Rihat Minda


Monday 30 May 2011

IMG_0231

“Kita ambil yang inilah. Biar sama dengan warna baju Abi” kata Ummu Saif kepada anak sulung kami.

“Ok!” jawabnya ringkas. Setuju tetapi dengan air muka yang tidak setuju.

Berbaju raya sewarna sedondon ini bukanlah kemestian bagi kami. Hanya sesekali. Fadhilatnya, memudahkan pengenalan diri tatkala anak-anak saudara sejumlah 36 orang itu mencabut baju seragam raya. Mudah untuk dikenal baju siapa, berpandukan warna.

“Yop sebenarnya nak baju warna apa?” saya tidak berpuas hati dengan reaksi anak yang tidak suka dengan baju yang bakal dipakai.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membazir membeli pakaian yang nak dipakaikan kepada si anak, tetapi mengikut selera ibu bapa. Sedangkan harganya sama sahaja. Kenapa mahu dipaksa anak-anak memakai baju mengikut pilihan kita yang dibenci anak-anak?

Nanti kalau sikap seperti ini dibiarkan, silap-silap siapa suami dan isteri si anak pun mahu kita tentukan bila sampai masanya nanti.

“Yop nak baju warna kuning” jawab si anak.

“Hmm… kuning tak ada saiz. Nantilah kalau jumpa di tempat lain, kita tengok” saya membuat janji.

Tanpa bertangguh, kami sekeluarga segera pulang ke rumah selepas selesai membeli pakaian anak-anak. Suasana di pasaraya sangat sesak dan kami tidak mahu mendedahkan diri dan anak-anak kepada bahaya jangkitan H1N1 yang masih hangat.

RAHSIA WARNA KUNING

“Kenapa Yop nak baju warna kuning? Baju t-shirt nak kuning, baju Melayu pun nak kuning” saya cuba mengorek rahsia, selepas tiba di rumah.

“Yop suka kuning” jawabnya.

Hairan.

Macam mana boleh minat dengan warna kuning? Tiada sentuhan kuning di rumah kami.

“Kenapa Yop suka warna kuning?” saya bertanya lagi.

“Kuning warna kaya. Orang kaya!” jawab anak saya, malu-malu.

“HAH!?” tercengang saya dibuatnya.

Jawapan yang langsung tidak diduga.

“Yop suka pakai baju warna kuning sebab Yop suka kayalah, ya?” saya mahukan kepastian.

Dia mengangguk.

“Siapa kata warna kuning warna orang kaya?” saya menyambung pertanyaan lagi.

“Tak tahu. Kuning emas kot” jawabnya, selamba.

“Astaghfirullah. Materialistik sungguh!” saya menggaru kepala.

Entah di mana idea itu datang. Idea mahu kaya, mahu kelihatan kaya dan mengaitkan kuning dengan kekayaan.

“Lepas ni Abi rasa Yop tak payahlah gosok gigi. Biar gigi kuning. Baru nampak macam orang kaya. Orang kaya semua kuning. Baju kuning, gigi pun kuning!” saya melontar provokasi.

“Tak nak, tak nak” katanya tersengih-sengih mendengar cadangan saya.

IDEA YANG TIDAK SIHAT

Saya tidak suka dengan idea-idea kebendaan hinggap ke kepala anak-anak.

Keluarga kami tidaklah kaya dan tidak juga susah. Serba sederhana. Berbelanja masih mengira-ngira dan membeli mesti ada bajet dan bukan sesuka hati. Saya cuba pastikan kehidupan anak-anak tidak terganggu dengan kesusahan pada perkara-perkara yang penting buat mereka. Makan minum, pakaian, buku dan peralatan sekolah serta apa-apa yang bersangkutan dengan peningkatan diri mereka, saya cuba untuk tidak terlalu berkira.

Ada pun barangan yang tidak penting, dan mempunyai kesan yang tidak baik ke atas diri seperti PSP yang diinginkan si anak, saya tidak menyetujuinya. Dari semasa ke semasa, saya peringatkan mengapa PSP tiada dalam senarai. Cukuplah dengan komputer saya yang dikongsi bersama anak-anak, serta televisyen yang dipantau penggunaannya.

Daripada mana idea sukakan kekayaan dan mahu kelihatan kaya hinggap ke fikiran anak-anak saya?

Saya tidak dapat memastikannya.

Ia boleh datang daripada mana-mana sumber, dan soal itu tidak penting. Apa yang utama, ialah membetulkan kembali persepsi anak-anak terhadap kehidupan.

PERBANDINGAN

“Abi, nanti kalau Muiz dah besar macam mana?” kata Saiful Islam kepada saya.

“Macam mana apa?” saya tidak faham dengan soalannya.

“Nanti Muiz dah besar, kereta ni tak muat. Kenalah beli Alphard!” jawab anak saya.

Tersirap darah saya.

Geram pun geram juga.

Apabila pulang beraya, ada berbelas kereta adik beradik yang akan berkumpul di halaman rumah. Saya tidak pernah kisah siapa guna kereta apa, tetapi anak saya yang meminati ‘warna kuning simbol kekayaan’ itu, rupa-rupanya jatuh hati dengan Alphard pakciknya.

Sudah berkali-kali beliau asyik tanyakan saya tentang Alphard, meminta pandangan sama ada saya suka dengan kereta itu atau tidak.

Pada detik pertama, memang ada rasa terkilan di hati. Terasa apabila dibanding-bandingkan. Apakah anakku sudah lupa yang dahulunya kita pernah berhimpit-himpit di dalam ATOS comel, kereta pertama kami? Setelah keluarga membesar daripada anak dua menjadi empat, kami memberanikan diri melangkah ke peringkat hidup seterusnya dengan menjual ATOS berkenaan serta digantikan dengan kereta 7-Seaters tempatan seadanya.

Tiba-tiba, si anak seolah-olah tidak menghargainya dan lebih berminat dengan kereta bapa saudaranya yang lebih besar dan mewah.

PEDIH MENJADI MANGSA PERBANDINGAN

Tetapi saya terbalikkan perasaan itu dan berkata kepada diri sendiri tentang pahitnya menjadi mangsa perbandingan. Justeru kita sebagai ibu bapa, jangan suka membanding-bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Pahitnya sama bila anak-anak kita pula membandingkan kita dengan ibu bapa yang lain. Jangan buat anak-anak dengan apa yang kita tidak mahu mereka buat kepada kita.

Golden rule!

“Kamu tengok anak orang tu. Tertib, sopan, bijak. Tak bolehkah kamu jadi macam tu?” antara ayat-ayat ibu bapa yang boleh menghancurkan jati diri si anak.

“Kenapa kereta ayah tidak sebesar kereta pakcik itu?” itu pulang paku buah keras si anak kepada ibu bapa pula.

Jika tidak mahu dialog anak berisi racun perbandingan, kita sebagai ibu bapalah jangan memulakannya.

MENCARI PENYEMBUH

“Yop nak kaya?” saya bertanya kepada si anak.

“Nak!” jawabnya tanpa berselindung.

Tangannya masih di dalam poket baju Melayu, menggenggam duit raya barangkali.

“Kalau kaya dan banyak duit, Yop boleh beli apa?” saya bertanya lagi kepadanya.

“Beli apa-apa sahaja!” katanya dengan penuh yakin.

“Beli Alphard dan baju emas?” saya menyoalnya sambil menyindir.

Beliau mengangguk sambil tersengih. Faham dengan sindiran saya.

“Kalau Abi kaya, Abi boleh tak beli mata kat kedai kalau Yop buta? Ummi boleh tak beli telinga kat pasaraya kalau anak-anak dia pekak?” saya melontar soalan berfikir untuknya.

Saiful Islam terkejut.

Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.

“Kalau Abi kaya pakai Alphard, Abi boleh tak beli jantung kat hospital untuk ganti jantung yang rosak?” saya tambah lagi soalan.

Saiful Islam berubah sedikit air mukanya. Menggelengkan kepala lagi.

“Abi sangat bersyukur kepada Allah sebab duit Abi tak banyak tetapi anak-anak Abi semua sihat. Semua cukup kaki, cukup tangan, tiada yang cacat, tiada yang sakit. Abi bersyukur sebab kita tak kaya tapi kita bahagia” saya mahu memberi satu kesimpulan kepada anak-anak.

“Yop nak kaya ke Yop nak bahagia?” tanya Ummu Saif pula kepadanya.

“Nak bahagia” kata anak sulung kami.

Anak-anak yang lain hanya mendengar. Belum mengerti.

“Kalau nak bahagia, miskin boleh bahagia, kaya pun boleh bahagia. Syaratnya, kena bersyukur kepada Allah” balas Ummu Saif lagi.

“Jadi, Yop nak Alphard orang lain punya ke, atau kereta kita?” saya menyudahkan perbualan.

“Kereta kita” jawabnya.

“Alhamdulillah. Jom singgah kedai pekena nasi kandaq!” saya menarik nafas lega.

14_7

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” [Ibrahim 14: 7]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive