Rihat Minda


Tuesday, 2 February 2010

PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu
oleh Hanan

Tazkirah suatumasa menulis: "Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian.
Apa yang boleh saya katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin
sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih
sayang Allah terhadap kita.

Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.

Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.

Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt.
Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis, Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., ”Siapakah orang yang paling berat cubaannya ?”

Jawab baginda, "Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya.

Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya.”
(Riwayat Tirmizi)

Setiap kali diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang.

Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh kesabaran.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub,”Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak
seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan
bersabar.”

Selain bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad Da’ Wad Dawaa’, “Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun
sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.”

Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda
Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra., sabda Rasulullah saw,

“Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.”

Akhir sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah saw dibawah yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.

Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,
“Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan
keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu
di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.

PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu…
AKU & 4 ISTERI..

oleh Hanan
Tazkirah
jaa1607 menulis: "Aku seorang ahli perniagaan yang punya empat isteri. Pada kesempatan ini aku ingin bercerita tentang isteri-isteriku. Berminat? Ayuh, mari ikuti kisahku. Kumulakan dengan isteri yang paling kusayang. Siapa lagi, kalau bukan isteri yang keempat. Dia paling muda, paling bertenaga. Dialah isteri yang paling kucintai. Justeru dia sangat banyak membantuku. Kalau aku keletihan, dialah yang meyelesaikan segala kerja yang melibatkan tenaga. Dia macam tidak pernah keletihan. Oh, bertuah sungguh punya isetri muda yang kuat dan bertenaga. Dia adalah pujaanku yang sentiasa kujaga dan kudambakan kasihnya.

Isteriku yang ketiga tak kurang hebatnya. Dia antara keempat-empat isteriku, dialah yang paling cantik. Wajahnya sangat memikat siapa sahaja yang melihat. Pandai berhias dan bergaul dalam majlis. Dialah yang selalu menemaniku ke majlis-majlis penting. Oh, bangga dalam hati…apabila memperkenalkannya kepada teman-teman. Muka dan tuturnya sangat manis kelihatan.

Isteriku yang kedua apa kurangnya. Walaupun tidak secantik dan bertenaga seperti ketiga dan keempat, dia punya akal yang cerdas. Sangat pandai dan pintar dalam menyelesaikan masalah. Oh, sungguh bertuah…jika aku buntu, dialah yang menjadi tempat rujukku. Ada sahaja buah fikiran dan jalan penyelesaian yang dia ketengahkan.

Aduh, inilah isteri pertama. Rupa tidak ada. Fikiran di tahap biasa-biasa sahaja. Tenaganya pula sudah semakin diragut usia. Kehadirannya semacam tiada. Pergi tidak mengurang, datang tidak menambah. Hendak kucerai tidak sampai hati. Mujur, dia tidak kisah walaupun aku jarang-jarang datang menemuinya. Bukan tidak kasihan, tetapi apa boleh buat, hatiku tidak ada lagi padanya. Isteri tua….

Hidupku riang dan ceria sehingga satu hari, tiba-tiba kurasa badanku lemah. Pandanganku berpinar-pinar. Dan akhirnya aku jatuh terjelepuk sewaktu melangkah keluar daripada satu mesyuarat di pejabatku. Dengan segera aku dihantar ke hospital. Kaki tangan dan badanku tidak dapat bergerak-gerak lagi. Ya Allah…apa sakitku?

Doctor datang dan berkata perlahan, “Maaf tuan, saya terpaksa berterus-terang.” Aku mendengarnya dengan gentar. “Tuan diserang barah di tahap terakhir. Mengikut pemeriksaan dan penyelidikan kami, umur tuan tidak panjang. Paling lama dua bulan. Tetapi ajal maut di tangan Allah. Banyakkanlah berdoa. Di sudut perubatan, tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibuat kecuali mengambil uabt penahan sakit!”

Aduh! Bagai disambar halilintar. Aku akan pergi buat selamanya. Mujur, mulut masih boleh berkata-kata. Lalu kupanggil keempat-empat isteriku. Ingin kutemui mereka seorang demi seorang. Merekalah tempat aku meluahkan resah dan takut di dada ini. Pertama kutemui tentulah isteriku yang tersayang – isteri keempat.

“Yang, kau tahu abang akan pergi tidak lama lagi. Jika ditakdirkan, sudikah kalau kau mati bersamaku? Untuk menemaniku di alam barzakh sana?” tanyaku perlahan sambil meramas-ramas tangannya penuh kasih sayang dan harapan.

“Bang, soal mati jangan buat bergurau. Abang pun tahu saya muda lagi…Abang mahu saya mati sama? Oh, tidak. Abang perlu faham situasi saya. Jika abang mati, relakanlah saya meneruskan kehidupan dengan lelaki lain. Takkah abang tega membiarkan saya yang masih muda ini hidup menjanda.”

Terlepas tangannya yang kupegang. Aku renung matanya untuk mendapat kepastian. Ya, dia pasti. Tidak ada ragu yang dapat “kubaca” daripada sinar matanya. Jika aku mati nanti, dialah isteri yang paling awal tidak bergelar janda. Janda muda, siapa yang tidak teringin!

Apabila isteri ketiga memasuki ruang kamar. Aku masih mampu melontar sisa-sisa senyuman yang masih tinggal. Wajahnya cantik, molek dan rupawan seprti biasa. Oh, alangkah sukar untuk berpisah dengannya nanti.
“Darling, abang akan pergi selamanya…”
“Ya bang, saya sangat sedih membayangkan hidup tanpa abang disisi,” balasnya bersama tangisan.
Ah, ada harapan, bisikku dalam hati.
“Darling, sudikah kalau kau menemani abang di Barzakh nanti, sebagai bukti cinta kita?” kataku menduga cintanya.

Dia tersentak. Matanya yang bak bintang timur seakan terbeliak. Dan lehernya yang jinjang menggeleng-geleng perlahan.
“Bang, kita perlu rasional. Kecantikan saya memang untuk abang, tetapi semasa abang hidup sahaja. Apabila abang mati, say aperlu teruskan kehidupan. Selain daripada harta yang abang wariskan, kecantikan inilah asset saya untuk meneruskan kehidupan.”

Oh, kau juga serupa. Alangkah seksanya apabila memikirkan kecantikanmu akan dinikmati oleh lelaki lain. Harapanku hancur.
Ya, isteri yang kedua adalah harapan terakhirku. Dialah yang sering menyelesaikan sebarang masalah. Tentu “masalah” ini juga mampu diselesaikannya.

“Abang perlu pandangan saya untuk menyelesaikan masalah abang?” Tanya isteri ketiga sebaik bertentang mata.
“Ya, ya…kaulah satu-satunya harapan abang yang masih tinggal.”
“Saya akan membantu sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah abang dengan lancar…”
“Dengan lancar?”
“Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik. Perniagaan abang pun telah saya semak semua hutang piutangnya. Insya-Allah, perniagaan dapat diteruskan. Abang usah risau. Batu nisan yang mahal tealah saya tempah. Begitu juga dengan tanah perkuburan. Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah sudah pun saya tentukan. Abang jangan takut, semuanya sudah selesai saya uruskan.”

“Bukan itu masalah abang. Itu bukan masalahnya. Tapi masalah abang ialah abang takut hidup bersendirian dalam kubur. Sekian lama kau dapat menyelesaikan semua masalah abang…kini bantulah abang seperti biasa.”
“Apa masalahnya, bang?”
“Sudikah kau menemani abang di alam kubur?”

Isteri keduaku terkejut. Dia menutup muka dan berlalu segera sambil menangis. Harapanku hancur. Semua yang tersayang sudah tidak sudi lagi. Aku terkapa-kapa sendiri untuk menghadapi hidup selepas mati. Alangkah sepinya hati dan ngerinya nanti. Tiba-tiba….”Assalamualaiku, bang.”

Ah, terlupa…aku masih lagi punya satu isteri lagi – isteri pertama.
“Waalaikum salam,” jawabku hambar. Aku tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tidak akan mengemukakan apa-apa permintaan, justeru aku dapat meneka apakah jawapannya nanti. Mustahil dia yang sering aku tinggalkan sudi menemaniku.
“Terima kasih kerana abang masih sudi menemui saya,” katanya sebaik bersalaman.

Isteri pertamaku merenung mataku. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangannya walaupun usianya sudah lanjut.
“Abang, saya sanggup menemani abang. Ke mana sahaja. Di mana jua. Saya sanggup menemani abang sekalipun terpaksa mati bersama. Jika ditakdirkan, saya sanggup menemani abnag di alam kubur!”

Ah, alangkah gembiranya hatiku. Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang paling setia dan berguna. Aku terharu dengan keikhlasannya. Dialah hakikatnya isteri sejati dan hakiki walaupun tidak ada tenaga, rupa dan idea.

Saudara-saudari, siapa ‘aku’ dalam cerita di atas? Siapa lagi kalau bukan diri kita. Kitalah yang punya empat ‘isteri’. Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita mendapat kekuatan dan tenaga. Justeru, “dia” kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum dan dilindungi daripada penyakit. Kita sangat sayang kepadanya. Masa, harta dan perhatian kita kekadang dihabiskan sepenuhnya dan seluruhnya untuk membelai anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubat-ubatan serta rawatan kita usahakan untuk mendapat tenaga daripada tubuh badan.

Isteri ketiga kita ialah harta. Siang malam kita memikirkan bagaimana menambahnya. Bagaimana meningkatkan kewangan keluarga. Tidak cukup dengan kerja yang ada, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertambah, simpanan meningkat, kita belikan asset. Kita bangga “memperagakan” rumah, kereta dan segala asset pencarian kita. Ironis sekali, seolah-olah “nilai” kita terletak pada barang-barang bernilai yang kita miliki itu.

Isteri kedua kita ialah anak, isteri, sanak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang selalu kita temui, jemput dan raikan dalam hidup. Hidup akan sepi tanpa mereka di sisi.

Isteri pertama kita ialah amal ibadah kita kepada Allah. Itulah yang sering kita lupakan. Kita pinggirkan. Bila hendak menambah amal? Nanti, esok masih ada. Bila hendak taubat? Tunggu, usia masih muda. Segala kebaikan sama ada yang berbentuk hablumminannas (hubungan sesama manusia) sering tidak mendaoat keutamaan. Segala-galanya hanya seperti “isteri tua” yang tidak mengghairahkan dan menggiurkan lagi.

Namun, akan tiba masanya nanti (dan itu pasti), akan terserlah jua mana “isteri” yang benar-benar jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakarat itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata? Aduh, alangkah sepi dan malangnya kita pada malam pertama di alam kubur sana…tanpa “isteri” yang sudi mendakap kita?

Memohon Perlindungan Dari Kejahatan Yang Telah Dilakukan Dan Dari Kejahatan Yang Belum Dilakukan



عَمَّا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو بِهِ اللَّهَ قَالَتْ: كَانَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَمِلْتُ وَمِنْ شَرِّ مَا لَمْ أَعْمَلْ

عَنْ فَرْوَةَ بْنِ نَوْفَلٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ
Farwa' b. Naufal Ashja'i reported: I asked: 'A'isha, in what words did Allah's Messenger (may peace be upon him) supplicate Allah? She said that he used to utter:" I seek refuge in Thee from the evil of what I did and from the evil of what I did not."

Dari Farwah bin Naufal Al-Ashja`i katanya:

Aku telah bertanya Aisyah tentang doa yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W ketika berdoa,lalu jawab Aisyah: Rasulullah berdoa dengan katanya:" اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَمِلْتُ وَمِنْ شَرِّ مَا لَمْ أَعْمَلْ" Ya Allah Aku Memohon Perlindungan Dari Kejahatan Yang Telah Aku lakukan Dan Dari Kejahatan Yang Belum Aku lakukan.

HADIS : RIWAYAT MUSLIM
KITAB : ZIKIR, DOA, TAUBAT DAN ISTIGHFAR
BAB : Memohon Perlindungan Dari Kejahatan Yang Telah Dilakukan Dan Dari Kejahatan Yang Belum Dilakukan


3 Amalan Yang Berkat

18 Safar 1431H
Email : Esbee Ai

Dari Ibnu Mas’ud r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :”Manakah amal yang lebih utama?” Beliau menjawab,:”Sembahyan g dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari)

Huraian

Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa setiap amal perbuatan atau amal ibadah walau sekecil zarah sekalipun pasti dibalas dengan pahala oleh Allah S.W.T. Bayangkan, jika kita melakukan amal perbuatan atau amal ibadah yang paling utama tentulah jumlah pahalanya luar biasa banyaknya.

Maka beruntunglah orang yang dapat melakukan amalan-amalan seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas yang sememangnya sungguh besar ganjarannya. Hal ini disebabkan setiap sesuatu kebaikan itu sesungguhnya amat susah untuk dilakukan lantaran terlalu banyak godaan dan halangan khususnya daripada syaitan laknatullah. Berbeza pula halnya dengan kejahatan yang senang sahaja berlaku kerana ini tidak dihalang bahkan dibantu khusus oleh syaitan. Oleh yang demikian, sebagai benteng yang kukuh, manusia mestilah mempunyai keimanan yang teguh bagi melawan hasutan syaitan tersebut kerana kebiasaannya orang yang selalu tewas dan malas dalam melakukan kebajikan adalah orang yang meremehkan pembalasan daripada Allah S.W.T sama ada ia merupakan pembalasan baik atau pembalasan buruk (neraka).

Sunday, 31 January 2010

Orang yang diberi faham dalam agama

Menjadi orang alim adalah dambaan ramai orang. Kedudukan orang alim mengatasi kedudukan orang yang tidak alim beberapa darjat. Di antara orang alim dengan ahli ibadat, orang alim lebih tinggi darjatnya. Seperti lebihnya bulan di atas bintang. Tidur orang alim lebih baik daripada ibadat orang jahil.

Ibuku pernah bermadah, alangkah beruntungnya kalau dapat bersemadi di perkuburan pinggir jalan kerana orang alim selalu melintasi jalan tersebut. Hanya dengan lalunya orang alim, ahli kubur mendapat keringanan daripada azab kubur. Tidaklah aku tahu sumber mana yang dipetik oleh ibuku. Tapi, aku cukup faham bahawa dalam banyak hal sandaran ibuku adalah tok-tok guru. Itulah sandaran utama almarhum bapaku masa hayatnya dahulu dan demikianlah sandaran generasi tua keluargaku.

Ketika bertanya dengan seorang pelajar di sebuah mahad tahfiz swasta, dia mengatakan dia sudah manamatkan pengajian tahfiz dan sedang menjalani pengajian 'alim'. Dalam tahun pengajian yang agak panjang, dia akan lahir sebagai seorang hafiz yang alim. Dengan kata lain, dia hafal 30 juzuk al-Quran dalam dada dan meguasai ilmu-ilmu Islam. Dia khatam kitab-kitab yang telah ditentukan sebagai rujukan pengajiannya 'safhan bisafhin'.

Almarhum bapakau pernah bermadah, ketika mendesakku menyambung pelajaran ke Al-Azhar, bahawa dia menerima petua dari orang terdahulu, barangsiapa yang minum air sungai Nil, menjadi alimlah dia. Harapan bapaku agar anaknya menjadi orang alim.

Demikianlah harapan orang untuk menjadi orang alim. Penuntut ilmu agama mahu menjadi alim.Ibu bapa menyimpan harapan agar anaknya menjadi orang alim.

Ada yang belajar agama di sekolah pondok bertahun-tahun agar menjadi orang alim. Dari muda belia sehinggalah tua beruban berumur masih menadah kitab. Bertalaqi dengan Tok Guru. Ada yang menyambung pelajaran hingga ke universiti dalam bidang agama.Baik universiti dalam negara mahupun ke luar negara. Ada yang belajar di universiti terkemuka dan ada yang mencari 'zawiyah-zawiyah' yang menyebarkan ilmu Islam di negara-negara tertentu seperti Yaman, Arika Selatan dan Pakistan. Harapan yang digantungkan, mahu lahir sebagai orang alim. Orang yang menguasai ilmu-ilmu Islam.

Beruntunglah menjadi orang alim. Tetapi, di atas semua keberuntungan menjadi orang alim itu, paling beruntung adalah orang alim yang diberi faham agamanya. Terdapat ramai sekali orang yang alim. Ramai juga yang disangka alim tetapi tak alim. Cuma pakaiannya menampakkan ciri orang alim. Walaupun ramai yang alim atau dianggap alim,tak ramai yang diberi faham tentang ilmu yang dimilikinya.

Menjadi orang faham dalam agama tidak mudah. Sekadar menghafal 30 juzuk Al-Quran belum boleh dikatakan faham dalam agama. Sekadar menghafal matan-matan beberapa kitab belum boleh dikatakan faham dalam agama. Sekadar membaca kitab-kitab turath maupun kontemporari belum cukup menjadi seseorang itu faham dalam agama. Kebolehan mengajar khalayak dengan membacakan kitab-kitab, pun bukan bermakna seseorang itu faham dalamagama.

Itulah yang didoakan nabi Muhammad SAW buat sahabat yang terkenal dengan kehebatan tafsirnya terhadap isi kandungan Al-Quran, Abdullah bin Abbas:


اللهم فقه في الدين وعلمه التأويل
"Ya Allah, Fahamkan dia dalam agama dan ajarkanlah dia ta'wil!"

Kefahaman Abdullah bin Abbas terhadap agama dan kemampuannya menta'wil terserlah dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dalam Sahehnya mengenai tafsir surah An-Nasr.Oleh kerana Umar Al-Khattab memasukkan Abdullah bin Abbas yang waktu itu masih muda remaja dalam majlis mesyuarat yang terdiri daripada veteren ahli-ahli Badar, mereka mempersoalkan tindakan Umar Al-Khattab itu. Menangani kritikan para sahabat itu, Umar Al-Khtaab memanggil mereka dan berkata:

"Pada hari ini aku mahu tunjukkan kepada kamu semua satu perkara yang kamu akan akui sebagai kelebihannya", Lalu Umar Al-Khattab meyuruh mereka menjelaskan maksud surah An-Nasr:


إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ
Apabila datang pertolongan Allah
Maka, mereka menjelaskan bahawa surah tersebut adalah Allah menyuruh nabinya agar memuji Allah dan memohon ampun daripadaNya ketika melihat manusia memeluk Islam berduyun-duyun. Lalu, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ibn Abbas tentang maksud ayat tersebut, lalu Ibn Abbas berkata:

"Allah memberitahu nabiNya bila dia akan wafat",


Demikianlah tajamnya fikiran Ibn Abbas di atas segala sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam dan lebih awal mendengar Al-Quran. Itulah seorang yang diberi faham dalam agama dan dilimpahkan kurnia kemampuan menta'wil.



Menjadi faham dalam agama membuat seseorang itu dapat meneropong isu sebenar di sebalik isu-isu tempelan. Lalu dia dapat mengulas penyelesaian terhadap sesuatu yang menjadi inti persoalan dan tidak disibukkan dengan persoalan tumpangan. Seorang yang diberi faham dalam agama, dalam banyak hal, mengemukakan pandangan dalam ruang khilaf yang kelihatan berbeza daripada pandangan ramai. Seringkali, seorang yang diberi faham dalam agama menghadapi tentangan daripada sebilangan orang alim.

Orang yang diberi faham agama sentiasa menjadikan dalil sebagai makanannya dalam berhujjah.
Orang yang diberi faham dalam agama, bila berhujjah, tidaklah akan berkata:'guruku telah berkata...kitab sekian menyebutkan...", lalu disenaraikan pulihan kitab rujukan karangan ulama muktabar.
Orang yang diberi faham dalam agama menampilkan agama dalam neraca yang menjadikan orang rasa mudah untuk mengamalkannya.
Orang yang diberi faham dalam agama, menyuluh jalan beragama untuk orang lain ke satu jalan yang jelas,meyakinkan dan jauh daripada keraguan ahli bid'ah dan orang berkepentingan.
Orang yang diberi faham dalam agama, terserlah dalam pendekatannya yang jauh daripada emosi dan hamasah.



Bacaan Tambahan:

Soidul Fawaid
Ahlelhadith



Posted by Ust Kama at 12:23 PM

Labels: Pendapat
اللهم فقهنا في الدين

Wahai ustaz...ayuh ke masjid

Sorang ustaz bukan sang pertapa yang duduk bersila atas batu besar dalam gua, melihat anak muridnya menunjukan pencak silat. Seorang ustaz bukan seorang sufi yang berjubah putih atau hitam duduk dalam biliknya larut dalam khalwat dan zikir. Seorang ustaz bukan seorang pengkarya yang sibuk dan bergelut di depan komputer mengarang kitab-kitab yang katanya akan diterbitkan buat menyirami nurani masyarakat. Seorang ustaz bukan seorang guru sekolah yang pergi sekolah atau madrasah sebagai rutin harian, kemudian pulang tidur bersama anak isteri dan hanya keluar semula esok paginya.

Tidak sayugia seorang ustaz hanya mengenal kerjayanya. Seorang tukang sapu sampah kadang-kadang jauh lebih mengenal kerjayanya berbanding seorang ustaz yang mengenal kerjaya gurunya. Ketaatan seorang bonzer yang mengawal kelab malam dalam menjalankan tugasnya lebih daripada ketaatan seorang ustaz dalam menjalankan tugas keguruannya.

Seorang peserta konvensyen dakwah bertanya kepada Ust. Nasaruddin Hasan semasa sesi soal jawab dalam slotnya tentang masalah ustaz-ustaz yang tidak keluar solat berjemaah.

"Ustaz tempatnya di masjid...", demikian jawapan Ust. Nasaruddin Hasan, "kalau ustaz tidak ke masjid, bagaimana dia mahu berdakwah orang lain ke masjid?".

Tiada penyelesaian mudah buat mengurai keengganan ramai ustaz untuk muncul bersolat jemaah di masjid.

Tiadalah harga pada seorang bergelar ustaz yang liat untuk ke masjid. Pergi ke masjid adalah syiar orang-orang yang beriman sebagaimana firman Allah SWT:


إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله واليوم الآخر وأقام الصلاة وآتى الزكاة ولم يخشَ إلا الله فعسى أولئك أن يكونوا من المهتدين
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah At-Taubah: 18)
Sungguh terkedu tatkala mendengar alasan ghuyubnya sebilangan ustaz dari masjid dan surau.

"Ana solat dengan anak isteri...tiada yang boleh mengimamkan mereka, kesihan isteri ana...solat seorang diri...dia pun nak pahala jemaah...",

" Ana tak yakin dengan kesucian carpet di surau...bernajis...banyak tahi cicak jatuh, dibuang dengan penyapu, tapi kesannya masih ada...mana suci kalau begitu",

" Ana solat di rumah lebih khusyuk...mendapat khusyuk dalam solat lebih utama",

" Ana tak yakin dengan bacaan imam yang satu tu, sebutan huruf 'dhod'nya ketika menyebut ghairil maghdhu bi 'alaihim tak tepat...:,

" Ana takut riak...baik solat di rumah sahaja...ikhlas",

Allahumma ya laital ustaz...

Begitu banyak alasan yang boleh dilontarkan. Biar seribu alasan, berhujjahlah di depan Allah di akhirat kelak. Kalaulah alasan itu akan diterima...

Alangkah terharu melihat seorang pakcik tua yang istiqamah ke masjid dan surau dalam keadaan ghaut mengganggu sendi lututnya. Sedang ustaz punya sepasang lutut tangkas buat meloncat lincah memburu bulu tangkis badminton. Sungguh malu, melihat seorang pakcik yang telah pencen, berjalan kaki ke surau, sedang ustaz punya motosikal buat meluncur segera ke masjid dan surau tanpa membuang waktu menghitung batuan aspal.

Wahai ustaz...ayuhlah ke masjid. Di sanalah kita suruh orang berjumpa kita saat ingin bertemu.

MENGUAP MENURUT ISLAM

16 Safar 1431H.
Amin Fadzlan



Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Baginda Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'.

Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya. (Hadith Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka." Riwayat Imam Muslim.

Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu." Hadith riwayat Imam Muslim,
Ahmad dan At-Tirmidzi

Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya: Telah bersabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah swt membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin." Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi

Pengajaran daripada maksud hadith, antara adap-adap menguap dan bersin:

1. Berusaha menahan menguap sekadar termampu terutama ketika solat.

2. Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat.

3. Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin.

4. Sunat ketika bersin mengucapkan "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya pula mengucapkan "Yarhamukallah".

5. Sunat mengucapkan "Astaghfirullah" selepas menguap.

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive