Rihat Minda


Friday 7 May 2010


Oleh : Nasrudin Hassan at-Tantawi


Bagaimana Mendirikan Siasah [berpolitik] di Masjid.

Sebagai “ Rumah Allah ” , masjid merupakan institusi terpenting dalam pembinaan ummah yang bertamaddun. Malah penubuhan Negara Islam oleh Baginda saw. di Madinah al Munawwarah menyaksikan bagaimana masjid dinobat sebagai mercu peradaban dan kedaulatan yang dibina.

Pembinaan masjid di Quba’ , Wadi Ranuna’ [1] dan di Yathrib ( Madinatun Nabi ) menjadi batu asas pembinaan tamaddun Islam unggul berpaksikan kedaulatan syariat dan ummah yang bermartabat.

Ianya ( masjid ) tidak dibina semata – mata untuk mendirikan solat , tetapi juga sebagai nokhtah mula keagungan ummat. Dari situlah nabi saw. menggerakkan jentera kerajaan dan mengatur strategi membangunkan ummah .


Masjid : Iktibar dari Seerah an Nabawiyyah

Syeikh Dr. Musthafa as Sibae’i menyebut di dalam kitabnya as Seeratun Nabawiyyah : Durus wa I’bar :

“ Memang tidak dapat disangkal lagi , bahawa masjid membawa risalah kemasyarakatan dan kerohanian yang agung nilainya terhadap kehidupan ummat Islam . Masjid lah yang menyatukan saf – saf ummat Islam , menyucikan jiwa mereka , menghidupkan hati dan aqal mereka , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka dan akhirnya menampilkan kekuatan jua hubungan erat mereka .

Sesungguhnya telah terbukti bahawa sejarah masjid di dalam Islam , menjadi markaz bagi tentera Islam berangkat ke medan untuk menakluki muka bumi dengan hidayah Allah swt .

Dari masjid jua terpancarnya sinaran cahaya dan hidayah buat ummat Islam dan lainnya malah masjidlah juga berkembangnya peradaban Islam . Bukan kah Abu Bakar , Umar , Uthman , A’li , Khalid , Saad , Abu U’baidah dan tokoh – tokoh seumpama mereka yang terdiri daripada pemimpin – pemimpin agung dalam sejarah Islami merupakan anak -anak murid di Madrasah al Muhammadiyyah yang berpusat di Masjid an Nabawi .

Antara keistemewaan yang lain , masjid pada setiap minggu berkumandang kalimah al haq menerusi seruan khatib yang menentang kemungkaran , memperjuangkan syariat , menyeru kearah kebaikan , menginsafkan mereka yang lalai , menyeru kearah kesatuan, membasmi kezaliman dan memerangi perbuatan yang melampaui batas .

Sesungguhnya kita telah menyaksikan bagaimana dulunya masjid – masjid menjadi markaz – markaz yang menyemarakkan gerakan anak watan menentang penjajah Perancis . Berpangkalan di masjidlah , tokoh – tokoh jihad menetang penjajah dan menentang zionisme .

Apabila kita menyaksikan kepincangan masjid hari ini dari fungsi dan peranannya yang hebat , maka tiada lain melainkan kesalahan sebahagian khatib yang terdiri daripada khatib yang hanya bertugas memburu elaun atau jahil lagi leka .

Alangkah beruntungnya , jika dalam keadaan seperti ini , lahir segolongan pendakwah yang tegas membawa kebenaran , bangkitnya ulama yang memperjuangkan syariat Allah . Mereka ikhlas kerana Allah dan Rasulnya saw. , mereka menasihati pemimpin dan ummat Islam seluruhnya .

Mengembalikan masjid sebagai tempat kegiatan masyarakat , mendidik tokoh – tokoh dan melahirkan pejuang – pejuang , mengislahkan kefasadan , memerangi mungkar dan membentuk masyarakat berasaskan taqwa dan redha Allah swt.”

Rujuk : Seerah an Nabawiyyah : Durus wa I’bar
Oleh Dr. Musthafa Sibae’I . Muka surat 74 – 75
Cetakan ke 9 oleh al maktab al islami ( 1986 ) Dimasyq



Masjid Terbelenggu.

Realiti hari ini bertambah parah apabila melihat nasib masjid dan pengurusannya yang kian terabai . Lebih malang apabila wujudnya fenomena terancang untuk membelenggu masjid agar ia tidak berfungsi sebagai markaazul ummah .

Siapa lagi yang lebih bejad daripada mereka yang menghalang rumah Allah ( masjid ) agar tidak diimarahkan dengan ilmu dan zikrullah . Lebih parah apabila mereka “ sampai hati ” meruntuhkan rumah Allah yang pastinya dibina di atas tanah waqaf milik Allah swt. Firman Allah swt :

و من أظام ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه و سعى في خرابها أولئك من كان لهم أن يدخلوها إلا خآئفين لهم في الدنيا خزي و لهم في الأخرة عذاب عظيم

“ Siapa lagi yang terlebih zalim daripada orang yang menghalang masjid – masjid Allah bahawa disebut didalamnya namaNya dan berusaha merobohkannya ? Mereka tidak layak memasukinya kecuali dengan rasa takut ( kepada Allah ) . Bagi mereka kehinaan di dunia dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat di akhirat .”

Surah al Baqarah . Ayat : 114

Terlalu banyak masjid dalam Negara kita hari ini hanya dijadikan tempat solat dan lebih melucukan bagaimana terdapat masjid yang hanya berfungsi sebagai tempat kunjungan pelancung selain daripada solat berjamaah yang sangat kecil kuantitinya berbanding saiz masjid tersebut.

Keghairahan mendirikan masjid yang tidak seimbang dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya meletakkan situasi ini sebagaimana yang pernah dibimbangi oleh Rasulullah saw. dalam hadis baginda yang diriwayatkan dari Saidina Ali Karramallahuwajhah :

يُوشِكُ أنْ يأتيَ علَى النَّاسِ زَمانٌ لاَ يَبْقَى مِنَ اْلإسلامِ إلاَّ اسْمُهُ وَلاَ يَبْقَى مِنَ اْلقُرْآنِ إلاَّ رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِيَ خَرَابٌ مِنَ اْلهُدَى عُلَمَاؤهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ اْلفِتْنَةُ وَفِيْهِمْ تَعُوْدُ

رواه البيهقي

Sudah hampir suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al Quran itu kecuali hanya tulisannya . Masjid – masjid mereka tersergam indah tetapi ia kosong daripada hidayah . Ulama’ mereka adalah sejahat – jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit . Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali .

Rujuk Kanzuul U’mal
M/surat 80, Juzuk 11
Cetakan Darul Kutub al I’lmiyyah Beirut


Pengalaman saya dikepung oleh polis yang lengkap bersama anjing , menyerbu masuk ke kawasan laman Masjid Peramu Kuantan sementara waktu itu saya sedang menyampaikan ceramah Maulidur Rasul saw , cukup menggambarkan bagaimana masjid dibelenggu .

Perlantikan ahli jawatan kuasa masjid dikalangan mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid semata – mata tidak mahu masjid itu diimarahkan dengan majlis ilmu antara bukti bahawa pembelengguan masjid sangat ketara .

Menghantar SB [2] untuk memantau aktiviti masjid atau surau bukan sahaja menakut – nakutkan masyarakat untuk menghidupkan aktiviti masjid dan surau tetapi juga bermaksud untuk memberi tekanan kepada penceramah dan guru agama yang mengajar agar tidak menyentuh soal penyelewengan dan mungkar yang berlaku dalam Negara.

Sedang kelab – kelab malam dan pusat – pusat hiburan yang menjadi tempat subur untuk bercambahnya maksiat dan jenayah tidak dilayan sedemikian rupa .

Pekeliling yang pernah dihantar kepada surau dan masjid di Lembang Klang agar tidak mengadakan tazkirah di bulan Ramadhan juga mempunyai maksud yang sama untuk mengekalkan pembelengguan tersebut.

Arahan agar khatib hanya dibenarkan membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama meskipun khatib tersebut seorang yang diiktiraf ilmunya oleh universiti yang mu’taraf turut dilihat sebagai usaha menyempitkan fungsi surau dan masjid.

Sudahlah ruang dan peluang untuk bercakap Islam amat terhad , tiba – tiba masjid dan surau yang dianggap ruang yang paling kondusif untuk berbicara perkara agama turut dikekang , maka dimana lagi Islam ini boleh dijelaskan secara bebas dalam Negara ini ?

Pengurusan Masjid.

Selayaknya masjid diurus selia secara professional dan jujur bagi meletakkannya sebagai institusi penting dan suci dalam masyarakat .

Sangat malang apabila masjid bagaikan bangunan usang yang terbiar tanpa dipedulikan penyelenggaraannya sebagai sebuah tempat ibadah. Masing – masing melepaskan tanggungjawab kepada pihak yang lain dan akhirnya semua berlepas harap .

Sesetengahnya sangat berbangga dengan jumlah kutipan derma mingguan yang meningkat saban minggu dan dipaparkan di papan putih masjid berkenaan , sedang masjid tersebut sangat tidak terurus dengan sistem pengaliran air di kolam wudhu’ , kebersihan tandas yang sangat rendah dan menyedihkan , sistem pembesar suara yang uzur serta lemah dan pelbagai kelemahan yang ketara .

Kenapa tidak wang yang begitu banyak hasil sumbangan orang ramai dimanafaat sepenuhnya untuk meletakkan masjid dan surau sebagai sebuah institusi yang hebat dan menarik . Apa yang paling penting ialah masjid mesti menjadi tempat yang paling selesa dan tenang untuk ummat mengabdikan diri kepada Allah swt.

Imej tandas masjid sebagai tandas yang paling kotor sepatutnya tidak kedengaran lagi . Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama setiap individu muslim ? Bukan sahaja bermaksud supaya masjid tidak dipandang rendah oleh masyarakat umum, tetapi juga untuk mencari redha Ilahi .

Peranan dan Fungsi Masjid.

Selayaknya masjid diimarahkan . Sebagaimana tiada nilai masjid yang tidak diurus , begitulah tiada erti dan gunanya masjid yang diperbesar dan diperbanyakkan tetapi sepi tanpa aktiviti .
Masjid juga mestilah dilihat sebagai mesra remaja dan mesra ummah seluruhnya.

Masjid tidak sepatutnya menghadkan aktiviti kepada solat berjamaah semata – mata , demikian juga tazkirah dan kupasan ilmu yang hambar dan tidak membawa ahli jamaahnya wujud dalam cabaran zaman mereka yang sebenarnya.

Sebaliknya masjid mestilah aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masjid kepada mereka yang cuba menjauhkan dirinya daripada masjid. Malah aktiviti kemasyarakatan dan budaya mereka yang tidak bercanggah dengan Islam amatlah baik didekatkan kepada masjid .
Biarpun asalnya aktiviti itu bukan berbentuk ibadah namun apabila ia bertolak dari masjid dan surau , kita mengharapkan ia menjadi satu bentuk ibadah yang diredhai oleh Allah swt .

Tuisyen akademik juga boleh diadakan di masjid atau surau agar tidak sahaja ustaz dan pak lebai menguasai ruang legar masjid tersebut tetapi juga guru akademik dan murid – muridnya berhak ber“mesra” dengan masjid .

Saya berkeyakinan , jika semua pihak mengambil ruang dan bahagian mem“peranan”kan masjid seperti kaum ibu dengan aktiviti mereka , pelajar dengan aktiviti mereka dan ajk masjid dengan aktiviti mereka , masjid akan dilihat makmur , meriah , ceria dan menarik .

Pengalaman saya di Damsyik dan Tanta dapat melihat dari dekat bagaimana di sana terdapat masjid yang dilengkapi dengan maktabah ( perpustakaan ) untuk masyarakat merujuk pelbagai sumber ilmu dan Klinik yang beroperasi di masjid sepanjang hari dengan hanya ditutup pada waktu solat.

Keadaan itu tidak lagi meletakkan masjid dan surau sepi bersendirian dan akhirnya menjadi sasaran mat gian dan kaki lepak beroperasi dan mencuri . Malang ada masjid yang kehilangan besi keranda , tongkat khutbah dan set P.A system. Jawab mudahnya , kerana masjid tersebut sepi ditinggalkan oleh imam dan makmumnya.

Masjid sepatutnya tidak perlu berkunci dan berjaga , sudah cukup amalan iktikaf dan mengimarahkan masjid menjadikan masjid kawasan atau zon paling selamat dalam dunia .

Kalaupun keadaan memaksa demi memelihara barangan milik masjid daripada dicuri oleh penjenayah , maka saya syorkan agar sediakan kawasan berkunci untuk menyimpan barangan berharga milik masjid sementara ruang masjid terbuka untuk aktiviti umum mengabdikan diri kepada Allah swt.

Ataupun , sediakan ruangan khas yang tidak berkunci ( sebahagian dari masjid ) tersebut agar tidak menghalang aktiviti ummah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. terutama buat musafir lalu .

Pendekkata , sebagaimana pengurusan hotel ada kursus yang disediakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan maka saya kira pengurusan masjid juga min baabil aula [ terlebih layak ] patut diadakan kursus untuk tujuan meningkatkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah terhadap pengurusan masjid dan surau .

Berpolitik di Masjid.

Politik sebahagian daripada Islam yang telah dibawa oleh Nabi saw malah perjuangan baginda saw diwarnai oleh gerakkerja politik sehingga tertegaknya Negara Islam pertama di Madinah al Munawwarah . Pengurusan , pentadbiran dan pemerintahan Nabi saw juga berpusat di Masjid an Nabawi .

Masjid an Nabawi turut menjadi tempat Nabi saw mengajar ilmu politik kepada ummah agar mereka kekal menjadi ummah yang bertanggungjawab memelihara dan mentadbir negeri atau negara berdasarkan agama yang telah diwahyukan oleh Allah swt . sehingga lahir sebuah negera yang aman , maju , sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah swt .

Memisahkan Masjid daripada politik dan aktivitinya yang benar dan tulen mengikut ajaran Islam adalah satu percubaan untuk mensekularkan ummah dengan menjarakkan urusan politik daripada agama .

Tindakan memisahkan politik daripada masjid hanya menjadikan politik itu kotor kerana terpisah dari ruh agama . Sebetulnya inilah yang sangat diinginkan oleh ahli – ahli politik sekular agar politik mereka bebas dari pengaruh masjid yang mengingatkan mereka kepada syurga dan neraka serta dosa dan pahala . Tentunya politikus duniawi ini akan rimas dan lemas apabila politik mereka diganggu oleh ulama’ atau imam yang mengingatkan tentang dosa pahala dalam berpolitik lantaran politik mereka adalah membujur lalu melintang patah , dihulur aku sapu yang hilang aku tak kisah. Segala elemen negatif seperti politik kebencian dan fitnah yang terbentuk dari aksi politik duniawi dan sekular sewajar dihapuskan kerana politik sedemikian tidak memberi keuntungan kepada ummah dan negara . Justeru itu , masjid bagaikan “washing machine” untuk membersihkan politik dari segala elemen negatif tersebut .

Bawalah politik masuk ke dalam masjid nescaya politik itu akan menjadi tenang , murni dan terhindar dari sebarang fitnah dan kebencian sesama ummah. Bukankah masjid adalah tempat suci yang dilarang keras pengunjung membuat bising tidak tentu pasal apalagi melemparkan fitnah dan menghasut masyarakat agar saling benci membenci kerana masjid adalah simbol perpaduan dan kasih sayang .

Bertolak dari masjidlah , politik ummat Islam harus digerakkan untuk memerangi kemungkaran politik, kebathilan politik , kemaksiatan politik , penyelewengan politik dan penyalahgunaan kuasa politik kerana segala macam kemungkaran , kemaksiatan dan kebathilan itu adalah dosa dan noda yang mesti disucikan sebelum mati bettemu Allah swt.

Inilah bezanya politik Islam yang membawa ke akhirat . Berbanding kitaran politik sekular yang hanya berlegar di kaki dunia dan tidak pun sekali – kali mampu melepasi sempadannya.

___________________________________________________________________________________________________________________
[1] Tempat mula – mula Nabi saw. mendirikan solat jumaat di Madinah .
( di Tengah – tengah Wadi Ranuna’ )
Rujuk : Sirah an Nabawiyyah Li Ibni Hisyam .
M/s 315 Juz. Pertama. Cetakan Dar Ibn Rejab . Mansourah

[2] Antara contohnya sebagaimana yang berlaku kepada Surau al Muhajirin Bandar Muadzam Shah. Kelihatan SB sering memantau aktiviti di surau berkenaan dan saya sendiri selaku salah seorang tenaga pengajar di surau tersebut pernah diadu ke Pejabat Agama kononnya saya mengajar ajaran salah

Tuesday 4 May 2010

Kenyataan Balas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

oleh teori Oleh: ahmadfadhli

"Kenyataan Balas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)Terhadap Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar. DPPNK ingin menarik perhatian terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri seperti yang dilaporkan oleh laman web berita dalam talian The Malaysian Insider. Laporan tersebut di bawah tajuk Noh Omar minta Nik Aziz jangan bawa perangai Kelantan boleh diakses di alamat : links manakala sebahagian kenyataannya juga turut disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (4 Mei 2010) : links2. DPPNK menyifatkan kenyataan Noh Omar tersebut sebagai biadap dan menghina rakyat Kelantan keseluruhannya apabila dengan angkuh beliau menyifatkan perbuatan tidak menghormati undang-undang dan Sultan sebagai ’perangai atau stail orang Kelantan’ .3. Noh Omar sepatutnya memahami dengan jelas kenyataan yang dibuat oleh YAB Menteri Besar Kelantan adalah secara umum dan tidak merujuk kepada titah yang dikeluarkan oleh KDYMM Sultan Selangor. Bahkan kali pertama YAB Menteri Besar menjawab soalan wartawan di sidang media ketika pilihanraya kecil Hulu Selangor tanpa merujuk kepada titah baginda Sultan. Berkali-kali YAB Menteri Besar Kelantan menjelaskan pendiriannya bahawa parti politik tidak boleh dibincangkan di atas masjid, namun menerangkan berkenaan politik Islam di atas masjid tidak wajar untuk dilarang. Memisahkan terus Islam dengan politik tidak syak lagi merupakan ajaran sekular.4. Nor Omar perlu sedar bahawa pihak yang menggunakan masjid untuk tujuan politik di Selangor ialah UMNO. Ini termasuklah majlis solat hajat dan doa selamat untuk calon MIC yang dibuat di atas masjid dan diiklankan secara besar-besaran melalui sepanduk-sepanduk yang digantung. Perbuatan jijik Barisan Nasional ini barangkali halal di sisi mereka.5. DPPNK juga menyifatkan kenyataan Noh Omar yang mengatakan “Janganlah ingat Nik Aziz saja yang beragama hebat sebab janggutnya lebih panjang dari ulama Selangor” merupakan satu penghinaan terhadap Sunnah Rasululllah SAW. 6. Beliau juga dengan tegar sekali melakukan penghinaan terhadap YAB Menteri Besar Kelantan yang disifatkannya sebagai dua kali ganda lebih bodoh hanya semata YAB Menteri Besar Kelantan menyatakan sesuatu yang bertepatan dengan Islam.7. DPPNK menuntut supaya Datuk Seri Noh Omar menarik balik kenyataannya atau membuat penafian jika laporan tersebut tidak benar. Kegagalan beliau untuk berbuat demikian dianggap sebagai pengesahan terhadap kenyataannya yang menghina Sunnah Rasulullah SAW, YAB Menteri Besar Kelantan dan rakyat Kelantan keseluruhannya. Sekian, wassalam.Yang menjalankan tugas,AHMAD FADHLI BIN SHAARIKetua Penerangan,Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)"

Sunday 2 May 2010

Oleh Ust Saiful Bahri

Jawatan menurut pandangan Islam adalah amanah.

Ia tidak melantik seseorang melainkan atas sikap amanah dan adil. Amanah kerana ia melibatkan Allah dan Rasul. Ia juga melibatkan kepimpinan keatas umat Islam. Amanah terhadap harta benda dan negara umat Islam. Penerima jawatan juga perlu amanah. Bukan hanya amanah ketika mula dilantik tetapi istiqamah dengan sifat tersebut sehingga selesai tugas dan tanggungjawabnya. Adil dalam melantik kepimpinan adalah meletakkan seseorang pada tempat yang selayaknya. Perlantikan seseorang bukan atas kehendak nafsunya tetapi perkiraan dan perhitungan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas, khidmat dan mencurahkan bakti dan jasa. Ia bukan melantik kerana ia isteriku, anak-anakku, teman dan rakanku. Tetapi ianya juga adalah amanah yang turut dipersoalkan keatasnya kelak.
Rasulullah Saw ketika diminta diberikan jawatan oleh Abu Zar al-Ghifari, Baginda menolaknya dengan sabdanya:
يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَاWahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah dan jawatan itu amanah. Dan di hari kiamat kelak merugikan dan penyesalan melainkan orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan segala tuntutannya. (Riwayat Muslim).
Hari ini bukan kriteria itu yang menjadi sempadan. Siapa yang paling kuat mengampu maka ia diberi pangkat dan jawatan. Siapa yang paling kuat akur kepada tuannya maka ia diberi kedudukan. Kalau inilah menjadi neraca, itulah tanda dan saat-saat kejatuhan. Kejatuhan beberapa kerajaan Islam kerana mereka dilingkungi oleh golongan pengampu yang menjadi penasihat dan pengampu, maka itulah tanda-tanda kejatuhan. Para pegawai yang paling banyak mengutip cukai untuk dipersembahkan kepada pemimpin nescaya mereka diberi kedudukan, maka orang yang paling zalim akan mendekati kepimpinan.Masing-masing hanya mencari jalan bagi memperkukuhkan jawatan masing-masing dan mereka sanggup melacurkan diri mereka sendiri. Mereka sanggup menjilat ludah dan kahak mereka sendiri. Benarlah Rasulullah Saw bahawa golongan ini ada sepanjang zaman. Samada pembantu dan penasihat yang baik atau penolong yang buruk dan jahat. Sabda baginda:
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا بَعَثَ اللَّهُ مِنْ نَبِيٍّ وَلَا اسْتَخْلَفَ مِنْ خَلِيفَةٍ إِلَّا كَانَتْ لَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ فَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللَّهُ تَعَالَىDaripada Abi Said al-Khudri bahawa Nabi Saw bersabda: Tidak dibangkitkan Allah para nabi dan tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. Riwayat al-BukhariOrang-orang yang jujur dalam etika kehidupannya, mereka inilah sepatutnya diambil sebagai pembantu dan pemberi nasihat. Mereka inilah yang layak diberi pangkat dan jawatan. Amat malang jika sekiranya mereka yang hanya membekalkan lidah dan kebijaksanaan mengampu diangkat dan dilantik. Sekali mereka khianat dalam perjuangan, nescaya umat Islam perlu berhati-hati dengannya.Tetapi kalau gerombolan itu sendiri terdiri daripada golongan-golongan yang tercalar moral, akhlak dan perilakunya, apalah sangat hendak diharapkan yang terbaik. Sudah tentu ia menjadi tempat berhimpun golongan yang sewaktu dengannya. Lidah mereka bercabang dan perbuatan mereka bersimpang-siur.Imam Bukhari pernah meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik).” Riwayat al-Bukhari.Tetapi itulah golongan yang dianggap terpilih dizaman ini. Mungkin mereka sudah biasa dengan kerja-kerja macam tu. Ianya hanya dianggap sebagai sirih pulang ke gangang. Ibarat Kabo tahik. Walau diambil dan dibersih serta dilumur minyak wangi, diletak diatas kapas tetapi apabila dilepaskan, ia akhirnya terbang ke tempat tahik juga.Golongan seperti ini jangan diharapkan ia sanggup berjuang sehingga ke penghujung. Mereka sudah biasa dengan kemewahan, pangkat dan kuasa. Lihatlah mereka yang lari dari perjuangan melompat kepada parti yang memerintah. Mereka tidak sanggup menjadi pejuang tulen. Peringkat awal semasa reformasi, betapa ramai tokoh-tokoh penegak keadilan dan pembela mereka yang tertindas dan dizalimi. Mereka berada dipentas dengan semangat meluap-luap dan ceramah mereka berapi-rapi. Apa yang tidak mereka kata tentang kejahatan, kezaliman, penyelewengan dan seribu macam kejelikan dan kejinya parti yang memerintah. Mereka berani dan mereka tahu menyebutnya kerana mereka bersama-sama dengan UMNO dan kerajaan yang memerintah dulunya.
Pengalaman bersama penulis sendiri, terlalu ramai mereka yang diatas pentas bab panglima jihad Khalid ibn walid tetapi dikerusi bawah pentas mereka yang jiwa mereka senipis bawang. Yang menjadi wirid mereka adalah payah, sukarnya bejuang, masalah kewangan, tiada peruntukan dan…. Bla.. bla.. blaa. Hari ini mereka menzahirkan diri mereka sendiri. Maka berterabur pulalah air liur mereka memaki pimpinan PR dan Pas sendiri. Penulis sendiri sempat berceramah sekali dengan orang yang seperti Roslan Kassim, Cucu ghafar baba, Lukman adam maupun Ezam sendiri. Fuhhh ingatkan sehingga titisan darah terakhir rupanya hanya setakat air liur dihalqum sahaja. Dulu bab panglima di Istana Pembangkang tetapi hari ini menadah tempurung, merempat dikaki lima UMNO-BN sebagai peminta sedekah. Amat aib dan hina sekali. Dari penentang kezaliman ingin menjadi gulkha pembela kejahatan.
وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ َمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَDan kalau kami menghendaki, Sesungguhnya kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, Maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). demikian Itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka Ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
Munasabahlah golongan seperti ini, Rasulullah Saw tidak mengaku umat dan tidak layak meminum kolam baginda. Mereka yang bersekongkol dengan pemerintah yang zalim serta membelakangkan syariat dan sunnah baginda.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِكَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَعَاذَكَ اللَّهُ مِنْ إِمَارَةِ السُّفَهَاءِ قَالَ وَمَا إِمَارَةُ السُّفَهَاءِ قَالَ أُمَرَاءُ يَكُونُونَ بَعْدِي لَا يَقْتَدُونَ بِهَدْيِي وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَأُولَئِكَ لَيْسُوا مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُمْ وَلَا يَرِدُوا عَلَيَّ حَوْضِيDaripada Jabir bin Abdullah bahawa Nabi Saw bersabda kepada Ka’ab bin Ujrah: Aku memohon perlindungan Allah daripada pimpinan yang bodoh. Ia berkata: Siapakah pemimpin bodoh itu? Sabda Baginda : “ Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang metidak mengikuti petunjukku dan tidak mengikuti akan sunnahku. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga).
Lihatlah cara bagaimana seorang raja yang ingin melantik penolong kanan beliau. Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerahi dengan bintang-bintang kehormat. Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balai rong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya. Akhirnya sampailah kepada giliran seorang mamanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan." Mendengar kata-kata mamanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Mamanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."Lihat juga bagaimana Khalifah Harun ar-Rashid mencari orang yang menasihatinya. Pada suatu malam, Harun ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal kesayangannya. Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Malam ini bawalah aku kepada yang boleh menunjukkan kapadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah jemu dengan segala kebesaran dan kebanggaan.”
Fazl membawa Harun ar-Rasyid ke rumah Sufyan al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam Sufyan menyahut: “Siapakah itu?” Amirul Mukminin. Sufyan berkata: “Mengapa sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja padaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?” Mendengar ucapan tersebut Harun ar-Rasyid berkata: “Ia bukan orang yang kucari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain.”Kemudian mereka pergi kerumah Abu Ali al-Fuzail bin Iyaz at-Talaqani mereka. Mengetuk pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya: “Siapakah itu?” Apabila diberitahu kehadiran Amirul Mukminin, beliau menolak untuk menerima kehadirrannya tetapi setelah dipaksa beliau membuka pintunya. Harun ar-Rasyid melangkah masuk, Begitu Harun menghampirinya, Fuzail meniup lampu sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah sultan. Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata: “Betapa lembut dan halus tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!”Setelah berkata demikian Fuzail berdiri dan berdoa. Harun ar-Rasyid meresa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya. “Katakanlah sesuatu kepadaku,” Harun bermohon kepada Fuzail. “Anggaplah negeri Islam sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintah-perintah-Nya. Berhati-hatilah dan bersikaplah secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia akan menarik pakaianmu dan akan memberikan kesaksian yang akan memberatkan dirimu.”Harun ar-Rasyid menangis dengan sangat kuatnya sehingga nampak ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini wazir Fazl menyentak Fuzail: “Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum Muslimin.” “Diamlah Hamam! Engkau dan orang-orang yang engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yang kulakukan ini suatu pembunuhan?” Mendengar kata-kata Fuzail ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin menjadi-jadi. “Ia menyebutmu Hamam,” kata Harun ar-Rasyid memandang Fazl. “Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun.”Kemudian Harun bertanya kepada Fuzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”“Ya,” jawab Fuzail. “hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang ini celakalah aku!” “Yang kumaksudkan adalah hutang kepada manusia, Fuzail,” Harun menegaskan. “Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh-kesah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Nya.” Kemudian Harun ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fuzail sambil berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.”Tetapi Fuzail mengutuknya: “Wahai pemimpim kaum Muslimin, nasihat-nasihat yang kusampaikan kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan salah dan mengulangi kezaliman.” “Apakah perbuatan yang salah telah kulakukan?” tanya Harun ar-Rasyid.“Aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun.” Setelah berkata demikian, Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.“Benar-benar seorang manusia yang hebat!” Harun ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fuzail. “Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan dunia ini terlalu kecil pada pandangannya.”Adakah lagi manusia yang tidak pelahap seperti Fuzail dihari ini?. Adakah lagi seorang pemimpin umat Islam seperti Harun ar-rashid? Semoga Allah memberkati kita semua.
http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive