Jauhi bicara aib orang lain |
"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik," kata Hasan al-Banna. Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka sendiri. Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman. Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini. Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya. Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak." Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak. Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri hati. Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya. Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam serbu kekurangan dan mereka tidak sempurna. "Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif." Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain. Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian Tuhannya. Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik. Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan ilmunya. Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s. Ekoran cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!" Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu. Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain. Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si penghina. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12] Perbaiki hubungan persaudaraan Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana, masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui kata-kata. Dan, inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu, mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin. Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata. Yang lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam Hasan al-Banna ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam ini. Pada tahap itu, umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan pendidik di dunia. Demikianlah tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah persaudaraan Islam ini tentunya bersifat menjelajah ke antara benua, merentas sempadan negara-negara Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah bagaimanakah mahu membentuk ikatan persaudaraan antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya. Kita melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri dalam isu Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan lain-lainnya. Tapi, tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara Negara-Negara Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan Iran pada satu masa dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin negara Islam dapat dijalin bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada masa hadapan. Berkatalah yang baik-baik sahaja Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah. Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia. _ |
No comments:
Post a Comment