MUKTAMAR PAS Muktamar PAS hari ini meluluskan sebulat suara mendesak kepimpinan parti dan ahli akar umbi supaya lebih agresif menyerang Umno dengan mendedahkan apa yang didakwanya agenda pembohongan parti itu supaya rakyat tidak termakan, menjelang pilihan raya umum ke-13.

Usul itu menyebut, tindakan tersebut dibuat dengan menyedari sokongan rakyat kepada Umno semakin merosot menjelang pilihan raya umum dan "tongkat sakti MCA, Gerakan dan MIC sudah patah bagi menarik sokongan orang bukan Melayu kepada BN".

Menurutnya, menyedari bahawa Umno perlu menarik sokongan orang Melayu untuk menjamin kelangsungan pemerintahan BN dalam pilihan raya umum akan datang, maka mereka didakwa menggunakan pendekatan dengan apa cara sekali.

Menyedari hakikat itu, tambahnya,  mereka didakwa menggunakan Melayu, agama dan raja untuk menunjukkan mereka adalah juara memperjuangkan Melayu.

Sehubungan itu, antara ketetapan yang diambil ialah siri penerangan kepada orang Melayu melalui berbagai medium seperti ceramah, risalah, banner dan media baru.

Mengulas dalam ucapan bagi menyokong usul tersebut, perwakilan Tambun Dr Khairuddin Abdul Malek menguatkan cadangan itu dengan menyifatkan bahawa "pertahanan terbaik ialah menyerang"

Sehubungan itu, menjelang pilihan raya umum, beliau mencadangkan kepimpinan parti mengadakan konvensyen khas dengan mengumpulkan NGO Melayu dan Islam bagi membincangkan mengenai isu-isu Melayu secara intelektual.

"Orang Melayu sedang menunggu idea-idea segar dari PAS mengenai isu-isu Melayu, bangsa, dan raja-raja... PAS boleh mendepani Umno supaya (Umno) tidak ada dalam hati mereka," katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa ucapan tiga tokoh tertinggi parti - Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Dr Harun Ali dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang -diterbitkan melalui VCD dan diedarkan kepada orang Melayu di kawasan masing-masing.

Selain itu, muktamar juga meluluskan sebulat suara menyokong lebih 1,000 pada jawatankuasa BERSIH yang telah mengemukakan lapan tuntutan membersihkan pilihan raya.

Bahkan, muktamar turut mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno/BN untuk memenuhi kesemua tuntutan jawatankuasa BERSIH serta menyeru jentera PAS terus membongkar penyelewengan Umno/BN melalui semakan daftar pemilih di kawasan masing-masing.

"Dan seterusnya menjadi agen penerangan dalam menyebarkan hal penyelewengan ini kepada pengundi, terutama pengundi luar bandar," katanya.