Kewajipan hidup berjiran |
Ditulis oleh Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid | |
SOALAN :Assalamualaikum. Saya me mpunyai masalah yang telah lama bermain di fikiran. Jiran saya membuat rumah hampir-hampir melanggar sempadan dan saya kira terdapat sedikit bahagian yang telah masuk ke sempadan tanah rumah orang tua saya. Bahagian bumbung memang telah melebihi sempadan dan kadang-kadang sampah dari dapur mereka dibuang ke kawasan rumah saya. Hati kecil saya sering mengatakan yang saya tidak menghalalkan seinci pun tanah yang dilanggar oleh jiran saya. Saya bercadang untuk membuat tembok batu bagi menggantikan pagar yang sedia ada yang rosak akibat tingkap yang dibuka oleh jiran saya. Soalan saya adakah jiran saya itu dikira berdosa besar dan bolehkah saya berniat tidak menghalalkan apa yang bukan hak jiran saya? Setiap malam apabila tidur saya cuba untuk memaafkan semua orang muslimin muslimat tetapi apabila mengenangkan jiran yang tidak peduli soal kejiranan ini hati saya semakin sakit tambahan pula orang tua saya tinggal keseorangan di kampung. Harap ustaz dapat beri panduan . – Ingin Tahu, Yassir Lutfi Jawapan: Hak berjiran adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Dalam Islam, jiran adalah mereka yang dekat dengan rumah kita. Dalam bahasa klasik disebut, 40 buah rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri, 40 ke atas dan 40 ke bawah. Ukuran ini menjadi relevan dengan rumah pangsapuri dan flat pada hari ini. Malah kehidupan dalam sesebuah taman perumahan. Semua mereka itu adalah jiran anda. Sebagai jiran kita, masing-masing ada kewajipan dan ada hak. Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam, ada memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami, malah menganmalkannya: (a) Jangan menyakiti jiran Dasar ini memberi erti tidak boleh sama sekali melakukan zina, mencuri, mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran. Jadi perbuatan buruk terhadap jiran anda itu amatlah salah. Melakukan zina atau melakukan pencurian terhadap jiran sepuluh kali ganda lebih buruk daripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga hadis Bukhari ada menyebut “Tidak beriman mereka yang menyakiti jiran.” Manakah lagi satu perbuatan keji selain daripada berzina dengan anak jiran atau mencuri hak mereka. Ia boleh diibaratkan membuang najis ke dalam periuk nasi. (b) Memelihara jiran Setiap daripada kita wajib nmemelihara jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi s.a.w. mengingatkan “Siapa yang memenuhi hajat jirannya, Allah akan memenuhkan hajatnya.” Kebalikan daripada kejahatan segala kebaikan hendaklah diberikan kepada jiran. (c) Berbuat baik kepada jiran. Dengan maksud jika jiran bergembira seperti dapat menantu, anak-anak lulus dengan baik dalam peperiksaan atau pelajaran, maka ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka kerana kematian keluarganya, berilah takziah, walaupun bukan seagama. Malah jika mereka ditimpai sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapalah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi Muhammad s.a.w. meletakkan mereka yang menghormati jiran itu sebagai tanda orang yang beriman. Sebagai orang yang dekat, jiranlah tempat kita memohon pertolongan apa sahaja keperluan .Kepada jiran dalam perkara ini melebihi keluarga sendiri yang tinggal jauh. Jika habis air, garam,beras atau keperluan harian yang lain, maka jiranlah tempat mengadu, apa lagi di kampung. Jika ada kenduri kendara memerlukan kawasan, mangkuk pinggan, atau peralatan dapur, siapa lagi jika bukan jiran yang menjadi tempat untuk meminta bantuan. Sikap dan perbuatan jiran anda yang di sebut di atas, bertentangan sama sekali dengan itu semua. Namun bagi kita pula hendaklah mengambil sikap dasar seterusnya. (d) Menanggung kejahatan jiran. Kata pepatah Melayu ‘‘Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali”. Memang jika diikutkan hati yang panas, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan mereka yang membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan yang paling mulia. Rasulullah s.a.w selalu memuji orang yang berlapang dada, mudah memaafkan, memberi kepada mereka yang enggan berbuat begitu kepada kita, malah menghubung silaturrahim dengan mereka yang memutuskan silaturrahim. Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan perpaduan. Jika ada ruang untuk membaiki keadaan secara baik, itulah jalan paling selamat. Justeru itu kita dituntut memiliki perasaan bersabar dan tidak mudah jadi pemarah. Jangan bersikap panas baran Dalam perkara ini pendidikan sejak awal perlu disemai, di mana setiap orang dididik agar tahu dan amalkan sikap berbaik-baik dengan jiran ini. Wallahualam. Komen (0) |
No comments:
Post a Comment