Rihat Minda


Friday, 31 July 2009

PAHLAWAN SYIRIK?

31 July 2009

Salam 2 all.

Hari ini Jumaat 09 Sya'ban 1430 bersamaan 31 Julai 2009. Menjadi tradisi dinegara ini meraikan Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun.

Bagaimanapun, sangatlah mendukacitakan kerana hari yang penuh dengan makna bagi para anggota keselamatan kita dicemari dengan perbuatan mensyirikkan ALLAH!

Pagi Jumaat yang mulia ini kita menyaksikan bagaimana sambutan itu dimulakan dengan upacara bertafakkur di hadapan Tugu Negara.

Acara dimulakan dihadapan Tugu Peringatan iaitu monumen tiang yang dipenuhi dengan nama para anggota keselamatan yang telah terbunuh dalam tugas keselamatan. Disitu Perdana Menteri akan berdiri menerima tabik hormat daripada perbarisan anggota dan pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia, yang kebanyakkannya, kalau bukan semua pun adalah beragama Islam.

Kemudian Perdana Menteri bersama dengan Ketua Polis Negara berserta Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Laut akan berdiri bertafakkur dihadapan Tugu Negara, dituruti oleh semua hadirin yang ada termasuk anggota pasukan keselamatan yang berbaris sejak subuh tadi.

Tugu Negara ini adalah terdiri daripada beberapa buah patung yang besar dengan figurin tubuh manusia yang lengkap. Walaupun pernah dibom pada tahun 1976, namun ianya telah diperbaiki dan dipercantikkan semula. Tugu yang pernah menjadi patung manusia terbesar yang pernah dibuat ini diilhamkan oleh YAM Tunku Abdul Rahman, yang juga telah mengilhamkan pembinaan patung beliau sendiri yang kini megah bersemadi dihadapan Bangunan Parlimen Malaysia.

Majlis tafakkur dihadapan Tugu Negara ini akan diiringi dengan tiupan muzik "Last Post". Kemudian diikuti oleh bacaan sajak yang diiringi oleh alunan muzik yang mendayu.

Majlis Fatwa Kebangsaan dalam muzakarah Kali ke-19 pada 06-07 Oktober 1987 telah memfatwakan perbuatan bertafakkur dihadapan Tugu Negara ini sebagai perbuatan syirik dan mesti dihentikan serta merta. Saya sendiri telah membangkitkan isu ini pada sidang Parlimen 29.06.2009, dimana Menteri Bahagian Agama Islam JPM menjawab bahawa Kerajaan menyedari berkenaan fatwa tersebut.

Apa yang mengejutkan saya ialah setelah hampir 22 tahun fatwa tersebut diputuskan, sehingga hari ini majlis syirik ini masih diamalkan. Mengapa tidak diambil tindakan segera membenteras gejala syirik ini. Kalau Al Arqam diisytihar sesat kerana mengagungkan Syeikh Suhaimi, kalau Ayah Pin dkatakan sesat kerana kerajaan langit serta teko dan kole besarnya, maka bagaimana pula dengan bertafakkur dihadapan Tugu Negara yang telah difatwakan dengan sarih dan jelas sebagai syirik!

Dan yang lebih menyedihkan, bagaimana Kerajaan boleh justifikasikan perbuatan syirik ini dengan berselinding disebalik malam bacaan Yaasin untuk memperingati Hari Pahlawan! Apakah bacaan Yaasin itu boleh meluputkan dosa syirik yang dilakukan, sedangkan ALLAH dengan jelas menyebut bahawa Dia mengampuni semua dosa lain kecuali syirik!

Berapa ribu anggota keselamatan kita yang beragama Islam terpaksa bergelumang dengan dosa syirik gara-gara sikap kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini.

Kasihanilah anggota keselamatan kita. Mereka menggadai nyawa untuk membebaskan dan memerdekakan kita daripada penjajahan politik, tidak kah boleh kita membalas jasa mereka dengan membebaskan dan memerdekakan mereka daripada penjajahan aqidah ini.

Semoga ALLAH mengampuni kita semua dan memberikan kita petunjuk dan hidayahNya.

Selamat Hari Pahlawan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
09 Sya'ban 1430
31 Julai 2009


No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive