Rihat Minda


Saturday, 26 December 2009


Hijrah, ke mana kamu berhijrah wahai ummah?
www.iluvislam.com
Hilal Asyraf
Editor: RosNiza Abdullah

1431H. Macam-macam orang ucap, itu dan ini. Semuanya seputar azam baru di tahun yang baru. Berniat hendak mejadi lebih baik, berniat untuk mempertingkatkan diri. Tetapi, semua ini hanya akan menjadi seperti debu sahaja, andai ia dilakukan semata-mata kerana melepasi sebuah tahun.

1 Muharram, 1001 azam baru muncul dan wujud.

1 Januari, sekali lagi 1001 azam baru muncul.

Namun, apakah azam-azam ini diiringi dengan perancangan? Atau sebut-sebutan dari omongan? Ke arah mana kita berhijrah hakikatnya?

Menjadi hamba Ilahi Yang Berkuasa, atau hakikatnya berhijrah dalam lingkungan perhambaan di dalam dunia juga?

Ke arah mana?



Iman terjemahannya amal, cita-cita terjemahannya perancangan.

Amat pelik untuk saya, orang-orang berazam tetapi tidak pula merancang cara untuk menggapai azamnya. Begitulah juga manusia-manusia yang sibuk bercakap berkenaan Palestin, tetapi tiada perancangan rapi untuk membebaskannya.

Kita sudah penat dengan omongan kosong.

Dunia tidak akan tertawan hanya dengan bicara. Sebuah negara hanya bisa ditakluk dengan usaha. Bukan usaha semberono, tetapi usaha yang penuh dengan perancangan yang bersungguh-sungguh.

Merancang adalah bukti kita punya matlamat yang jelas. Kita nampak ke mana kita hendak berakhir, apa yang kita mahu, dan apa yang kita hendak gapai, maka kita merancang, langkah demi langkah agar kita mampu mencapai apa yang kita harapkan.

Di sinilah baru berlakunya peningkatan. Kita tahu di mana kita hendak berehat, kita sedar di mana kita kejatuhan, dan kita akan nampak apa yang perlu kita muhasabahkan. Dengan perancangan, apabila kita tiba ke titik-titik tertentu, kita akan mampu menaik secara berkadar terus dengan kehidupan, bukannya turun dan naik dengan mengikut keadaan.

Apakah kita merancang wahai diri yang kini menyatakan 1001 azam?



Dunia bukan untuk bermain-main Dunia ladang akhirat.

Kita semua tahu. Setiap amal baik dan buruk akan dihitung walau sebesar zarah. Kita semua tahu. Maka dengan pengetahuan kita ini, apakah kita menyangka dunia ini boleh kita lalui dengan bermain-main sahaja?

Kita tahu hari ini ummat Islam tertindas, kita sedar hari ini musuh-musuh Allah amat hebat, kita nampak betapa kita hari ini lemah, kita faham betapa jauhnya kita hari ini dengan Allah SWT, maka apakah yang telah kita usahakan?

Adakah cukup dengan kata-kata dan penulisan?

“Salam ma’al hijrah, semoga lebih baik”

“Semoga meningkat”

“Harap tahun ini lebih baik”

Kita sebut dengan kefahaman dan terjemahan amal, atau sekadar mengisi ruang kegembiraan satu sambutan? Kita hakikatnya mahu, setiap perbuatan kita, gerak geri kita memberikan kesan kepada pembangunan ummah. Kita tidak mahu kehidupan yang sia-sia.

Kita tidak hadir ke dunia ini untuk hanya bermain-main sahaja.



Lihatlah ke arah mana mereka berhijrah.

Menelusuri kisah hijrah para sahabat, pasti kita melihat betapa kita merentas tahun hijrah ini hanya dengan bermain-main sahaja.

Hijrah di dalam Islam punya makna yang besar. Bukan merentas tahun, tetapi merentas sahara untuk menyelamatkan iman. Bagaimana pula mereka berhijrah? Adakah dengan segala kemewahan? Tidak.

Suhaib Ar-Rumi RA, seoran hartawan yang terkenal dengan kekayaannya. Awalnya dia berhijrah dengan seluruh hartanya. Di tengah perjalanan, dia berjaya ditahan pihak Musyrikin Makkah. Mereka hendak membawanya pulang, menghalangnya daripada meneruskan hijrah.

Lantas Suhaib Ar-Rumi berkata:
“Apakah kalau aku tinggalkan semua hartaku di sini, maka kamu akan membenarkan aku pergi?”

Dan dia meninggalkan seluruh hartanya. Saya ulang, dia meninggalkan seluruh hartanya.

Untuk apa?

Untuk hijrahnya kepada Allah SWT, untuk menyelamatkan keimanannya. Dia sanggup mengorbankan seluruh hartanya. Kerna dia jelas, dia berhijrah ke arah Allah SWT Yang Maha Kaya, Yang Berkuasa Atas Segala-galanya.

Abdurrahman bin Auf, seorang lagi hartawan terkenal. Dia awal-awal lagi bergerak keluar dari Makkah dengan sehelai sepinggang. Langsung tidak membawa hartanya. Sehingga di Madinah terpaksa memulakan perniagaannya daripada aras bawah semula. Begitu juga hartawan lain seperti Abu Bakar, Uthman dan lain-lain yang mengikuti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri bersabung nyawa di dalam peristiwa hijrah ini. Begitu juga Saidina Ali bin Abu Talib RA yang sanggup menggantikan Rasulullah SAW di kamar baginda.

Pernahkah anda tertanya-tanya, atas dasar apakah mereka sanggup berkorban sedemikian rupa?

Kerana mereka benar-benar jelas akan penghijrahan mereka.


Mereka berhijrah kepada Allah SWT.

Keimanan mereka, keyakinan mereka membuatkan mereka sanggup mengorbankan segalanya, asalkan penghijrahan mereka kepada Allah SWT itu berjalan lancar.

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Maka, apakah yang telah kita korbankan, andai benar penghijrahan kita kepada Allah SWT?

Atau sebenarnya, hijrah kita bukannya kepada Allah SWT, sebab itu kita tidak mengorbankan apa-apa? Sebab itulah kita tidak merancang apa-apa?

Jika benar, maka kita ini tidak berhijrah sebenarnya.



Penutup: Tiada Lagi Hijrah Selepas Itu, Selain Perjuangan Ke Arah Kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan kota Makkah:

“Tiada lagi Hijrah selepas pembukaan ini kecuali kerana jihad dan niat yang baik, dan sekiranya diperintahkan supaya keluar untuk berjihad dan melaksanakan kebaikan, maka keluarlah”
Riwayat Bukhari.

Maka bergeraklah kepada kebaikan, jangan lengah. Bergerak dengan sistematik tanpa boncah. Keraskanlah diri menghadapi segala ujian agar tidak tergoncang. Korbankan apa yang patut dikorbankan, kaut apa yang patut dikaut.

Kenapa kita mesti redha dengan diri kita penuh dosa hari ini? Kenapa kita mesti rasa tidak mengapa dengan kelemahan kita hari ini? Kenapa kita mesti tunduk pada kezaliman dan kehinaan dunia kepada kita hari ini?

Maka bangkitlah, ubah segalanya, bermula dengan diri sendiri.

Jangan sekali mengungkap berubah itu, berubah ini, meningkat itu, meningkat ini, dengan kalam-kalam kosong tanpa perancangan. Kita tidak mahu bermain-main, kita bukan hamba tradisi. Kita hamba Ilahi.

Bergeraklah. Bergerak dengan serius.

Berhijrahlah, berhijrah dengan perancangan dan usaha yang tulus.


Dipetik daripada:
Langit Ilahi

No comments:

Post a Comment

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive