Rihat Minda


Friday, 28 August 2009

Friday, August 28, 2009

Jemput Rakan Bukan Islam Ke Masjid -Nik Aziz

Atas: Rakan bukan Islam yang hadir.
Bawah: Majlis tazkirah.

Tok Guru sedang menyampaikan hadiah kepada warga miskin.

KOTA BHARU, 28 Ogos 2009: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata jawatankuasa Masjid perlu menjemput rakan-rakan dari kaum lain yang belum Islam seperti di majlis sambutan Maulidurrasul, Israk Mikraj, Sambutan Awal Muharram yang sering diadakan di masjid, bertujuan bagi memperkemaskan lagi institusi masjid.

"Mereka ini memerlukan pendedahan yang sebenarnya terhadap kemurnian agama Islam yang tidak mengamalkan sebarang keganasan, bila mereka ada bersama, mereka akan dapat melihat dengan jelas keadaan yang sebenar berlaku di masjid, masjid bukan hanya tempat bersembahyang semata-mata,"katanya lagi.

Sebelumnya beliau berkata, perubahan perlu diadakan di setiap masjid negeri itu iaitu dengan menyediakan imam-imam atau penceramah agama dari pelbagai kaum seperti kaum Tionghua dan India. "Kalaulah kaum ini juga diterima sebagai penceramah di masjid-masjid, nescaya kita akan lebih memahami masalah kaum mereka dan ini dapat merapatkan lagi hubungan sesama kaum di negeri ini," katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata tanggapan orang ramai yang mengatakan bulan Ramadhan hanya untuk berpuasa sahaja perlu dikikis, kerana Ramadhan meliputi pelbagai program yang sudah diatur oleh Allah swt seperti setiap amalan dilipat gandakan ganjarannya, perbanyakkan sedekah, melakukan amalan solat sunat, membaca Al-Quran dan pelbagai lagi perkara yang berfaedah.

Dalam majlis itu, seramai 60 warga miskin Kota Bharu telah dipilih oleh Jawatankuasa Pembangunan Masjid Kota Darulnaim untuk menerima sumbangan RM100 setiap orang bagi meringankan beban sempena bulan Ramadhan.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan MB yang juga Pengerusi Jawatankuasa masjid tersebut Ir.Mohd Ariff Fahmi Abdul Rahman ketika ditemui di majlis Perasmian Sambutan Ihya Ramadhan peringkat Kompleks Kerajaan negeri Kelantan itu berkata, seperti di tahun-tahun lepas, masjid yang terletak dipinggir pagar komplek kerajaan negeri tersebut akan menyediakan program tazkirah pada setiap hari bermula jam 12 tengahari dan berharap kakitangan kerajaan dapat mengambil menafaat tersebut.

Perasmian Ihya Ramadhan tersebut telah dirasmikan oleh Tok Guru. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato'Aiseri Ilias, Pegawai Kewangan Negeri Mohd Faudzi Mat Jusoh, Exco negeri, Wakil-Wakil Rakyat, Ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri dan swasta.

Sementara itu Tuan Guru semasa menyampaikan tazkirah pertamanya berharap pada tahun ini rakyat negeri itu dapat menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan meraikan Al-Quran kerana Al-Quran telah diturunkan pada bulan yang mulia ini.

"Kita sering menyambut puja umur (hari lahir) manusia seperti isteri,anak-anak kita, Pemimpin Negara kita juga sambut hari kelahiran Nabi Muhammad saw, oleh itu bulan Ramadhan ini kita pakat-pakat (ramai-ramai) sambut kedatangan Al-Quran iaitu dengan membacanya seberapa banyak yang boleh, bertaddarus mahupun mentafsirkannya," kata beliau.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 300 orang termasuk dari masyarakat India dan Tioghua. (2MA)

0 COMMENTS:

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive