Rihat Minda


Monday, 18 July 2011

Bersih 2.0: Pemuda didakwa pegang pisau mahu saman Berita Minggu

July 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 dari Unit Amal PAS mahu menyaman Berita Minggu milik Kumpulan New Straits Times kerana mendakwa dia memegang pisau semasa perhimpunan di ibu negara, 9 Julai lalu.

Abdul Razak Endut, 32, dari Temerloh berkata edisi 10 Julai yang menyiarkan gambarnya dengan tajuk “seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram” manakala tajuk kecilnya pula berbunyi “perusuh guna senjata, batu, lawan polis” adalah tidak benar.

Sebaliknya Abdul Razak yang mesra dengan panggilan “Ajak” berkata dia hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti mana yang didakwa.

Selain Berita Minggu, gambar sama turut dimuatkan oleh akhbar New Sunday Times dengan tajuk “Peaceful (Aman)?” pada muka depan.

“Saya mahu saman Berita Minggu kerana telah menjatuhkan imej saya, disebabkan gambar itu ramai yang bertanyakan hal sama kepada saya.

“Setakat ini saya tidak tahu berapa jumlah yang akan disaman, saya akan berbincang dulu dengan peguam saya,” kata Abdul Razak kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Abdul Razak yang bekerja sendiri tampil membuat pendedahan berhubung gambar yang disiarkan Berita Minggu.

Dia berkata selain tidak memegang pisau, dia juga menafikan membaling batu ke arah pihak keselamatan.

Pada perhimpunan Bersih 2.0, Abdul Razak diarah agar menjaga Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli dan peserta perhimpunan berhampiran Menara Maybank.

“Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat,” kata Abdul Razak mendedahkan perkara sebenar dengan berpakaian sama seperti yang disiarkan dalam Berita Minggu.

Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan turut disiarkan media antarabangsa sekali gus menolak dakwaan beliau memegang pisau.

“Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara),” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Abdul Razak, Ahmad Nizam Hamid berkata pihaknya akan memfaikan saman itu dalam masa terdekat.

“Sebelum ini saya telah nasihatkan dia (Abdul Razak) untuk saman NST dan Berita Minggu kerana siarkan gambar palsu... ini satu kes yang bagus kerana melanggar etika.

“Tindakan ini perlu diambil kerana ia sangat tidak beretika mereka ubah gambar asal, ia adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Tiga tahun Dr Lo’ Lo’ MP pikat kawan dan lawan

July 18, 2011
KUALA LUMPUR, 18 Julai — Sejak berita kematian muncul lewat malam tadi, mesej menerusi Twitter tidak putus-putus dihantar oleh pelbagai pihak, tidak kira fahaman politik.

Meskipun Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali merupakan wakil rakyat kerusi Parlimen Titiwangsa dari PAS, namun mesej mengucapkan takziah turut diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Salah seorang daripada mereka, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno antara lain menyifatkan Dr Lo’ Lo’ sebagai “antara MP wanita yg bersuara, bernas di Dewan Rakyat. Al-Fatihah.”

Ratusan rakyat mengiringi jenazah Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy May
Berita kematian beliau juga menarik perhatian Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut mengucapkan takziah sambil berkata sumbangan dan jasa Dr Lo’ Lo’ akan sentiasa dikenang.

Wakil rakyat BN dari Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud dalam laman Twitter berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang “pemimpin yang baik selain berpidato secara berhemah (di Dewan Rakayt) dan bertanggungjawab.”

Beliau juga berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan kenalannya dan pemergian bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS itu amat dirasai.

Selain itu, dalam satu laman Twitter yang dinamakan “premesh” berkata, Dr Lo’ Lo’ merupakan antara individu yang memainkan peranan besar untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS.

Allahyarhamah merupakan antara dua wakil rakyat daripada kalangan doktor, memenangi pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Namun bagi Pakatan Rakyat terutamanya PAS, pemergian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar sambil menyifatkan wakil rakyat penggal pertama itu sebagai “sebutir permata yang sangat bernilai dan tidak boleh diganti.”

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang individu yang tegas, tabah dan cekal dalam perjuangan terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat.

“Kematian beliau (Dr Lo’ Lo’) adalah satu kehilangan yang cukup besar kepada PAS terutamanya Dewan Muslimat kerana beliau diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang yang cukup tegas dan gigih.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan juga kepada rakyat di (Parlimen) Titiwangsa kerana kehilangan pemimpin yang disegani,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Dr Lo’ Lo’ di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Al-Akram dengan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 54, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada pukul 10.13 malam tadi kerana menghidap kanser.

Selain Hadi, pimpinan tertinggi PAS turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo’ Lo’.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.10 pagi tadi dengan ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Sepanjang persahabatan saya, beliau adalah seorang pemimpin yang baik, tegas, berdisiplin dan sentiasa menghadapi cabaran dengan hati terbuka.

“Beliau adalah pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat... beliau juga ada berpesan supaya meneruskan mana-mana perjuangan yang belum selesai terutamanya isu Kampung Baru yang diperjuang beliau selama ini,” kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Exco kerajaan negeri Selangor yang juga exco Dewan Muslimat PAS Dr Halimah Ali berkata, Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang teguh berpegang kepada prinsip perjuangan demi rakyat.

“Bagi saya beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip, beliau bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, tapi beliau adalah pemimpin yang bercakap atas dasar fakta dan apa yang beliau mahu katakan akan dikaji terlebih dahulu.

“Beliau bukan sahaja boleh diibaratkan sebagai sebutir permata tetapi seorang pejuang yang berilmu, apa yang beliau lakukan adalah demi rakyat bahkan semasa sakit pun beliau tetap gagahkan diri untuk bersama dengan rakyat,” katanya.

Allahyarhamah merupakan anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang, bukan sahaja pengorbanannya, malah leterannya diibarat sebagai “seorang ibu” dalam menjalankan tugasnya akan terus dirindui.

“Bukan hanya penduduk Titiwangsa, ahli dan penyokong PAS dan gagasan Pakatan Rakyat yang terasa kehilangan satu permata, tetapi saya selaku sahabat ahli Parlimen, masih terasa kata-kata rangsangan, nasihat dan motivasi yang disampaikan arwah dalam bentuk leteran.

“Beliau tampil dalam memberi khidmatnya seperti seorang ibu kepada anak-anak (rakyat) dalam bentuk leteran kerana bagi saya leteran itu sangat bermakna untuk kita bekerja lebih kuat,” katanya.

Datuk Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kiri) turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy May
Ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata jasa dan pengorbanan Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan jasa beliau kepada parti dan masyarakat akan terus dikenang, malah perjuangan beliau dalam isu tanah Kampung Baru akan terus kami perjuangkan,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sumbangan Dr Lo’ Lo’ kepada parti dan rakyat akan terus diperjuangan parti Islam itu.

“Saya merasakan satu kehilangan besar kerana jasa dan perkhidmatan beliau, malah sumbangan beliau ini akan dikenang sepanjang zaman.

“Beliau seperti sebutir permata yang berharga, beliau juga seorang pemimpin yang tegas, berpegang kepada prinsip dan sentiasa kental dalam memperjuangkan nasib rakyat walaupun berada dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Dr Lo’ Lo’ aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya ke atas kawasan Parlimen Tititwangsa yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Menurut Ahli Parlimen Subang dari PKR Sivarasa Rasiah, beliau memahami penderitaan yang dihadapi Dr Lo’ Lo’ kerana turut menderita kanser lebih 10 tahun lalu.

“Bila saya mendapat tahu mengenai kematian beliau, saya rasa sangat sedih kerana saya dan beliau ada persamaan... saya juga pernah menderita kanser lebih 10 tahun lalu tapi kanser yang dihadapi beliau lebih teruk.

“Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang dihormati di Parlimen, beliau bukan sahaja dihormati pimpinan Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) juga,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kematian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar kepada penduduk di Kampung Baru.

“Selama ini beliau memperjuangkan isu Kampung Baru dan ia satu kehilangan yang besar kepada kami.

“Beliau juga antara pemimpin yang langtang bersuara di Parlimen,” katanya.

Sunday, 17 July 2011

Lo’ Lo’ pesan PAS teruskan perjuangan termasuk isu Kampung Baru, kata suami

July 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Keluarga Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Ghazali berkata Ahli Parlimen Titiwangsa itu berpesan agar kepimpinan PAS meneruskan segala perjuangan yang masih belum selesai terutamanya isu Kampung Baru.

Menurut suaminya Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim, amanat itu dibuat sebelum Dr Lo’ Lo’ (gambar)menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang malam tadi.

“Beliau berpesan agar semua kerja hendaklah dibuat dengan betul dan segala perjuangan yang dilakukan beliau diteruskan.

“Beliau berkata mana-mana perjuangan beliau yang masih belum selesai agar diteruskan oleh Pakatan Rakyat terutamanya isu Kampung Baru dan sebagainya,” katanya kepada The Malaysian Insiderselepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Al-Akram dengan diimamkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 54, meninggal dunia kerana menghidap kanser.

Anak kelahiran Kuala Kangsar ini meninggalkan empat anak iaitu Mawaddah, 30, Muhd Fawwaz, 28, Sakinah,26, dan Muhd Farhan, 25.

Beliau juga mempunyai dua orang menantu Mohd Azizy (suami Mawaddah) dan Nur Hafizzah (isteri Fawwaz) serta seorang cucu bernama ‘Izz Nu’man.

Beliau yang dilahirkan pada 2 Ogos 1957 mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Conolly Ipoh, Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Sementara itu Fawwaz berkata ibunya turut berpesan agar kebajikan anak muda terus dijaga kerana golongan itu semakin jauh dari tuntutan agama.

“Ibu berpesan agar golongan muda diberi nasihat, didikan kerana kini ramai yang teruk akhla, jauhi zina,” katanya.

PAS cabar Umno ikut Kedah, bidas MCA-Gerakan jadi hero

July 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Julai — Dalam keseronokan Umno mengambil kesempatan untuk mengkritik kerajaan Kedah dalam isu penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, PAS hari ini mencabar Umno-Barisan Nasional (BN) agar melaksanakan perkara yang sama di negeri-negeri pimpinan mereka.

Dalam satu kenyataannya dikeluarkan pagi ini, Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kelantangan MCA dan Gerakan yang selalu mengikut telunjuk Umno dalam menentang rancangan kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang telah diluluskan 14 tahun lalu oleh kerajaan pimpinan Umno sendiri telah menonjolkan kepada rakyat sikap hipokrit mereka yang ketara.

“Kerana golongan inilah yang juga menyokong enakmen tersebut sewaktu dibentang dulu. Kini secara tiba-tiba cuba menjadi hero kononnya atas alasan untuk membela hak bukan Muslim,” kata Tuan Ibrahim (gambar)dalam kenyataannya disiarkan olehHarakahDaily hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang wujud sejak zaman pemerintahan Umno dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

Isu ini telah diambil kesempatan oleh MCA, kawan sejati Umno selama 54 tahun dan Gerakan yang bertalu-talu menyerang kerajaan Kedah sambil menghasut masyarakat bukan Islam dengan dakwaan bahawa kerajaan sedang menghalang hak asasi masyarakat bukan Islam.

Akhbar-akhbar milik Umno dan komponen BN mendakwa PAS tunduk kepada tekanan DAP, komponen Pakatan Rakyat.

Polemik terbaru dilaporkan selesai selepas Azizan bertemu wakil pusat hiburan kelmarin dan bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata tindakan tersebut adalah satu pendekatan bijak kerana pengusaha pusat hiburan bersetuju untuk membantu kerajaan negeri dalam memastikan umat Islam tidak memasuki premis mereka dan juga menyatakan kesediaan mereka untuk dikenakan tindakan jika ada yang melanggar enakmen itu.

“Ini adalah satu lembaran baru kerana kerajaan Kedah di bawah PAS telah dapat melaksanakan enakmen yang membawa kebaikan kepada umat Islam negeri tersebut yang selama ini tidak dapat dilakukan oleh Umno yang memerintah negeri itu sekian lama,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

“Jangan pula dalam keseronokan mereka menyerang PAS dalam isu ini, mereka terlupa bahawa umat Islam tahu bahawa mereka langsung tidak pernah berbuat apa-apa untuk membentuk environment Ramadhan yang sesuai untuk umat Islam negeri tersebut.

“Kini umat Islam sedang menanti bilakah Umno, yang selalu berheboh bahawa merekalah pejuang Islam yang sebenar akan menguatkuasakan larangan in di negeri-negeri mereka pula,” bidas Tuan Ibrahim.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS telah mengambil jalan terbaik dalam isu larangan ini yang tidak boleh diselesai oleh Umno sekian lama dengan tidak menghalang hak orang bukan Islam dan pada masa yang sama orang Islam tidak boleh terlibat dalam aktiviti maksiat sepanjang Ramadan

176 doktor Perak desak Putrajaya bebas MP Sg Siput, lima ahli PSM

July 17, 2011

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Lebih 170 pakar perubatan yang mewakili pertubuhan perubatan Perak mendesak Putrajaya membebaskan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr. Michael Jayakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Kesemua mereka telah ditahan lebih daripada tiga minggu kerana didakwa cuba memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani 176 pakar perubatan, kesemua mereka menyifatkan penahanan keenam-enam individu tidak sah selain mendesak Putrajaya melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) membebaskan mereka dengan segera.

“Kami mengambil berat dan risau akan penahanan Dr Michael Jeyakumar (gambar) yang juga rakan sejawat kami dan kami bimbang kesihatan beliau akan terjejas ekoran penahanan itu.

“Ia satu perkara yang menyedihkan, menyakitkan dan mengecewakan apabila badan kehakiman (yang sepatutnya bebas) menangguhkan tarikh pendengaran permohonan habeas corpus ditangguhkan,” katanya kenyataan itu.

Tambah kenyataan bersama itu, penahanan Jeyakumar dan lima ahli PSM itu tidak sah kerana tiada bukti sahih yang mengaitkan dengan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

“Malaysia adalah anggota Majlis Hak Asasi Manusia, kerajaan Malaysia seharusnya memberi keadilan selaras dengan kedudukannya dalam majlis ini dengan mengiktiraf hak Michael Jeyakumar dan lima ahli PSM yang ditahan tanpa sah.

“Cara terbaik yang boleh dilakukan adalah berpegang kepada prinsip hak asasi manusia dan tidak melanggarnya.

“Dengan berpegang kepada prinsip ini adalah tidak adil sekiranya penahanan Michael dan lima yang lain dibuat tanpa mendapat pembelaan seadilnya di mahkamah,” katanya.

Minggu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.

Sementara itu, Angkatan Warga Aman Malaysia (Warga Aman) berkata pihaknya menyokong lapan tuntutan Bersih 2.0 yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selain menyokong lapan tuntutan itu, menurut Setiausaha Agungnya Barathidasan Saminathan, pihaknye mengutuk sekeras-kerasnya kegagasan polis yang dilakukan semasa menghuraikan perhimpunan itu.

“Kami mengutuk, kecewa dan kesal dengan tindakan polis dan KDN yang bertindak kejam dengan menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan... banyak bukti polis menggunakan kekerasan,” katanya.

Selain itu, beliau juga mendesak agar kesemua individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan selain menuntut keadilan untuk seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 yang meninggal dunia semasa perhimpunan itu.

Pemergian Dr Lo’ Lo’ sangat dirasai
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Julai: PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali ke rahmahtullah malam tadi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemergian beliau sangat dirasai oleh seluruh ahli PAS dan juga rakyat, terutamanya penduduk-penduduk kawasan Titiwangsa yang mengenali beliau, kerana beliau merupakan seorang pejuang yang sangat gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam.

Katanya, ketabahan beliau menghadapi penderitaan kanser yang dihadapinya amat dikagumi sehingga di saat himpunan Bersih 2.0 minggu yang lalu, beliau masih memberikan semangat agar semua turun bagi memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih.

“Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat dan inayah-Nya kepada beliau dan juga kesabaran kepada seluruh anak-anak dan keluarga beliau di atas pemergiannya,” ujarnya.

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamuha Dr Lo' Lo'.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, DMPP amat berasa kehilangan di atas pemergian allahyarhamah yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa itu.

"Bagi pihak Dewan Muslimat,kami amat sedih dengan pemergian allahyarhamah yang amat kami sayangi ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah," kata beliau yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang ketika ditemui di Masjid Al- Akram, Datuk Keramat awal pagi tadi.

Sementara itu, timbalannya, Dr. Siti Mariah Mahmud menyifatkan pemergian bekas ahli jawatankuasa DMPP dan PAS Pusat itu sebagai kehilangan besar dalam perjuangan.

"Saya kehilangan sahabat dan kakak yang saya sayangi dan hormati dalam perjuangan ini," katanya menahan sebak ketika ditemui dalam majlis yang sama.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi setelah bertahun-tahun menghidap kanser paru-paru.

Beberapa pimpinan PAS turut hadir menziarahi jenazah antaranya pengarah pilihan raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK DMPP, Mastura Mohammad.

Turut kelihatan aktivis Hishamuddin Rais

Tahniah Kerajaan PR Pulau Pinang.


Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang menimbang memberi RM100 kepada bayi yang dilahirkan mulai tahun ini kepada salah seorang ibubapa yang merupakan pengundi di negeri itu.

Program “Anak Emas Pulau Pinang” akan mensyaratkan pengesahan pendapatan isirumah keluarga tidak boleh melebihi RM4,000 sebulan.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pada 2010, kerajaan negeri melancarkan 'Program Penghargaan Warga Emas RM100' setiap tahun dan RM1,000 untuk urusan jenazah kepada waris warga emas bagi mengenang sumbangan warga melebihi 60 tahun kepada pembangunan negeri.

Katanya, kejayaan program tersebut, menyebabkan beberapa pihak mencadangkan bahawa kerajaan negeri menimbang pula golongan yang baru lahir.

"Sebagai kerajaan berjiwa rakyat yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat, kerajaan negeri Pakatan anggap pemberian RM100 kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang adalah satu cadangan baik.

"Sungguhpun pemberian RM100 oleh kerajaan negeri Pakatan adalah kecil, ia adalah untuk meraikan tambahan anak Pulau Pinang yang baru," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak RM20 juta dibelanjakan setiap tahun untuk program penghargaan warga emas dan waris mereka.

Ketua menteri berkata, program penghargaan itu cuba disabotajkan oleh parti pembangkang BN, tetapi usaha mereka gagal apabila kadar pendaftaran kini melebihi 87% dengan hampir 115,000 warga emas Pulau Pinang telah mendaftarkan diri.

"Sumber kewangan program baru “Anak Emas Pulau Pinang” adalah sama dengan program penghargaaan warga emas, iaitu daripada penjimatan hasil kejayaan kerajaan Pakatan melaksanakan kempen anti-rasuah yang dipuji oleh Transparency International.

"Program baru “Anak Emas Pulau Pinang” akan dibentangkan dalam mesyuarat Eco negeri minggu ini dan dijangkakan memerlukan perbelanjaan antara RM5-RM10 juta setiap tahun," katanya

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive