DEB Adalah Indikator Kegagalan Kerajaan BN! Posted on Thursday, February 16 @ 03:16:29 PST Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur |
Oleh Riduan Mohd Nor
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi titah ucapan Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah yang menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamat untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.
Bagi DPPM, ucapan Dr Raja Nazrin lahir dari keikhlasan hati beliau melihat kegagalan Dasar Ekonomi Baru dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
DPPM merasakan Dr Raja Nazrin Shah sememangnya seorang yang prihatin terhadap nasib dan masa depan rakyat sehingga menjadikan isu pembangunan rakyat dan ekonomi negara dalam ucapan baginda. Justeru amat bertepatan isu kegagalan DEB diangkat sebagai isu utama untuk diberi perhatian.
DPPM menganggap titah ucapan Dr Raja Nazrin Shah wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Dalam titah baginda juga menyebut bahawa kajian menunjukkan hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya. Ini menunjukkan ada pihak yang menyalahgunakan DEB utnuk kepentingan dirinya mereka, bukan untuk kepentingan orang Melayu seperti niat asalnya.
Ini juga menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada pelaksanaan DEB sejak ia dilancarkan sehingga kini. Meskipun niat asal penubuhan DEB amat baik tetapi mengapa ia gagal dan tidak menepati matlamat setelah beberapa tahun ia dilaksanakan? Mungkinkah amalan rasuah, ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan wang oleh segelintir mereka yang berkuasa, pelaksanaan yang lemah, pentadbiran yang tidak cekap, sikap monopoli, amalan kronisme sebagai faktor kegagalan?
Yang lebih menghairankan adalah, mengapa orang Melayu pada hari ini masih ramai yang berada di bawah paras kemiskinan dan tidak ramai yang mampu berdaya saing dengan bangsa lain dalam aspek ekonomi dan perniagaan. Ramai orang Melayu ketinggalan serta terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan gergasi perniagaan di negara ini yang dimiliki oleh bangsa lain. Rakyat juga merasa musykil kerana meskipun negara ini memiliki aset dan kekayaan yang melimpah ruah namun semakin ramai rakyat terutama orang Melayu hidup merempat di bumi sendiri.
Apa yang pasti, kegagalan DEB membuktikan kegagalan kerajaan menguruskan negara selama ini. Sudah cukuplah kegagalan ini menjadi indikator bahawa rakyat di negara ini perlu menukar kepada kerajaan yang telus, bersih dan amanah!
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment