Rihat Minda


Showing posts with label Dari blog the Malaysian Insider. Show all posts
Showing posts with label Dari blog the Malaysian Insider. Show all posts

Thursday, 12 January 2012

Sultan Selangor perkenan gugurkan Hasan Ali daripada exco

January 13, 2012

SHAH ALAM, 13 Jan - Sultan Selangor hari ini perkenan untuk menggugurkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali daripada jawatan exco kerajaan negeri itu berikutan dipecat PAS hujung minggu lalu.

Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dipecat PAS pada Ahad lalu kerana berulang kali mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bertentang dengan dasar parti Islam itu.

"Memandangkan sekarang (Hasan) bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa beliau tidak boleh lagi menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan telah menasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk membatalkan pelantikan beliau.

"(DYMM) Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan YB Datuk Dr Hasan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar).

Khalid berkata semasa pertemuan dengan Sultan Sharafuddin Idris Shan pagi tadi, baginda memberikan kuasa kepadanya untuk melantik pengganti Hasan.

"Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.

"Pelantikan exco baru akan disempurnakan pada Rabu minggu depan (18 Januari) di istana," tambahnya.

Bagaimanapun ketika ditanya siapa yang akan menggantikan Hasan, Khalid berkata beliau "masih belum menerima senarai calon daripada PAS" dan akam membincangkan perkara itu dengan kepimpinan pusat dalam masa terdekat.

Beliau menambah "ekoran pemecatan Hasan sebagai exco, hak keistimewaan beliau turut akan digugurkan."

"Keputusan ini dibuat oleh MB dan bukan wakil rakyat Bebas tidak boleh berada dalam ahli jawatankuasa negeri mengikut peruntukan yang ada. Keputusan itu adalah jelas.

Monday, 25 July 2011

Isu Wahabi: Asri nasihat ulama muda kaji kedudukan mereka dalam Umno

July 26, 2011

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap ulama-ulama muda, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Isu ini menjadi perhatian ekoran laporan media semalam bahawa Majlis Keselamatan Negara (MK) telah meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut.

Asri dan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai laporan media semalam.

Sehubungan itu, Asri (gambar) berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi dan dikaitkan boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.

“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.

“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insiderhari ini.

Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

Ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu dilihat sebagai rakan Asri. Asri juga pernah dikatakan akan menyertai Umno bersama mereka ketika itu, tetapi bekas mufti itu memutuskan untuk kekal di luar arena politik dan meneruskan pendirian beliau tanpa memihak mana-mana pihak.

Cakap-cakap mengenai isu Wahabi dan penyertaan ulama muda dalam Umno pernah kedengaran sebaik sahaja mereka menyertai parti itu tahun lalu tetapi dinafikan oleh mereka dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Difahamkan mesyuarat pagi semalam merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi.

Difahamkan mesyuarat semalam telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Selain Asri antara nama yang disebutkan ialah Fathul dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Dalam komen awal semalam, Asri berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.”

Sementara itu, Fathul Bari memberitahu semalam bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

The Malaysian Insider difahamkan nama Hadi dan Shahidan tidak muncul kali ini.

Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Mengulas lanjut, Asri memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihak berkuasa boleh memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan pada bila-bila masa, bukannya membuat tanggapan sedemikian.

“Dua hari lalu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ada datang berjumpa saya di rumah saya (di Pulau Pinang). Ketika masa perhimpunan Bersih 2.0, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga ada menghubungi saya untuk berkongsi pandangan.

“Jadi, mereka (pihak berkuasa) boleh menghubungi saya bila-bila masa jika memerlukan maklumat dan penjelasan... bukan menyenaraikan dan melabelkan seperti ini,” kata tenaga akademik Universiti Sains Malaysia ini, yang akhir 2009 dikenakan dakwaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mengadakan kuliah agama tanpa tauliah di Hulu Klang.

Bertolak daripada pendiriannya berkaitan dengan isu-isu politik mutakhir, Asri juga berkata, pihak-pihak tertentu menentang fahaman Wahabi kononnya membawa fahaman sempit dan bertentangan dengan prinsip sebenar Islam.

“Saya menyokong usaha menentang jika fahaman Wahabi membawa fahaman sempit. Tetapi pihak yang membawa amalan Wahabi cuba membawa unsur progresif dan unsur-unsur yang sesuai dengan persekitaran moden, tetapi tidak meninggalkan prinsip Islam... misalnya isu kedudukan wanita dalam masyarakat.

“Seperti yang dikatakan oleh Barat, kita patut menentang dan mengelak perkara-perkara yang membawa kepada fahaman sempit,” kata Asri sambil menambah, “dalam perkembangan sekarang, mereka yang menentang kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun juga seharusnya dianggap sebagai mereka yang mengamalkan fahaman Wahabi.”

“Sebab mereka tidak dapat membezakan antara fahaman progresif dan konservatif,” katanya lagi.

Asri merupakan antara tokoh agama progresif memberikan pandangan dan pendirian terbukanya mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu. Ia dikatakan kurang disenangi oleh sesetengah pihak dalam kerajaan dan Umno.

Friday, 22 July 2011

Bersih 2.0: Mat Sabu arah peguam fail saman PDRM

July 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Mohamad Sabu telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada Polis Diraja Malaysia kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan motosikal dinaikinya ketika perhimpunan 9 Julai.

Mengikut laporan HarakahDaily, Hanipa berkata, Timbalan Presiden PAS telah menghubunginya pagi ini dan mengarahkan beliau menghantar notis kepada pihak berkenaan ekoran dakwaan semalam.

Semalam, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dalam sidang medianya berkata, tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

“Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar ‘fender’ Pajero,” katanya.

Video berkenaan menunjuk sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu (gambar). Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.

“Saya harap akan dapat menghantar notis kepada Bukit Aman minggu depan meminta mereka menarik balik dakwaan Mohamad Sabu menipu,” kata Hanipa kepada Harakahdaily.

Hanipa yang juga timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang PAS memberitahu, Mohamad menegaskan bahawa jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnahnya.

Sebelum ini Mohamad mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera.

Akibatnya, Mohamad terpaksa menjalani pembedahan lutut dan 2½ skru telah dimasukkan ke dalam lututnya untuk mengukuhkan ligamennya yang koyak.

Namun begitu, Umno dan penyokong mereka mendakwa, Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pura-pura cedera untuk meraih simpati.

Dua hari lepas, pengawal peribadi Anwar membuat laporan polis ekoran kecederaan yang dihadapinya selepas ditambak dengan gas pemedih mata secara yang tidak betul sehingga menyebabkan tulang pipinya patah terkena balang berisi gas pemedih mata yang ditembak ke arahnya.

Sementara itu, Keadilandaily melaporkan, Mohamad Sabu berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu.

Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

“Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid kerana melakukan fitnah,” katanya kepada Keadilandaily.

Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu.

“Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu.

“Kereta Waja yang ‘cross’ itu (yang melanggar),” kata beliau.

Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mohamad berkata terdapat pelbagai pandangan pada masa itu.

“Tetapi selepas bertanya kepada penunggang saya, kereta Waja itu yang melanggar,” katanya

Bersih 2.0: Suhakam mula kumpul bukti tindakan keras pihak berkuasa

July 22, 2011

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Suhakam meminta pihak yang mempunyai bahan bukti atau maklumat berkaitan dakwaan mengenai penggunaan kekerasan melampau pihak berkuasa dalam menangani perhimpunan Bersih 9 Julai lalu agar menyerahkannya kepada badan itu sebelum 2 Ogos ini.

“Orang awam yang telah menyaksikan sebarang perbuatan atau insiden mengenai dakwaan-dakwaan yang disebutkan atau mereka yang boleh memberi maklumat yang berkaitan dan atau dokumen serta bukti-bukti termasuk rakaman video atau gambar mengenai dakwaan-dakwaan ini diminta menghubungi suruhanjaya dengan segera,” kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tarikh akhir bagi tujuan itu, yang dinamakan sebagai penyerahan awam, adalah 2 Ogos ini.

Untuk pertanyaan dan penyerahan awam orang ramai boleh menghubungi

Ameer Izyanif Hamzah atau Shahizad Sulaiman di pejabat Suhakam di Aras 13, Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail atau menerusi talian telefon 03-26125669 / 5623, faks (03-26125620 / 5694) atau e-mel complaints@suhakam.org.my atau humanrights@suhakam.org.my

Suhakam mengambil tindakan itu ekoran keputusannya, minggu lalu, mahu mengadakan siasatan awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan 9 Julai lalu.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suhakam Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Kenyataan Suhakam juga berkata terma rujukan siasatan awam kali ini antara lain akan menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan semasa perhimpunan, dan jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, ia akan menentukan bagaimana pelanggaran itu terjadi, apakah arahan pentadbiran dan prosedur atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut dan individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.

Selain itu, siasatan awam juga akan mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Suhakam juga menambah, sapina akan dikeluarkan pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan pihak polis.

Kuasa itu diperuntukkan oleh Seksyen 14 (1)(a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mendapat dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang suruhanjaya merasa perlu atau patut diperoleh atau diperiksa.

Monday, 18 July 2011

Tiga tahun Dr Lo’ Lo’ MP pikat kawan dan lawan

July 18, 2011
KUALA LUMPUR, 18 Julai — Sejak berita kematian muncul lewat malam tadi, mesej menerusi Twitter tidak putus-putus dihantar oleh pelbagai pihak, tidak kira fahaman politik.

Meskipun Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali merupakan wakil rakyat kerusi Parlimen Titiwangsa dari PAS, namun mesej mengucapkan takziah turut diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).

Salah seorang daripada mereka, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno antara lain menyifatkan Dr Lo’ Lo’ sebagai “antara MP wanita yg bersuara, bernas di Dewan Rakyat. Al-Fatihah.”

Ratusan rakyat mengiringi jenazah Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy May
Berita kematian beliau juga menarik perhatian Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang turut mengucapkan takziah sambil berkata sumbangan dan jasa Dr Lo’ Lo’ akan sentiasa dikenang.

Wakil rakyat BN dari Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud dalam laman Twitter berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang “pemimpin yang baik selain berpidato secara berhemah (di Dewan Rakayt) dan bertanggungjawab.”

Beliau juga berkata Dr Lo’ Lo’ merupakan kenalannya dan pemergian bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS itu amat dirasai.

Selain itu, dalam satu laman Twitter yang dinamakan “premesh” berkata, Dr Lo’ Lo’ merupakan antara individu yang memainkan peranan besar untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS.

Allahyarhamah merupakan antara dua wakil rakyat daripada kalangan doktor, memenangi pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Namun bagi Pakatan Rakyat terutamanya PAS, pemergian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar sambil menyifatkan wakil rakyat penggal pertama itu sebagai “sebutir permata yang sangat bernilai dan tidak boleh diganti.”

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof, Dr Lo’ Lo’ merupakan seorang individu yang tegas, tabah dan cekal dalam perjuangan terutamanya yang melibatkan kebajikan rakyat.

“Kematian beliau (Dr Lo’ Lo’) adalah satu kehilangan yang cukup besar kepada PAS terutamanya Dewan Muslimat kerana beliau diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang yang cukup tegas dan gigih.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan juga kepada rakyat di (Parlimen) Titiwangsa kerana kehilangan pemimpin yang disegani,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Dr Lo’ Lo’ di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Al-Akram dengan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 54, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang pada pukul 10.13 malam tadi kerana menghidap kanser.

Selain Hadi, pimpinan tertinggi PAS turut hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Dr Lo’ Lo’.

Jenazah Dr Lo’ Lo’ selamat dikebumikan kira-kira pukul 11.10 pagi tadi dengan ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat dan juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Sepanjang persahabatan saya, beliau adalah seorang pemimpin yang baik, tegas, berdisiplin dan sentiasa menghadapi cabaran dengan hati terbuka.

“Beliau adalah pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat... beliau juga ada berpesan supaya meneruskan mana-mana perjuangan yang belum selesai terutamanya isu Kampung Baru yang diperjuang beliau selama ini,” kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Exco kerajaan negeri Selangor yang juga exco Dewan Muslimat PAS Dr Halimah Ali berkata, Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang teguh berpegang kepada prinsip perjuangan demi rakyat.

“Bagi saya beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip, beliau bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, tapi beliau adalah pemimpin yang bercakap atas dasar fakta dan apa yang beliau mahu katakan akan dikaji terlebih dahulu.

“Beliau bukan sahaja boleh diibaratkan sebagai sebutir permata tetapi seorang pejuang yang berilmu, apa yang beliau lakukan adalah demi rakyat bahkan semasa sakit pun beliau tetap gagahkan diri untuk bersama dengan rakyat,” katanya.

Allahyarhamah merupakan anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, pemergian Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang, bukan sahaja pengorbanannya, malah leterannya diibarat sebagai “seorang ibu” dalam menjalankan tugasnya akan terus dirindui.

“Bukan hanya penduduk Titiwangsa, ahli dan penyokong PAS dan gagasan Pakatan Rakyat yang terasa kehilangan satu permata, tetapi saya selaku sahabat ahli Parlimen, masih terasa kata-kata rangsangan, nasihat dan motivasi yang disampaikan arwah dalam bentuk leteran.

“Beliau tampil dalam memberi khidmatnya seperti seorang ibu kepada anak-anak (rakyat) dalam bentuk leteran kerana bagi saya leteran itu sangat bermakna untuk kita bekerja lebih kuat,” katanya.

Datuk Shahrizat Abdul Jalil (dua dari kiri) turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ di Masjid Al-Akram, Datuk Keramat. — Foto oleh Choo Choy May
Ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata jasa dan pengorbanan Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang.

“Ia adalah satu kehilangan besar dan jasa beliau kepada parti dan masyarakat akan terus dikenang, malah perjuangan beliau dalam isu tanah Kampung Baru akan terus kami perjuangkan,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sumbangan Dr Lo’ Lo’ kepada parti dan rakyat akan terus diperjuangan parti Islam itu.

“Saya merasakan satu kehilangan besar kerana jasa dan perkhidmatan beliau, malah sumbangan beliau ini akan dikenang sepanjang zaman.

“Beliau seperti sebutir permata yang berharga, beliau juga seorang pemimpin yang tegas, berpegang kepada prinsip dan sentiasa kental dalam memperjuangkan nasib rakyat walaupun berada dalam keadaan tidak sihat,” katanya.

Dr Lo’ Lo’ aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya ke atas kawasan Parlimen Tititwangsa yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Menurut Ahli Parlimen Subang dari PKR Sivarasa Rasiah, beliau memahami penderitaan yang dihadapi Dr Lo’ Lo’ kerana turut menderita kanser lebih 10 tahun lalu.

“Bila saya mendapat tahu mengenai kematian beliau, saya rasa sangat sedih kerana saya dan beliau ada persamaan... saya juga pernah menderita kanser lebih 10 tahun lalu tapi kanser yang dihadapi beliau lebih teruk.

“Dr Lo’ Lo’ adalah seorang pemimpin yang dihormati di Parlimen, beliau bukan sahaja dihormati pimpinan Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) juga,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kematian Dr Lo’ Lo’ merupakan satu kehilangan besar kepada penduduk di Kampung Baru.

“Selama ini beliau memperjuangkan isu Kampung Baru dan ia satu kehilangan yang besar kepada kami.

“Beliau juga antara pemimpin yang langtang bersuara di Parlimen,” katanya.

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive