Rihat Minda


Wednesday, 20 July 2011

Peguam Perancis bakal dedah pembunuhan Altantuya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai:Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon (gambar) dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

“Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih,” kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu

Tuesday, 19 July 2011

BERSIH2.0 - PERUBATAN gesa kaji semula tindakan buang universiti
Posted on Tuesday, July 19 @ 13:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Luar NegaraOleh: yimsmart

"Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu Hak Mahasiswa Mesir Yang TerancamPersatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)

Mutakhir ini, timbul ura-ura dan perkhabaran di kalangan mahasiswa berkenaan amaran daripada Kerajaan Malaysia untuk tindakan yang bakal dikenakan kepada mana-mana mahasiswa seandainya melibatkan diri dalam perhimpunan BERSIH yang dianjurkan baru-baru ini. Bertitik tolak daripada itu, sebilangan mahasiswa daripada Yayasan Terengganu, Kerajaan Negeri Perak dan yang terbaru, seorang mahasiswa disahkan dibuang dari pusat pengajian Darul Ifta’ walaupun dalam masa seminggu lagi beliau akan menamatkan pengajian.

Maklumat terbaru juga mengesahkan ada segelintir mahasiswa yang dibuang dari pusat penginapan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah berikutan keterlibatan di dalam perhimpunan tersebut.

Justeru, tindakan keras yang dikenakan kepada mahasiswa ini dilihat dari sudut pandang sisi mahasiswa merupakan suatu tindakan yang kurang bijak dan terburu-buru oleh pihak berwajib. Tindakan khusus untuk membuang pelajar dilihat kurang professional dan tidak seperti bapa yang menghukum anak bukan atas dasar untuk mendidik dan berubah menjadi lebih baik bahkan situasi menjadi bertambah buruk. Hubungan yang keruh dan persengketaan akan terhasil antara pihak yang menghukum dan dihukum tidak menyelesaikan masalah yang sedia ada malahan mengeruhkan keharmoniaan suasana pengajian mahasiswa yang sedia ada selama ini.

Saya mewakili barisan kepimpinan PERUBATAN menggesa agar pihak Kedutaan Malaysia Besar Kaherah bersama pihak Education Malaysia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi memainkan peranan selaku pihak yang bertanggungjawab dalam membela hak pengajian mahasiswa yang terancam. Pihak yang berwajib yang mengenakan tindakan kepada mahasiswa-mahasiswa tersebut juga seharusnya mengkaji semula kewajaran tindakan yang diambil agar ia lebih relevan dan tidak menggelapkan masa depan mahasiswa. Menghukum itu perlu dengan tujuan untuk mendidik dan seharusnya pihak berwajib mengemukakan alasan dan bukti yang kukuh, memberi penjelasan yang jelas akan tindakan yang diambil dan membuat perbincangan.

Mesir bumi ilmu, tidak seharusnya hak penuntut ilmu untuk menuntut ilmu itu ditarik dan dicabuli. Kami meminta sekali lagi agar tindakan yang diambil ini dapat dikaji semula demi memastikan mahasiswa di perlembahan Nil ini dapat meneruskan pengajian dengan aman seperti sedia kala.

TAQWA SYIFA’ RAHMAH

ILMUAN BERBAKTI TEGUH SEHATI


Syafiq Hamdani
Presiden PERUBATAN 2011/2012
Amukan Regim UMNO di Mesir
Posted on Monday, July 18 @ 23:28:29 PDT
Dilulus untuk paparan oleh CyberSniper

BeritaOleh: abu_zaim

"Ekoran dari kejayaan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir mengadakan perkumpulan secara aman menyokong BERSIH 2.0, pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) MENGAMUK SAKAN cuba menzahirkan bahawa mereka lebih hebat dari Tuhan membunuh masa depan pelajar.

Apabila ditanya, sudah tentu semua akan berbangga mendakwa bahawa Malaysia merupakan negara yang bertamadun menjunjung konsep DEMOKRASI. Bebas menyuarakan pandangan. Bebas menzahirkan pendirian. Namun hakikatnya apa yang tinggal hanyalah UNDANG-UNDANG RIMBA mencengkam rakyat dengan kuku yang ditempa dari besi. Amukan regim Malaysia melampaui benua Afrika memangsakan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

Yang terbaru kes Mohd Firdaus Madzlan yang ditendang dari Kursus Darul Ifta’ kerana ‘kesalahan’ menganjurkan perkumpulan Bersih di Kaherah. Impian beliau yang akan menyambut majlis konvo 25 Julai ini musnah apabila pihak Jabatan Penuntut Kaherah a.ka. JPMK yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (baca UMNO) mendesak pihak Darul Ifta’ mengugurkan nama Mohd Firdaus Madzlan. JAHAT!

