Rihat Minda


Sunday, 10 May 2009

SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH: PEMIMPIN AGUNG BUKAN ULAMA


Pagi 22 April 1452 bersamaan dengan 852 Hijrah, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir, paluan gendang dan nasyid kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fatih. Gema kemenangan mengisi ruang angkasa Costantinople seolah-olah memberikan semacam serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka pagi itu terus luntur. Apakah tembok setebal 4 lapis, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki itu berjaya diruntuhkan oleh tentera Muhammad al-Fatih?.

Rupa-rupanya tentera Sultan Muhammad al-Fatih telah membawa kapal-kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas merentasi bukit melalui jalan darat!. Taktik peperangan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana tentera sebelum ini. Tentera Othmaniyah dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari Selat Bosporus ke Tanjung Emas melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan!

Siapakah sebenarnya Sultan Muhammad al-Fatih ini?. Beliau yang dimaksudkan ialah sultan ketujuh Khilafah Islamiyah Othmaniyah, Beliaulah pembuka kota Constantinople yang ketika itu baru usia menjangkau 26 tahun. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Baginda s.a.w. ketika dalam perang Khandak. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik pemimpin adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya"

Sultan Muhammad al-Fatih ialah salah seorang daripada tokoh pemimpin kerajaan Islam yang masyhur dicatatkan dalam sejarah dunia. Beliau bukan sahaja hebat sebagai pemimpin malah nama beliau sebagai panglima perang, cukup gah sehingga dikenali di benua Eropah. Mendengar namanya sahaja sudah mengundang gementar di hati musuh-musuhnya walaupun ketika itu beliau sudah sepuluh tahun meninggal dunia.

Beliaulah pemerintah Islam yang pertama mendapat gelaran yang diberikan oleh Barat iaitu 'Grand Seigneur' yang bermaksud pemimpin agung.

Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada 26 Rejab 833 hijrah bersamaan 20 April 1429 Masihi dan dibesarkan di Adirnah di bawah penjagaan ayahnya Sultan Murad II. Bapanya juga merupakan salah seorang pemimpin yang hebat dan tokoh pemerintah kerajaan Othmaniyah yang masyhur. Ibunya dikatakan adalah seorang puteri raja berketurunan Nasrani. Ketika ayahnya menjadi sultan, beliau dilantik menjadi gabenor di Magnisa. Setelah kematian ayahnya, Sultan Muhammad al-Fatih telah diangkat menjadi pemimpin kerajaan Othmaniyah pada bulan Februari 1451 pada usia beliau 22 tahun.

Dalam membentuk keperibadian anaknya menjadi seorang pemimpin yang cemerlang, ayahnya mengutamakan keseimbangan elemen fizikal, mental dan roh, ini kerana kekuatan Sultan Muhammad al-Fatih dilihat banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Ketika usianya kecil lagi beliau sudah diajar menunggang kuda, memanah dan menggunakan pedang. Elemen rohani turut mendapat perhatian dan dorongan penuh dari ayahnya.

Beliau telah di tarbiah secara intensif oleh para ulama terulung antaranya ialah al-Syeikh Muhammad bin Ismail al-Kurani yang terkenal dengan gelaran Abu Hanifah di zamannya dan Muhammad bin Hamzah al-Dimasyqi al-Rumi. Beliau mengajar Sultan Muhammad al-Fatih ilmu-ilmu asas iaitu al-Quran, al-Hadith, feqah, linguistik (bahasa Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti matematik, falak, sejarah, ilmu peperangan dan sebagainya. Melalui tarbiah yang teliti dan penuh terhormat, tidak hairanlah jika peribadi-peribadi yang unggul seperti Sultan Muhammad al-Fatih ini lahir menempa nama besar di persada sejarah dunia. Sultan Muhammad al-Fatih banyak meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Costantinople, dan sering mengikuti ayahnya ke medan peperangan. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan. Beliau juga banyak mengkaji sejarah Islam tentang usaha-usaha yang pernah dibuat ke arah itu, ini kerana usaha pertama pernah disusun pada tahun 44 Hijrah, iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian r.a., walau bagaimanapun usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat nabi yang menyertainya, syahid di medan perjuangan.

Pernah diriwayatkan bahawa setelah kemenangan tentera Sultan Muhammad al-Fatih menawan Constantinople beliau telah memerintahkan tenteranya mencari kubur Abu Ayyub al-Ansari untuk disempurnakan kemuliaannya sebagai seorang sahabat nabi. Berdasarkan sejarah beliaulah satu-satunya sahabat nabi yang syahid di benua Eropah. Setelah bertemu Sultan Muhammad al-Fatih meminta kuburnya digali dan jasadnya dipindahkan ke tempat yang lebih mulia. Apabila digali bahagian kakinya ditemui dahulu. Kemudian Sultan Muhammad al-Fatih memerintahkan seluruh rakyatnya mencium kaki Abu Ayyub al-Ansari. Sehinggalah akhir sekali giliran beliau.

Peristiwa yang menakjubkan berlaku iaitu kaki yang mahu dicium itu tiba-tiba sahaja termasuk semula ke dalam tanah. Kejadian itu berturut-turut sebanyak tiga kali. Pada malam itu, Sultan Muhammad al-Fatih bermimpi bertemu dengan Abu Ayyub al-Ansari. Menjelaskan tujuan sebaliknya kejadian itu berlaku disebabkan penghormatan Abu Ayyub al-Ansari kepada Sultan Muhammad al-Fatih yang telah berjaya menawan Kota Constantinople.

Beliau banyak mengkaji dan mempelajari pengalaman dari sejarah peperangan Rasulullah s.a.w. Malah semangat kepahlawanan dan pengorbanan panglima perang Islam dahulu, banyak mempengaruhi jiwanya. Sultan Muhammad al-Fatih mewarisi sifat keberanian, kegagahan, kesabaran dan semangat tidak putus asa daripada ayahnya. Beliau juga mewarisi pengetahuan yang luas serta berkemahiran dalam menyusun strategi peperangan.

Watak beliau di awal remajanya agak berbeza dengan remaja-remaja lain yang seusia dengannya. Dr. Abd. Salam bin Abd Aziz telah menulis dalam sebuah buku yang bertajuk 'Sultan Muhammad al-Fatih' menjelaskan bahawa Sultan Muhammad al-Fatih sebenarnya memiliki keyakinan diri yang kuat, pandangan yang jauh serta kepintaran yang tinggi, malah Sultan Muhammad al-Fatih mampu untuk menghadapi tekanan, keperitan dan bebanan yang dihadapinya.

Beliau seorang pemuda yang warak. Jarang sekali beliau menunaikan solat, melainkan di Masjid disebabkan keinginannya sentiasa ingin hampir dengan Allah S.W.T Beliau digambarkan sebagai pemimpin yang mengutamakan urusan kenegaraan dan masyarakat mengatasi kepentingan pada diri.

Beliau sering mendampingi ulama-ulama dan negarawan. Kedudukannya sebagai sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Tidak hairanlah cara beliau mentadbir dan sistem pemerintahannya menjadi rujukan dunia sehingga ke hari ini. Kehidupan beliau juga digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi kepada pembaziran. Hidangan dan cara berpakaiannya juga tidak terikat dengan peraturan-peraturan Istana.

Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"

Selain daripada kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah Sultan Muhammad al-Fatih juga berjasa dalam aspek pembangunan antaranya pembinaan Masjid al-Fath yang terkenal dengan gelaran Blue Mosque dan Masjid Eyyub. Di samping itu beliau berjaya memulihkan keamanan dan ketenteraman di kalangan golongan Janisari.

sumber wikipedia : klik sini

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive