Bersama Dr Yusuf Qardawi di Shah Alam
www.iluvislam.com
Asniza
Editor : GonjengPO
www.iluvislam.com
Asniza
Editor : GonjengPO
Sempena sambutan Maal Hijrah 1431H, Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf Al-Qaradawi telah dipilih oleh pihak Kerajaan Malaysia sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvesyen Putrajaya. Bersama seorang teman, di hadapan televisyen, kami melihat upacara penganugerahan tersebut, sambil tak putus-putus memuji beliau. Dalam dunia Islam, beliau bukan calang-calang orang dan pandangannya sering mendapat perhatian dunia. Dalam hati terdetik, teringin juga bertemu dengan beliau. Bukan selalu beliau menjejakkan kaki ke bumi Malaysia, saya mula memasang niat.
Dr. Yusuf Al-Qaradawi
Alhamdulillah, dengan izin Allah juga adanya, walaupun jadual seharian agak 'pack', saya berkesempatan juga untuk menghadirkan diri ke Majlis Ceramah Perdana beliau yang berlansung di Masjid Negeri Selangor, Shah Alam.
Setelah beliau mengimamkan solat maghrib, majlis ilmu terus berlansung. Beliau memulakan ucapan tentang hubungan beliau dengan Malaysia yang telah terbina sejak tahun 1974 melalui Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Kemudian, beliau mula mengupas ibrah atau pengajaran yang dapat diambil daripada kisah hijrah Rasulullah SAW. Beliau turut mengingatkan, dalam kita membaca sirah Nabi, kita juga harus berhati-hati dan tahu membezakan mana kisah hakikat dan mana pula kisah khurafat.
Kita kadang-kadang terlalu mengagungkan kisah yang tidak diyakini sepenuhnya samada benar atau tidak, contohnya mengenai kisah labah-labah dan burung merpati, sehingga kita lupa kisah yang tercatit dalam Al-Quran, di mana telah tertulis, Allah telah menghantar 'bantuan' dari langit untuk membantu Nabi ketika penghijrahan Nabi saw itu terjadi.
Ketika Saidina Abu Bakar dalam kerisauan, bimbang sekiranya tempat persembunyian mereka diketahui musuh, Nabi saw dengan tenang mengingatkan Abu Bakar supaya tidak takut, yakin bahawa selain daripada mereka berdua, Allah ada bersama mereka dan Allah akan membantu mereka memperoleh kemenangan.
Hijrah itu adalah kemenangan, menang kerana mereka berjaya pertahankan akidah dan agama mereka.
Hijrah itu adalah kemenangan, menang kerana mereka berpindah dari tempat dan keadaan yang kurang baik ke keadaan yang lebih baik.
Dapat disimpulkan dari ucapan Yusuf Qardawi pada malam itu yakni, pertama, nasrun minAllah (pertolongan daripada Allah yang menjelaskan Allah membantu Rasul-Nya menerusi tentera yang tidak dilihat).
Kedua, afdhal al-takhthith al-basyari (sebaik-baik perancangan manusia) adalah ketika Rasulullah SAW mengatur perancangan untuk melakukan hijrah.
Bagaimana mereka bergerak tanpa disedari pihak musyrikin, bagaimana pula peranan Asma' dan sahabat-sahabat lain dalam memastikan penghijrahan mereka berjaya dan sebagainya.
Ketiga, ta'sis al-mujtama' al-muslim (pembinaan masyarakat Islam di Madinah). Yakni apa yang dilakukan baginda Nabi saw setelah tiba ke Madinah. Sebaik sahaja tiba di Madinah, Nabi saw mendirikan masjid, bukan sahaja sebagai tempat beribadat, tetapi juga sebagai tempat menimba ilmu dan aktiviti-aktiviti umat Islam yang lain.
Baginda juga mempersaudarakan kaum muhajirin dan kaum ansar dan selain itu, baginda turut membuka pasar sebagai pusat perniagaan.
Keempat, kefasadan masyarakat Islam yang berpunca daripada golongan munafiqin yang membenci dan memusuhi Islam dari dalam termasuk mereka-reka fitnah dan sebagainya. Fitnah bukan benda baru malahan pernah terjadi sejak zaman Nabi saw. Pernah juga keluarga Nabi difitnah, Saidina Aisyah yakni isteri Nabi juga pernah difitnah. Fitnah boleh merosakkan ummat, memberi banyak kesan negatif dan seharusnya dijauhi.
Alhamdulillah, Dr Yusuf Qardawi mengakhirkan ucapan beliau pada malam itu dengan hadith al-ifki yang berlaku ke atas Sayyidatina A'isyah r.a.h.
Demikian antara isi ucapan beliau pada malam itu. Sebagai salah seorang yang hadir pada malam itu, saya berasa sangat-sangat bersyukur, sesungguhnya pengalaman pada malam ini, mungkin yang pertama dan terakhir sepanjang hidup saya, dan saya benar-benar menghargainya. Antara kata-kata beliau yang menyentuh hati, memberi kesan mendalam buat diri saya sendiri adalah, betapa dalam Islam mementingkan jemaah. Persaudaraan. Antara buktinya, tercatit dalam surah Al-Fatihah dan kebanyakan ayat-ayat quran yang lain;
"Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang KAMI sembah, dan kepada Engkaulah sahaja KAMI memohon pertolongan. Tunjukilah KAMI jalan yang lurus."
Kenapa "kami" yang digunakan, kenapa bukan "aku"? Renung-renungkan..
Subhanallah. Begini getar perasaan bertemu seorang tokoh Islam, tidak dapat saya gambarkan bagaimana gelora perasaan saya andai Baginda Nabi Muhammad saw sendiri yang hadir dalam masjid ketika itu. Maha suci Allah, hati ini merindui-Mu, merindui kekasih-Mu. Hanya dia yang berhak disayangi dan dicintai selepas-Mu. Tanpa dia, kita tidak mungkin menikmati indahnya Islam dan Iman. Syukur pada-Mu, terima kasih wahai kekasih Allah.
Jika selama ini, sering saya melihat di kaca tv, pengunjung selalunya ramai dan penuh setiap kali pesta-pesta hiburan berlansung. Hancur remuk hati ini melihat anak-anak muda berpesta, bercampur gaul tidak kira jantina, terkinja-kinja melayan gejolak nafsu membara.
Namun pada malam itu, dengan mata kepala sendiri, saya menyaksikan sesungguhnya, masih ramai yang cintakan Islam. Banyaknya jasad memenuhi setiap ruang inci masjid benar-benar menyentuh perasaan. Ada yang sanggup datang dari jauh. Tersentuh. Maha Suci Allah.
Suasana di Masjid Negeri Selangor
Semoga majlis ilmu yang lain juga sentiasa dihadiri lebih ramai pengunjung, semoga masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan jemaah, semoga umat Islam sentiasa bersatu tanpa mengira fahaman politik, semoga hati ini sentiasa teguh dan terikat dengan ajaran Allah, semoga diri ini sentiasa rindu dan cintakan masjid, rindu dan cintakan Allah, rindu dan cintakan baginda Nabi saw. Tuhan, Kau pimpinlahlah kami. Hanya pada-Mu kami berserah, hanya pada-Mu kami memohon..
No comments:
Post a Comment