Tidak cukup dengan itu, pelajar-pelajar yang ingin berurusan dengan JPMK akan DISOAL SIASAT oleh pegawai (baca pencacai UMNO ) yang bernama KHAIRI JALALUDDIN tentang pembabitan dengan BERSIH. Dia akan mengeluarkan 3 album gambar untuk memeriksa samada pelajar tersebut menghadiri perkumpulan BERSIH ataupun tidak. Jika ada, dia akan memaksa pelajar tersebut supaya menyenaraikan penama-penama dalam gambar yang ditunjukkan. SAMSENG!

Terkini pelajar-pelajar yang menetap di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) DIHALAU secara lisan oleh warden. Tindakan tersebut gara-gara kerana mereka terlibat dalam perkumpulan BERSIH.

Belum lagi dibongkarkan bagaimana kerja pegawai-pegawai JPMK dan KBMK berjumpa dengan dekan kuliah Ulum Islamiyyah Universiti al-Azhar berbekalkan gambar-gambar peserta BERSIH supaya nama yang disenaraikan DITENDANG dari Universiti al-Azhar. ZALIM!

Jika ingin diungkap dengan bahasa UMNO, bukankah semua pelajar Malaysia di Mesir merupakan orang Melayu? Kata sayang sangat dengan orang Melayu. Mengapa sanggup menyembelih nasib orang Melayu? Pelajar-pelajar di negara lain tidak dikenakan tindakan sekejam itu. Tak akan berani dengan bangsa sendiri je?

Jika kita amati UMNO BN banyak menangani isu BERSIH tuntutan rakyat dengan tindakan nekad. Pendek kata apa nak jadi, jadilah. Begitu juga apa yang berlaku di Mesir, inilah tindakan yang paling gila yang pernah dibuat oleh pegawai-pegawai (baca pencacai UMNO). Jika benarlah falsafah yang mengatakan ‘sesebuah kuasa jahat akan tumbang di kemuncak kejahatannya’, maka sekarang adalah detik UMNO BN di kemuncak ketakutannya dan akan sanggup melakukan apa sahaja untuk survival regimnya.

Tidak kira anda pelajar, penjawat awam, warga tua atau sebagainya, pastikan anda semua mencarum saham menumbangkan regim UMNO BN acuan Firaun.

"

Hadi: Pihak bantah PAS sokong Ambiga buta sejarah Islam

July 19, 2011

KUALA LUMPUR, 19 Julai — PAS menyifatkan pihak-pihak yang membantah PAS menyokong perhimpunan Bersih 2.0 dengan alasan ia dipimpin oleh bukan Islam, Datuk S Ambiga sebagai buta sejarah Islam.

“Nabi Muhamad S.A.W. menyertai perjanjian Al Fudul di Mekah untuk membantu mereka yang dizalimi ketika Nabi belum menyebarkan Islam. Dan Baginda berkata dalam satu hadisnya, sekiranya ia berlaku lagi (semasa sudah menyebarkan Islam), aku akan menyertainya.

“Jadi berdasarkan sejarah ini, orang yang kata kat PAS itu tidak tahu sejarah Islam sebenarnya,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam wawancara khasnya dengan Harakahdaily dan Harakah.

Beliau mengulas kenyataan ramai pemimpin BN khasnya di kalangan pemblog Umno yang mempertikaikan PAS yang menyokong perjuangan Bersih 2.0 yang dipimpin oleh Datuk S Ambiga.

Mereka membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap Ambiga dan mengecam PAS yang menyokong dan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Turut menyertai perhimpunan itu dan ditangkap polis adalah Hadi sendiri yang terpaksa naik 'black maria' polis dan dibawa ke balai polis Jinjang.

Selain beliau turut ditahan ialah timbalannya Mohamad Sabu dan dua naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Hadi, semasa Nabi belum menyebarkan Islam, bapa saudara beliau telah mengajaknya bertemu dengan para pemimpin Arab ketika itu di rumah Abdullah Al Judaan di kota Mekah.

Ia turut disertai sama oleh Abu Jahal dan Abu Lahab iaitu dua pembesar Quraisy ketika itu yang banyak menentang perjuangan Islam yang dibawa baginda.

Perjanjian yang dinamakan Al Fudul itu adalah bertujuan untuk mengikat janji bagi mempertahankan mereka yang dizalimi.

Selepas sudah menyebarkan Islam, Baginda menceritakan peristiwa ini kepada para Sahabat Baginda dan berkata, jika perjanjian sebegitu berlaku lagi, Baginda akan menyertainya.

“Saya yakin, Datuk Ambiga adalah profesional yang adil. Begitu juga Datuk Samad Said. Takkan mereka sama dengan Abu Jahal dan Abu Lahab. Jadi apa salahnya kita bersama-sama memperjuangkan kebaikan yang ingin dibawa oleh Bersih 2.0 pimpinan mereka,” kata Hadi lagi.

Tak timbul Kedah tarik balik larangan, kata SU politik MB

July 19, 2011

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan larangan operasi pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan tidak pernah “ditarik balik” seperti mana yang didakwa oleh media arus perdana.

Sebaliknya jelas Sanusi, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak(gambar) secara umum bersetuju untuk membenarkan pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan, namun terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

“Kerana itu hak mereka dan kerajaan (negeri) juga harus memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan akidah sepanjang bulan Ramadan.

“Enakmen yang sudah diwartakan harus dikuatkuasakan untuk kepentingan semua pihak. Ini tanggungjawab sebuah kerajaan,” katanya dalam laman blog peribadi beliau.

Menurut Sanusi, Azizan juga menetapkan enakmen itu akan diserahkan kepada pentadbiran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Pelesenan Daerah untuk pertimbangan kelonggaran berdasarkan peraturan sedia ada dan cadangan yang dikemukakan.

Beliau juga menegaskan keputusan itu tidak ada kaitan dengan gesaan yang dibuat DAP sebelum ini.

“Selesailah isu sensasi yang sengaja dipanaskan tak ketahuan punca itu. Tidak timbul sama sekali pembatalan atau tarik balik kerana takutkan DAP,” katanya.

Sebelum ini, Azizan berkata pihaknya memutuskan untuk melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya tahun ini.

Azizan berkata, peraturan dan undang-undang pusat hiburan yang dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan di Kedah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan yang wujud sejak 1997, dan bukannya satu dasar baru.

Kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.

Bagaimanapun langkah itu mendapat bantahan daripada MCA dan Gerakan.

Selain itu Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Tambah Sanusi, polemik yang berlaku sejak minggu lalu hanya salah faham ekoran laporan media yang disifatkan beliau tidak jelas.

Larangan itu melibatkan 13 kategori termasuk karaoke, pentomin, panggung wayang, laser disc, MTV, persembahan pentas, sarkas, pancaragam dengan penyanyi, boling, snuker, biliard, bar, simulator, disko dan pub.

Ia diluluskan diluluskan pada 1997 dan diwartakan 12 Febuari 1998.

“Mereka sangka tentang jalan keluar dari isu ini hanyalah melalui membatalkan enakmen 1997 itu. Mereka terlupa syarat No. 8 itu ada tercatat pada borang memohon lesen yang mereka tandatangani.

“Mereka sangka peraturan ini hanya berlaku di daerah tertentu sahaja. Mereka tidak tahu beberapa kategori sukan dikecualikan dari takrif hiburan dalam enakmen.

“Semua persepsi ini dibina oleh MCA, DAP dan Gerakan melalui media,” kata Sanusi.

Enakmen itu yang dinyatakan pada No. 8 menyebut, jenis hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadan atau pada hari Jumaat (iaitu antara pukul 6 petang hari Khamis dan pukul 2.30 petang hari Jumaat) kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperoleh.

Monday, 18 July 2011

DR LO’ LO’ SEKADAR YANG SAYA KENALI

Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’ Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan Jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’ menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut

“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’ Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:

“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk UMNO

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:

“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:

“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:

“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya ‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya ‘Ulama atau professional Jadi Pemimpin’ . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:

“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;

“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau‘pendakwah’. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’ Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya

DUA AMARAN YANG BERBEZA

Amat melucukan sekali, bilamana Program2 yang dijalankan oleh PR, terus menerus diserang oleh BN, semua Media masa terlibat, yang terbaru Program BERSIH 2, walaupun semua orang tahu ia bukan anjuran PR sebaliknya sebagai sokongan kepada BERSIH jer, berbagai amaran dan arahan telah dikeluarkan dari segenap Agensi supaya jangan hadirkan diri, jika hadir juga tindakan tegas akan diambil , ini terbukti bilamana hampir 1,600 telah ditangkap, temasuk pelajar Universitiyang terlibat akan didakwa di bawah akta Kolej/universiti dan ini terbukti bila laporan menyatakan hampir 500 mahasiswa/siswi dalam dan luar negeri akan diambil tindakan, JPA pun sedang kenal pasti kakitangan Awam yang terlibat untuk tindakan.

Berbanding Program BN seperti lawatan PM Najib Ke Kelantan , semua kakitangan Agensi kerajaan seperti guru guru termasuk PIBG diminta hantar/ dikerah hadir, jika tidak hadir tindakan akan dikenakan, semua ini InsyaAllah dapat diperbetulkan sekiranya pada PRU13 nanti semua rakyat memberi sokongan penuh pada PR untuk menjadi peneraju Kerajaan Pusat di Putrajaya,.. InsyaAllah.

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive