Rihat Minda


Sunday 17 July 2011

Lo’ Lo’ pesan PAS teruskan perjuangan termasuk isu Kampung Baru, kata suami

July 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Keluarga Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Ghazali berkata Ahli Parlimen Titiwangsa itu berpesan agar kepimpinan PAS meneruskan segala perjuangan yang masih belum selesai terutamanya isu Kampung Baru.

Menurut suaminya Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim, amanat itu dibuat sebelum Dr Lo’ Lo’ (gambar)menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang malam tadi.

“Beliau berpesan agar semua kerja hendaklah dibuat dengan betul dan segala perjuangan yang dilakukan beliau diteruskan.

“Beliau berkata mana-mana perjuangan beliau yang masih belum selesai agar diteruskan oleh Pakatan Rakyat terutamanya isu Kampung Baru dan sebagainya,” katanya kepada The Malaysian Insiderselepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Al-Akram dengan diimamkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 54, meninggal dunia kerana menghidap kanser.

Anak kelahiran Kuala Kangsar ini meninggalkan empat anak iaitu Mawaddah, 30, Muhd Fawwaz, 28, Sakinah,26, dan Muhd Farhan, 25.

Beliau juga mempunyai dua orang menantu Mohd Azizy (suami Mawaddah) dan Nur Hafizzah (isteri Fawwaz) serta seorang cucu bernama ‘Izz Nu’man.

Beliau yang dilahirkan pada 2 Ogos 1957 mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Conolly Ipoh, Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Sementara itu Fawwaz berkata ibunya turut berpesan agar kebajikan anak muda terus dijaga kerana golongan itu semakin jauh dari tuntutan agama.

“Ibu berpesan agar golongan muda diberi nasihat, didikan kerana kini ramai yang teruk akhla, jauhi zina,” katanya.

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive