Rihat Minda


Thursday 9 February 2012

PAKATAN MENANG, MELAYU HILANG KUASA?

Seorang pengundi di DUN Sri Andalas minta satu ceramah penerangan diadakan dengan tajuk PAKATAN MENANG MELAYU HILANG KUASA?.

Insyaallah kita sedang aturkan.

Sementara itu saya hendak membuat beberapa catatan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kuasa Melayu.

Tohmahan terkini yang hangat dilaungkan di ceramah-ceramah HIMPUN ialah sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti, maka DAP akan membawa Malaysia bercantum dengan Singapura dan menjadikan Malaysia sebuah republik.

Tohmahan ini datang dari tidak lain daripada mantan naib presiden PAS dan juga mantan PJ Selangor, pakar motivasi terulung Malaysia - DHA. Dia juga mendakwa DAP juga akan memansuhkan perkara 153 dalam perlembagaan Malaysia. Perkara atau artikel 153 inilah yang meletakkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu di dalam perlembagaan Malaysia.

Saya pun agak hairan fakta apa yang digunapakai oleh DHA dan UMNO/BN bila membuat dakwaan tersebut guna untuk menakutkan orang Melayu. Semasa BN memerintah di Pulau Pinang selama 54 tahun, UMNO tidak pula bising yang Cina memerintah Pulau Pinang (menjadi Ketua Menteri) walaupun UMNO mempunyai lebih banyak kerusi dari Gerakan! Masa itu tidak pula UMNO khuatir menjadi tunggangan GERAKAN (baca Cina).

Sekarang bila Pakatan menang di Pulau Pinang dan DAP memegang Ketua Menteri, mulalah orang Melayu dikatakan dipinggirkan walaupun banyak perkara yang YAB LGE untuk lakukan orang Melayu.

Bila DAP menang kerusi terbanyak di Perak (18 kerusi) dalam PRU 12 yang lalu berbanding dengan PAS (6) dan PKR (7), tetapi yang menjadi MB Perak ialah seorang Melayu Islam dari PAS, UMNO/BN buat tohmahan pula kata PAS ditunggang DAP! Itulah mainan UMNO/BN bila mereka tidak memegang tampuk kuasa.

Kalau parti Melayu lain memegang kuasa selain dari UMNO/BN maka Melayu akan hilang kuasa. Ini logik songsang UMNO. Mereka sahaja yang Melayunya. Mereka sahaja yang sayang bangsa.

Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga telah memberi jaminan yang 4 perkara didalam perlembagaan tetap dijunjung PR. Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, Kedudukan istimewa orang Melayu (artikel 153) dan Institusi raja Berpelembagaan.

Jadi bagaimana boleh negara ini hendak dijadikan negara Republik atau hendak menghapuskan perkara 153.

Untuk menjadi sebuah negara Republik, kedudukan Raja-raja Melayu perlu dilucutkan. Mustahil untuk meminda perlembagaan tanpa 2/3 majoriti. Dengan 2/3 majoriti inilah dahulu UMNO/BN telah berjaya melemahkan kuasa raja-raja semasa zaman Tun Dr Mahathir.

Nampaknya kalau JATI nak perjuangkan IMR (Islam. Melayu, Raja) , Pakatan Rakyat ada satu perkara yang lebih untuk kita pertahankan iaitu Bahasa.

Jadi DHA bercakap tidak guna fakta tetapi hati yang penuh kebencian kepada DAP. Lagipun DAP tidak mungkin dapat menguasai kerajaan kerana jumlah kerusi mereka bertanding pun pada PRU12 dahulu hanya 49 kerusi dan mereka menang 28 kerusi.

Kalaulah dalam PRU 13 ini mereka bertanding tidak lebih 60 kerusi (status quo ialah 49 kerusi, dan katakan lah ada tambahan 10 kerusi lagi) dan ditakdirkan mereka menang semua, jumlah kerusi mereka diparlimen masih kurang dari satu pertiga (jumlah kerusi parlimen ialah 222).

DAP bertanding di kerusi-kerusi majoriti Cina dan calon lawan hanya dari MCA atau Gerakan atau parti-parti komponen BN yang lain di Sabah dan Sarawak.

Jadi kalau calon DAP Cina, maka ia akan mengalahkan calon MCA/Gerakan Cina bukan calon Melayu UMNO. UMNO tidak pernah meletakkan calonnya di kawasan majoriti Cina -tentu kalah punya! Tapi MCA banyak jugalah calon mereka bertanding dikawasan majoriti Melayu yang tegar penyokon atau ahli UMNO.

Di Perlis, Di Perak dan di Johor calon MCA menang di kawasan majoriti Melayu. Belum masuk calon MIC yang tiada kawasan majoriti India, semua mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu. Eh, eh, eh..... siapa tunggang siapa ye?

Bukan niat saya hendak menonjolkan perkauman di sini. Calon mengikut kaum sepatutnya tidak menjadi faktor utama lagi di kebanyakan tempat di Malaysia kalau pemimpin tidak mainkan sentimen kaum. Namun realiti di Malaysia kita sudah lama diperkotakkan, maka ramai yang masih berfikir mengikut jalur kaum.

Jadi di mana kebenarannya dakwaan Malaysia akan direpublikkan sekiranya Pakatan menang.? Bukan mudah mana-mana parti nak dapat 2/3 majoriti sekarang ini. Rakyat sudah cerdik sangat. Bodoh sangatlah ahli parlimen Melayu (dari kedua-dua belah pihak-kerajaan dan pembangkang) kalau hendak menghapuskan institusi Raja Berpelembagaan kita.

Kalau tak ada raja atau sultan siapa nak anugerah segala gelaran yang menjadi status simbol pembesar negara!. Tidak sama anugerah dari Sultan dengan anugerah dari Yang di Pertua negeri-negeri yang tidak tiada daulat seperti di Melaka atau Pulau Pinang dan lain-lain negeri..

Yang penting Raja-rajalah yang menjadi payung kepada pentadbiran agama Islam walaupun ada kalanya sesetengah mereka memberi sedikit cabaran kepad PM atau MB negeri masing-masing. Itu perkara biasa. Raja dan Sultan-sultan pun semakin hari semakin terpelajar dan semakin memahami peranan mereka di dalam institusi Raja Berpelembagaan ini.

Corak perwakilan mengikut bangsa di dalam parlimen tidak akan banyak berubah. Melayu UMNO tetap akan bertanding melawan calon Melayu PAS atau calon Melayu PKR atau calon Melayu DAP. Melayu UMNO kalah ganti dengan Melayu PAS/PKR. Melayu tetap akan menjadi majoriti juga di parlimen.

Ahli Parlimen mengikut bangsa (PRU 13)

MELAYU
UMNO =78
PAS =23
PBB =14
PKR =15
KATAK =4
JUMLAH =134

BUKAN MELAYU
MCA =15
MIC =3
GERAKAN =2
DAP =29
PKR =11
KATAK =1
JUMLAH = 61

BUKAN MELAYU lain-lain* =27

JUMLAH AHLI PARLIMEN=222
MELAYU = 134
BUKAN MELAYU (CINA DAN INDIA) = 61
BUKAN MELAYU (LAIN-LAIN) =27

Kesimpulannya dengan jumlah orang Melayu di pihak kerajaan maupun pembangkang, Melayu masih majoriti.

Jika perlu pengundian yang membabitkan kepentingan orang Melayu Islam, maka sepatutnya ada kesatuan fikiran di sini dan kedudukan dan hak orang Melayu akan terbela. Malah bangsa-bangsa lain juga memerlukan sokongan orang Melayu untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

Tidak timbul Melayu hilang kuasa sekiranya apa yang dibawa ke parlimen untuk dibahaskan maka Melayu atau Bukan Melayu dalam pembangkang tidak akan menyokong. Bergantung kepada isu, selagi membela rakyat terbanyak sudah tentulah akan mendapat sokongan dari semua pihak.

Tapi kalau yang dibawa bertujuan melindungi atau memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja dan menafikan hak orang lain, maka ianya tidak wajar disokong.

KALAU di dalam PRU 13, PAS boleh memenangi 60 kerusi yang sudah pasti perlu datang dari UMNO/BN maka PAS lah akan menjadi komponen terkuat Pakatan Rakyat. Tidak timbul isu di dalam Pakatan Rakyat,PAS seperti melukut ditepi gantang.

Untuk PAS memainkan peranan yang penting orang Melayulah yang perlu memberi sokongan. Jika PAS tidak diberi kepercayaan oleh orang Melayu maka jumlah kerusi Melayu di dalam Pakatan dalam lingkungan yang ada sekarang.

Adat berpolitik, siapa mempunyai kerusi yang tertinggi maka dialah yang dominan. Kalau di Selangor PAS menang 8 kerusi DUN, DAP 13, dan PKR 15 maka kerusi MB tentulah milik PKR. Begitu juga di Kedah dan Kelantan, kerusi PAS terbanyak maka PAS pegang kerusi MB.

Kebimbangan saya jika PAS tidak disokong Melayu (kerana kebanyakan kerusi PAS di kawasan majoriti Melayu), dan orang Melayu beri sokongan kepada UMNO/BN, maka keputusan PRU13 akan menunjukkan rakyat negara ini terbelah dua ( majoriti bukan Melayu beri undi pada Pakatan Rakyat).

Maka politik negara akan terus tegang kerana Pakatan dan BN tidak boleh bersetuju dalam banyak perkara. Kalau orang Melayu tidak faham sifir ini, maka kerajaan yang dibentuk tidaklah kuat. Cabaran kepada orang Melayu ialah memilih kombinasi terbaik demi masa depan negara.

UMNO/BN sudah memrintah begitu lama dan amat susah dan payah mereka hendak membuat perubahan kerana banyak perkara negatif telah menjadi budaya parti UMNO.

Mereka perlu dikalahkan supaya mereka boleh mengislahkan diri untuk berjuang pada landasan asal mereka dan tidak menjadikan materialisme atau maddiyah motivasi perjuangan mereka.

Rakyat tidak perlu bimbang kerana jika betul Pakatan Rakyat tidak boleh "deliver" maka pada PRU 14 nanti boleh buat perubahan lagi.

*(parti-parti sabah dan sarawak - pelbagai bangsa yang belum dapat perincikan bangsa dan agama)

Dr Siti Mariah Mahmud

Sejak 2008 lagi, Dr Hasan Ali jumpa Umno & buat kerja ‘parasit’ UG?

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa bekas pemimpin parti itu, Datuk DrHasan Ali untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan bercita-cita untuk menjadi menteri besar Selangor.

Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri itu, dipecat daripada parti itu baru-baru ini kerana menimbulkan masalah kepada parti.

Husam (kiri) berkata Hasan harus telus mengenai peranannya dan sebab-sebab beliau bertemu dengan pemimpin Umno sejurus selepas pilihan raya umum 2008, dan bukan sebaliknya mencaci PAS dalam program jelajahnya.

Beliau mendedahkan bahawa Hasan telah menemui pemimpin Umno di Selangor pada 10 Mac – dua hari selepas Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum tersebut, dalam percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

“Tetapi pemimpin PAS telah menolak terus idea tersebut, maka beliau tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjalin hubungan antara parti kita dan Umno,” kata Husam ketika ditemui di Pulau Pinang.

Husam, yang juga ADUN Salor berkata, beliau berada di Kedah pada 9 Mac 2008 untuk membantu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Pada 10 Mac beliau berada di Perak, untuk membantu menubuhkan “kerajaan rakyat” sebelum negeri itu dirampas oleh BN pada bulan April, selepas tiga ADUN meninggalkan Pakatan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai rancangan Hasan (kanan) kerana pada hari yang sama, beliau telah mengatur mesyuarat dengan (pemimpin) Umno dan topik perbincangan ialah untuk menggabungkan PAS dan Umno.

“Jika rancangan itu berjaya, Hasan sepatutnya menjadi menteri besar Selangor.

“Tetapi kerana prinsip dan komitmen kami kepada Pakatan Rakyat, maka pemimpin PAS menolak cadangan tersebut,” tegas Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan.

Hasan, ADUN Gombak Setia, telah menafikan pernah mahu menyertai Umno, dan menegaskan beliau disingkir daripada PAS kerana pendirian tegasnya mempertahankan Islam dan kempen menentang kes murtad yang “berleluasa” di kalangan umat Islam.

Tetapi, tegas Husam lagi, Hasan masih bercita-cita untuk menjadi MB, dan ini, tambah naib presiden PAS itu, terbukti melalui kecaman berterusan (Hasan) terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sumber: Official Supporters Page of Husam Musa

ADVERTISEMENT

Hassan Ali dan Saya

Ada yang berpandangan saya tidak perlu melayan segala dakwaan Hassan Ali terhadap diri saya. Mereka kata biarlah dia meroyan seorang diri, semakin dia meroyan, semakin terserlah keperibadiannya yang sebenar. Saya akui, ada kebenaran nasihat dari kalangan sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya dapati kali ini dakwaan beliau terlalu melampau, jauh melepasi batas ‘adaabul ikhtilaf’ yang perlu dihayati oleh mereka yang takut kepada azab Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang mempunyai maklumat, walaupun sedikit, dakwaannya pasti akan ditertawakan sahaja.

Namun, bagi yang tiada maklumat langsung dan mungkin ramai juga yang begini, mereka mungkin termakan dengan tuduhan liar yang dibuat olehnya. Oleh itu, pada pendapat saya, jawapan terhadap tuduhan liar tersebut, khususnya tuduhan beliau terhadap diri saya, perlu dikemukakan. Oleh yang demikian, bagi memahami dengan jelas persoalan ini, maka perlu disingkap sedikit sejarah saya bersama Hassan Ali.

Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa saya pernah fikirkan kesesuaian perkataan dalam beberapa istilah bahasa Melayu, termasuk istilah ‘gila talaq’. Saya hairan mengapa nenek moyang kita memilih perkataan ‘gila’ dalam istilah berkenaan sedangkan beberapa perceraian pasangan suami isteri yang saya lihat sebelum ini tiada yang menzahirkan kelakuan yang boleh disifatkan sebagai ‘gila’. Namun dalam kes Hassan Ali ianya menjadi jelas dan adalah terbukti bahawa perkataan gila amat tepat untuk diguna-pakai. Memang ada yang apabila ‘ditalaq’ menjadi gila. Pendekata, Hassan Ali sudah ‘gila talaq’ dan dalam kegilaannya, meroyan dan meracau tidak ketentuan.

SEJARAH RINGKAS
Saya dan Hassan Ali bukan baru berkenalan. Sebenarnya saya diantara yang paling gembira dengan kemasukan beliau dalam PAS pada tahun 1998. Sebagai orang yang menyertai PAS lebih awal dari beliau, iaitu pada tahun 1983, saya telah sambut kemasukan beliau dan membantu beliau setakat mana yang saya mampu. Sebagai seorang ‘baru’ dalam PAS, penerimaan beliau oleh orang ‘lama’ seperti saya pasti memudahkan pergerakan beliau di kalangan ahli lama yang lain.

Saya sering berceramah bersama beliau dan pada tahun 2003, apabila beliau dilantik Pesuruh Jaya PAS Selangor buat kali pertamanya, saya dilantik beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor. Hubungan dan kerjasama kita menjadi semakin rapat dan pada tahun 2005, apabila beliau dilantik kembali sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi kedua, saya diminta untuk mengambil alih jawatan Bendahari yang dikosongkan oleh Tuan Haji Nasir. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi ketiga, saya dilantiknya sebagai Timbalan Pesuruh Jaya 2.

Jelas sekali bahawa pada ketika itu saya tidak dianggap beliau sebagai parasit tetapi sebaliknya sebagai orang kanan beliau.

DUGAAN JAWATAN MB SELANGOR
Pada tahun 2008 hubungan kita mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah menang saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.

Ketika usaha kerjasama dengan UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau, “Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya, itulah peranan seorang kanan. Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.

Pasti ada yang masih ingat bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo. Kami berjaya menggagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.

Bermula dari saat itu saya merasakan hubungan kami sudah mula berubah dan Hassan Ali mula membawa agenda tersendiri.

MELAGA PAS DENGAN DAP & PKR
Selepas Menteri Besar dilantik dan isu itu saya anggap telah selesai, saya melihat Hassan Ali berusaha untuk menimbulkan ketidak-stabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor. Beliau berusaha untuk mencari peluang untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran di antara parti komponen PR. Saya beranggapan niatnya adalah untuk membuktikan kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang mustahil.

Saya sering menegurnya dan meminta supaya ditumpukan pada persamaan yang banyak di dalam PR. Saya ingatkan beliau akan keputusan muktamar PAS yang diadakan di Ipoh supaya PR dikukuhkan. Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu.

SAYA DIPECAT SEBAGAI TPJ 2
Akhirnya, oleh kerana saya sering menegurnya, saya dipecat dari jawatan Timbalan Pesuruh Jaya 2 PAS Selangor pada pertengahan tahun 2008. YB Iskandar dinaikkan pangkat menjadi TPJ 2 dari TPJ 3 dan YB Dr Che Rosli dilantik menjadi TPJ 3. Itu semua saya tidak hairan, itu hak Hassan Ali sebagai PJ. Oleh itu saya tidak menjadikan pemecatan saya sebagai satu isu sepertinya sekarang. Tetapi saya telah sempat berpesan sambil saya keluar mesyuarat setelah dipecat, “ingat keputusan muktamar adalah untuk kukuhkan PR, bukan merosakkannya”.

Walaupun saya bukan lagi TPJ 2, saya tetap YDP PAS Kawasan Shah Alam. Saya tetap merupakan ahli mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Oleh itu saya hadir di mesyuarat Negeri dan setiap kali Hassan Ali menimbulkan isu melalui media untuk melaga-lagakan PAS dengan parti komponen PR yang lain, saya membantah dalam mesyuarat tersebut dan juga melalui media. Ini saya lakukan kerana saya sudah dapat membaca agenda dirinya. Pada masa yang sama, hubungan beliau dengan OKU UMNO semakin kukuh, termasuklah dengan Tan Sri Rozali Puncak Niaga (SYABAS).

TUDUHAN GOLONGAN ERDOGAN
Kumpulan yang menyokong beliau mula mempopularkan istilah ‘golongan Erdogan’. Istilah ini digunakan terhadap diri saya dan beberapa pimpinan Negeri dan Pusat yang lain dan kami dituduh tidak wala’ pada pimpinan dan terlalu kuat menyokong DSAI. Oleh itu, penggunaan istilah yang bertujuan untuk menghina dan menjadikan orang prejudis terhadap saya bukan perkara baru. Dulu Erdogan dan sekarang parasit. Penggunaan nama untuk tujuan menghina merupakan senjata kegemaran golongan seperti ini rupanya.

Kaedah ini membuktikan kerapuhan hujjah pihak yang cuba memburuk saya. Oleh kerana mereka tidak ada hujjah dan tidak mampu berhujjah, maka mereka menggunakan kaedah melabelkan orang atau ‘name calling’.

SAYA DAN HASSAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN
Akhirnya perbalahan kami dirujuk kepada PAS Pusat pada tahun 2009. Saya digantung semua jawatan parti selama 6 bulan. Hassan Ali didapati bersalah dan diberi amaran keras supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan PR melalui media massa. Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka hendaklah dibawa berbincang bukan diheboh melalui media.

Berbeza dengan saya, hukumannya tiada tempoh masa. Ianya berkuat-kuasa selagimana PAS bersama PR.

SOKONGAN HASSAN MERUDUM
Walaupun saya yang dikenakan tindakan yang lebih keras oleh jawatan kuasa disiplin, ahli PAS melihat dan menilai apa yang sedang berlaku. Ramai beranggapan bahawa tindakan Hassan Ali menjejas kestabilan PR dan menguntungkan pihak lawan. Maka pada tahun 2011, semasa pemilihan AJK PAS Pusat dijalankan, sokongan Hassan Ali di kalangan ahli PAS terbukti merudum.

Pada 2009 Hassan Ali mendapat undi yang ke-empat tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat. Pada 2011, beliau mendapat undi yang ke 16 tertinggi.

Dalam kes saya pula adalah sebaliknya. Pada 2009 saya tidak terpilih apabila menduduki tempat ke 23 tertinggi sedangkan hanya 18 yang tertinggi akan dipilih. Pada tahun 2011, saya mendapat undi ke 8 tertinggi.

Peribahasa menyatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Inilah apa yang berlaku ke atas diri Hassan Ali pada tahun 2011. Setelah melihat popularitinya jatuh sedemikian rupa, beliau tidak pula dilantik untuk menjawat jawatan PJ Selangor oleh DS Presiden. Pemilihan PJ dilakukan semasa mesyuarat pertama selepas muktamar diadakan. Dalam mesyuarat itu Hassan Ali hadir dan selepas pemilihan dimuktamadkan, beliau terus keluar.

Sokongan beliau terjejas bukan sekadar di kalangan ahli, tetapi jelas, ianya juga terjejas di kalangan pimpinan.

Untuk melengkapkan kekecewaan beliau, pada penghujung tahun 2011, semasa senarai nama dikemukakan oleh cawangan untuk diturunkan sebagai calon dalam PRU ke 13, nama beliau tidak dinaikkan untuk DUN Gombak Setia. Walaupun telah dinyatakan bahawa keputusan belum muktamad dan sekiranya Gombak Setia tidak mahu, maka tempat lain bersedia, Hassan Ali tidak peduli.

Pada ketika itu, mungkin Hassan Ali melihat bahawa masa depannya bersama PAS tidak secerah dahulu. Oleh itu beliau terpaksa menyusun ‘exit strategy’ atau ‘strategi untuk keluar PAS’. Inilah apa yang dapat saya rumuskan berhubung tindakan beliau semenjak peristiwa mutakhir tahun 2011 yang saya ceritakan di atas.

PEMECATAN HASSAN ALI
Bacaan saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai MB Selangor.

Apabila beliau tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia. Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.

Dengan dibekal sangkaan buruk sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.

Beliau terus melemparkan tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.

Apabila dipecat, pada mulanya Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu. Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.

KENAPA SAYA YANG DISASARKAN?
Dalam kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.

Yang pasti beliau telah menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur) di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.

Bagaimanakah boleh saya menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah?

Dalam soal pengharaman penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawsan Shah Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.

Pada masa itu semua Ahli Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lessen diperbaharui. Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam lessen baru. Tidak sempat lessen mati, pihak penguat-kuasa bertindak tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis lama.

Hakikatnya kita berbeza dari segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik. Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.

KESIMPULAN
Melalui tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau. Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau cakap lagi jelas kegilaannya.

Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
<“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).


Hadis ini diketengahkan bukan untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Hasan Ali disaran berdakwah tanpa bayaran

YB Datuk Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Datuk merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Datuk juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Datuk sekeluarga.

NONESecara ikhlas, saya mula mengkagumi Datuk sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Datuk menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Datuk mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan.

Kesedaran bahawa apa yang telah Datuk lemparkan kepada mantan parti Datuk sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Datuk di media dan juga lewat ceramah-ceramah Datuk yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Datuk untuk menilai beberapa kenyataan Datuk dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya.

Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik.

Islam moderat

Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Datuk. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Datuk mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Datuk.

NONESaya kira Datuk mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring).

Kemenangan semua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan ‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka.

egypt revolution mubarak steps down huge crowd 1Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik ‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya.

Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka.

Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator.

Proses kematangan

Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip.

Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut.

pas middle east conflict protest demo 290607 womenWacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu.

Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Bapa parasit

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.

NONEMenurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep ‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Datuk merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Datuk tersilap.

Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Datuk dakwa, tetapi ia merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit.

Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Datuk ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Ditakuti Umno

Yakinlah Datuk, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut.

NONEInilah yang ditakuti oleh Umno dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji.

Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang.

Malang sekali apabila Datuk pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Datuk menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak Umno dan BN.

NONESaya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Datuk lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja.

Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka.

Gelombang perubahaan

Seperkara yang perlu Datuk ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah berjaya di negara masing-masing.

NONESaya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’ merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS.

Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Datuk, malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Datuk anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud.

Memaksakan hudud

Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai.

NONEApa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu.

Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.

Akhirkata, jika Datuk benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Datuk lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Datuk.

Turun padang tanpa bayaran

Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Datuk untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Datuk miliki.

Mungkin juga Datuk boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

himpun rally hasan ali speaking 2Jika dulu mungkin Datuk sibuk dengan tugas exco, kini Datuk lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Datuk yang ingin menjaga aqidah itu.

Saya kira Datuk juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Datuk itu.

Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Datuk untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Datuk kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal.

Saya amat meyakini, jika Datuk berdakwah seperti itu, Datuk akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai ‘pejuang aqidah yang sebenar!’.


Penulis adalah ahli akademik politik warga UIAM.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Rupa Dan Wajah UMNO Bila Hilang Kuasa

Oleh: Shahbudin Husin

Soal masa depan UMNO bukan saja diperkatakan dari segi hidup matinya dalam PRU 13 ini tetapi juga bagaimanakah nasib UMNO setelah ia kalah dan kehilangan kuasa. Dengan pelbagai jangkaan yang antaranya bahawa UMNO dan BN hanya mampu meraih kemenangan antara 90 hingga 105 kerusi Parlimen saja dalam PRU 13 ini, hari demi hari soal rupa dan wajah UMNO tanpa kuasa semakin kerap diperkatakan.

Ada golongan yang berpendapat kekalahan dan kehilangan kuasa adalah baik untuk masa depan parti itu. Dengan kehilangan kuasa, ramai pemimpinnya, terutama yang sudah berusia akan mengundur diri bagi menghabiskan sisa-sisa hari tua bersama anak cucu serta keluarga lantaran UMNO yang sudah kehilangan kuasa itu tidak mampu lagi menyajikan apa-apa gula untuk mereka hisap.

Dengan pengunduran mereka, dan sebahagiannya menjadi beban besar kepada parti selama ini, golongan muda yang penuh idealisme perjuangan akan mengambil alih tampuk perjuangan parti. Dengan keyakinan bahawa jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mampu bertahan paling lama dua penggal sahaja kerana faktor usia, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN selepas itu dilihat akan menjadi terbuka dan seimbang semula. Golongan muda inilah yang dipercayai akan mampu menebus semua kuasa yang hilang melalui keyakinan dan idealisme perjuangan mereka.

Ini kerana tiada lagi pemimpin yang sehebat Anwar dalam Pakatan Rakyat yang mampu mengambil alih baton dan meneruskan larian dengan selesa. Selepas ketiadaan Anwar, persaingan antara Pakatan Rakyat dan BN untuk saling menerajui pentadbiran negara akan menjadi seimbang dan ini juga memungkinkan wujudnya sistem dua parti. Pakatan Rakyat dan BN akan saling bergilir-gilir mentadbir negara bergantung kepada keupayaan memberi tawaran serta khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

Namun ramai pula yang berpendapat bahawa selepas kalah pilihanraya dan kehilangan kuasa, UMNO akan mati dan berkubur tidak lama selepas itu. Pihak yang mengandaikan demikian berpendapat, oleh kerana UMNO selama ini hidup atas kuasa wang ringgit dan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara sudah lama dilupakan dan digantikan dengan perjuangan mengisi poket keluarga dan kroni, maka dengan ketiadaan kuasa beli itu, ia akan ditinggalkan oleh orang-orang Melayu sendiri.

Tanpa kuasa dan kekeringan wang, tiada lagi orang Melayu mahu mendekati UMNO. Generasi muda yang kini sudah pun membenci dan menjauhi UMNO, semakin memandang sepi manakala generasi tua, oleh kerana tiada apa-apa lagi yang boleh diharapkan, waima lantikan sebagai ketua kampung atau JKKK sekalipun, pasti akan memilih untuk terus berundur dan menghabiskan hari-hari tua bersama keluarga.

Beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO turut mengakui hakikat itu. Dengan ketiadaan kuasa dan kemampuan menawarkan gula, UMNO yang kini dilihat hanya tinggal jasad dan tiada lagi roh perjuangan, mereka juga amat yakin bahawa UMNO akhirnya akan ditinggalkan, kemudian dilupakan dan mungkin berkubur akhirnya.

Mereka mengakui bahawa UMNO yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini lebih menerapkan perjuangan berasaskan wang ringgit sama ada dalam pelaksanaan program mahu pun pemilihan pemimpin di pelbagai peringkat, malah mereka yang menyertai dan berjuang dalam UMNO pun atas keghairahan untuk mengaut kekayaan dan "mengambil mana yang sempat", penuh yakin bahawa UMNO tidak mungkin mampu hidup dan diminati jika kuasa sudah tiada lagi.

Keadaan paling mudah untuk membayangkan hakikat itu ialah dengan melihat perbezaan keadaan dan kehidupan bekas-bekas Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet, semasa mereka masih mempunyai kuasa dengan setelah kuasa tiada lagi dalam genggaman. Ketika masih memegang jawatan, mereka inilah antara orang paling berkuasa dan dihormati tetapi lihatlah bagaimana kehidupan mereka setelah ketiadaan kuasa.

Tun Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun merupakan orang paling berkuasa dan ditakuti. Ketika berkuasa beliau bertindak tegas, digeruni dan menyingkirkan semua musuh politiknya seperti Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim serta disanjung tinggi oleh penyokong dan pengagumnya tetapi setelah meletakkan jawatan, beliau disanggah oleh sebahagian besar menteri-menteri yang pernah bekerja dengannya. Mereka yang sebelum itu sekadar berani mengangguk walaupun Tun Mahathir belum habis berkata-kata, sudah berani menentangnya pula. Malah Tun Mahathir juga dimalukan apabila beliau ditentang dan digagalkan untuk menjadi salah seorang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2006.

Walaupun kini Tun Mahathir terus bersuara dan kerap mendapat tempat berikutan sikap Najib yang banyak bergantung dan memberi muka kepadanya, hakikatnya Tun Mahathir tidak lagi dikerumuni dan dihormati seperti dulu.

Tun Abdullah juga begitu. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau disanjung, dikerumuni dan diburu sepanjang masa. Pujian terhadapnya juga bagaikan melangit. Tetapi setelah tiada kuasa, apa jadi kepada Pak Lah sekarang. Beliau bagaikan bersendirian meneruskan kehidupan, malah kehadirannya di Parlimen pun tidak lagi dipedulikan. Menteri-menteri yang dulu sering mengelilingi dan menemaninya, tidak lagi kelihatan di sisi.

Kehidupan bekas-bekas menteri juga rata-ratanya begitu. Ketika berkuasa, berduyun-duyun mengelilingi dan cuba menghampiri. Mereka menjadi individu penting dalam negara dan kehebatan juga terserlah tetapi setelah tiada lagi kuasa, kebanyakannya menghabiskan masa sendirian. Ada yang ke sana sini tanpa teman dan tidak dipedulikan oleh sesiapa seolah-oleh mereka tidak pernah berjasa apa-apa. Kadangkala mereka pergi ke masjid pun tiada yang mahu bersalam, malah ada bekas menteri yang sembahyang Jumaat di kaki lima masjid dan tidak ada sesiapa yang mempedulikannya.

Malahan ada pemimpin yang susut berkilo-kilo berat badannya apabila hilang jawatan menteri. Yang meracau dan bercakap tanpa henti walau dengan orang yang baru dikenali pun ramai bilangannya. Hakikatnya semua mereka itu menjadi keseorangan dan tidak lagi dipedulikan setelah tiada lagi kuasa.

UMNO juga akan begitu akhirnya. Sebagaimana semua bekas Perdana Menteri dan bekas menteri ini menjalani kehidupan yang sepi, ditinggalkan dan tidak dipedulikan selepas ketiadaan kuasa, UMNO juga akan menerima nasib yang sama. Sebaik sahaja hilang kuasa, orang-orang Melayu akan mula meninggalkannya. Golongan tua dan berusia mungkin memilih untuk bersara dan menjadikan kekerapan ke surau dan masjid pula sebagai keutamaan. Bagi yang masih bertenaga dan mempunyai nafsu, mereka akan cuba mengintai-intai dahan serta wadah baru pula. Golongan muda memang sudah sedia menjauhkan diri dan dengan ketiadaan kuasa, golongan ini melihat UMNO tidak lebih umpama "kupang tembaga" saja.

Malah tidak memeranjatkan dengan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13 ini, ramai pemimpin UMNO yang pernah mendapat nikmat dari perjuangan UMNO pun akan menyeberang dan menghimpit Anwar pula, terutama mereka yang memang dikenali sebagai "orang-orang Anwar" yang mana mereka ini menduduki pelbagai hieraki dalam UMNO sekarang ini, daripada pencacai di peringkat bawahan hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.

Dengan kemungkinan ini dan melihat bagaimana bekas-bekas pemimpin ini menjalani kehidupan penuh sepi selepas ketiadaan kuasa dan akhirnya ketika meninggal dunia pun hanya teman rapat dan kaum keluarga saja yang hadir, sukar untuk menolak hakikat bahawa UMNO pun akan menerima nasib yang sama.

Selepas hilang kuasa, perlahan-lahan UMNO akan ditinggalkan, tidak dipedulikan, mengecil serta kurus dan akhirnya mungkin mati begitu sahaja. (SH 6/02/2012).

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive