Betulkah mempertahankan UMNO itu lebih utama dari mempertahankan hukum Tuhan? Posted on Friday, May 04 @ 11:00:00 PDT Dilulus untuk paparan oleh teori |
Oleh Aspan Alias
Saya terbaca berita dari Malaysiakini dan saya tertarik dengan isu bukti yang melibatkan PM Najib dalam pembelian dua buah kapal selam Scorpene dari DCNI Perancis yang dihebohkan oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Isu Scorpene ini telah menjadi buah mulut rakyat sejak beberapa tahun yang lalu di mana-mana kita duduk dan berbincang-bincang soal negara kita.
Oleh kerana ia melibatkan duit rakyat yang berbillion, ia sudah tentulah menjadi isu yang sentiasa dibibir rakyat yang kini sedang melakukan ‘soul-searching’ dalam pilihanraya yang akan datang ini. Isu Scorpene ini adalah salah satu dari isu untuk rakyat menjadikan isu penentuan dalam pilihanraya yang akan datang ini.
Pendakwa mendapati Najib telah meminta wang dari DCNI sebanyak USD1 billion untuk Parimekar Sdn Bhd sebagai syarat untuk bertemu dengan beliau dan Parimekar ini adalah syarikat kepunyaan Razak Baginda seperti yang diketahui oleh orang ramai. Jika dakwaan ini benar kejadian ini merupakan satu titik hitam keatas kepimpinan negara kita dan tidak pernah perkara seperti ini didakwa kepada mana-mana pemimpin negara kita.
Dakwaan ini merupakan dakwaan yang terlalu serius dan jika ada sedikit kebenaran terhadap dakwaan ini Najib hanya mempunyai satu langkah yang beliau perlu ambil; iaitu untuk meletakkan jawatan kerana apa yang didakwa itu bukan sahaja menjejaskan nama baik negara tetapi juga nama baik rakyat negara kerana mempunyai pemimpin yang merelakan dirinya menjadi isu yang menjadi fokus rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Bagaimana negara kita boleh berhadapan dengan pemimpin seperti ini kerana imej pemimpin sebuah negara yang kononnya berdemokrasi sepatutnya tidak aka berhadapan dengan isu seburuk ini.
Apa yang disebut oleh pendakwa Perancis ini sangat mudah diyakini oleh rakyat kerana itu pun stigma yang ada kepada pemimpin-pemimpin kita sejak dua tiga dekad dahulu. Baru sahaja kita dimakluman bahawa bekas PM Abdullah telah dikatakan menerima sejumlah wang yang begitu besar untuk membenarkan serta meluluskan kehadiran Lynas di Gebeng Kuantan.
Semua isu yang dikaitkan dengan pimpinan kita tertumpu kepada wang ringgit yang banyak dan kesemuanya melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai. Dalam isu yang dikaitkan dengan Najib ini ia merupakan isu yang tealh diperkatakan oleh rakyat dengan meluas kerana isu ini merupakan isu yang juga mengaitkan pembunuhan gadis Monggolia, Altantuya.
Kita wajar mempercayai yang ‘nature’ akhirnya akan menunjukkan kebenaran. Jika isu seperti ini berlaku dinegara Jepun, misalnya, sudah pasti PMnya akan berhenti dengan meletakkan jawatan kerana seorang PM wajar mempunyai maruah dan harga diri yang tinggi. Isu seperti ini merupakan isu maruah serta etika kepimpinan. Perkara ini bukan boleh dipermain-mainkan dan diambil sambil lewa sahaja. Tidak payahlah memberikan alasan yang isu seperti ini adalah isu yang diperbesarkan oleh kuasa asing kononnya untuk memecah belahkan kita.
Rakyat sudah terlalu jemu dengan isu-isu buruk yang dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin besar nagara. Sekarang kita tunggu sahaja larutan kepada isu Najib dan Scorpene ini. Saya tidak faham kenapa Najib masih melekat kepada jawatan beliau sedangkan yang dipertaruhkan ini adalah maruah negara yang merdeka. Terlalu banyak isu tentang rasuah dan penyalah gunaan kuasa oleh pimpinan kerajaan hari ini.
Tidak boleh dipersalahakan jika menganggap BN dan rasuah itu seperti aur dengan tebing, saling memerlukan diantara satu dengan lain. Kalaulah UMNO itu masih sinonim dengan perjuangan, pimpinannya tidak akan terlibat dengan kes-kes yang membosankan rakyat.
Blog ini selalu berkata, pimpinan kita tidak serius untuk membendung kemungkaran ekonomi dan politik. Kalaulah pimpinan kita melakukan pembetulan dari awal, tidak mungkin UMNO dan BN akan menghadapi cemuhan rakyat sedemikian rupa. Sepatutnya UMNO telah mengenepikan pimpinan tidak berguna dari dulu lagi.
Sepatutnya UMNO mengambil tindakan dengan membuang sesiapa yang tidak berkelakuan baik; seperti kita memakan tebu: busuk seruas buang seruas. Tetapi kini sudah terlambat untuk membetulkan keadaan seperti makan tebu tadi, kerana setiap ruas dibatang tebu itu telah busuk kesemuanya. Seluruh batang tebu itu patut dibuang.
Rakyat sudah sedar tentang tipu muslihat pimpinan kita. Rakyat sudah sedar yang pimpinan hari ini menggunakan jawatan mereka untuk berniaga dengan bermodalkan mandat rakyat dan pembayar-pembayar cukai cukai. Jika rakyat sedar dan marah, maka rakyat pula dituduh sebagai tidak patriotik dan pengkhianat bangsa dan negara. Sedangkan tindakan mereka itu merupakan pengkhianatan besar yang tidak ada tolok bandingnya kepada rakyat dan negara.
Bak kata Dr Mahathir beberapa ketika dahulu, UMNO telah busuk hingga ke ususnya. Kata-katanya itu benar. Hanya yang beliau terlupa hendak sebut, dizaman siapa yang kebusukan ini mula menular?
UMNO telah memerintah terlalu lama sehinggakan mereka ingat yang negara ini mereka yang punya. Melawan UMNO sudah mereka anggap sebagai dosa besar dan telah di samakan seperti seorang Islam yang murtad. Mereka yang menentang dan meninggalkan UMNO itu dihina dan dinesta. Tetapi melakukan rasuah tidak pula dihina seolah-olah menentang UMNO itu lebih besar dosanya dari melakukan rasuah.
UMNO kepada mereka adalah yang paling utama; Tuhan dan agama itu jatuh nombor dua, ketiga, keempat dan seterusnya.
No comments:
Post a Comment