Rihat Minda


Saturday 16 July 2011

Boleh buka pusat hiburan, tapi hanya untuk pelanggan bukan Islam
Posted on Saturday, July 16 @ 23:28:10 PDT
Dilulus untuk paparan oleh aya

Berita Oleh Muslim

ALOR SETAR, 17 Julai 2011 – Demi menjaga kepentingan bersama dan untuk membolehkan penyelesaian ‘menang-menang’ dicapai mengenai isu larangan pusat hiburan beroperasi di bulan Ramadhan baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kedah membenarkan pusat hiburan dibuka sepanjang Ramadhan tetapi bersyarat.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, operasi pusat hiburan dapat diteruskan seperti biasa jika beberapa syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi antaranya tidak membenarkan orang Islam memasuki premis berkenaan dan ianya juga adalah demi menjaga kepentingan kira-kira 300 pengusaha pusat hiburan di Kedah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis penyerahan memorandum jawatankuasa penyelaras pengusaha hiburan oleh Dewan Perhimpunan Cina (DPC) Kedah kepada beliau di Seri Mentalon.

“Bagi mendapatkan persetujuan bersama dalam soal penetapan syarat, kita telah mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berjumpa dengan pengusaha-pengusaha pusat hiburan.

“Selain itu, mengenai penetapan syarat, kita lihat bagaimana perbincangan di antara SUK dengan pengusaha dan mungkin beberapa syarat berat diletakkan seperti menarik balik lesen operasi sekiranya pengusaha membenarkan orang Islam memasuki pusat hiburan mereka,” terangnya.

Katanya lagi, walaubagaimanapun terpulang kepada kerajaan negeri untuk menentukan syarat-syarat yang sesuai memandangkan ianya dibuat untuk menyelesaikan masalah dan bukan untuk menambah masalah.

Demi menjaga kesucian bulan Ramadhan, umat Islam sememangnya tidak dibenarkan memasuki pusat hiburan yang mempunyai arak.

Turut hadir, Penasihat Dewan Perhimpunan Cina (DPC) Kedah, Tan Sri Wiliam Chek Lin Kwai, Timbalan Pengerusi, Dato’ Tan Son Lee dan Bendahari DPC Kedah, Oon Pheng Khoon.

“Untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai maka kerajaan negeri turut mengarahkan SUK dan pentadbiran kerajaan negeri untuk menyenaraikan jenis pusat hiburan yang dibenarkan beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

“Selain itu, sebelum ini ramai orang kata cyber kafe, bowling dan pusat snuker tidak dibenarkan sedangkan ianya lebih kepada sekadar pusat rekreasi berbanding pusat hiburan,” katanya.

Tambah Dato’ Azizan, penguatkuasaan Enakmen 1997 juga memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk membanteras kewujudan pusat hiburan haram dan tidak berlesen yang banyak beroperasi terutamanya di luar bandar.

Sementara itu, Pengerusi DPC Dato’ Cheng Lai Hock menafikan bahawa ada pengusaha yang berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dan menganggap keyataan itu hanya dikemukakan pemimpin parti politik tertentu.

“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana melonggarkan syarat penguatkuasaan Enakmen 1997 dan bersedia menerima mempertimbangkan rayuan kira-kira 300 pengusaha pusat hiburan di Kedah.

“Dalam memastikan perniagaan mereka beroperasi di bulan Ramadhan, pengusaha-pengusaha pusat hiburan sudah menyatakan kesediaan untuk memenuhi apa jua ketetapan kerajaan negeri termasuk melarang umat Islam memasuki premis mereka,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, DPC juga menyerahkan satu memorandum rayuan kepada Dato’ Seri Azizan untuk mempertimbangkan nasib pengusaha dan kira-kira 6 ribu pekerja pusat hiburan dan kami amat bebesar hati kerana ianya dapat diselesaikan secara menang-menang.

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive