Pegawai masjid S'gor boleh tangkap pesalah serta-merta | |||
|
Penguatkuasaan enakmen syariah di Selangor melalui dasar baru membenarkan pegawai masjid untuk menahan orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa "boleh dimulakan pada bila-bila masa" selepas menerima kad kuasa jabatan agama. Seorang imam yang diberikan kuasa itu berkata, taklimat berkaitan prosedur dan kaedah penahanan pelaku kedua-dua kesalahan tersebut diadakan semalam. Dihubungi Malaysiakini hari ini, imam 2 Masjid Jalan Kebun, Klang, Mohd Hafiz Mohd Hussain berkata, dalam taklimat sehari di Masjid Negeri di Shah Alam, kesemua imam dimaklumkan mengenai pendekatan baru itu. "Kita juga diberitahu, kad kuasa telah siap dan boleh diambil pada bila-bila masa sahaja di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya. Exco hal-ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam mengumumkan nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di negeri berkenaan diberikan surat kuasa untuk membantu menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Surat kuasa itu dilaporkan telah diberikan dua minggu lepas. Kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadhan ini antaranya makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai - kesalahan bawah Seksyen 19 enakmen tersebut. Malaysiakini difahamkan, pentadbir masjid berkaitan turut diberikan hak menguatkuasakan kesemua kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, termasuk menasihati, menegur dan menangkap penzina, pelacur dan pasangan berkhalwat. Sebelum ini, penguatkuasa agama negeri-negeri diberikan kuasa menahan pasangan berkhalwat melalui peruntukan Badan Amar Makruf Nahi Munkar (Badar) di peringkat nasional. Menurut sumber, penerangan berhubung prosedur dan kaedah penguatkuasaannya telah diterangkan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dalam sesi “Taklimat Khas Kesalahan Minuman yang Memabukkan dan Tidak Menghormati Ramadan” semalam. Sejak diberikan mandat itu dua minggu lalu, butiran penguatkuasaan enakmen itu setakat ini masih belum diperolehi. Pentadbir di surau yang dinaiktarafkan sebagai masjid belum diberikan kuasa itu setakat ini, tambah sumber itu. Dr Hasan dipetik berkata pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menahan pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada pegawai penguatkuasa agama untuk tindakan lanjut. Pegawai masjid juga boleh menangkap orang Islam yang meminum arak tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguatkuasa agama. Sementara itu, imam 1 di Masjid Jamek, Puchong Perdana, Mohd Zainal Khamis berkata, beliau tidak bersetuju dengan pemberian kuasa tersebut kepada imam, bilal dan siak masjid. “Tidak boleh, kalau pukul 2, 3 pagi hendak tangkap orang, pukul 6 kita hendak imamkan solat Subuh lagi,” katanya kepada Malaysiakini. Beliau mencadangkan kuasa tersebut diberikan kepada pihak pengurusan masjid seperti setiausaha atau bendahari, selain memberi tambahan elaun kepada pihak terbabit. |
No comments:
Post a Comment