Rihat Minda


Friday 23 December 2011

Hasan: Saya sedia temu kepimpinan parti bila-bila masa

TERKINI @ 12:50:38 PM 24-12-2011
December 24, 2011

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau bersedia bertemu dengan kepimpinan tertinggi parti itu pada bila-bila masa untuk memberikan penjelasan berhubung polemik yang berlaku sejak dua minggu lalu.

Bercakap pada sidang media di kediaman rasminya di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, Hasan(gambar) juga menjelaskan sehingga kini belum menerima sebarang surat rasmi daripada parti.

“Saya belum menerima surat lagi tapi apa pun untuk mencari kedamaian, demi mengelakkan polemik dan demi mengelakkan kegusaran di kepala dan hati saya bersedia (bertemu) pada bila-bila masa.

“Kalau panggil selepas Subuh saya datang, kalau panggil selepas tengah malam juga saya datang kerana saya akur kepada kepimpinan parti,” katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat memutuskan untuk memanggil Hasan, Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit baru-baru ini.

Kata Hasan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi parti akan menjadi platform untuk membuat penjelasan selain berpeluang mendengar pandangan parti tentang kontroversi yang berlaku.

“Saya memerlukan pandangan pimpinan mengenai polemik yang berlaku dan saya juga mempunyai pandangan dan input-input untuk disampaikan kepada kepimpinan tertinggi parti,” katanya.

Selain itu, Hasan yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor akur dengan arahan parti agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dalaman parti kepada media.

“Selepas ini kecuali kalau ada perkara yang memerlukan penjelasan dengan segera baru saya akan membuat sidang media,” katanya.


KOMEN SAYA,

Saya cadangkan Dato' berhubung terus dengan Dato' Tuan Ibrahim Tuan man, x perlu tunggu surat jemputan..kerana ni masalah keluarga jer (dalaman parti).


Negara Berkebajikan: ‘Saya minta maaf kepada parti’ kata Hasan Ali

December 24, 2011
KUALA LUMPUR, 24 Dis — Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini menarik balik kenyataan bahawa konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan PAS tergelincir dari matlamat parti itu.

Sambil menyifatkan ia sebagai “keterlanjuran kata”, Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor turut memohon maaf kepada kepimpinan dan ahli parti kerana mengeluarkan komen sedemikian.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini, Hasan (gambar) pernah membuat kenyataan menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Tindakan itu bagaimanapun dibantah kepimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Pada sidang media itu juga, Hasan mengakui beliau “bersetuju” dengan konsep Negara Berkebajikan yang disebut presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya di Muktamar tahunan PAS yang turut disahkan Majlis Syura Ulama.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

KOMEN SAYA:

Alhamdulillah beginilah sikap seorang pemimpin, pengakuan ini tidak menjatuhkan mertabat Dato; malah orang lebih menghormatinya nnti, kita sama-sama kembali dan wala' kepada Pimpinan...ini berkat doa jemaah semua..

Thursday 22 December 2011

Hasan diminta berhenti 'bercakap'| Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Hasan Ali diingatkan agar berhenti bercakap bagi menamatkan kritikan-kritikannya yang tidak berasas terhadap parti dan dasar perjuangan parti.

Ingatan tersebut amat perlu diberikan perhatian oleh beliau bagi mengelakkan pemimpin-peminpin PAS lain turut bercakap mengenainya untuk menjawab kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, sekiranya Hasan berhenti bercakap, beliau juga antara pemimpin PAS yang akan turut berhenti bercakap mengenainya kerana tidak lagi perlu menjawab kenyataan-kenyataan tidak berasas daripadanya.

Menurutnya, kritikan-kritikan Hasan terhadap PAS seperti yang disiarkan media tempatan termasuk mengenai konsep Kepimpinan Ulama dan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat, ternyata tidak berasas.

Katanya, apabila kenyataan-kenyataan tidak berasas yang dikeluarkan oleh Hassan, ia pasti memaksa beliau dan pemimpin-pemimpin PAS lain menjawab balik kenyataan-kenyataannya itu bagi kepentingan parti.

"Untuk menamatkan perkara ini, mudah saja. Datuk Hasan mestilah berhenti bercakap. Dengan itu, saya juga pasti akan berhenti bercakap kerana tak perlu lagi menjawab kenyataan-kenyataannya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Dalam hubungan ini, beliau menasihatkan Hasan agar mengikuti tindakan bijak yang telah diambil oleh seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa yang kini telah menjauhkan dirinya daripada terus terperangkap ke dalam jerat musuh khususnya Umno atau BN.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Nasharudin kerana telah menjauhkan dirinya daripada terperangkap dalam agenda Umno. Saya nasihatkan Datuk Hassan juga akan mengambil tindakan yang sama," katanya.

Beliau menjelaskan, setiap ahli PAS perlu faham dengan istilah 'perangkap' dan terperangkap dalam agenda Umno kerana perangkap politik mempunyai definisinya yang tersendiri dan berbeza dengan perangkap binatang seperti perangkap monyet dan tikus.

"Terperangkap dalam agenda Umno bukan hanya bermaksud seseorang itu keluar PAS dan menyertai Umno. Jika ini yang dilakukan seperti yang dilakukan oleh sesetengah bekas pemimpin PAS, ia tidak akan memberikan kesan buruk kepada PAS.

"Apabila seseorang itu dah keluar PAS dan menyertai Umno dan kemudian mengeluarkan pelbagai kritikan serta kenyataan tidak berasas terhadap PAS, ia tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PAS kerana ahli-ahli PAS sudah tidak lagi mempercayainya, sejajar dengan prinsip ahli-ahli PAS sendiri yang berpegang kepada dasar perjuangan parti, bukannya individu," jelasnya.

Sebaliknya, perangkap lain yang lebih bahaya dan perlu disedari oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli PAS, apabila seseorang ahli terutama pemimpin PAS itu masih terus berada di dalam PAS, tetapi mengeluarkan pelbagai kritikan dan kenyataan-kenyataan tidak berasas terhadap PAS dan dasar perjuangan parti.

"Dengan tindakan seperti itu, individu terbabit bukan sekadar boleh mempengaruhi pihak musuh, tetapi juga boleh mempengaruhi ahli-ahli PAS sendiri sehingga akhirnya masyarakat menjadi keliru ekoran kenyataan-kenyataannya yang tidak berasas," tegasnya.

Beliau juga mengingatkan setiap ahli dan pemimpin PAS agar dapat membezakan antara kritikan terhadap seseorang pemimpin PAS dan terhadap parti.

"Secara peribadi, saya mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Hasan. Begitu juga dengan Nasharudin. Malah, saya sayang kepada kedua-duanya.

"Saya bersedia memaafkan Datuk Hasan walaupun dia ada mengatakan saya sombong dan bongkak, walaupun tanpa diminta. Tetapi apabila dia mengkritik dan membuat kenyataan-kenyataan tak berasas terhadap parti, saya tak boleh maafkan sebab itu hak parti dan saya juga tak boleh diamkan diri," tambahnya.

Beliau turut menegaskan, berdasarkan pendirian dan bacaan politiknya, beliau tidak fikir Hassan akan masuk Umno dan Umno akan menerima kemasukan Hasan ke dalam parti itu.

Politik Islam ada feqahnya| Print |
Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:

Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

مَنْيُرِدْاللَّهُبِهِخَيْرًايُفَقِّهْهُفِيالدِّينِ

Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan: kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matlamatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah?

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam

Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive