Rihat Minda


Friday, 25 December 2009

26 December 2009

3 PM PUNYAI 3 IKLAN YANG MERUGIKAN RAKYAT MALAYSIA

Dari Kacamata Halik Zaman

ZAMAN Tun Mahathir rakyat telah digembar gemburkan dengan 'wawasan 2020' . Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi di highlight kan 'Islam Hadari' . Mohd. Najib Tun Razak hari ini mengiklankan pula cogankata '1Malaysia' . Anwar Ibrahim dengan 'masyarakat madani'. Lain pemimpin lain mottonya.

Wawasan 2020 sudah luput dari ingatan rakyat seperti luputnya kuasa Dr. Mahathir dibumi Malaysia. Wawasan 2020 Mahathir cuma memberi satu harapan kosong kepada rakyat Malaysia menanti janjinya bahawa pada tahun 2020 semua rakyat punya rumah sendiri, punya pekerjaan, punya kereta proton saga sendiri, punya niaga sendiri pendek kata tiada rakyat Malaysia yang miskin lagi.

Hanya yang nyata barisan pemimpin UMNO/BN yang kaya-raya dan yang tidak pernah mengenal erti sebenar kemiskinan. Kerana kuasa yang ada ditangan mereka membolehkan mereka menggali seberapa banyak harta waima dari segala bentuk sumber hatta dari wang rakyat Malaysia. Selagi akaun-akaun mereka tidak penuh, selagi itulah mereka akan bekerja keras bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan diri dan keluarga mereka. Itulah pengertian definisi WAWASAN 2020 bagi pemimpin UMNO/BN dibawah jajahan Dr Mahathir, pemimpin yang kita dengar orang kata diktator itu pada zamannya.

Islam Hadari, kononnya Abdullah Ahmad Badawi mahu jadi 'hero orang Islam' mahu merubah Islam sebagai Islam yang berkemajuan, Islam yang canggih, Islam yang moden. Seolah olah Islam itu diturunkan oleh Allah swt dalam Al-Quran sebagai tidak berkemajuan, tidak canggih dan tidak moden dizaman Rasullullah saw. Abdullah Ahmad Badawi lah yang menghadarikannya. Bila hari ini Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak berkuasa lagi maka Islam itu kembali mundur kerana Najib tidak menghadarikannya lagi.

Tapi jika dilihat dari aspek lain, Islam Hadari apa yang cuba Abdullah Ahmad Badawi cuba ketengahkan ? Pemimpin bagaimanakah yang tidak tegar menegur bilamana kekhilafan berlaku di depan mata ? Sebagai seorang pemimpin yang bermotifkan kepimpinan Islam Hadari, adalah menjadi suatu tanggungjawab baginya memperbetulkan kesilapan, bukan hanya memandang guna mata sahaja.

Kelembikan dan ketidak-tegaran menegur dan membimbing akhirnya memakan dirinya sendiri apabila terdapat pemberontakan dalaman dikalangan menteri kabinetnya yang berani mencabar beliau supaya meletakkan jawatan secara terang-terangan. Dimanakah maruahnya sebagai seorang Ketua Pemimpin ? Nampak sangat beliau tidak ada harga dikalangan rakyat dan menteri-menterinya sendiri ?

1Malaysia apa ini? Cogankata kah atau satu projek untuk rakyat kah? Semua orang tidak tahu. Cuma rakyat diberi tahu bahawa "Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan". Timbul soalan, apa benda yang rakyat sudah dahulukan? Apa sudah pencapaian yang diutamakan? Semua kabur tidak jelas. Yang jelas suruh rakyat bersatupadu menyokong UMNO/Barisan Nasional untuk menguatkan pengaruh Najib sambil menggamit sokongan rapuh dari Big Maminya.

Setelah Najib wujudkan 1Malaysia. Ini seolah olah menggambarkan sebelum Najib jadi Perdana Menteri negara kita ini ada 13Malaysia iaitu Semenanjung Malaysia meliputi 11 Negeri Negeri dalam Semenanjung. Jadi, Najib lah sebenarnya sebagai hero Malaysia kerana berjaya menjadikan 1Malaysia daripada dulunya 13Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Cogankata "rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan'. Di mana kesahihan cogankata ini ? Apakah sumbangan yang mereka berikan kepada rakyat ? Tariff elektrik, minyak, barangan asas keperluan rakyat kosnya meningkat naik. Rakyat pedalaman dan luarbandar banyak yang semakin kesempitan hidup. Apa yang telah BN 'dahulu'kan kepada rakyat ?

Yang nyata, bilamana ada pilihanraya kecil, barulah rakyat di 'hulurkan' dengan tujuan supaya undi rakyat kampung di'hadiahkan' kepada calon UMNO/BN. Seperti dalam dialog wayang Tan Sri P.Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang "dua untuk aku satu untuk kau". Begitulah hakikatnya. UMNO/BN hulur, rakyat harus 'bayar' balik dengan pangkahan undi BN calon mereka.

Timbul persoalan, apa kah sebelum Najib jadi Perdana Menteri, halatuju Barisan Nasional dulu bukan rakyat didahulukan? Tidak ada pencapaian diutamakan semasa BN memerintah dulu? Kalau itulah maknanya 1Malaysia seolah olah selama ini BN telah bermain politik songsang kepada rakyat Malaysia? Jadinnya "Tipah Double Tertipu Lagi? ".

Memang pada dasarnya, rakyat Malaysia telah lama ditipu dan di perdayakan oleh kepimpinan UMBO/BN. Cuma masih ada rakyat yang 'kabur' dan suka diperdayakan oleh UMNO/BN. Di hulurkan RM100-200, mereka segera lupa akan kesengsaraan mereka. Mereka lupa huluran RM100-200 cuma mampu bertahan sehari dua sahaja ekoran kos kehidupan rakyat meningkat hari demi hari tanpa mereka sedari. Golongan inilah yang harus kita buka minda dan mata mereka untuk melihat kebenaran yang terselindung disebalik lakonan-lakonan pemimpin UMNO/BN.

Wawasan Anwar Ibrahim, "Masyarakat Madani" dalam satu negara penduduknya berbilang bangsa dan fahaman agama mahu dimajukan. Tiada bangsa dalam negara Malaysia ini merasa kerugian. Ada kah bangsa Melayu mahu kerugian? Jawabnya TIDAK. Cina, India, Bumiputera Islam dan bukan Islam mahu kerugian? Jawapan yang sama TIDAK. Bagusnya masyarakat madani semua dibantu tidak pilih bulu, semua bangsa tidak ketinggalan dalam mengecapi arus kemajuan rakyat madani.

Jadi, kalau semua suku bangsa rakyat Malaysia beruntung dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat, apa masalahnya? Berbanding dengan Kerajaan UMNO/BN yang cuma untung adalah pemimpin pemimpin, orang orang besar, dan kroni kroni mereka sahaja. Kamu rakyat kampung dapat apa? Bukan kah itu suatu kerugian kepada semua bangsa dalam Malaysia?

Baru-baru ini kita di kejutkan dengan berita kehilangan 2 jet tentera Malaysia. Bagaimana dan mengapa ini berlaku ? Kita semua tidak percaya ini kerja pencuri dan perompak jalanan yang ada di negara ini. Waima geng perompak terbesar pun tak mungkin bisa melakukannya.

Kerja-kerja ini hanya boleh di lakukan oleh 'orang-orang tertentu' yang pangkatnya bukan satu paku tapi berpaku-paku. Kita juga tidak mungkin dapat percaya kalau kerja-kerja ini di lakukan oleh anggota tentera yang berpangkat rendah. Apakah Jenderal-Jenderal tentera yang ada di Malaysia ini tidak cukup makan ? Gaji mereka kurang besar kah ? Banyak pertanyaan demi pertanyaan timbul ekoran kehilangan misteri ini . Atau mungkinkah kita boleh pinjam 'AHLI NUJUM@DATUK KENNETH' untuk merungkai misteri kehilangan ini ?

Persoalaannya, siapa yang lakukan ? Dan bagaimana ianya di lakukan tanpa disedari atau pura-pura tidak disedari ? Banyak kemungkinan dan persoalan timbul. Ini menampakkan betapa lemahnya sistem kawalan anggota tentera kita. Untuk menjaga jet tentera pun mereka tidak mampu, bagaimana kita dapat mempercayai keupayaan mereka untuk mempertahankan negara yang kita cintai ini ?

Yang paling kita kesali, perkara sebegini berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan UMNO/BN dimana Kementerian Pertahanan, Menterinya Dato Seri Najib Tun Razak, orang UMNO/BN. Banyak desah-desus di kedai kopi kini mula mencurigai keselamatan negara ini dan kini mereka dapat melihat kepincangan pentadbiran Kerajaan UMNO/BN yang semakin luas kelihatan.

Wahai pemimpin-pemimpin UMNO/BN, sudah-sudahlah mencari kesalahan Pakatan Rakyat. Perbaiki dahulu kelemahan dan kemusnahan dalaman UMNO/BN sebelum sibuk mencanangkan kelemahan Pakatan Rakyat. Tapi, yelah, macam mana mau kerja untuk rakyat sedangkan Ahli-Ahli Parlimen kita sibuk mencari jodoh di kalangan artis-artis muda dan jelita. Tercabar juga rasa mereka bilamana melihat pengantin baru Bung Mokhtar dengan Zizie. Apa pun, selamat pengantin baru Bung Mokhtar, lepas ni dalam Parlimen tidak boleh lagi bising-bising, hilang nanti seri pengantin !

Yang penting bukan pasal kawin yang jadi isu disini, rakyat perduli apa Raden Moktar nak kawin 3 atau 4 artis, tapi yang penting YB. Raden Muktar telah menafikan dalam TV3 bahawa khabar angin itu cuma diada adakan. Ini namanya Wakil Rakyat PEMBOHONG. Si-pembohong mana boleh percaya jadi wakil? Tentu sekali janjinya pada rakyat pun beliau sanggup BERBOHONG?

26 Disember 2009

Royalti: 5 asas kukuh kenapa Pusat wajib bayar

9 Muharram 1431H

BESUT, 26 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) mendesak Kerajaan Pusat supaya segera menunaikan janji dan tanggungjawab untuk membayar royalti petroleum kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah pada sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.

Gegar adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Menurut mereka, hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, ujar mereka, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi Petronas untuk memberi lima peratus royalti kepada negeri.

“Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,” kata mereka.

Tambah mereka, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak Zon Ekonomi Eksklusif menjangkau jarak 200 batu nautika.

Justeru, kata mereka pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautika adalah mengelirukan kerana Akta Darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Mereka turut menghuraikan lima sebab mengapa kerajaan Pusat mesti mengembalikan royalti petroleum kepada rakyat melalui kedua-dua kerajaan negeri itu.

Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas ketika itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan Petronas adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “wang ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai wang ehsan sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai royalti dan bukan ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak lima peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat.

Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika.

Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan Kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam.

Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ehsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ehsan. Wang ehsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ehsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ehsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia.

Konsep federalisme menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalisme, negeri yang berada dalam Persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.

Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalisme kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan itu, kata mereka, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga batu nautika serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada Zon Ekonomi Eksklusif kerana ia bukan negeri adalah tidak dapat dipertahankan.

“Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata,” ujar mereka.

HarakahDaily.Net/-

Rakyat gesa Mahkamah Syariah percepat perbicaraan Anwar.

Saranan Presiden Ulama Sedunia, Yusuf Al-Qaradhawi menggesa mahkamah mempercepatkan kes tuduhan liwat Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan umum.

Isu ini mendapat perhatian masyarakat setelah perbicarannya ditangguh begitu lama oleh mahkamah.

Rata-rata masyarakat mempertikaikan tempoh masa yang diambil oleh mahkamah untuk membicarakan kes tersebut sehingga menimbulkan syak wasangka terhadap ketelusan perundangan di negara ini.

"Jadi saya rasa kalau Yusuf Qaradhawi meminta supaya dipercepatkan itu ada baiknya sebab apa kita hendak menapis kalau memang benar itu adalah tomahan atau fitnah, selesaikan fitnah itu. Atau kalau memang bukan fitnah, memang benar umpamanya perkara ini betul-betul berlaku, kita tak nak perkara ini berlanjutan, memang seharusnya kita banteras."

"Bagi pakcik kes Anwar itu patut dipercepatkan kerana memandangkan Anwar adalah seorang pemimpin. Jadi kalau perkara itu dilengah-lengahkan, dia akan membawa sesuatu yang tidak baik pada pandangan mata masyarakat dunia dan antarabangsa. Lagipun kes itu sengaja diada-adakan jadi bagi kita perkara yang sengaja ni tak patut dilengahkan."

"Jadi kalau nak dipercepatkan benda untuk kebaikan, asalkan kebaikan itu boleh memberi manfaat kepada orang baik dipercepatkan. Bukan macam orang difitnah-difitnah tiada penyelesaian daripada dulu, jadi akan merugikan pihak orang berkenaan."

"Bila lambat selesai kes mahkamah, bermasalah bagi orang yang kena dakwa. Siapa-siapa pun mesti dia susah, kehidupan jadi susah, nak fikir benda tu lagi padahal kerja lain banyak lagi."

"Bagi saya bermakna perkara-perkara yang lama ini dipercepatkan. Tiada sebab benda itu diperlambat-lambatkan sebab apa banyak orang akan bertanya apakah kesudahan dan apakah tindakan selanjutnya. Jadi saya rasa kalau perkara ini diperlambatkan mungkin ada suatu matlamat atau suatu niat hati yang kelainan. Jadi saya rasa perkara ini perlu dipercepatkan kerana ini adalah satu perkara yang amat besar diketahui umum."

Minggu lalu, Yusuf Al-Qaradhawi memberitahu media ketika sesi pertemuan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai alasan untuk melengah-lengahkan keadilan Islam sebaliknya mendesak supaya proses perundangan tersebut dipercepatkan. - Hadri Yaziz

25 December 2009

MB TERANGGANU TERBUKTI TAK BERMORAL


Kelmarin beliau bersumpah di Sidang DUN Terangganu menafikan beliau menyeleweng duit rakyat dengan memberi buah kurma dan air zam-zam. Sumpah beliau satu cubaan untuk menggambarkan betapa suci dan murninya dirinya dari sebarang bentuk skandal dan rasuah.

Tetapi semalam tak sampai 24 jam selepas bersumpah, Menteri Besar Terangganu Datuk Ahmad Said secara terang-terang tanpa malu dan berselindung merasuah ibu bapa yang sedang diraikan kerana kecemerlangan anak mereka dalam PMR supaya mengundi dan memangkah Umno@BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam ucapan semalam dalam program Yayasan Terangganu meraikan pelajar cemerlang PMR dan ibu bapa mereka Ahmad Said berkata :

"Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Menurut seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN,"

Adakah Ahmad Said fikir duit Yayasan Terangganu adalah duit Umno? Jika ini tidak dinamakan rasuah apa lagi istilah yang sesuai. Adakah SPRM akan siasat? Jika itu berlaku kepada pimpinan Pakatan Rakyat sudah pasti SPRM akan segera bertindak untuk membuktikan betapa efisennya mereka.

Enjin Hilang: Berdosa Kepada 30 Juta Rakyat -Nik Aziz

KOTA BARU, Dis 25 — Pihak-pihak terlibat dalam insiden kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk dipercayai didalangi warga kerjanya telah berdosa kepada setiap rakyat negara ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Orang yang terlibat bukan saja berdosa dengan Tuhan, tapi berdosa juga dengan rakyat. Kalau rakyat Malaysia ini ada seramai 30 juta, maka orang itu berdosa dengan 30 juta rakyat.

“Sebab enjin itu adalah hak kerajaan dan bila sebut kerajaan ia termasuk lah semua rakyat,” kata Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini.

Dengan nada yang sinis Nik Aziz berkata mustahil enjin itu boleh hilang dengan begitu mudah jika tidak ada dalang atau pengatur skrip di sebalik tragedi itu memandangkan prosedur kawalan ketat di pangkalan TUDM.

Baru-baru ini insiden kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM mengejutkan banyak pihak. Sistem kawalan keselamatan negara dipandang rapuh apabila Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi mendedahkan di samping enjin beberapa peralatan kelengkapan lain juga didapati hilang. (AK)


25 DECEMBER 2009
Adakah Mahathir + Pak Lah = 2 X 5
Mahathir: Siasat juga RM270 bilion zaman Pak Lah


Tidak cukup mempertahankan dirinya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyalahkan seorang lagi mantan perdana menteri berhubung isu salah guna wang negara seperti didakwa dalam sebuah buku terbaru.


Mengulas dakwaan beliau menghanguskan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya, Dr Mahathir meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion sepanjang lima tahun kepemimpinan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kelmarin, pelopor Wawasan 2020 mencabar kerajaan agar menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat dakwaan terhadapnya yang dimuatkan dalam buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain.

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata syarikat petroleum negara Petronas hanya menyerahkan wang RM126 bilion kepada kerajaan sepanjang kekuasaannya tetapi RM270 bilion semasa dipimpin Abdullah, yang popular dipanggil Pak Lah.

Sunday, 20 December 2009

4,000 hadiri ceramah Dr Yusuf al-Qaradhawi
Abdul Rahim Sabri
Dis 20, 09
6:20pm
Kira-kira 4,000 hadirin memenuhi dewan solat Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagi mengikuti syarahan perdana yang disampaikan oleh ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi malam tadi.

Dr Yusuf yang tiba kira-kira jam 7 petang, kemudiannya mengimamkan solat maghrib berjamaah bersama-sama makmum yang menunggu beliau sejak jam 6 petang lagi.

Bagaimanapun, tokoh pemikir Islam dari Mesir itu kelihatan tidak begitu sihat hanya mengimamkan solat dengan keadaan duduk di atas kerusi.

Sewaktu selesai solat berjamaah dan menuju ke kerusi yang disediakan berhampiran dengan mimbar masjid, hadirin yang berada di kiri dan kanan mimbar berpusu-pusu menghampiri beliau dengan lebih dekat menyebabkan pihak keselamatan dan urusetia terpaksa menenangkan keadaan.

Urusetia juga ketika itu, mengingatkan kepada hadirin agar tidak mendekati beliau dengan lebih rapat supaya dapat memberi ruang kepada Dr Yusuf untuk menyampaikan syarahan dengan lebih jelas dan selesa.

Turut hadir mendengar syarahan tersebut adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat antaranya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin dan ahli jawatankuasa PAS pusat Abdul Ghani Shamsuddin.

Dr Yusuf yang baru sahaja dianugerahkan tokoh Ma'al Hijrah pada tahun ini kelmarin, menyampaikan syarahan perdana yang menyentuh tentang pengajaran yang diperolehi oleh umat Islam dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.

Syarahan beliau memakan masa selama dua jam, bermula kira-kira 7.35 malam termasuk terjemahan syarahannya yang dipimpin oleh Abdul Ghani.

'Hijrah satu kemenangan'


Dalam syarahan beliau itu, Dr Yusuf menegaskan hijrah Rasullullah SAW adalah satu pertolongan daripada Allah SWT yang benar-benar berlaku dan bukannya satu khayalan.

"Dalam al-Quran jelas Allah menurunkan tentera (malaikat) yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar . Allah tampilkan mereka tidak lain adalah untuk membantu baginda. Ini jelas di dalam Al-Quran.

"Hijrah adalah satu kemenangan kerana mereka (umat Islam di Mekah) percaya (kepada Allah), mempertahankan prinsip akidah, walaupun dianiaya, diseksa dan pelbagai bentuk penyeksaan," katanya sambil membaca sepotong ayat Al-Quran untuk menguatkan hujahnya.

Dalam kesempatan itu, beliau juga mengemukakan contoh bagaimana sahabat baginda, Sumayyah dan Ammar ibn Yasir diseksa oleh kaum kafir Quraisy kerana menerima ajaran Nabi Muhammad SAW sebelum baginda berhijrah ke Madinah.

Mereka adalah antara sahabat baginda yang terawal mati syahid dalam sejarah Islam, tambah ilmuan Islam itu.

Menurut Dr Yusuf, selain faktor penyeksaan yang diterima oleh para sahabat baginda, ahli keluarga dan kaum kerabat turut baginda dikenakan tekanan sosial dan diboikot dalam bidang ekonomi, menyebabkan Allah memerintahkan baginda berhijrah ke sana.

Dr Yusuf berkata antara pengajaran lain yang perlu dicontohi oleh umat Islam daripada peristiwa agung itu adalah "bagaimana Rasullullah SAW mengatur, merencanakan dan merancang strategi untuk berhijrah".

Katanya baginda mengatur strategi antaranya, memilih Abu Bakar Al-Siddiq menemani beliau sewaktu berhijrah, memilih Ali Abi Talib bagi menggantikan beliau ditempat tidur baginda, dan melantik Asma Abu Bakar menjadi sumber berita kepada Rasullah SAW sewaktu berhijrah.

'Harus atur strategi'

Sebahagian strategi Rasulullah SAW juga ialah memilih penunjuk jalan yang benar-benar arif ke Madinah supaya terhindar daripada kaum kafir Quraisy, tambah ilmuan Islam itu.

"Oleh itu setiap orang Islam harus mengatur strategi dan operasi supaya perjalanan hidup dapat bergerak dengan cara yang betul dan kemudiannya kita berserah kepada Allah. Allah akan membantu kita selepas itu," kata Dr Yusuf sambil membaca sepotong ayat yang dibaca oleh baginda Rasulullah SAW kepada Abu Bakar meminta beliau tidak bersedih dan gusar dengan kaum kafir Quraisy.

Dalam peristiwa hijrah juga, Dr Yusuf berkata bahawa Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW bukan agama yang bersifat individualistik.

Sebaliknya katanya, Islam itu menganjurkan manusia agar hidup berjamaah atau berkumpulan dengan baginda mengasaskan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj, yang dinamakan sebagai kaum Ansar.

"(Ia adalah) permulaan kepada sesebuah masyarakat itu berasaskan kepada Islam... tidak mungkin penyebaran Islam akan berlaku tanpa ada orang yang mempertahankan Islam.

"Berjamaah (atau berkumpulan) adalah sesuatu yang disuarakan oleh Allah dalam al-Quran," katanya sambil membaca ayat keempat dan kelima dari surah al Fatihah, yang menggalakkan manusia hidup berkumpulan bukan bersikap individualistik.

Menurut Dr Yusuf lagi, pengajaran dari peristiwa hijrah tidak terhenti di situ sahaja, apabila baginda membina masyarakat yang berteraskan kepada iman dan Islam.

Menurutnya, baginda mempersaudarakan kaum Ansar dan kaum Muhajirin (umat Islam yang berhijrah ke Madinah), sebagai asas membina masyarakat Islam 'Rabbani Insani' di situ.

Bina masjid


Ini kerana, wahyu yang turun di Madinah, secara umumnya mengisahkan tentang akhlak termasuk pensyariatan solat, puasa, urusan bermuamalat dan sosial di kalangan mereka termasuk perlaksanaan hukum qisas dan pengurusan hutang piutang berlaku selepas peristiwa hijrah.

Dr Yusuf berkata, bagi tujuan tersebut, Rasulullah SAW membina sebuah masjid sebagai pusat sosial dan pertemuan dengan cara menunaikan solat berjamaah serta tempat bermesyuarat.

Baginda juga menubuhkan sebuah pasar bagi meningkatkan kegiatan ekonomi umat Islam, yang menjadi tempat singgahan para pedagang dari luar, tambahnya.

"Pasar itu mempunyai pelbagai seksyen seperti buah-buahan, sayur-sayuran, lembu, unta dan baginda menjadi pemantau terhadap sikap peniaga dan pedagang (yang berniaga)," katanya sambil menceritakan kisah seorang peniaga yang menipu dengan menjual tamar yang tidak elok.

Maka Dr Yusuf membaca sepotong hadis sahih yang menceritakan teguran Rasulullah SAW terhadap perbuatan peniaga tersebut, yang cuba menipu pelanggan.

Sebelum beliau mengakhiri syarahan beliau, ilmuan Islam itu, mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan "orang munafik yang sentiasa menyebarkan fitnah dalam masyarakat Islam".

'Pendustaan kaum munafik'

Katanya, mereka ini mengaku beriman kepada Allah, tetapi hakikatnya mereka benci kepada Islam. Menurutnya, terdapat ayat-ayat dalam surah Al-Taubah yang menjelaskan sikap, sifat dan ciri-ciri orang munafik.

Katanya, pendustaan kaum munafik di zaman ini "lebih dahsyat daripada zaman silam".

Beliau memberi contoh bagaimana isteri baginda Rasullah SAW, Aisyah Abu Bakar difitnah mempunyai hubungan dengan seorang sahabat, yang terkenal dalam sirah baginda sebagai kisah 'Hadith Al-Ifki'.

Dalam peristiwa ini, orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay menyebarkan fitnah berhubung perkara tersebut dalam masyarakat Islam di Madinah, menyebabkan ada di kalangan sahabat terpedaya dan termakan dengan fitnah tersebut.

"Ayat-ayat di dalam surah ini, Allah mendedahkan tipu daya mereka kerana mereka begitu mudah menjatuhkan martabat orang lain.

"Mereka menuduh (Aisyah) tanpa menampilkan saksi bagi tuduhan tersebut. Ia perlu ditampilkan empat orang saksi. Tidak menampilkan empat orang saksi, maka mereka adalah sesat dan dusta," katanya.

Selepas menyampaikan ceramah, Dr Yusuf diminta membaca doa untuk kesejateraan umat Islam dan hadirin baramai-ramai mengaminkannya, sebelum diiringi dengan laungan takbir.

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive