Rihat Minda


Showing posts with label dari Harakahdaily. Show all posts
Showing posts with label dari Harakahdaily. Show all posts

Wednesday, 20 July 2011

Polis tembak gas secara sejajar membahayakan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Pengawal peribadi Ketua Pembangkang, Fayyadh Afiq Al-Bakri hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan polis melepaskan gas pemedih mata di terowong KL Sentral sewaktu perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lau.

Pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pecah tulang pipi sebelah kiri akibat terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan pihak polis.

Fayyad, 25 terpaksa menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Pantai pada 11 Julai lalu bagi meletakkan plat titanum bagi menggantikan tulang pipinya.

Pada hari tersebut, beliau cuba melindungi Anwar daripada terkena kanister itu dengan menolak Anwar ke tepi sehingga ianya terkena pipi kirinya.

"Saya menuntut siasatan segera, adil dan bebas mengenai serangan ke atas saya, Datuk Seri Anwar dan kumpulan tersebut.

"Saya percaya tindakan polis menembak secara sejajar ke dalam terowong adalah salah dan amat membahayakan saya dan semua yang berada di situ," katanya dalam laporan tersebut.

Beliau ditemani peguam R. Sivarasa (ahli Parlimen Subang), N. Surendran (Naib Presiden PKR), Latheefa Koya (Ketua Penerangan PKR), dan Fadiah Nadwa Fikri (Lawyer For Liberty).

Beliau juga meminta tindakan pendakwaan dilakukan ke atas semua anggota polis yang didapati bertanggungjawab.

"Setelah insiden ini berlaku saya mendapat tahu bahawa pegawai yang memberi arahan menembak adalah Wan Bari dan saya telah melihat video di mana saya melihat hampir dua belas das tembakan gas pemedih mata dilepaskan ke dalam terowong," katanya.

Fayyad yang berkaca mata hitam bagaimanapun tidak bercakap kepada media selepas laporan itu dibuat sebaliknya hanya N Surendran dan Sivarasa yang membuat penjelasan.

Latheefa Koya berkata Fayyad masih dalam keadaan trauma dan matanya masih berair.

N Surendran berkata, tindakan polis itu jelas melanggar undang-undang kerana melepaskan gas secara berlebihan di dalam terowong.

"Tindakan polis itu ternyata salah sebab mengikut undang tak boleh lepaskan gas pemedih mata dalam terowong kerana asap yang terkumpul akan menjadi tebal dan membahayakan orang ramai," katanya.

Tambahnya jika Fayyad tidak bertindak cepat, sudah tentu kanister itu akan mengenai tepat ke arah Anwar.

Anwar turut cedera di kepala dan lutut dan dikejarkan ke Hospital Pantai.

Turut mengalami kecederaan akibat terkena kanister gas pemedah mata yang dilepaskan secara rambang ialah ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala.

Kenapa saya sokong Bersih 2.0
Nasrudin bin Hassan at Tantawi

1. BERSIH 2.0 bukan sebuah pertubuhan sebagaimana yang didakwa oleh pihak UMNO dan BN kononnya BERSIH adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan R.O.S, sebaliknya BERSIH 2.0 adalah satu kempen yang digerakkan oleh sekurang - kurangnya 62 Ngo yang bergabung untuk menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang adil dan telus.

2. Kempen ini berpaksi kepada 8 tuntutan yang telah dikemukakan kepada pihak berkenaan samaada kerajaan mahupun pihak SPR. Apa yang lebih penting juga ialah 8 tuntutan mesti difahami dan diperjuangkan oleh rakyat demi masa depan negara dan kepimpinannya. 8 tuntutan itu ialah :

Bersihkan Senarai undi

Mereformasikan undi pos

Penggunaan Dakwat Kekal

Masa kempen minima 21 hari

Akses media yang bebas dan adil

Kukuhkan Institusi awam

Hentikan rasuah

Hentikan politik kotor

3. Namun jelas tindakan pihak UMNO dan BN cuba untuk mengelirukan rakyat dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang akhirnya menenggelamkan isu sebenar dari kempen BERSIH 2.0. Cubaan mengaitkan kempen BERSIH 2.0 dengan perjuangan komunis dan pula mendapat pembiayaan dari pihak asing adalah satu percubaan jahat dan tidak berasas. Masakan komunis menyokong perjuangan pemulihan demokrasi yang digerakkan oleh BERSIH 2.0 dan apalah pula kos BERSIH 2.0 kecuali duit minyak dan tambang rakyat untuk sampai ke lokasi perhimpunan serta kos membeli baju BERSIH 2.0 dengan pembiayaan sendiri.

4. Mereka menuduh tanpa bukti. Pastinya mereka sedang panik menyaksikan kebangkitan rakyat biarpun secara aman justeru rakyat menolak ketidakadilan mereka, rakyat membantah cara mereka memerintah. Biarpun tidak keseluruhan rakyat, namun mereka tahu, jumlah rakyat yang bangkit menolak dan membantah mereka adalah jumlah yang membuatkan kuasa pemerintahan mereka tergugat andainya mereka mendepa tangan untuk dihitung nilai secara saksama oleh rakyat.

5. Mereka tahu, bahawa mereka terpaksa monopoli penguasaan media untuk menidakkan suara parti lawan mereka. mereka terpaksa mengekalkan undi pos sebagai tali hayat untuk mereka kekal memerintah. Mereka tahu, keupayaan mereka sangat terhad untuk memerangi rasuah yang telah membarah dalam parti mereka. Mereka juga tahu bahawa politik kotor, politik lucah dan politik kekerasan adalah senjata sulit mereka untuk memastikan mereka mampu menghadapi lawan.

6. Tuntutan 8 perkara yang dibawa oleh BERSIH 2.0 akan terus menghantui mereka. Menjadikan mereka hilang rasional lantas mereka menggunakan pihak keselamatan untuk tradisi membelasah rakyat sendiri. Menangkap individu yang memakai baju kuning bertulis BERSIH 2.0 dengan tertera pula 8 tuntutan. UMNO dan BN bagai dirasuk. Mengaku kuat dan handal tetapi mengalami xnthophobia yang parah.

7. Tuntutan 8 perkara ini akan terus diratib oleh rakyat sehinggalah kerajaan dan seluruh agensinya yang berkenaan akur dan bersedia untuk pilihanraya yang adil, telus dan saksama. kita masih komited dengan kaedah "muwajahah silmiah" iaitu persaingan secara aman tanpa kekerasan dan senjata. Namun padang mestilah sama rata dan peraturan pula adil dan telus.

8. BERSIH 2.0 tidak digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan kekerasan sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas rakyat. BERSIH 2.0 tidak digembeleng untuk meruntuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan rampasan kuasa secara undemocratic sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. BERSIH 2.0 tidak dicetuskan untuk mengguling kerajaan UMNO dan BN dengan menimbulkan huru hara dan kacau bilau yang menggugat keamanan serta ketenteraman awam sebagaimana apa yang dilakukan oleh mereka ke atas peserta himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tempohari.

9. BERSIH 2.0 hanya menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang bersih. Kita bersedia untuk bersaing dengan UMNO dan BN dalam sistem yang adil, telus dan saksama. Tiada lagi penafian hak bersuara dengan memastikan akses media yang adil dan bebas serta tiada lagi pelanggaran hak memilih dengan mereformasikan undi pos.

10. Jika UMNO dan BN mengapong diri dengan kempen 1 Malaysia, Pakatan Rakyat memobilisasi rakyat dengan BERSIH 2.0 yang akan terus kekal momentumnya biarpun berdepan dengan pelbagai tindakan yang tidak bertamadun dan undemocratic. Kini rakyat berani. Bukan sekadar berani melepasi sekatan FRU dan bedilan gas pemedih mata, tetapi apa yang paling bermakna ialah rakyat kini berani membuang sikap berdiam diri untuk bangkit menunjukkan perasaan mereka yang diselubungi derita sejak sekian lama angkara demokrasi ala Barisan Nasional. Saya sokong orang berani dan saya sokong BERSIH 2.0

-------------------------------

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Peguam Perancis bakal dedah pembunuhan Altantuya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai:Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon (gambar) dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

“Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih,” kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive