Bila Usia Makin Meningkat
www.iLuvislam.com
AsNiza
Editor : kasihsayang
Masa terus berjalan, sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita juga kian bertambah dari hari ke hari. Inilah ketentuan yang tertulis untuk kita sebagai makhluk yang dicipta olehNya. Bermula kita dari setitik mani yang bersatu dengan ovum, kemudian terhasillah segumpal darah, di balut tulang dan daging kemudian ditiup roh lalu lahirlah kita menjadi seorang bayi. Bermula kita meniarap, kemudian kita merangkak, bertatih kemudian kita berlari. Subhanallah, indahnya ciptaan Ilahi. Kita juga dibekalkan pula dengan akal dan naluri, ada perasaan, ada nafsu, ada cita-cita, ada kehendak. Maha suci Allah yang Maha Pencipta.
Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Hidup sebelum mati. Dalam usia sedang menganjak, meningkat dari tahun ke tahun, persoalan yang sering bermain di minda saya adalah, "selama aku hidup, apa yang telah aku lakukan???"
Aduh, kadang-kadang, ada masanya saya menangisi nasib diri, betapa selama ini saya mensia-siakan anugerah jasad dan nyawa yang Allah telah berikan kepada saya. Astagfirullahalazim. Jika sepuluh tahun yang lepas, saya baru selesai menduduki SPM, alhamdulillah, saya mendapat keputusan semua A. Dan Alhamdulillah, selama saya bergelar pelajar MRSM, saya selalu utamakan solat berjemaah di surau, selalu melakukan solat sunat dan sering membaca quran hinggakan saya berkemampuan menghafal Surah Yassin dan Ma'thurat pada waktu itu.
Pergaulan antara lelaki dan wanita juga terbatas, saya terlindung dari maksiat, alhamdulillah. Dan jika saya mati waktu itu, saya mungkin mati dalam keadaan yang selamat dari dosa dan noda kerana saya masih lagi seorang remaja yang baru beberapa tahun akil baligh. Saya suci, saya murni, tapi kenapa Allah tidak mengambil nyawa saya ketika itu? (Rahsia Allah, hanya Dia Yang Mengetahui)
Tahun demi tahun, saya meneruskan kehidupan di alam baru pula, alam bergelar pelajar universiti dan sekarang, alam pekerjaan. Astaghfirullah.. Jalan yang terpaksa di lalui rupanya kian lama kian sukar. Onak dan duri menanti di sepanjang perjalanan. Ada masanya saya kuat menempuh halangan dan ada masanya saya tewas. Titik hitam mula berkumpul dalam diri ini, setitik demi setitik, hingga lama kelamaan menjadi banyak. Iman pula sentiasa di paras yang berbeza-beza, ada pasang surutnya yang tersendiri. Saya kian banyak melakukan dosa. Ampunkanlah aku wahai Tuhan.. Apa gunanya aku hidup, andai kehidupan ini semata-mata untuk menambah bebanan dosa? Dan kenapa Tuhan izinkan aku hidup sedangkan timbangan dosa ku kian lama kian berat?
Astagfirullahalazim.. Setiap apa yang Allah ciptakan, biarpun sebesar zarah, pasti ada hikmahnya, pasti ada sebabnya. Allah Maha Bijaksana Lagi Maha Mengetahui. Ajal maut semuanya di tangan Dia dan hanya Dia yang tahu, bila tiba masanya Izrail harus datang menjemput. Dia yang Maha Berkuasa. Pernahkah kita terfikir, kenapa kita masih hidup hari ini? Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..Bersyukurlah kerana sehingga hari ini, kita masih lagi dipanjangkan umur, tempoh pinjaman jasad dan nyawa ini masih lagi dipanjangkan.
Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana Allah ingin memberi peluang kepada kita untuk menyuci diri dan menghapuskan dosa semalam? Kita masih hidup agar kita dapat memohon maaf kepada mereka yang pernah kita lukai hatinya, kita masih hidup agar kita dapat melunaskan hutang yang belum terbayar.
Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada yang memerlukan kita, memimpin tangan mereka, menyapu air mata mereka, meminjamkan bahu dan telinga untuk mereka di kala mereka sedang berduka lara.
Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada tugas yang belum terlaksana sempurna. Masih banyak yang belum kita lakukan. Amalan dan bekalan untuk di bawa ke akhirat yang kekal abadi masih tidak mencukupi.
Aduh, rupanya perjuangan kita di alam kehidupan ini masih belum selesai. Masih banyak yang harus kita persiapkan. Bila usia meningkat, ramai yang risau, kecantikan dan keremajaan bakal hilang, lalu sibuklah mereka menyuntik sana sini, makan vitamin itu dan ini. Malangnya ramai yang lupa, bila mati, jasad di timbus tanah, ulat dan cacing datang menggigit, semuanya akan reput, daging dan kulit di makan tanah. Kita kembali menjadi tanah. Apa gunanya cantik?
Bila usia meningkat, ramai yang risau, harta dan kekayaan yang dikumpul masih ditakuk lama, wang simpanan masih tidak mencukupi. Malangnya ramai pula yang lupa untuk mempersiapkan diri dan memperbanyakkan amalan dan mengumpul bekalan untuk di bawa ke sana.
Aduhai.. Saya bagaimana pula? usia saya juga kian meningkat, esok atau lusa mungkin tiba masa saya di jemput kembali pulang ke alam barzakh.. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, tunjukilah aku jalanMu yang lurus, selamatkanlah dan bahagiakanlah aku serta seluruh muslimin dan muslimat, dunia dan akhirat. Amin..
No comments:
Post a Comment