berdasarkan perkiraan, kadar kematian ini hanyalah 0.45%, iaitu kurang daripada 1%[1]. Adakah ia bermakna bahawa penyebaran virus ini bukanlah suatu yang membimbangkan?

Pelbagai langkah keselamatan yang telah dilakukan oleh negara-negara seantero dunia bagi memastikan virus tersebut tidak menular masuk ke dalam negara mereka. Jakarta sebagai contoh telah mengambil langkah dengan memberi 73,000 vaksin kepada pusat kesihatan awam dan hospital di seluruh bandar tersebut[2]. Burma dan Singapura pula tidak ketinggalan dengan perancangan mengawal pergerakan masuk dan keluar penumpang di lapangan terbang masing-masing, dengan mengambil suhu badan para penumpang dan menggunakan pengimbas suhu badan (thermal scanner)[3].

Kata-kata ‘mencegah lebih baik daripda merawat' (prevention is better than cure) adalah apa yang diamalkan, untuk mengelak daripada perkara-perkara yang tidak diingini daripada terjadi di dalam sesebuah negara. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari iaitu, "Allah SWT tidak akan menurunkan sesuatu penyakit tanpa turut memberi penawarnya." Melalui hadis ini, kita dapati bahawa setiap penyakit pasti ada penawar ataupun ubatnya yang disediakan oleh Allah SWT. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa sehingga hari ini, masih ada penyakit yang tidak ditemui penawarnya.Tetapi, hadis tersebut juga membawa makna bahawa mencegah adalah salah satu cara untuk merawat bagi penyakit-penyakit yang masih tidak ditemui ubatnya ini. Malah tidak dapat dinafikan bahawa mencegah adalah salah satu bentuk antidote yang berkesan!

Dalam usaha semua negara di atas muka bumi ini bersiap sedia menghadapi sebarang serangan yang bakal dibuat oleh virus ini, timbul beberapa persoalan yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kita.


Senjata Biologi

Pernahkah anda dengar tentang ‘senjata biologi' (biological weapon)? Mungkin ada antara kita yang pernah dengar tentangnya, tetapi tidak begitu mengetahui mengenainya. Mungkin kerana sikap diri yang merasakan tidak perlu untuk mengetahui tentang sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri sendiri. Sedangkan perlu untuk diketahui bahawa seseorang yang cetek ilmunya akan mudah ditindas dan dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Maka, sewajarnya sebagai seorang individu muslim,untuk sentiasa bersiap sedia dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. Musuh; sama ada yang mampu dikesan oleh pancindera ataupun tidak, sentiasa berlegar-legar untuk menjatuhkan kita. Musuh ini terkadang bukan sahaja berniat tidak baik terhadap umat Islam, malah kepada sesiapa sahaja yang pada pandangan mereka yang tidak memberi manfaat kepada mereka.

http://syntheticbiology.site.googlepages.com/bacteriahydrocarbons-jj-001.jpg/bacteriahydrocarbons-jj-001-full.jpg
Gambar Hiasan

Senjata biologi ini boleh ditakrifkan sebagai ‘senjata' yang diperbuat menggunakan agen seperti mikrob (bakteria, virus dan lain-lain) untuk melumpuhkan musuh. Agen ini akan merosakkan proses biologi (biological process) sel-sel badan manusia atau pun haiwan serta tumbuhan, yang dianggap sebagai ‘musuh' tadi. Ciri-ciri yang membolehkan pemilihan kepada sesuatu agen ini ialah ianya murah serta mudah didapati, senang untuk dipindahkan daripada satu individu ke satu individu yang lain, dan bertoksik tinggi[4].

Virus influenza H1N1 berasal daripada virus influenza type A. Virus dikategorikan sebagai benda bukan hidup (non living thing), tetapi, berbeza dengan benda bukan hidup yang lain, virus mampu membiak dengan bantuan sel rumah (host cell)[5]. Kebiasaannya, sel rumah yang digunakan untuk tujuan pembiakan virus ini ialah sel-sel badan manusia, haiwan mahupun tumbuhan-tumbuhan. Hal ini adalah kerana, sel-sel ini mempunyai keupayaan untuk memberi nutrient kepada virus tersebut untuk membiak.

Bagi mereka yang mempunyai ilmu tentang ini, sudah tentu mereka akan mempunyai pandangan yang lebih jauh ke hadapan. Maka, bukanlah suatu yang mustahil jika ada pihak yang mendakwa bahawa virus influenza H1N1 ini, adalah salah satu bentuk penyerangan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tertentu.

Trudeau Institute

Dakwaan-dakwaan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada beberapa bukti dan perkaitan yang mungkin mempunyai hubung kaitnya. Antaranya ialah apabila Pengarah Makmal Universiti of Rockefeller diberi anugerah perubatan beberapa hari sebelum berita tentang influenza ini terjadi. Pengarah tersebut juga merupakan Ketua Pengarah di sebuah institut penyelidikan vaksin yang dilantik oleh kerajaan Amerika, Trudeau Institute . Institut ini juga bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan Amerika. Individu yang dimaksudkan ialah Dr. Ralph Steinman[6]. Kepakaran yang dimiliki oleh beliau dalam bidang "dendritic cells" dan pemvaksinan memungkinkan beliau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu. "Dendritic cells" berperanan dalam menghasilkan tindak balas terhadap immune badan. "Dendritic cells" ini juga memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan badan kerana ia termasuk di dalam sistem pertahanan pertama (primary immune response),[7]. Apabila suatu mikroorganisma berbahaya bertindak untuk menyerang badan manusia, sistem pertahanan pertama memainkan peranan yang penting dalam mengawal kemasukan mikroorganisma tersebut. Jadi, peranan yang dimainkan oleh sel tersebut adalahyang terpenting. Seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang nya mampu memanipulasi, mahupun mengawal fungsinya. Jadi, apabila apabila ada pihak yang mahu menggunakan senjata biologi sebagai alat untuk menyerang, adalah suatu yang penting untuk mereka ketahui proses perjalanan sistem pertahanan badan manusia.

http://esciencenews.com/files/images/200902121124581.jpg
Trudeau Institute

Dakwaan yang kedua pula ialah berdasarkan ucapan yang telah dibuat oleh Dr. David L. Woodland, iaitu Presiden dan Direktor Trudeau Institute[8]. Ucapan tersebut dibuat oleh beliau pada bulan Oktober tahun 2008, iaitu lebih kurang 5 bulan sebelum virus influenza H1N1 menghantui penduduk dunia. Institut tersebut turut diberi bantuan sebanyak $1.6 million atas tujuan pembiayaan untuk pembangunan vaksin bagi sesuatu pandemic influenza[9]. Apabila diteliti ucapan yang dibuat oleh beliau, beliau seperti dapat menjangka bahawa satu pandemic akan muncul di atas muka bumi ini. Jadi, timbul suatu keraguan diatas ucapan tersebut. Apakah beliau, mahupun pihak-pihak yang bersekutu mempunyai suatu kuasa yang membolehkan mereka menjangkakan dan meramal sesuatu yang terkehadapan? Ataupun adakah mereka yang mendalangi pandemic tersebut? Hanya Allah yang lebih Mengetahui.

Peristiwa runtuhan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001, juga di dakwa sebagai salah satu muslihat yang dibuat oleh pihak tertentu untuk memburukkan nama Islam. Bermula daripada tarikh tersebut perkataan "terrorism" semakin mendapat tempat di bibir penduduk dunia. Penggunaan istilah tersebut di dakwa digunakan oleh pihak tersebut dalam usaha mereka mendesak U.S Senate untuk membuka semula Biological Weapon Programme yang pernah ditutup dibawah Protokol Geneva[10]. Secara generalnya, protokol ini telah menghentikan sebarang penggunan senjata biologi, dimana boleh dikatakan seluruh negara telah menandatangai protokol ini sebagai persetujuan. Namun, ada pihak yang menjadikan peristiwa 11 September sebagai alasan untuk menggunakan kembali senjata biologi ini dengan alasan bahawa ada kemungkinan "terrorist" menggunakan senjata biologi dalam serangan-serangan gerila[11].

Bukanlah suatu yang mudah untuk menentukan sama ada sesuatu pandemic yang terjadi itu adalah hasil daripada serangan secara biologi oleh pihak yang tertentu, ataupun tidak. Jika benar ia adalah suatu penyakit yang telah dirancang dengan hebatnya, sudah tentu si perancang akan berusaha untuk menafikan segala perbuatannya. Penafian demi penafian akan dibuat, dalam masa yang sama segala bukti akan cuba ditutup dan dikaburkan agar agenda mereka yang sebenar tidak kelihatan. Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga.

Waspada dan Beringatlah

Bagi pihak yang yakin dengan usaha penyerangan menggunakan senjata biologi ini, sudah pasti penyiasatan demi penyiasatan akan dilakukan sehingga mereka dapat membongkar satu demi satu kebenaran. Seharusnya, sebagai salah seorang penduduk di muka bumi ini, kita perlu untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling. Apabila sekali kita telah dicerahkan dengan satu pembongkaran dan diberi maklumat tentang sesuatu, tentang kepincangan sesuatu, usah lagi berdiam diri, sebaliknya bertindaklah. Jikalau pun kita tidak mampu untuk menyiasat hingga ke akar umbi, paling tidak, beringatlah! Apabila muncul satu demi satu musibah dan masalah, ligatkan akal untuk berfikir mengenainya. Bukan bersangka buruk terhadap sesetengah pihak semata, tetapi berfikir juga untuk menyelamatkan ummah. Jika benar ianya adalah perancangan daripada pihak musuh, kita berikhtiar untuk ‘menyelamatkan' diri dan masyarakat sekeliling. Sebagai contoh, dengan berfikir untuk ‘menyelamatkan' diri dan masyarakat daripada dijangkiti oleh virus influenza H1N1, ia sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam ini sendiri. Istilah ‘menyelamatkan' ini merangkumi melindungi mereka (umat Islam) yang membantu membawa agama Allah ini, agar tiada yang menjadi ‘mangsa korban' bagi influenza ini.

Bukan itu sahaja, malah umat Islam juga diberi kelebihan dan kekuatan dengan berdoa. Maka, manfaatkanlah segala kelebihan dan kekuatan yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita, sebagai umat Islam, disamping bersyukur kepada-Nya, kerana diberi nikmat Islam ini. Disebut oleh Allah SWT di dalam Surah Ghafir, ayat 60,

Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina."

Mensyukuri nikmat keberadaan di dalam Islam perlu difikir secara dalam-dalam, terutama apabila kini, dunia dilanda dengan masalah pelbagai penyakit. Islam banyak mengajar umatnya nilai-nilai yang sebenarnya mampu menyelamatkan umatnya, jika kita berusaha mengikutinya sebaik mungkin. Melihat kepada hadis ke-23 daripada himpunan 40 hadis Imam Nawawi, ada dinyatakan bahawa "Kebersihan adalah sebahagian daripada iman....".

Kebersihan yang dititikberatkan oleh Islam bukan sahaja kebersihan jasmani, tetapi juga rohani. Apabila dilihat kepada langkah berjaga-jaga yang diambil oleh masyarakat sekarang, semuanya akan menitikberatkan tentang kebersihan. Antaranya ialah membasuh tangan selepas dan sebelum menyentuh sesuatu untuk mengelakkan daripada penyebaran virus dan penggunaan sanitizer. Dalam sedar atau tidak sebenarnya setiap masa pun kita (umat Islam) akan berada dalam keadaan yang bersih, kerana sebelum solat, kita dituntut untuk bersuci, iaitu berwuduk. Dalam masa kita berwuduk itu juga, bukankah kita dituntut untuk membasuh tangan hingga ke siku? Jadi, tanpa perlu untuk menunggu pandemic pun sebenarnya umat Islam sentiasa membersihkan diri mereka. Paling kurang pun, 5 kali sehari.

Kita juga perlu ingat bahawa kesibukan kita menjaga keselamatan diri dan masyarakat sekeliling, bukanlah bermakna kita perlu melepaskan tanggungjawab kita terhadap masyarakat Islam yang berada di negara yang tertindas seperti Palestine, masyarakat Islam Uighur dan lain-lain. Sedangkan terdapat juga hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang persaudaraan sesama Islam.

.... Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya...[12]

Jadi, tiada alasan untuk sekali pun untuk kita melupakan saudara seagama kita yang lain. Luangkan masa kita, walau sekejap cuma, selepas menunaikan solat, untuk mendoakan kesejahteraan mereka. Bersiap sedialah kita dalam menjalankan hak-hak syahadah dalam hidup sehari-hari ini!


Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive