Rihat Minda


Sunday, 31 January 2010

Wahai ustaz...ayuh ke masjid

Sorang ustaz bukan sang pertapa yang duduk bersila atas batu besar dalam gua, melihat anak muridnya menunjukan pencak silat. Seorang ustaz bukan seorang sufi yang berjubah putih atau hitam duduk dalam biliknya larut dalam khalwat dan zikir. Seorang ustaz bukan seorang pengkarya yang sibuk dan bergelut di depan komputer mengarang kitab-kitab yang katanya akan diterbitkan buat menyirami nurani masyarakat. Seorang ustaz bukan seorang guru sekolah yang pergi sekolah atau madrasah sebagai rutin harian, kemudian pulang tidur bersama anak isteri dan hanya keluar semula esok paginya.

Tidak sayugia seorang ustaz hanya mengenal kerjayanya. Seorang tukang sapu sampah kadang-kadang jauh lebih mengenal kerjayanya berbanding seorang ustaz yang mengenal kerjaya gurunya. Ketaatan seorang bonzer yang mengawal kelab malam dalam menjalankan tugasnya lebih daripada ketaatan seorang ustaz dalam menjalankan tugas keguruannya.

Seorang peserta konvensyen dakwah bertanya kepada Ust. Nasaruddin Hasan semasa sesi soal jawab dalam slotnya tentang masalah ustaz-ustaz yang tidak keluar solat berjemaah.

"Ustaz tempatnya di masjid...", demikian jawapan Ust. Nasaruddin Hasan, "kalau ustaz tidak ke masjid, bagaimana dia mahu berdakwah orang lain ke masjid?".

Tiada penyelesaian mudah buat mengurai keengganan ramai ustaz untuk muncul bersolat jemaah di masjid.

Tiadalah harga pada seorang bergelar ustaz yang liat untuk ke masjid. Pergi ke masjid adalah syiar orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah SWT:


إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله واليوم الآخر وأقام الصلاة وآتى الزكاة ولم يخشَ إلا الله فعسى أولئك أن يكونوا من المهتدين
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah At-Taubah: 18)
Sungguh terkedu tatkala mendengar alasan ghuyubnya sebilangan ustaz dari masjid dan surau.

"Ana solat dengan anak isteri...tiada yang boleh mengimamkan mereka, kesihan isteri ana...solat seorang diri...dia pun nak pahala jemaah...",

" Ana tak yakin dengan kesucian carpet di surau...bernajis...banyak tahi cicak jatuh, dibuang dengan penyapu, tapi kesannya masih ada...mana suci kalau begitu",

" Ana solat di rumah lebih khusyuk...mendapat khusyuk dalam solat lebih utama",

" Ana tak yakin dengan bacaan imam yang satu tu, sebutan huruf 'dhod'nya ketika menyebut ghairil maghdhu bi 'alaihim tak tepat...:,

" Ana takut riak...baik solat di rumah sahaja...ikhlas",

Allahumma ya laital ustaz...

Begitu banyak alasan yang boleh dilontarkan. Biar seribu alasan, berhujjahlah di depan Allah di akhirat kelak. Kalaulah alasan itu akan diterima...

Alangkah terharu melihat seorang pakcik tua yang istiqamah ke masjid dan surau dalam keadaan ghaut mengganggu sendi lututnya. Sedang ustaz punya sepasang lutut tangkas buat meloncat lincah memburu bulu tangkis badminton. Sungguh malu, melihat seorang pakcik yang telah pencen, berjalan kaki ke surau, sedang ustaz punya motosikal buat meluncur segera ke masjid dan surau tanpa membuang waktu menghitung batuan aspal.

Wahai ustaz...ayuhlah ke masjid. Di sanalah kita suruh orang berjumpa kita saat ingin bertemu.

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive