Rihat Minda


Thursday, 9 February 2012

Hasan Ali disaran berdakwah tanpa bayaran

YB Datuk Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Datuk merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Datuk juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Datuk sekeluarga.

NONESecara ikhlas, saya mula mengkagumi Datuk sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Datuk menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Datuk mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan.

Kesedaran bahawa apa yang telah Datuk lemparkan kepada mantan parti Datuk sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Datuk di media dan juga lewat ceramah-ceramah Datuk yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Datuk untuk menilai beberapa kenyataan Datuk dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya.

Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik.

Islam moderat

Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Datuk. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Datuk mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Datuk.

NONESaya kira Datuk mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring).

Kemenangan semua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka.

egypt revolution mubarak steps down huge crowd 1Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya.

Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.

Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator.

Proses kematangan

Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip.

Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut.

pas middle east conflict protest demo 290607 womenWacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu.

Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Bapa parasit

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.

NONEMenurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Datuk merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Datuk tersilap.

Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Datuk dakwa, tetapi ia merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit.

Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Datuk ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Ditakuti Umno

Yakinlah Datuk, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut.

NONEInilah yang ditakuti oleh Umno dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji.

Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.

Malang sekali apabila Datuk pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Datuk menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak Umno dan BN.

NONESaya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Datuk lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja.

Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka.

Gelombang perubahaan

Seperkara yang perlu Datuk ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah berjaya di negara masing-masing.

NONESaya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS.

Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Datuk, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Datuk anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud.

Memaksakan hudud

Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai.

NONEApa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu.

Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Datuk benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Datuk lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Datuk.

Turun padang tanpa bayaran

Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Datuk untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Datuk miliki.

Mungkin juga Datuk boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

himpun rally hasan ali speaking 2Jika dulu mungkin Datuk sibuk dengan tugas exco, kini Datuk lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Datuk yang ingin menjaga aqidah itu.

Saya kira Datuk juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Datuk itu.

Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Datuk untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Datuk kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal.

Saya amat meyakini, jika Datuk berdakwah seperti itu, Datuk akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.


Penulis adalah ahli akademik politik warga UIAM.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Rupa Dan Wajah UMNO Bila Hilang Kuasa

Oleh: Shahbudin Husin

Soal masa depan UMNO bukan saja diperkatakan dari segi hidup matinya dalam PRU 13 ini tetapi juga bagaimanakah nasib UMNO setelah ia kalah dan kehilangan kuasa. Dengan pelbagai jangkaan yang antaranya bahawa UMNO dan BN hanya mampu meraih kemenangan antara 90 hingga 105 kerusi Parlimen saja dalam PRU 13 ini, hari demi hari soal rupa dan wajah UMNO tanpa kuasa semakin kerap diperkatakan.

Ada golongan yang berpendapat kekalahan dan kehilangan kuasa adalah baik untuk masa depan parti itu. Dengan kehilangan kuasa, ramai pemimpinnya, terutama yang sudah berusia akan mengundur diri bagi menghabiskan sisa-sisa hari tua bersama anak cucu serta keluarga lantaran UMNO yang sudah kehilangan kuasa itu tidak mampu lagi menyajikan apa-apa gula untuk mereka hisap.

Dengan pengunduran mereka, dan sebahagiannya menjadi beban besar kepada parti selama ini, golongan muda yang penuh idealisme perjuangan akan mengambil alih tampuk perjuangan parti. Dengan keyakinan bahawa jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mampu bertahan paling lama dua penggal sahaja kerana faktor usia, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN selepas itu dilihat akan menjadi terbuka dan seimbang semula. Golongan muda inilah yang dipercayai akan mampu menebus semua kuasa yang hilang melalui keyakinan dan idealisme perjuangan mereka.

Ini kerana tiada lagi pemimpin yang sehebat Anwar dalam Pakatan Rakyat yang mampu mengambil alih baton dan meneruskan larian dengan selesa. Selepas ketiadaan Anwar, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN untuk saling menerajui pentadbiran negara akan menjadi seimbang dan ini juga memungkinkan wujudnya sistem dua parti. Pakatan Rakyat dan BN akan saling bergilir-gilir mentadbir negara bergantung kepada keupayaan memberi tawaran serta khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

Namun ramai pula yang berpendapat bahawa selepas kalah pilihanraya dan kehilangan kuasa, UMNO akan mati dan berkubur tidak lama selepas itu. Pihak yang mengandaikan demikian berpendapat, oleh kerana UMNO selama ini hidup atas kuasa wang ringgit dan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara sudah lama dilupakan dan digantikan dengan perjuangan mengisi poket keluarga dan kroni, maka dengan ketiadaan kuasa beli itu, ia akan ditinggalkan oleh orang-orang Melayu sendiri.

Tanpa kuasa dan kekeringan wang, tiada lagi orang Melayu mahu mendekati UMNO. Generasi muda yang kini sudah pun membenci dan menjauhi UMNO, semakin memandang sepi manakala generasi tua, oleh kerana tiada apa-apa lagi yang boleh diharapkan, waima lantikan sebagai ketua kampung atau JKKK sekalipun, pasti akan memilih untuk terus berundur dan menghabiskan hari-hari tua bersama keluarga.

Beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO turut mengakui hakikat itu. Dengan ketiadaan kuasa dan kemampuan menawarkan gula, UMNO yang kini dilihat hanya tinggal jasad dan tiada lagi roh perjuangan, mereka juga amat yakin bahawa UMNO akhirnya akan ditinggalkan, kemudian dilupakan dan mungkin berkubur akhirnya.

Mereka mengakui bahawa UMNO yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini lebih menerapkan perjuangan berasaskan wang ringgit sama ada dalam pelaksanaan program mahu pun pemilihan pemimpin di pelbagai peringkat, malah mereka yang menyertai dan berjuang dalam UMNO pun atas keghairahan untuk mengaut kekayaan dan "mengambil mana yang sempat", penuh yakin bahawa UMNO tidak mungkin mampu hidup dan diminati jika kuasa sudah tiada lagi.

Keadaan paling mudah untuk membayangkan hakikat itu ialah dengan melihat perbezaan keadaan dan kehidupan bekas-bekas Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, semasa mereka masih mempunyai kuasa dengan setelah kuasa tiada lagi dalam genggaman. Ketika masih memegang jawatan, mereka inilah antara orang paling berkuasa dan dihormati tetapi lihatlah bagaimana kehidupan mereka setelah ketiadaan kuasa.

Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun merupakan orang paling berkuasa dan ditakuti. Ketika berkuasa beliau bertindak tegas, digeruni dan menyingkirkan semua musuh politiknya seperti Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim serta disanjung tinggi oleh penyokong dan pengagumnya tetapi setelah meletakkan jawatan, beliau disanggah oleh sebahagian besar menteri-menteri yang pernah bekerja dengannya. Mereka yang sebelum itu sekadar berani mengangguk walaupun Tun Mahathir belum habis berkata-kata, sudah berani menentangnya pula. Malah Tun Mahathir juga dimalukan apabila beliau ditentang dan digagalkan untuk menjadi salah seorang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.

Walaupun kini Tun Mahathir terus bersuara dan kerap mendapat tempat berikutan sikap Najib yang banyak bergantung dan memberi muka kepadanya, hakikatnya Tun Mahathir tidak lagi dikerumuni dan dihormati seperti dulu.

Tun Abdullah juga begitu. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau disanjung, dikerumuni dan diburu sepanjang masa. Pujian terhadapnya juga bagaikan melangit. Tetapi setelah tiada kuasa, apa jadi kepada Pak Lah sekarang. Beliau bagaikan bersendirian meneruskan kehidupan, malah kehadirannya di Parlimen pun tidak lagi dipedulikan. Menteri-menteri yang dulu sering mengelilingi dan menemaninya, tidak lagi kelihatan di sisi.

Kehidupan bekas-bekas menteri juga rata-ratanya begitu. Ketika berkuasa, berduyun-duyun mengelilingi dan cuba menghampiri. Mereka menjadi individu penting dalam negara dan kehebatan juga terserlah tetapi setelah tiada lagi kuasa, kebanyakannya menghabiskan masa sendirian. Ada yang ke sana sini tanpa teman dan tidak dipedulikan oleh sesiapa seolah-oleh mereka tidak pernah berjasa apa-apa. Kadangkala mereka pergi ke masjid pun tiada yang mahu bersalam, malah ada bekas menteri yang sembahyang Jumaat di kaki lima masjid dan tidak ada sesiapa yang mempedulikannya.

Malahan ada pemimpin yang susut berkilo-kilo berat badannya apabila hilang jawatan menteri. Yang meracau dan bercakap tanpa henti walau dengan orang yang baru dikenali pun ramai bilangannya. Hakikatnya semua mereka itu menjadi keseorangan dan tidak lagi dipedulikan setelah tiada lagi kuasa.

UMNO juga akan begitu akhirnya. Sebagaimana semua bekas Perdana Menteri dan bekas menteri ini menjalani kehidupan yang sepi, ditinggalkan dan tidak dipedulikan selepas ketiadaan kuasa, UMNO juga akan menerima nasib yang sama. Sebaik sahaja hilang kuasa, orang-orang Melayu akan mula meninggalkannya. Golongan tua dan berusia mungkin memilih untuk bersara dan menjadikan kekerapan ke surau dan masjid pula sebagai keutamaan. Bagi yang masih bertenaga dan mempunyai nafsu, mereka akan cuba mengintai-intai dahan serta wadah baru pula. Golongan muda memang sudah sedia menjauhkan diri dan dengan ketiadaan kuasa, golongan ini melihat UMNO tidak lebih umpama "kupang tembaga" saja.

Malah tidak memeranjatkan dengan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13 ini, ramai pemimpin UMNO yang pernah mendapat nikmat dari perjuangan UMNO pun akan menyeberang dan menghimpit Anwar pula, terutama mereka yang memang dikenali sebagai "orang-orang Anwar" yang mana mereka ini menduduki pelbagai hieraki dalam UMNO sekarang ini, daripada pencacai di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.

Dengan kemungkinan ini dan melihat bagaimana bekas-bekas pemimpin ini menjalani kehidupan penuh sepi selepas ketiadaan kuasa dan akhirnya ketika meninggal dunia pun hanya teman rapat dan kaum keluarga saja yang hadir, sukar untuk menolak hakikat bahawa UMNO pun akan menerima nasib yang sama.

Selepas hilang kuasa, perlahan-lahan UMNO akan ditinggalkan, tidak dipedulikan, mengecil serta kurus dan akhirnya mungkin mati begitu sahaja. (SH 6/02/2012).

Saturday, 4 February 2012

Mat Zain: Polis dapat menentukan ‘dalam tempoh singkat’ jika NFC membiayai Umrah
Oleh Shannon Teoh February 04, 2012
KUALA LUMPUR, 4 Feb — Seorang bekas pegawai kanan polis hari ini mempersoalkan keengganan pihak polis bertindak terhadap keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) dalam skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), dengan mengatakan mereka mampu menyiasat perkara itu dalam masa singkat bagi memastikan sama ada berlakunya penyalahgunaan dana untuk membiayai Umrah.

“Kenapa pihak polis takut untuk mengambil tindakan terhadap suami dan anak Shahrizat?” soal bekas Ketua Pegawai Siasatan Jenayah Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbuka kepada Ketua Polis Negara hari ini.

“Bagi menyemak rekod untuk memastikan Mohamed Salleh dan Wan Shahinur (anak Shahrizat) menggunakan sejumlah RM31,580 dalam NFC bagi membiayai perjalanan Umrah mereka pada 2010 hanya memerlukan masa yang amat singkat untuk disiasat,” tegasnya.

Mat Zain telah mendesak Datuk Seri Najib Razak minggu lepas supaya menggesa polis, badan pencegah rasuan, Peguam Negara menyelesaikan siasatan terhadap skandal pusat ternakan lembu tersebut dalam masa dua minggu.

Tambahnya, bagi menyemak sama ada NFCorp telah membayar sejumlah RM26,400 kepada Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat hanya memerlukan “beberapa minit” penyiasatan.

“Sekiranya tuduhan-tuduhan itu benar, Shahrizat telah menipu rakyat apabila mengatakan beliau tidak mengambil tahu berkenaan hubungan pengurusan NFCorp oleh suami dan anaknya,” katanya.

PKR telah membuat beberapa siri pendedahan terhadap NFV, termasuk sejumlah RM27 juta didakwa telah digunakan untuk membeli tanah dan hartanah yang tidak berkaitan dengan projek ternakan tersebut, apabila Ketua Audit Negara mengatakan projek berkenaan tidak menetapi sasaran pada Oktober 2010.

Pembangkang turut mendakwa suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang juga Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp), telah mengarahkan bayaran sebanyak RM31,580 dibuat ke bagi membiayai perjalanan Umrah bagi diri, dan anaknya pada 2010 termasuk RM26,400 perbelanjaan Shahrizat pada 2008.

Ketua Wanita Umno itu semalam menegaskan beliau akan terus mengetuai sayap wanita dan kembali ke kementeriannya Isnin ini selepas bercuti selama tiga minggu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Friday, 27 January 2012

Selangor Sah Milik UMNO PRU 13...Ceramah Pakatan Rakyat Di Sabak Bernam Gagal!!!
Posted on Thursday, January 26 @ 20:42:32 PST
Dilulus untuk paparan oleh saddiqsigaraga

BeritaBerita yang amat mengembirakan pemimpin-pemimpin, ahli, pendokong, penyokong dan pencacai-pencacai UMNO... ceramah Dato Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat di Sabak Bernam malam tadi hambar dan langsung tiada sambutan.... dipulau oleh rakyat tempatan.

Setelah berlakunya peristiwa merusuh dan mengganas di Jalan Kebun jam lebih kurang 9.30 malam 21hb Januari 2012 yang lalu oleh sekumpulan pemuda berjiwa dan berdarah pekat UMNO, kini sambutan terhadap perjumpaan dan ceramah anjuran Pakatan Rakyat di Selangor, terutamanya jika penceramah itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, ternyata dan terbukti sudah tidak mendapat sambutan lagi...terkini dilubuk kuat UMNO sendiri di Sabak Bernam...satu-satu kawasan Parlimen di Selangor yang gagal dirampas oleh Pakatan Rakyat, ceramah YB Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup hambar sekali...kehadiran penduduk setempat hanya disekitar 10 orang sahaja....DSAI pada malam tadi berceramah didepan makhluk-makhluk halus termasuk bunian....CUKUP MENGHAMPAKAN PARA PEJUANG PAKATAN RAKYAT.

Ternyata segala propaganda terhadap Pakatan Rakyat dan DSAI oleh UMNO amat berkesan sekali...kini Hj Ah Jib Gor sebagai Pengerusi UMNO Selangor sudah pasti tersenyum lebar bila mereka yang ditugaskan untuk menawan Selangor telah berjaya dalam penugasannya.. Misi tawan Selangor sudah berjaya....pemecatan Hasan Ali Akidah cukup memberi kesan dan impak... kemasukan Ezam Mat Nor sebagai tunggak utama menyerang PR memang tepat....penerimaan Noh Omar sebagai orang kuat UMNO Selangor memang cukup hebat...

Maka terkulat-kulatlah Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Selangor pada PRU 13 nanti....rakyat khasnya orang Melayu sudah tekad muktamad maukan UMNO... rakyat Selangor masih terbayangkan linang "air mata" Hj Ah Jib Gor bila beliau berkata jika rakyat Selangor mau hidup senang dan selesa.. kembalikan kuasa kerajaan negeri ketangan UMNO..

Pemberian RM100 untuk setiap pelajar sekolah, RM200 baucer buku untuk penuntut pengajian tinggi dan BR1M RM500 adalah satu langkah bijak Hj Ah Jib Gor menambat dan menawan semula hati rakyat...kisah lembu fidlot duduk kondominium mewah sudah tidak boleh dijadikan isu lagi...TAHNIAH UMNO SELANGOR... MISI ANDA BERJAYA...

PSSSTTT.......betul ke apa yang saya cakap ni?....KWAH KWAH KWAH.

omakkau.blogspot.com


ABU milik rakyat

che'GuBard,27 Jan 2012

Seminggu ini ABU atau Asalkan Bukan Umno telah menjadi perhatian. Bermula dengan insiden serangan bersifat perkauman terhadap Ceramah ABU di Dewan MBSA, Seksyen 30, Kg Jalan Kebun, Shah Alam sehinggalah kenyataan terbuka oleh S.Jayathas yang selepas itu diketahui bertindak atas arahan P. Utayakumar yang merupakan pimpinan Hindraf yang telah menubuhkan sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Hak Asasi Manusia Malaysia.

Ditegaskan sejak awal ABU bukan sebuah organisasi atau jauh lagi sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan. ABU ialah mewakili sentimen rakyat yang kecewa dan sedar dengan hakikat banyak masalah negara ini berpunca dari sebuah parti yang dicipta oleh penjajah iaitu United Malay National organisation (Umno). Seingat kami sentimen ABU ini mula wujud sekitar tahun 1998 selepas pemecatan DSAI dan kemudian diporpularkan oleh Hishamuddin Rais melalui blog Tukar Tiubnya.

Namun bermula beberapa bulan lepas beberapa organisasi seperti SAMM, SABM, PSM, PRM dan banyak lagi juga tidak ketinggalan beberapa organisasi mahasiswa serta aktivis-aktivis masyarakat yang bergerak sendirian telah bergabung dan bersetuju menghidupkan kempen ABU untuk menjadikan ia sentimen nasional dalam menyatukan kekuatan rakyat demi menumbangkan Umno dan Barisan nasional khususnya dalam PRU akan datang.

Kempen ABU ini menggariskan 3 perkara kenapa perlu rakyat menolak Umno iaitu

Isu sentimen perkauman melampau yang dibawa oleh Umno telah menggagalkan penyatuan rakyat juga sebagai senjata untuk mengalihkan isu apabila satu isu besar muncul dalam negara.

Isu Lynas diangkat kerana isu ini menunjukkan ketidak pedulian Umno terhadap suara rakyat sanggup memperjudikan nyawa rakyat demi projek menguntungkan pihak tertentu. Isu ini juga berkait rapat dengan pembaziran, rasuah yang menghilangkan hasil petroleum negara sehingga negara terpaksa mencari industri tenaga baru bagi menggantikan petroleum.

Isu harga barang yang melampau dan jelas regim gagal mengawal

Isu - isu ini diangkat kerana ia isu yang dekat dan mudah difahami oleh rakyat. Isu ini juga bersifat fundimental dan dikongsi oleh semua gerakan progresif. Maka dengan isu ini diharapkan dapat menyatukan semua gerakan progresif dan secara tidak lansung mengenepikan isu perbezaan yang tidak menguntungkan gerakan. Selain itu isu seperti keadilan asas dan sistem perundangan juga menjadi tumpuan.

Telah dipersetujui ABU tidak akan punya struktur tetapi hanya penggerak terdiri dari organisasi atau individu sekutu yang bersama dengan sentimen ABU. Maka tidak ada ketua cuma yang ada kemungkinan penyelaras berdasarkan keperluan program.ABU tidak ada hak cipta semua orang boleh bergerak atas ABu tetapi jika bersekutu bersama impaknya akan lebih berkesan.

Semua orang boleh buat t-shirt ABu atau apa sahaja bahan mempromosi ABU tanpa izin sesiapa. ABU milik rakyat.

Menyentuh mengenai Hindraf yang kononya menarik sokongan dari ABU dan kemudian dinafikan oleh Penyelaras Kebangsaannya Sambulinggam dan pimpinan dalam buangannya Waythamoorthy yang menyatakan Hindraf terus bersama ABU dan semua pihak yang menentang Umno dan Barisan Nasional. Menurut mereka kenyataan tidak bersama ABU itu cuma pendapat peribadi Uthayakumar.

Bagi SAMM yang menjadi sekutu bersama ABU kami tidak berminat dengan apa yang jadi dalam mana - mana organisasi. Tanpa atau bersama Hindraf, sentimen ABU akan terus bergerak dan terlekat dihati rakyat. Namun kami amat mengalukan Hindraf atau mana - mana organisasi atau individu yang berkongsi sentimen ini dan bergerak bersama kerana penyatuan kekuatan merupakan kelebihan dalam gerakan menumbangkan regim yang ditunjangi Umno.

Terbaru juga komen Wan Farel, Penyelaras Segmentasi Mahasiswa dalam isu melibatkan KUIN di Kedah yang sedikit dilihat menyerang Menteri Besar PR Kedah yang kemungkinan dilihat agak kontradik dengan kempen ABU yang didokong SAMM. SAMM secara penuh menyokong kenyataan Wan Farel dan menganggap ia pendirian SAMM secara rasmi.

Perlu ditegaskan dokongan SAMM terhadap ABU bukan 'cek kosong' kepada yang melawan Umno. Sokongan dan sentimen ABU berdasarkan prinsip. ABU ialah sentimen kesedaran rakyat yang ingin melihat Umno tumbang kerana keangkuhan mereka dipuncak kuasa. Namun jika mana - mana pihak khususnya yang baru berkuasa sedikit melakukan perkara yang sama maka sewajarnya ditolak.

ABu ialah milik rakyat. ABU bukan cerita siapa nak jadi YB tetapi penyatuan kuasa rakyat melawan Umno. ABU ialah menefestasi dalam PRU akan datang Umno bukan sekadar berdepan dengan Pakatan Rakyat sebagai lawan politik tetapi akan berdepan sentimen rakyat ; Asalkan Bukan Umno.

Road show ABU dan program - program berimej ABU akan terus diperhebatkan dan akan diumumkan dari masa ke semasa.

Program yang terdekat ialah Ceramah Umum memperkenalkan ABU di NS, 28 Januari 2012, 8.45 malam di Taman Seremban Selatan akan menampilkan pemimpin politik, pemimpin NGO dan aktivis masyarakat. Semua dijemput hadir.
-------------------------------
che'GuBard adalah Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Cuba takutkan Cina: DHPP bidas Soi Lek

Aziz Muda ,26 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ternyata tidak berasas dan menyimpang jauh dengan realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat, terutama membabitkan kaum Cina di negara ini.

Sebaliknya, sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) ternyata semakin merosot berbanding sokongan yang diberikan oleh mereka terhadap Pakatan Rakyat yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Vincent Lee(gambar) menegaskan, bagi PAS sendiri lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP, sokongan kaum Cina terhadap PAS ternyata semakin kuat.

Menurutnya, perkembangan tersebut berlaku ekoran orang-orang Cina di negara ini ternyata semakin faham dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Islam yang pasti akan memberikan keadilan kepada semua penduduk di negara ini dan ketelusan.

Katanya, dalam masa yang sama, sokongan orang-orang Cina terhadap DAP turut meningkat, sejajar dengan perjuangan parti itu yang juga untuk keadilan dan ketelusan bersama-sama dengan PAS.

"PAS adalah satu-satunya parti di negara ini yang berlandaskan agama iaitu Islam, manakala pada asasnya pula setiap agama memperjuangkan keadilan dan ketelusan.

"Itulah yang menyebabkan orang-orang Cina turut menyokong PAS, lebih-lebih lagi dengan adanya DHPP yang menjadi jambatan antara PAS dan orang bukan Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Chua Soi Lek ketika membangkitkan isu mengenai undang-undang Islam di negara ini mengatakan bahawa masyarakat Cina kini mula kembali ke pangkuan BN kerana mereka sedar sokongan mereka kepada DAP akan membuka jalan kepada PAS untuk berkuasa.

“PAS yang akan menjadi parti dominan. PAS yang akan memberi arahan, PAS yang akan memerintah jika mereka (pembangkang) berkuasa.

“Ini adalah sesuatu yang komuniti Cina perlu sedar - pengundi DAP berikan kuasa kepada DAP, memperkuatkan DAP (dan) membuka jalan kepada PAS yang akan berkuasa di peringkat pusat,” katanya seperti yang dilaporkan media semalam.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, PKR tidak mampu bersaing dengan parti Islam itu dalam soal organisasi, disiplin parti dan yang lebih penting, kesetiaan ahli sambil menyifatkan parti itu lebih lemah dalam gabungan tiga parti tersebut dalam Pakatan Rakyat.

Menurut Vincent, bagi orang-orang Cina di Malaysia sekarang, mereka tidak lagi boleh dipengaruhi dengan kenyataan yang bukan-bukan dari Umno BN yang memburuk-burukkan PAS kerana perjuangan PAS sudah difahami oleh mereka.

"Begitu juga jika mereka menggunakan isu hukum hudud. Ini sudah tidak memberikan sebarang kesan buruk bagi sokongan orang-orang Cina terhadap PAS kerana semua itu sudah difahami dengan jelas oleh orang-orang Cina setelah mereka memahami perjuangan PAS.

"Malah jika isu hukum hudud ditimbulkan, masyarakat Cina pasti akan tahu dengan sendirinya bahawa pilihanraya sudah semakin dekat kerana isu mengenai hukum hudud akan ditimbulkan oleh Umno BN setiap kali menjelang pilihanraya.

"Dengan itu, orang-orang Cina dengan sendirinya akan lebih bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya dengan memberikan sokongan kepada PAS," jelasnya.

Begitu juga jika ditimbulkan isu kononnya DAP perkudakan PAS, tambahnya, juga tidak akan berhasil kerana orang-orang Cina sendiri tahu realiti sebenarnya dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, setelah gagal mempengaruhi orang-orang Cina dengan isu-isu seperti itu, kini Soi Lek pula membangkitkan perkara itu untuk menghalang sokongan orang Cina terhadap DAP dan PAS, tetapi ia tetap juga tidak berhasil.

"Orang-orang Cina sendiri sudah tahu dalam Pakatan Rakyat berbeza dengan BN yang tidak terdapat parti yang dominan. Sebaliknya dalam Pakatan Rakyat semua parti mempunyai peranan yang selari," tegasnya.

"Perkara itu tidak berlaku dalam BN kerana Umno yang menjadi parti dominan dalam BN. Jadi jika benar itulah yang menjadi puncanya, Soi Lek kenalah berikan alasannya, bukannya dengan hanya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana kenyataan Soi Lek itu hanyalah kenyataan politik dan tidak tepat sama sekali," katanya.

Beliau juga menegaskan, kerjasama erat antara DAP dan PAS sememangnya sudah tidak boleh dinafikan oleh sebarang pihak, malah sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa atau mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13, DAP telah berjanji untuk terus memberikan sokongan kepada Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dari PAS untuk menjadi Menteri Besar Perak.

Wajah Sebenar MB Kedah Dr. Azizan

Posted: 26 Jan 2012 05:56 AM PST

KEDIAMAN

Rumah dua tingkat di tepi jalan itu, sekilas pandang tiada satu pun kelihatan istimewa. Tiada bezanya dengan rumah-rumah sebaris dengannya. Bawahnya batu, menempatkan ruang dapur dan tamu. Tingkat atasnya kayu, tempat sepasang suami isteri beradu dan berkumpulnya anak menantu jua cucu.

Pekarangannya agak sempit, cukup-cukup memuatkan dua buah kereta. Di pagarnya tersidai dua karpet kecil dan sebatang mop lantai.

Sekelilingnya beberapa pokok sederhana besar ditanam, menghijaukan laman. Tiada kolam renang mahupun rekaan air terjun buatan yang melambangkan kemampuan penghuninya berbelanja besar, menghias kediaman.

Sesiapa yang lalu-lalang, baik pejalan kaki mahupun pengguna jalan raya, pasti terlepas pandang dek kerana tiadanya nilai estitika ataupun kemuncak kemewahan yang mampu menarik perhatian.

BANGUNKAN INSANIAH

Memadai diceritakan antara kejayaan Ustaz Azizan bersama kerajaan Pakatan Rakyat ini ialah berjaya membangunkan Kolej Universiti Insaniah dengan penambahan bangunan baru di Kuala Ketil dan peningkatan mata pelajaran yang ditawarkan.

Sebelum ini, selama 12 tahun di bawah kerajaan lama, hanya 7 subjek ditambah sedangkan di kala pemerintahannya selama dua tahun ini, sudah 42 subjek baru diperkenalkan.

CUKUP BERANG

"Paling pantang, ada orang minta projek daripadanya. Dia juga cukup berang jika sesuatu itu harganya amat mahal dan tidak munasabah. Dia begitu teliti dan cerewet tentang duit," kata seorang kakitangan kerajaan negeri tentang sikap MB Kedah itu terhadap perbelanjaan dan peruntukan kewangan.

Selain itu beliau turut mengarahkan semua Exco Kerajaan negeri, melalui potongan gaji, menyumbang dana ke Tabung Tunku Mahmud, bagi tujuan kebajikan untuk rakyat Kedah.

Ya, memang tidak disangkal, Ustaz Azizan begitu cermat bila masuk bab wang kerajaan. Sikapnya itu sudah tidak menjadi rahsia lagi bahkan sebelum beliau bergelar Menteri Besar lagi. Malah tidak pernah campur adukkan antara wang kerajaan negeri dengan wang milik parti.

Apatah lagi dalam hal ehwal lantikan kuasa atau jawatan, Ustaz Azizan, bapa 14 orang anak ini tidak pernah menggunakan kuasa yang ada untuk menawarkan pekerjaan kepada anak-anaknya di pejabat kerajaan negeri sungguhpun diketahui ada antaranya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kata satu sumber rapat dengan MB Kedah itu.

Ketika mula-mula mengangkat sumpah sebagai pemimpin negeri Mac 2008 yang lalu, rumahnya tidak mempunyai pagar. Kosong dan lapang begitu sahaja.

Namun atas nasihat Unit Perancang Ekonomi (UPEN) demi faktor keselamatan, Ustaz Azizan bersetuju dengan cadangan mereka supaya membina pagar rumah dan pondok pengawal. Bagaimanapun, beliau tidak mahu menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebaliknya membina menggunakan duit sendiri.

HARGA KEMEJA MB

Bagi membeli pakaian, beliau akan ke sebuah kedai cina di Simpang Empat, Kangkong dan sebuah kedai di Pulau Pinang bagi membeli baju-baju kemeja yang diminatinya dan kedua buah kedai ini, merupakan kedai pakaian kegemarannya sejak dulu lagi.

Dan lebih mengujakan, ada antara kemeja-kemeja yang dibelinya di sini, yang dipakai ketika majlis rasmi ataupun sewaktu bertugas rata-ratanya sekitar RM19.00 sahaja!

Tidak cukup dengan itu, jika ada urusan rasmi di Kuala Lumpur atau ke mana sahaja di negara ini,beliau tidak pernah menaiki kapal terbang sebaliknya menggunakan jalan darat semata. Ustaz Azizan 'tahan' berjam-jam dalam kenderaan untuk ke lokasi yang jauh.

Kata juruiring dan pengawal peribadinya, beliau tidak akan singgah di sepanjang perjalanannya seperti dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju. Malah masa bertolak dan pulang tidak tentu masa, adakalanya tengah malam atau menjelang subuh.

Selain mengurangkan kos, beliau berasa selesa dan bergerak ke sini sana bertemu sesiapa sahaja menggunakan kereta. Cuma sesekali dijemput Tuanku Sultan Kedah untuk menaiki pesawat peribadi Boeing 737, beliau tidak upaya menolaknya.

HUBUNGAN DENGAN ISTANA

Bercerita pula hubungannya dengan istana, ustaz Azizan sememangnya terkenal dengan sikap hormatnya kepada Sultan dan institusi raja-raja. Kerana itulah, setiap hari Rabu, di awal pagi sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri, beliau akan mengadap Sultan Kedah, untuk melaporkan perkembangan dan perjalanan urusan kerajaan.

Lazimnya, para pemimpin negara atau negeri akan menginap di hotel mewah khususnya di Kuala Lumpur bagi urusan-urusan rasmi. Bukan seorang perbelanjaan yang ditanggung, malah melibatkan para pegawai, setiausaha, petugas, pemandu dan pegawal peribadi

Tidak seperti Ustaz Azizan, bagi mengelakkan pembaziran, beliau menyewa sebuah rumah tiga bilik di lokasi yang dirahsiakan di ibu kota untuk didiaminya bersama para petugas. Betapa cermatnya dan bayangkan apabila perbelanjaan menginap di hotel yang boleh mencecah RM80,000 sebulan dapat dijimatkan!

Menarik cerita MB Kedah ini ketika berada di rumah sewanya itu. Saya bertanya makanan kesukaan beliau dan kata pegawainya sekiranya lapar, lewat malam Ustaz Azizan meminta pegawainya membungkus Roti Arab kuah Dal atau seperti selalunya, hanya meminta mereka memasakkan mee segera untuknya!

SERI MENTALOON

Ya, beliau tidak mahu menetap di Seri Mentaloon yang gah laksana istana itu tetapi menjadikan bangunan luas itu untuk dimanfaatkan oleh rakyat bagi apa jua program pembangunan Insan ataupun majlis-majlis rasmi, tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sikap Ustaz Azizan terhadap rakyat, kawan dan lawan sudah menjadi buah mulut orang. Mereka amat kenal gerak gaya dan perangai Menteri Besar mereka yang cukup mesra dan suka berseloroh. Saya sendiri pernah, menyaksikan serombongan 10 artis serta 40 krew produksi sebuah drama yang menjalankan penggambaran di Kedah diraikan oleh Azizan di Seri Mentaloon dengan jamuan makan tengah hari. Biarpun rombongan itu terlewat satu jam sedangkan MB mempunyai acara di lokasi yang lain, Ustaz Azizan masih sabar menunggu dan melayan tetamu, membuat kebanyakannya malu tersipu. Bukti, pemimpin parti Islam ini sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja.

Selain itu, Ustaz Azizan sering mempamerkan keprihatinannya terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Buktinya, sejurus selepas mengadap Sultan Kedah, beliau dengan lengkap berpakaian baju melayu bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan terdapat 14 buah kedai hangus terbakar di Sungai Limau sewaktu cuti Tahun Baru Cina tempoh hari.

Beliau tiba, ketika api sedang naik menjulang sambil memerhatikan bomba dan sukarelawan memadamkan kebakaran malah datang sekali lagi keesokan harinya bersama Tengku Bendahara Kedah, menyampaikan sumbangan derma kilat kepada mangsa.

Begitu juga dengan kejadian ribut kuat di Kuala Ketil yang melibatkan lebih 300 penduduk mengalami kerosakan kediaman, yang mana sehari selepas kejadian, Ustaz Azizan tiba awal dengan pasukan rombongannya menyampaikan sumbangan derma.

PERANGKAP WARTAWAN

Tetapi awas, bagi sesiapa yang tidak bersedia atau cuba 'menggoreng' fakta, akan menerima padah daripadanya yang cukup arif selok belok perangkap wartawan. Ada masa bidasan jawapan cukup pedih sehingga wartawan begitu berhati-hati mengelak serkap jarang.

"Sekarang ini Kedah tak ada air, macamana Dato' Seri? tanya seorang wartawan arus perdana yang dilihat cuba-cuba memprovokasi beliau.

"Kamu ni mandi tak pagi tadi?" tanya Ustaz Azizan pantas, kemudian dijawab 'ya' oleh wartawan itu, bagi mengelak dirinya dikatakan tidak mandi atau berbau busuk.

"Kalau begitu, macamana kamu kata tak ada air. Kamu mengaji Universti mana? Kan sekarang ni musim kemarau dan seluruh negara ada masalah kekurangan air. Ini urusan Allah SWT, jadi kita mohonlah doa, supaya hujan," katanya membuat wartawan itu terdiam seribu bahasa.

RAMADAN

Ada kisah menarik perhatian saya, ketika dititipkan semula pegawai khas MB tentang satu usaha kejadian sabotaj yang dilakukan pihak lawan sekitar Ramadan tahun lalu.

Waktu itu, di masjid-masjid telah teredar ribuan risalah palsu yang menyatakan bahawa Ustaz Azizan selaku MB Kedah akan memberi sumbangan wang saku untuk Hari Raya kepada rakyat Kedah.

Esok paginya lebih 300 orang memenuhi pekarangan pejabat MB bagi menuntut apa yang dijanjikan seperti yang dicanang risalah palsu itu. Ustaz Azizan yang baru tiba ke pejabat, hairan dan terpinga dengan kehadiran orang ramai itu, lantas memanggil para pegawainya menjelaskan apa yang berlaku.

Anda tahu keputusannya? Jika dilihat perwatakannya yang bengis dan tegas itu, ramai boleh mengagak tindakan selanjutnya. Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ustaz Azizan berasa simpati pula dengan orang ramai yang tertipu dengan risalah itu. Lebih menghibakan beliau, ada bersusah payah datang dari jauh, hulu kampung, semata-mata berharap dan bergantung ihsan sumbangan yang dihebahkan palsu itu.

Lantas beliau mengarahkan para pegawainya mengagihkan wang sebanyak RM50.00 seorang kepada semua yang hadir dan wang yang dikeluarkan itu datangnya daripada poketnya sendiri! ~kedahlanie

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive