Rihat Minda


Monday, 2 November 2009

Tuesday, November 3, 2009

Penangkapan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin Perlu Bertenang Dan Rasional

BBB, 14 Zulkaedah = 02 November (Isnin):

Agak mengejutkan, selepas pulang dari sembahyang subuh dari surau dan ke pejabat dan sebelum menulis, didahului dengan melayari maklumat dari internet dan dapati Dr. Mohd Asri ditangkap atas tuduhan mengajar di sebuah bangunan bungalow (bukan surau atau masjid) tanpa tauliah.

Termenung juga seketika tentang kewajaran seorang bekas mufti ditangkap atas alasan tiada permit mengajar, sedang di sana ramai yang mengajar, tetapi tidak dikenakan aturan sedemikian atau sengaja diabaikan. Tauliah sesungguhnya bukan hukum Allah, tetapi dibuat manusia sebagai aturan. Ada juga e-mail dihantar kepada penulis mengutuk penangkapan itu sekeras-kerasnya dan menganggap tindakan JAIS akan mempercepatkan tamat hayat kerajaan PR di Selangor. Ada kemunasabahan jua pendapat pengirim e-mail tersebut yang melihat penangkapan merupakan exploitasi pihak tertentu bagi merosakkan imej kerajaan yang memerintah. Namun penulis tidak mahu beremosi dan membuat keputusan mengutuk membuta tuli serta membelakangi rasional.

Teringat penulis kepada maklumat mengenai memorandum Persatuan Peguam Shari`I dan 15 NGO yang menghantar memorandum berkenaan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang Di Pertuan Agung (12 Oktober) membantah tawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) kepada Dr. Mohad Asri. Ini membuat penulis kembali mencari dan membaca maklumat berhubung dengan bantahan tersebut.

Hujah bantahan itu agak berat yang antaranya dikatakan Dr. Mohd Asri cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahlul Sunnah wal Jamaah melalui kelompok tertentu, terutama di kalangan kumpulan elit dan pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi, khususnya di Selangor, beliau dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Pengajaran dan faham yang dibawanya dikatakan tidak diterima dan ditolak oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatakuasa Penyelarasan dan Pendidikan Islam Kebangsaan (Jappis) dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Dr. Mohd Asri mahu Persatuan Peguam Islam Malaysia (PGSM) yang diketuai Presidennya Mohamad Isa Abd. Ralip dan 15 NGO membuktikan tuduhan bahawa beliau mencerca Imam Ghazali dan Imam Nawawi dan menolak Hadith diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Dr. Mohd Asri mau pembuktian sama ada daripada tulisan beliau atau ucapannya.

Melihat kepada pertentangan antara kedua belah pihak penulis juga berpendapat tindakan menangkap dilakukan oleh JAIS (sebab ini semata-mata sebagaimana ditegaskan oleh Pengarah JAIS) dapat dipersoalkan kewajarannya, khususnya bagi seorang yang bersifat intelektual, ulama dan Bekas Mufti (Perlis). Pendekatan secara lembut dapat diambil melalui peringatan, memanggil pertemuan, muzakarah dan mengeluarkan tauliah atau permit mengajar atau ceramah kepada Dr. Mohd Asri. Tauliah atau permit pada dasarnya bukan `hukum` dari Allah, yang disuruh ialah berdakwah, menyebarkan ilmu. Tauliah adalah alat bagi pengawalan. Bahan tauliah bukan keutamaan, tetapi kelayakan adalah tujuan.

Namun dari satu segi kebimbangan pada kecelaruan dan keharmonian dari segi pegangan dan amalan ada kewajaran. Dalam kata lain jika tumbuh aliran dan amalan berlainan akan menimbulkan kekacauan dari segi amalan dan pentadbiran, sebab itu perlu dikawal dari peringkat permulaan sebelum merebak dan memasalahkan.

Sebenarnya lahirnya pandangan baru dan mazhab baru bukan satu yang baru. Pada tahun 1960an (lanjutan dari sebelumnya) pernah berlaku polimik antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Aliran yang disifatkan sebagai Kaum Muda ketara lahir dari Perlis yang dipelopori oleh tokoh yang dikenali dengan Ustaz Abu Bakar Ashari. Banyak perbezaan pendapat yang dibawa beliau, khususnya berhubung dengan amal ibadat. Faham Kaum Muda di Perlis ini bersumber kepada fahaman yang dibawa oleh Hassan Bandung dari Jawa. Kaum Muda yang dipelopori Abu Bakar Ashari di Perlis dikembang dan dilanjutkan oleh pengikut-pengkutnya di Perlis sehingga Perlis hingga kini mendukung mazhab yang berlainan dari negeri-negeri lain di Malaysia. Apakah perpecahan lebih dari yang sedemikian kita mahu di Malaysia ? Tentu tidak, kerana ia mencelarukan pegangan dan ikutan dan memasalahkan dari segi pentadbiran.

Apakah secara kebetulan Dr. Mohd Asri yang kebetulan dari Perlis merupakan penjelmaan baru dari Perlis sebagai Abu Bakar Ashari Moden yang lebih intelektual sesuai dengan masa kini ? Berhubung dengan Kaum Muda di Perlis ini penulis semasa menjadi pensyarah di UKM pernah membuat penyelidikan di Perlis sebagai negeri yang berlainan mazhab pada akhir 1980an.

Untuk memastikan amalan dan perbezaan penulis menghadiri kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Pendukung Kaum Muda, iaitu Tuan Guru Haji Nor dan guru-guru pembantunya dan berjamaah di Masjid dan surau bagi meneliti kelainan dar segi ibadat sembahyang.

Sebenarnya gerakan Wahabi berlaku dan aktif didukung oleh mereka yang dilatih dan dididik dengan faham ini di negeri dan Negara ini, termasuklah berlaku di kampus-kampus pengajian tinggi. Semasa penulis menjadi pensyarah di UKM dan mengajar antaranya kursus yang berhubung dengan pemikiran Islam, penulis pada masa itu menjadi sasaran hantaran bahan-bahan keset (ceramah) dan bahan-bahan tulisan di dalam bahasa Arab beraliran Wahabi bagi mempengaruhi penulis dengan pemikiran tersebut. Sudah tentulah jika pengaruh sedemikian berlaku di dalam aliran pemikiran setempat, lebih mencelaru dan memasalahkan dari segi amalan dan pentadbiran.

Sebenarnya kita berdepan dengan dilemma antara menggalakkan pertumbuhan ilmu, berdialog dan berseminar dan menghasilkan karya-karya bagi kesuburan ilmu itu sendiri dan antara kebimbangan menularnya berbagai aliran pemikiran yang berkait dengan agama yang menggugat kemantapan amalan yang dipegang dan diikut selama ini. Di sini antara perkara yang dibimbangkan berhubung dengan apa yang dibawa oleh Dr. Mohd Asri, apa lagi jika ianya merupakan penjelmaan baru dari faham Kaum Muda oleh Abu Bakar Ashari itu.

Jalan terbaik bagi mengatasi masalah dan kebimbangan ialah melalui perbincangan, dialog dan perbahasan tertutup. Dr. Mohd Asri boleh memanggil pendukungnya bagi mempertahankan pendapat dan pemikirannya. Pihak Persatuan Peguam Shar`I dan 15 NGO seharusnya mengkompailkan semua tulisan Dr. Mohd Asri, bahan-bahan ucapan, bahkan tesis yang pernah beliau hasilkan bagi membuktikan arah, kecenderungan dan pemikiran beliau, bahkan membuktikan tuduhan yang dibuat terhadap beliau. Tokoh-tokoh berwibawa yang boleh dibawa untuk membahaskan pemikiran Dr. Mohd Asri barangkali antaranya Profesor Mahmud Zuhdi, Ustaz Uthman El-Muhammadi, Ustaz Mohd Hazazan – sekadar menyebut beberapa mereka yang berkelayakan bagi mempastikan arah pemikiran, mengelak dari kecelaruan dan mengembalikan kepada kejernihan.Pendek kata pendekatan secara hikmah dan mauizah adalah pendekatan terbaik mencari kebenaran dan kejernihan. Semoga inisiatif diambil oleh pihak berwibawa.

Sekian.

Berceramah di Masjid Putra Perdana, Puchong

Masjid Putra Perdana, Puchong, 12 Zulkaedah = 31 Oktober (Sabtu):

ADUN Bangi dijemput oleh Nazir Masjid di atas, iaitu Ustaz Asni Bin Ghazali melalui Saudara Suhaizil berceramah di Masjid di Masjid Putra Perdana dengan tajuk Mengeratkan Silatul Rahim.


Pendekatan yang disampaikan ialah dengan menghuraikan maksud mengeratkan Silatul Rahim. Ia merupakan seni komunikasi individu dengan individu atau kelompok secara mesra berdasarkan nilai murni sebagaimana yang disaran agama dan budaya. Lantaran itu mereka yang terlibat perlu berilmu, bermaklumat, faham dan beramal dengan kaedah bersilatul Rahim yang mampu membuahkan kasih sayang, hormat menghormati dan menjadikan kehidupan dalam keadaan harmoni.

Olahan seterusnya yang banyak didasarkan kepada ayat-ayat Qur`an dan Hadith bahawa bersilatul Rahim ialah menjaga adab, adat dan peraturan berlaku di antara individu dengan individu, keluarga, kelompok, masyarakat, antara kaum dan meningkat kepada peringkat umat.


Contoh-contoh dibawa dari peringkat individu hinggalah peringkat umat sebagaimana berlaku di dalam amalan ibadat haji yang merupakan perhubungan silatul Rahim dan muktamar terbesar bagi mengikat hubungan antara umat yang tidak membezakan keturunan dan latar belakang. Islam amat menekakan kepentingan silatul rahim. Ia merupakan sebahagian dari nilai adab dan akhlak yang mempertingkatkan kualiti umat. Sesungguhnya peranan Rasulullah dibangkitkan bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak dan Baginda menjadi qudwah terbaik.

Sekian.

Monday, November 2, 2009

Siri Penerangan Dewan Harian PAS Selangor

Puchong, 13 Zulkaedah = 01 November (Ahad)


Dewan Harian PAS Selangor memulai siri lawatan ke anjung-anjung PAS Selangor malam tadi. Anjung pertama dilawati ialah Anjung Selatan yang terdiri dari kawasan Puchong, Serdang, Sepang dan Kuala Langat.


Lawatan bertujuan memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa, khususnya mengenai kemelut kepimpinan yang sedang hangat diperbincangkan. Kunjungan malam tadi diketuai oleh YB Dato` Dr. Hassan Ali selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco kerajaan negeri. Beliau diiringi, Ketua Dewan Ulama, Ketua Dewan Muslimat, Ketua Penerangan dan Setiausaha Pas Selangor. Dewan komuniti di Puchong Perdana yang agak kecil itu penuh dihadiri oleh pimpinan dan AJK-AJK PAS dari Anjung Selatan.


Majlis yang dipengerusikan oleh Ketua Dewan Ulama itu bermula dari jam 9.00 malam dengan ucapan dari Pesuruhjaya dan diikuti dengan dialog-dialog yang boleh disifatkan tidaklah begitu hangat, walaupun di dalam dewan yang agak hangat.

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive