Dakwaan Kes Rasuah PM Mencabar Kredibiliti SPRM Posted on Friday, May 04 @ 16:17:26 PDT Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur |
Oleh Riduan Mohd Nor
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat dakwaan kes rasuah berjumlah USD 1 bilion yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjadi skandal paling besar dan memalukan dalam sejarah negara. Skandal yang dibuka di mahkamah Perancis telah menemukan satu dokumen yang memeranjatkan iaitu dakwaanMenteri Pertahanan ketika itu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta USD1 bilion sebagai "syarat" untuk satu pertemuan antara beliau dan DCNI (syarikat pembinaan kapal yang menjual kapal selam ke Malaysia).
DPPM berpendapat, dakwaan ini amat serius dan ia amat mencemarkan maruah negara dan memalukan rakyat di negara ini. Malah imej Malaysia sebagai sebuah negara umat Islam turut terjejas teruk. Ini kerana kes ini melibatkan pemimpin nombor satu negara dan ia dibicarakan pula di mahkamah Perancis. Sudah tentu, banyak rahsia akan terbongkar yang melibatkan sikap keji dan rakus pemimpin itu. Kes ini pula akan‘meletupkan’ sebuah penceritaan yang tidak selesai iaitu kaitan antara Altantuya Shaariibuu dengan pemimpin negara serta Abdul Razak Baginda sehingga berlakunya kes pembunuhan model ini.
Kes ini juga menjadi penanda aras adakah institusi kerajaan benar-benar bebas dan berfungsi dengan betul atau semua slogan transformasi yang dilaungkan oleh PM hanyalah retorik semata-mata. Dalam hal ini, kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan teruji dengan desakan oleh banyak pihak untuk menyiasat dakwaan ini. Adakah SPRM benar-benar jujur dan telus menyiasat kes ini sehingga membuktikan pelakunya bersalah meskipun melibatkan pemimpin nombor satu negara, atau mungkin ia akan menjadi episod malang apabila satu lagi kes besar akan disapu dan disorok di ‘bawah karpet’? Bagaimana mungkin SPRM akan tidak menemukan apa-apa bukti kesalahan jika sekiranya mahkamah Perancis membuktikan sebaliknya?
Yang pasti, semua pihak sedang menunggu kesudahan kes ini untuk diselesaikan. Kebenaran perlu ditegakkan sekalipun ia amat pahit untuk ditelan. Diharapkan tiada siapa yang akan dikorbankan atau ‘dikambing hitamkan’, hanya untuk mempertahankan seorang individu yang sedang berkuasa sekarang.
Disediakan oleh;
RIDUAN MOHD NORKetua PeneranganDewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment