Rihat Minda


Sunday, 17 January 2010

GENERASI MASA DEPAN TIDAK SOLAT


Sedih sekali apabila kita melihat generasi masa depan kita tidak sujud kepada penciptanya. Sebenarnya isu inilah yang lebih bahaya bagi Umat Islam di bumi Malaysia daripada mempertahankan kalimah Allah.

Tulisan ini adalah rentetan pengalaman penulis sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang. Hati mana yang tidak terluka apabila hanya 2 orang daripada 40 orang anak murid dalam kelas yang menunaikan solat Subuh. Bila masuk ke kelas yang pelajarnya agak pandai berbanding kelas lain, ternyata jawapan yang diberikan adalah terlalu hampa.

Teringat kisah Maulana Umar sewaktu berada di dalam kapal terbang bersama seorang Atheis dari Eropah. Antara perbualan yang terjadi adalah :

Atheis : Bagaimanakah tuan boleh mempercayai pembalasan selepas kematian sedangkan ianya tidak pernah kelihatan langsung?

Maulana : Saya meyakini adanya balasan selepas kematian. Dengan sebab itu saya menunaikan solat sebagai persediaan.

Atheis : Bagaimanakah sekiranya selepas tuan mati nanti, tuan dapati tiada pembalasan selepas kematian? Tidakkah sia-sia sahaja segala solat dan persediaan tuan selama ini?

Maulana : Ok...baiklah..sekiranya selepas saya mati nanti tiada sebarang pembalasan, maka saya tidak akan rugi apa-apapun. Persoalannya...bagaimanakah sekiranya saya mati nanti, benar-benar adanya hari pembalasan? Sudah semestinya saya untung sebab sudah bersedia menghadapinya...Dan tuan yang tidak mempercayainya begitu juga langsung tidak membuat persediaan menghadapinya berada dalam keadaan bahaya....

Ya....Tuan sekarang berada dalam keadaan yang amat bahaya!!!...

Itulah sebahagian kisah seorang Maulana yang mengibaratkan bahawa meninggalkan solat itu mendekatkan diri kita dalam jurang yang bahaya.

Justeru, beberapa isu yang ingin dibangkitkan disini berkaitan dengan isu kanak-kanak sekolah dan pelajar sekolah menengah dengan solat 5 waktu :

1 ) Rata-rata pelajar sekolah masakini tidak sempat untuk solat subuh terutamanya di bandar-bandar besar. Antara faktor yang dapat dilihat adalah, mereka terpaksa menunggu bas sekolah seawal pukul 6 pagi. Apabila mereka ke sekolah, surau di sekolah pun masih gelap tanpa berpenghuni. Di harap masalah ini dapat diselesaikan dengan mengadakan solat subuh secara berjemaah di surau sekolah.

2 ) Solat Zohor di surau sekolah merupakan ko kurikulum wajib di sekolah. Jadual yang sistematik perlu diatur oleh ustaz-ustaz di sekolah bagi selari dengan silibus pembelajaran. Inilah salah satu cara yang termampu untuk pihak sekolah membantu mendidik budaya solat dikalangan generasi masa depan kita. Sedangkan waktu Asar, Magrib, Isya' dan Subuh semuanya di bawah tarbiyyah ibu bapa masing-masing.

3 ) Setiap program sukan di waktu petang, pastikan mereka melakukan solat Asar di Surau. Didikan dan ilmu yang benar dalam memudahkan anak muda untuk solat mestilah diajar oleh guru masing-masing. Alasan lapuk seperti baju kotor, badan berpeluh dan sebagainya bukanlah penghalang untuk menunaikan solat. Ini kerana peluh dan baju yang kotor tidak membatalkan solat sekiranya ianya tidak ada najis.

4 ) Nasihat yang berkesan daripada ustaz ustazah di sekolah kepada ibu bapa pelajar berkenaan kepentingan solat. Terutamanya ketika Hari Akademik Pelajar,Hari ko Kurikulum yang mempertemukan Ibu bapa dan guru. Ini kerana, bagi orang Islam, kejayaan dalam akademik amat berkait rapat dengan antara hubungan makhluk dan Allah SWT.

Kesimpulannya disini, asas kepada tarbiyyah kearah generasi masa depan yang tidak mengabaikan solat adalah bermula daripada didikan ibu bapa sendiri. Sekiranya anda tidak mampu menahan sebak melihat anak anda dalam keadaan parah akibat kemalangan jalan ray, sekiranya anda tidak sanggup membiarkan anak anda terjatuh ke dalam jurang yang dalam, lalu anda dengan segera menggapai tangan anak anda dari terjatuh.....Apalah kiranya dibandingkan ianya dengan seksaan Allah SWT yang amat pedih.

Seksaan meninggalkan solat jauh lebih teruk dari beratus-ratus kali kemalangan ngeri yang berlaku di atas muka bumi. Jurang neraka yang dalamnya sejauh mata memandang lebih patut anda geruni berbanding jurang di dunia.

Wahai ibu bapa seluruh dunia....Tidak sayangkah kamu kepada Anakmu??

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive