Buku negara kebajikan PAS dilancar bulan depan, tekan tiga aspek penting
KUALA LUMPUR, 21 Julai — Buku negara berkebajikan ditulis Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) akan dilancarkan pertengahan bulan depan dan ia akan menekan tiga aspek penting bagi menjawab kritikan pesaing politik parti itu.
Setiausaha Akhbar Hadi, Nasaie Ismail berkata, buku setebal 50 muka surat itu menekankan soal pentadbiran negara yang gagal dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sepanjang memerintah negara.
Jelas beliau, buku negara berkebajikan yang akan dilancarkan serentak dengan dokumen negara berkebajikan menekankan tiga aspek utama yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.
Jelas beliau, buku negara berkebajikan itu tidak mempunyai sebarang percanggahan dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat.
Buku Jingga antara lain menggariskan program 100 hari pertama, yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
“Kandungan buku (negara berkebajikan) lebih kepada untuk memahami konsep negara berkebajikan kerana ada dua persoalan yang orang tanya sekarang ini, yang pertama adakah negara berkebajikan ini sama dengan ‘welfare state’ dan yang kedua Umno kata dah buat negara itu tapi yang kita jawab dalam buku itu tidak sama dengan apa yang Umno buat dan yang ketiga yang menjadi persoalan bagaimana dengan Buku Jingga.
“Negara berkebajikan ini bukan satu tawaran sehala bagaimana Buku Jingga, Buku Jingga adalah perkara-perkara yang ada dalam negara berkebajikan tetapi negara berkebajikan adalah konsep bernegara yang kita nak tunjukkan sebab yang kita hendak betulkan ini bukan satu bab sahaja.
“Kalau dalam Buku Jingga adalah janji 100 hari (pertama) Pakatan Rakyat tapi negara berkebajikan ini, kita nak tunjukkan konsep bernegara sebab yang rosak bukan aspek ekonomi sahaja, negara ini dirosakkan BN dalam semua aspek. Jadi kita nak gantikan negara yang BN bina sekarang ini dengan negara apa, negara berkebajikan,” kata Nasaie kepada The Malaysian Insider.
“Negara berkebajikan ini ada tiga ciri yang pertama negara berkebajikan ini mesti dipimpin oleh pemimpin dan rakyat yang berintegriti, berwibawa kalau dalam Islam kita sebut yang beriman.
“Pemimpin kalau dalam sudut agamanya dia jaga kemudian amalan-amalan yang diterima oleh semua pemimpin yang tidak rasuah, pemimpin yang tidak jadikan negara ini kepunyaan dirinya dan sebagainya.
“Yang penting pemimpin mesti berintegriti, kalau rakyat berintegriti tapi pemimpin tidak, tidak ada gunanya... kalau pemimpin berintegriti tapi rakyat porak-peranda tak guna juga,” katanya.
Panel pelaksana konsep negara berkebajikan dipengerusikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
Difahamkan dokumen negara berkebajikan sudah berada di peringkat akhir perincian.
Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama hari ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS pada 3 Jun lalu.
Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nasaie yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan berkata, konsep negara berkebajikan turut memberi penekanan terhadap pengagihan ekonomi yang adil kepada keseluruhan rakyat.
“Yang kedua agihan ekonomi yang adil, di situ termasuk Buku Jingga tapi Buku Jingga untuk 100 hari jadi tiada pencanggahan di situ. Keadilan ekonomi yang kita nak beri bukan bermakna ada satu pihak didahulukan dan ada satu pihak di kemudiankan, maknanya sama rata.
“Yang ketiga, negara yang berakhlak, negara yang berakhlak ini dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai ciri seperti tepati janji terutamanya dengan orang bukan Islam dan golongan minoriti, bersikap adil kepada semua, kalau mengenai ‘welfare state’, kita lihat pada hari ini, banyak yang sudah jatuh dari segi ekonomi tapi konsep yang kita nak bawa ini adalah konsep bernegara daripada pemimpin, rakyat dan agihan ekonomi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kandungan buku negara berkebajikan itu turut menyentuh agar pemerintah turut memberi tumpuan kepada hak minoriti dan rakyat kebanyakan yang diketepikan dalam pentadbiran BN.
“Negara berkebajikan juga memberi keutamaan kepada hak-hak minoriti sama ada ia berasaskan kaum atau etnik seperti di Sabah dan Sarawak atau Orang Asli ataupun jantina.
“Yang selama ini diketepikan adalah hak kebanyakan seperti petani, nelayan . . . mereka tiada slip gaji tapi perlukan rumah, nak kahwin dan golongan ini yang kerajaan perlu bagi inisiatif dalam negara berkebajikan. Kita nak buat lain daripada apa yang Umno dah buat, lawan kepada negara berkebajikan adalah negara keangkuha, ini adalah dalam buku itu,” katanya.
Kata Nasaie, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dalam tulisannya turut membuat perbandingan antara negara berkebajikan iaitu negara keangkuhan.
“Negara keangkuhan ini contohnya Firaun, Namrud dan sebagainya kalau dalam sejarah tapi zaman sekarang Umno ini kita sebut negara keangkuhan,” katanya.
No comments:
Post a Comment