Undi Pakatan Rakyat sebelum Malaysia bankrap
Aziz Muda, | 14 Januari 2012 |
ALOR SETAR, 14 Jan: Seluruh rakyat negara ini diingatkan agar jangan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, sebaliknya perlu berbuat demikian pada Pilihan raya Umum ke-13 akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu(gambar) berkata, tindakan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 amat penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat menyelamatkan negara dari kejadian itu.
Menurutnya, sekiranya undi diberikan kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, ia sudah tidak bermakna lagi kerana tindakan tersebut ternyata telah terlewat
"Jadi untuk menyelamatkan Malaysia, undilah Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 ini. Jangan beri undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap.
"Kalau diberikan undi kepada Pakatan Rakyat setelah Malaysia bankrap, kami pun tak nak sebab kami tak mahu dikatakan kerajaan bankrap," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.
Katanya, setiap rakyat negara ini perlu sedar, menurutnya, kenyataan mengenai Malaysia akan bankrap bukan rekaan tetapi ia diramalkan oleh tokoh ekonomi sendiri, Datuk Idris Jala dan kejadian itu diramalkan berlaku pada tahun 2019 nanti jika langkah-langkah mengatasinya tidak dilakukan.
Ramalan tersebut dibuat berdasarkan realiti yang berlaku di Malaysia sekarang di bawah pemerintahan BN yang penuh rasuah, penyelewengan, pembaziran wang rakyat sehingga hutang negara semakin meningkat melebihi RM450 bilion sekarang.
Mohamad Sabu menambah, ramalan Datuk Idris itu jelas menunjukkan rakyat negara ini sudah tidak boleh lagi memberikan kepercayaan kepada para pemimpin Umno BN untuk memerintah negara ini kerana mereka ternyata gagal menyelamatkan negara dari bankrap.
"Sebaliknya jika BN menang dalam pilihan raya nanti, Malaysia akan bankrap. Kata-kata ini mesti diratib selalu kepada orang ramai bagi menyedarkan rakyat mengenai perkara itu untuk menyelamatkan Malaysia dari kemusnahan jika terus menyokong Umno BN," ujarnya.
Konvensyen tersebut dihadiri kesemua pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am PAS dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
No comments:
Post a Comment