Rihat Minda


Saturday, 30 May 2009

PERSIAPAN MENGHADAPI MATI

Seseorang pemain bola yang baik, tidak akan mampu bermain bola sehingga mencapai kemenangan, jika dia tidak mempunyai latihan yang bagus. Begitujuga dalam menghadapi segala mehnah selepas dari mati.

Apa yang pasti, selepas kematian, bukan mulut lagi berkata; bukan akal lagi berfikir untuk menjawab segala soalan-soalan yang ditanya, malah yang menjawab ketika itu adalah anggota badan manusia.

Firman Allah;

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya;
“Hari ini, kami kunci mulut-mulut mereka, lalu bercakaplah tangan-tangan mereka, dan bersaksilah kaki-kaki mereka dengan apa yang mereka usahakan”

(Surah Yasin : 65) 


Begitujuga dalam hadis ada menyebut, bahawa bagi mereka yang sering beramal soleh, segala amalan-amalan tersebut akan berbicara di depan Allah dengan tujuan memberikan syafaat kepada mereka yang beramal soleh.

Sabda Nabi SAW;

تَجِيءُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَتَجِيءُ الصَّلَاةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّلَاةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ فَتَجِيءُ الصَّدَقَةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّدَقَةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الصِّيَامُ فَيَقُولُ أَيْ يَا رَبِّ أَنَا الصِّيَامُ فَيَقُولُ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكَ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنْتَ السَّلَامُ وَأَنَا الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ بِكَ الْيَوْمَ آخُذُ وَبِكَ أُعْطِي فَقَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي كِتَابِهِ { وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ }

Maksudnya;
“Amalan-amalan akan datang pada hari kiamat; solat datang mengadap Allah seraya berkata; Wahai tuhan, aku solat (aku datang untuk memberi syafaat kepada orang yang solat). Lalu menjawab Allah : kamu datang dengan tujuan baik (tapi tidak memadai). Kemudian datang pula Sedekah seraya berkata; Wahai tuhan, aku sedekah. Lalu menjawab Allah; kamu datang dengan tujuan yang baik. Kemudian datang pula puasa seraya berkata; Wahai tuhan, Aku puasa. Lalu menjawab Allah; kamu datang dengan tujuan yang baik. Kemudian datang segala amalan-amalan yang lain seraya berkata seperti berkatanya amalan-amalan yang lepas. Mendengar itu, Allah SWT menjawab; kamu semua datang dengan tujuan baik. Kemudiannya datang Islam seraya berkata; Wahai tuhan, kamu tuhan yang bernama As-Salam sedangkan aku adalah Islam. lalu menjawab Allah; kamu datang dengan tujuan baik. Dengan sebab kamu datang pada hari ini, aku menerima segala amalan yang lain dan dengan sebab kamu datang, aku akan membalas pahala terhadap segala amalan-amalan yang dilakukan. Lalu Allah SWT membaca firman-Nya dalam Al-Quran yang bermaksud ”barangsiapa yang mencari selain islam sebagai agama, maka dia tidak akan diterima. Dan dia di hari akhirat daripada kalangan orang-orang yang rugi
[1]

Apabila diketahui bahawa di akhirat nanti bukan mulut lagi bercakap, malah yang bercakap ketika itu adalah amalan dan anggota badan manusia, menyebabkan manusia tidak dapat tidak terpaksa menyiapkan diri dengan amalan-amalan soleh yang baik, disamping aqidah yang mantap dalam mengadapi kematian.

INGAT MATI

Latihan yang paling baik sebagai persiapan untuk menghadapi kematian adalah mengingati mati; dengan meninggalkan ingatan kita kepada perkara yang boleh menyeronokkan kita kepada kesedapan hidup di dunia.

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda;

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ

Maksudnya;
“perbanyakkan mengingati perkara yang boleh menghindarkan keenakkan (iaitu kematian)
[2]

Menurut Imam Al-Qurtubi, beliau menyebut bahawa ulama-ulama tasawwuf ada menyatakan bahawa hadis ini adalah perkataan Nabi SAW yang ringkas, tetapi mempunyai maksud yang cukup padat. Ia mengandungi peringatan dan pesanan yang cukup mendalam. Ini kerana, mengingati mati merupakan hakikat yang paling kukuh untuk merendahkan kehendak dalam mencapai keseronokkan hidup di dunia yang dengannya melahirkan zuhud dihadapan Allah SWT
[3].

Apabila manusia meletakkan ingatannya kepada mati, ia akan melahirkan perasaan zuhud daripada melekakan diri dari melayan kehendak nafsu. Dengan itu, terhindarlah diri seseorang itu daripada melakukan maksiat kepada Allah, bahkan akan bersungguh-sungguh dalam melakukan taat kepada Allah SWT.

Tindakan manusia yang tidak mahu mengingati mati, malah sering melayan kehendak nafsu; leka dengan keseronokkan dunia, maka tindakan itu sebenarnya melambangkan kebodohannya dalam menjalani kehidupannya di atas muka bumi Allah.

Masakan tidak, ini kerana walaupun mereka leka dengan kehidupan di dunia, tetapi sebenarnya mereka seakan-akan menafikan sesuatu hakikat yang mereka sendiri terpaksa hadapi, iaitu mereka pasti akan dimatikan oleh Allah SWT dan kemudiannya akan dihidupkan balik dan kekal dengan kehidupan itu sampai bila-bila.

Ekoran dari itulah, tidak hairan kita akan dapati Nabi SAW menggambarkan bentuk dan ciri-ciri mukmin yang paling cerdik adalah mereka yang sering mengingati mati. Hal ini dinyatakan menerusi satu hadis daripada Ibni Omar yang berkata, bahawa beliau suatu hari bersama rasulullah SAW. Lalu datang seorang lelaki ansar kepada baginda SAW. Dia memberi salam kemudian bertanya;

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ

Maksudnya;
”Ya Rasulullah SAW, Siapakah orang mukmin yang paling afdhal? Nabi SAW menjawab : orang yang paling baik akhlaknya. Bertanya lagi; siapakah dikalangan mukmin yang paling cerdik? Nabi SAW menjawab : mereka yang paling banyak mengingati mati, dan melakukan sebaik-baik persiapan untuk menghadapi kehidupan selepas daripada mati. Merekalah orang yang paling cerdik
[4]

Nyatanya, kecerdikan mengikut konsep Nabawi adalah dengan mengingati mati. Dengan mengingati mati, mewarisi perasaan berhati-hati ketika berada di mahligai sementara, disamping mempunyai kesungguhan di setiap detik dalam usaha untuk mencapai mahligai yang kekal abadi.

Ingatan kepada mati ini adalah perkara yang penting, ini kerana, manusia tidak pernah diberitahu secara tetap; masa dan tempat mereka akan dimatikan. Justeru, melupakan perkara keseronokkan dunia, bisa melahirkan perasaan ingatkan mati. Makanya, manusia akan sentiasa beribadat dengan bersungguh-sungguh, kerana mereka sebenarnya berada dalam persiapan menuju alam akhirat yang penuh dengan pancaroba yang maha hebat.

Memahami inilah, pasti kita tidak akan hairan seorang ulama bernama Ibnu Ad-Daqaiq ada menyebut bahawa apabila seseorang itu telah mengingati mati, dia telah dimuliakan Allah dengan dia melakukan tiga perkara, iaitu (1) sentiasa bersegera dalam bertaubat, (2) hatinya sentiasa berpuas hati dengan Allah, (3) badannya akan cergas dalam melakukan ibadat. Pun begitu, Ibnu Ad-Daqaiq menyatakan juga, jika seseorang itu lalai dari mengingati mati, dia akan akan dihina oleh Allah dengan dia melakukan tiga perkara, iaitu, (1) melengah-lengahkan bertaubat, (2) sentiasa tidak berpuas hati dengan Allah, (3) malas dalam melakukan ibadat kepada Allah SWT
[5].

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive