Rihat Minda


Saturday, 5 September 2009


Tanda-tanda Taubat Diterima ALLAH
www.iluvislam.com
Dihantar oleh : madihah nur ISLAM
Editor : almusafirq8

Seorang ahli hikmah ditanya mengenai taubat. Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita telah diterima Allah atau tidak? Maka jawabnya, ini adalah urusan Allah,kita tidak berupaya menentukannya,...tetapi kita boleh melihat pada tanda-tandanya iaitu:

1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila dia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.

2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang solih daripada mendekati mereka-mereka yang fasik.

3. Bila dia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.

4. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah sebaliknya sedikit pun dia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah.

5. Sungguhpun sedikit rezeki yang dia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.

6. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.


Sama-samalah kita memperbanyak lafaz istighfar memohon keampunan kepada Allah yang Maha Pengampun. Semoga dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, kita semua akan tergolong di dalam golongan mereka yang mendapat maghfirah Allah ta'ala.Insya Allah.-editor.

Ramadhan dan penurunan (nuzul) al-Quran

Terdapat kajian oleh pihak berkenaan yang menyebut bahawa beransur-ansur dalam melaksanakan undang-undang bukan maksud beransur-ansur dalam menurunkan syariat. Ini adalah terjemahan yang tidak betul.Barangkali hasil daripada terjemahan inilah menyebabkan arak masih dibenarkan dijual di negara ini, dihalalkan buat semenara waktu kemudian dikarakan akan diharamkan terus sebagaimana pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w di samping kononnya dilaksanakan syariat secara sedikit demi sedikit.Read more...

Thursday, 3 September 2009

BENARKAH UMNO JIJIK PADA ARAK ?

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Hampir 200 ahli UMNO berhimpun di hadapan pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan itu merampas minuman keras di sebuah kedai serbaneka di Seksyen 8 di sini pada 29 Julai lalu.

Dalam perhimpunan yang bermula pukul 3 petang itu, kesemua mereka turut mengutuk tindakan Exco Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan MBSA memulangkan semula 70 tin dan botol minuman keras kepada kedai serbaneka terbabit serta membenarkan penjualan minuman tersebut kepada penduduk di situ yang majoritinya adalah penganut Islam.

Kesemua penyokong Umno tersebut turut membawa beberapa sepanduk yang antaranya tertulis 'Ajar Ronnie dengan ISA'; 'Pakatan Rakyat Halalkan Arak' dan 'Pas Dulu Takbir, Sekarang Take Beer (ambil arak)'.

"Kami mengutuk tindakan Ronnie menghalang dan memaksa MBSA memulangkan semula arak berkenaan selain mengatakan bir bukan minuman keras adalah satu kenyataan yang dangkal, bodoh serta tidak bertanggungjawab," kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Shah Alam, Azhari Shaari selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md. Nor.

Tambah Azhari, kenyataan Ronnie itu juga satu bentuk penghinaan kepada umat Islam kerana arak tidak kira berapa kandungan alkoholnya adalah haram dan ia dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran serta difatwakan oleh Majlis Fatwa Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Secara peribadi saya merasa simpati kepada saudara-saudara kita dalam Umno tersebut. Mengapa ? Saya yakin dan percaya mereka tidak tahu apa yang mereka buat . Mereka membantah hanya kerana ingin membantah dan kerana kepentingan politik yang sempit. Memandangkan isu ini melibatkan Pakatan Rakyat , Umno mengambil peluang menjaja isu ini tanpa memahami isu ini dengan betul. Inilah perangai Umno. Semasa isu babi dahulu mereka mainkan isu itu macam orang gila babi- berbuih -buih mulut mereka. Akhirnya dilaporkan ada pemimpin mereka yang terbabit dalam industri tersebut .

Jika ahli-ahli Umno tersebut membuka sedikit mata mereka nescaya mereka akan sedar sebenarnya Umnolah yang menjadi punca mengapa arak sehingga kini dibenarkan dijual di kedai-kedai serbaneka seperti 7 Eleven.

Untuk saudara-saudaraku dalam Umno perkara pertama yang kamu kena faham adalah penjualan arak atau minuman keras di kedai serbaneka adalah dibenarkan oleh Akta Eksais 1976 ( Akta 176 ). Penjualan itu juga dikawal oleh Peraturan-Peraturan Eksais ( Penjualan Liqour yang memabukkan ) 1976.Undang-undang tersebut digubal oleh Umno kerana ia terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Pusat yang dikuasai oleh Umno dan sekutu-sekutunya.

Ya , benar dari segi hukum Islam sesuatu mimuman adalah dikira haram meskipun kandungan alkoholnya adalah sedikit misalnya 1 peratus sahaja. Dalam keadaan hukum fiqah yang sudah terang dan jelas Umno masih boleh lagi menggubal undang-undang yang bercanggah dengan hukum fiqh yang jelas itu dengan menyatakan bahawa jika kandungan minuman yang dijual di kedai serbanika yang mengandungi kandungan kurang dari 8 peratus maka ianya “tidak haram” dan dibenarkan dijual di kedai serbanika tersebut.

Atas dasar itu Umno tidak sepatutnya menyalahkan Ronnie Liu kerana Ronnie hanya merujuk kepada undang-undang yang Umno gubal sendiri – undang-undaang yang membenarkan beer dijual di kedai-kedai serbanika. Mengapakah selama ini dan sehingga sekarang ini Umno tidak pernah membuat bantahan atau berdemonstrasi menentang undang-undang yang mereka gubal tersebut. Kalau betul Umno jijik dengan arak parti tersebut sepatutnya meminta Kerajaan Pusat yang dikuasai Umno meminda undang-undang yang saya nyatakan tersebut supaya penjualan beer di kedai-kedai serbanika dapat dihentikan.

Perkara kedua yang sepatutnya Umno perlu buat jika mereka benar-benar jijik pada arak adalah mereka juga sepatutnya terlebih dahulu membuat bantahan atau demonstrasi di negeri-negeri yang Umno kuasai . Sehingga kini di negeri-negeri yang Umno kuasai seperti Johor misalnya masih membenarkan minuman beralkohol seperti beer dijual dikedai-kedai serbanika seperti 7 Eleven. Mengapa kita tidak dengar bantahan oleh Umno sehingga kini. Adakah arak hanya haram di Selangor dan tidak di Johor dan negeri-negeri yang Umno perintah. Nampaknya ada “pengharaman terpilih” di sini.

Perkara ketiga jika Umno benar-benar jijik pada arak atau dalam Islam dipanggil “ummu al-khabaith ( ibu segala perkara buruk ) mengapakah Umno tidak pernah membantah tindakan Kemeneterian Dalam Negeri ( KDN ) yang membenarkan akhbar-akhbar bahasa Inggeris menyiarkan iklan-iklan arak di akhbar-akhbar tersebut.

Untuk makluman Umno , Pemuda PAS pernah menghantar memorandum bantahan kepada pihak KDN tentang hal tersebut . Semasa kami berjumpa dengan Setiausaha sulit Menteri yang bertanggungjawab beliau menyatakan kepada kami “ mengapa perlu risau iklan arak kalau kita kuat iman”. Saya menjawab kepada beliau tanda orang kuat iman adalah beliau mengharamkan apa yang Allah dan RasulNya haramkan.” Lihatlah mentaliti pemimpin Umno.

Perkara Keempat mengapa sehingga kini Umno tidak bersuara tentang hidangan arak dalam kapalterbang milik MAS. Jika Umno benar-benar peka kepada pekerja-pekerja Islam di 7 Eleven mengapa mereka tidak peka kepada nasib para pramugara dan pramugari Islam yang terpaksa menghidang arak kepada para penumpang MAS ? Dan adakah Umno sedar pembayaran Duti Eksais arak dikecualikan kepada Syarikat Air Asia X Sdn Bhd melalui Perintah Duti Eksais ( Pengecualian ) ( Pindaan ) No 2 ( 2008 ) yang diwartakan dan berkuatkuasa 1 hb Julai 2008.

Akhirnya jika Umno benar-benar jijik kepada perkara haram seperti arak dan judi mengapa sehingga kini Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan masih tidak segan silu “muntah kedarah” cukai hasil –hasil haram ini. Adakah Umno sedar di bawah Perbendaharaan sahaja ada lebih kurang 6 Akta yang berkaitan dengan perjudian iaitu Akta Pertaruhan 1953 ( Akta 495 ), Akta Betting & Sweepstake Duties Act 1948 ( Akta 201 ), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ( Akta 289 ), Akta Cukai Perjudian 1972 ( Akta 65 ), Akta Loteri 1952 ( Akta 288 ) dan Akta Pertaruhan Pool 1967 ( Akta 384 ).

Tuesday, 1 September 2009

01 september 2009

TAZKIRAH: ISLAM ITU TEGAS BUKAN KERAS

Email oleh : Zamri Keciks

Ajaran Islam menganjurkan kepada kita agar tegas mengamalkannya, tegas mengeluarkan hukum.Tegas menyampaikannya atau memperkatakan dan gigih memperjuangkannya dimana saja dan di dalam keadaan apa sekali pun.Islam adalah agama kasih sayang dan lemah lembut, bukan agama keras tapi disuruh tegas.

Kebanyakkan umat Islam terutama orang politik, para pejuang dan pendakwah pendakwah melakukan kekerasan di dalam perjuangan atau di dalam dakwahnya tapi dia sendiri tidak tegas mengamalkannya, sama saja dengan orang lain.Di dalam menyampaikan, suaranya lantang dan keras memperkatakan hukum hukumnya.Tegas kalau untuk orang lain tapi untuk diri sendiri longgar dan cuai.

Di dalam menyampaikan Islam dia mengata, mengumpat dan menuduh kepada golongan golongan yang tertentu,Ada kalanya hingga sampai maki hamun, mengutuk dan menempelak orang yang tertentu, tapi dia sendiri syariatnya cuai, akhlaknya rosak, maruahnya tidak di jaga,Mereka menyangka cara itu dikatakan tegas.

Sebenarnya sikap mereka bukan tegas tapi keras.Tegas ertinya memperkatakan hukuman yang sesuai dengan kehendak Islam.Disampaikan dengan penuh berhikmah dan kasih sayang, tidak ditujukan kepada mana mana golongan tapi untuk semua, terutama diri sendiri.Dan orang yang berkata dan memperjuangkan itu mempunyai peribadi yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia kerana dia tegas mengamalkan Islam itu lebih dahulu di dalam diri mereka dan tegas berpegang dengan hukum. Begitu juga tegas mendidik anak dan isteri serta Keluarga.Agar mereka mengamalkan ajaran Islam itu serta sangat menghormati hukum hakam.Begitulah orang yang tegas dengan prinsip.

Oleh kerana tidak tegas mengamalkan Islam tapi keras memperkatakan dan memperjuangkannya, maka orang ramai jadi benci dengan Islam.Lebih lebih lagi orang kafir, mereka takut dengan Islam.Melihat peribadi para pejuang dan para da’i serta Keluarga mereka, Islam itu tidak ada didalam diri mereka.Yang mereka lihat ialah kekerasan dan kekasaran.Keindahan Islam tidak dapat dilihat kerana bersikap keras bukan tegas.

"Kalau kita hendak menasihati orang.Tanya hati kita dahulu.Tujuan kita hendak beri nasihat atau hendak memberi malu pada orang.
Apabila kita hendak menyampaikan ilmu kepada orang.Apakah tujuan kita? Hendak berkongsi ilmu atau hendak menunjuk yang kita lebih tahu.
Kalau kita hendak bercakap tentang sesuatu, kita tentu tahu niat kita, hendak menunjuk kita pandai atau rasa berkewajiban menyampaikan ilmu".

Ingatlah pahala sesuatu amal ditentukan oleh keikhlasan kita.Kalau tujuan bukan kerana Allah, amalan itu akan menjadi macam debu.Bukan pahala kita dapat tapi bala.

Salaam & Regards

Amri el Wahab

Sunday, 30 August 2009

Ganjaran Eksklusif Puasa
www.iluvislam.com
akhie_naim
editor : gonjengPO



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian bagi Allah, Tuhan yang Menguasai sekalian alam. Maha suci Allah, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat baginda yang terpuji.

Ayuh, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan keizinan-Nya kita masih lagi diberikan kesempatan untuk melalui madrasah hebat bulan Ramadhan yang mulia ini. Jika Allah Subhanahu wa ta’ala menghendaki untuk kita tidak lagi berkemampuan untuk memanfaatkan bulan Ramadhan ini, sudah tentu hal itu cukup mudah. Boleh sahaja kita diberikan kesakitan yang dahsyat yang dengan sebabnya kita tidak mampu berpuasa. Atau, mungkin sahaja kita ditimpakan kemalangan sehingga kita tidak lagi mampu berdiri untuk solat tarawih serta solat-solat sunat yang lain. Hampir setiap hari kita boleh membaca di dalam surat khabar, atau melihat di kaca televisyen berita tentang kematian melalui kemalangan dan sebagainya. Seharusnya hal tersebut memberikan kita satu pengajaran bahawa seandainya Allah menghendaki untuk menjadikan Ramadhan ini yang terakhir buat kita, maka pasti mudah sahaja untuk Allah mencabut nyawa kita. Justeru, sewajarnya kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala atas kesempatan yang masih diberikan kepada kita ini.

Seterusnya, seharusnya kita mengambil kesempatan dengan sebaik-baiknya di bulan Ramadhan ini untuk mendapatkan ganjaran dan manfaat dengan sebanyak-banyaknya kerana ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dijanjikan dengan ganjaran yang begitu banyak; sehinggakan, sesetengah para ulama menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan ibadah di bulan Ramadhan bagi mengejar dan merebut manfaatnya, maka orang tersebut adalah orang yang bodoh.

Analoginya mudah: bayangkan, ada seseorang datang kepada kita menawarkan kepada kita wang tunai bernilai jutaan ringgit dengan syarat kita melakukan beberapa kerja mudah seperti memujinya, mengucapkan terima kasih kepadanya dan sebagainya. Nah, bukankah orang yang melepaskan peluang duniawi seperti itu, adalah orang yang bodoh. Maka, begitu jugalah orang yang melepaskan peluang mendapatkan ganjaran tidak terhingga yang disediakan melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Hadith terbaik yang menceritakan kepada kita tentang kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah sebuah Hadith Qudsi yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka masing-masing.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda (yang kira-kira bermaksud):

“Setiap amalan anak Adam itu baginya. Satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda.” Firman Allah ‘azza wa jalla: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya dia meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, an-Nasa’I, Ibnu Majah, al-Darimi)

Di dalam hadith tersebut dijelaskan kepada kita bahawa setiap amal kebaikan yang dilakukan itu adalah untuk kita. Hal ini bermakna, setiap amal kebaikan itu, di hari akhirat kelak, akan menjadi ‘bekalan’ kita ketika dihisab. Di hari akhirat kelak, apabila ada seseorang yang pernah membuat kejahatan atau kezaliman ke atas seseorang, maka orang yang dizalimi atau disakiti itu akan datang kepada orang yang menzalimi atau menyakiti itu untuk menuntut haknya. Lalu, orang yang menzalimi itu akan terpaksa memberikan amal kebaikannya itu tadi kepada orang yang dizaliminya itu. Maka setiap amal kebaikan kita, akan kita jadikan sebagai ‘bayaran’ kepada orang yang pernah kita zalimi seperti orang yang pernah kita curi barangnya, pernah kita tebarkan fitnah atasnya, pernah kita umpat, keji dan sebagainya.

Kecuali puasa, kerana Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan dengan jelas bahawa puasa itu adalah bagi Allah, dan Allah yang membalasnya. Maka, amal kebaikan puasa tidak dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dijadikan sebagai tebusan terhadap kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan di dunia ini. Mudah-mudahan, andaikata amal kebaikan kita yang lain kelak habis disebabkan banyaknya kejahatan yang kita lakukan, dengan sebab amalan puasa kita itu boleh menjadi penyebab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Begitu juga dinyatakan di dalam hadith tersebut, bahawa bagi setiap amal kebaikan yang lain, kita akan diberikan ganjaran antara 10 ke 700 kali ganda ganjaran. Apabila seseorang daripada kita melakukan kebaikan, maka para malaikat akan mencatatkan kebaikan tersebut, bergantung kepada nilai ganjaran yang akan diperolehi berdasarkan kepada keikhlasan dan sebagainya.

Namun, bagi ibadah puasa ini tidak ada hadnya. Oleh sebab itu, tuan guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menyatakan bahawa ibadah puasa ini tidak dapat dicatat oleh para malaikat berapakah ganjaran yang hendak diberikan. Maka, ganjaran bagi ibadah puasa ini akan diberikan sendiri oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan oleh sebab itulah dinyatakan juga di dalam hadith tersebut, kegembiraan kedua yang akan diperolehi oleh orang yang berpuasa adalah apabila bertemu dengan Tuhannya kerana pada ketika itu ia akan diperlihatkan dengan ganjaran daripada ibadah puasanya. Inilah ganjaran eksklusif ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Maka, untuk mendapatkan ganjaran yang hebat tersebut, perlulah kita bermujahadah dan memastikan kualiti ibadah puasa kita berada di tahap yang terbaik.

Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ada memberikan satu peringatan kepada kita bahawa di kalangan semua umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan, begitu ramai sekali yang gagal mendapatkan apa-apa manfaat daripada kelebihan ibadah ini melainkan sekadar merasakan lapar dan dahaga.

Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan itu. Apa yang penting adalah kita memastikan kita memelihara semua arahan dan suruhan Allah Subhanahu wa ta’ala, dan membanyakkan bersabar. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada amalan puasa itu adalah sifat sabar dan balasan bagi sifat sabar tiada batasnya. Sabar terbahagi kepada tiga jenis yakni sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, serta sabar dalam menerima taqdir Allah yang perit dan menyakitkan.

Justeru, bagi memastikan kita mendapat kualiti ibadah puasa yang terbaik hendaklah kita bersabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Segala yang wajib hendaklah kita laksanakan dan segala yang haram hendaklah dijauhi. Bersabarlah dalam menghadapi keperitan rasa lapar dan dahaga, rasa lemah badan, serta apa-apa sahaja ujian dan dugaan dalam bentuk kesusahan, kesempitan, kerunsingan dan sebagainya yang mungkin dihadapkan kepada kita oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dengan tujuan untuk menguji dan melatih keimanan kita. Hendaklah kita yakin dengan janji dan jaminan Allah Subhanahu wa ta’ala kerana janji Allah itu janji yang benar. Wallahu’alam.



7 Comments · 730 Reads · Print Bookmark and Share


Tazkirah Ramadhan - Meraih redha dan ampun Allah !

Oleh : MRK albanjari

Allah menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk hamba-hamba-Nya sentiasa berlumba-lumba melakukan kebajikan .Kerana banyak kelebihan dan keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan Ramadan yang perlu direbut oleh hamba-Nya. Hari-hari yang berlalu sepanjang bulan Ramadan adalah peluang keemasan yang berharga yang pasti tidak akan dilepaskan berlalu begitu sahaja oleh mereka yang mengerahui kelebihan bulan Ramadan.

Antara kelebihan bulan Ramadan ialah tawaran keampunan daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beribadah pada bulan yang mulia ini. Kerana daripada Allah dosa-dosa Mereka terampun.

Rasulullah SAW berabda ;

"أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرُ بَرَكَةٍ يَغْشَاكُمُ اللهُ فِيهِ، فَيُنْزِلُ الرَّحْمَةَ وَيَحُطُّ الْخَطَايَا وَيَسْتَجِيْبُ فِيهِ الدُّعَاءَ يَنْظُرُ اللهُ تَعَالىَ اِلَى تَنَافُسِكُمْ فِيهِ وَيُبَاهِىْ ِبكُمْ مَلاَئِكَتُهُ فَأَرُوا اللهَ مِنْ أَنْفُسِكُمْ خَيرًا فَإِنَّ الشَّقِيَّ مَنْ حُرِّمَ ِفيهِ رَحْمَةُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ."

Maksudnya : "Apabila tibanya Ramadan bulan keberkatan maka Allah melindungi kamu pada bulan tersebut, ia menurunkan rahmat-Nya, mengampunkan segala dosa dan memperkenankan doa. Pada bulan ini Allah melihat perlumbaan kamu melakukan ibadah dan para malaikat sangat berbangga melihat ibadah yang kamu lakukan. Maka tunjukkanlah kepada Allah segala kebaikan yang kamu lakukan kerana sesungguhnya orang yang celaka adalah orang yang diharamkan mendapat rahmat Allah pada bulan tersebut." Hadis riwayat At-Tabrani

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud : " Setiap yang mendirikan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah maka diampunkan bagi-nya dosa-dosa yang telah lalu."

Para ulama di dalam menghuraikan maksud Hadis tersebut menerangkan bahawa sesiapa yang menghidukan atau menghayati malam-malam bulan Ramadan dengan melakukan solat tarawih dan ibadah-ibadah lain seperti berzikir dan istighfar serta membaca al-Quran dengan ikhlas kerana Allah, maka Allah akan mengampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu melainkan dosa-dosanya yang berkaitan dengan manusia yang perlu terlebih dahulu diselesaikan sesama manusia.

Di antara satu Ramadhan dengan Ramadhan yang berikutnya akan terjamin mendapat keampunan daripada Allah selagi hamba-hamba Allah tetap setia dan taat beribadah kepadanya dan tidak melakukan dosa-dosa besar.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda:

"الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمعَةُ اِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانَ اِلىَ رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَائرُ."

Maksudnya : " Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadhan kepada Ramadhan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selagi mana dijauhi dosa-dosa besar."

Bersempena dengan bulan Ramadan ini, marilah kita sama-sama memanfaatkan sebaik mungkin dengan melipat gandakan amalan soleh dan amalan-amalan sunat yang lain dengan bersungguh-sungguh melakukan ibadah kepada Allah SWT di antaranya:

1. Kita hendaklah berusaha mendapatkan keampunan Allah pada bulan yang mulia ini kerana amalan yang dilakukan di sepanjang bulan yang mulia ini pasti akan diberikan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah.

2. Berlumba-lumba melakukan kebaikan melalui amal ibadah yang berterusan adalah langkah yang mulia dan bijak. Sesungguhnya jika amalan mulia ini dilakukan, nescaya akan mendapat keampunan di dunia dan di akhirat.

Tiada ruginya jika kita memberikan masa yang lebih kepada Allah kerana kelak nescaya kita tidak mudah untuk dilupakan. Wallahualam

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive