Rihat Minda


Tuesday, 12 July 2011

Bersih 2.0: Abim gesa semua pihak mula rundingan kaji tuntutuan

July 13, 2011

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Susulan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan dikemukakan oleh gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan menuntut pembaharuan pilihan raya.

Presiden Abim Dr Muhamad Razak Idris berkata berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu lapan tuntutan, pihaknya beranggapan tuntutan-tuntutan dikemukakan wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan.

“Bagi tujuan tersebut, Abim ingin menyeru pihak SPR dan Bersih 2.0 meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Muhamad menambah, jika terdapat sebahagian daripada tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut.

Kata beliau lagi, dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif.

“Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihan raya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri,” kata Muhamad lagi.

Sebagaimana sedia diketahui, kata beliau, amalan pilihan raya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperoleh.

“Ini secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak,” katanya lagi.

Muhamad menegaskan kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara.

Semalam, PAS berkata sekiranya tuntutan Bersih 2.0 tidak dipenuhi mereka tidak menolak kemungkinan mengadakan satu lagi perhimpunan yang dikenali sebagai Bersih 3.0.

Perhimpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007.

Mengikut laporan satu akhbar semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya sudah serik untuk berbincang dengan Bersih 2.0.

10 Soalan Untuk Ketua Polis Negara



- oleh BayangDiAir
Rakyat amat terkilan dan kesal atas tindakan pasukan keselamatan mutakhir ini. Mereka menangkap orang yang memakai baju kuning BERSIH. Mereka merampas baju kuning. Mereka mengkategorikan BERSIH 2.0 sebagai golongan subversif . Mereka mengharamkan BERSIH. Rakyat tertanya-tanya apakah ciri-ciri subversif yang ada pada sebuah NGO yang meminta keadilan pilihanraya dan demokrasi secara jelas dan terbuka? Demi membersihkan imej polis yang begitu kotor di mata rakyat sekarang, Ketua Polis Negara mestilah memberi hujah-hujah penjelasan yang konkrit terhadap persoalan-persoalan berikut.
1. Nyatakan akta mana yang membolehkan polis menangkap orang yang memakai baju kuning BERSIH.
2. Apakah ciri-ciri subversif yang ada pada BERSIH 2.0?
3. Mengapakah PERKASA tidak pula dianggap subversif?
4. Yang mana satu sebenarnya dikatakan menyalahi undang-undang; organisasi BERSIH, pemakaian dan penjualan baju-T BERSIH atau Perhimpunan BERSIH?
5. Mengapa Ibrahim Ali yang sudah acap kali mengeluarkan kenyataan yang mengancam keselamatan negara tidak diambil tindakan, malah diusik pun tidak?
6. Mengapa apabila puak UMNO dan PERKASA mengadakan demonstrasi yang mengancam keselamatan negara, dibiarkan?Polis mengawal sahaja.
7. Mengapa polis hanya menyuraikan secara lembut demonstran UMNO dan PERKASA yang melakukan provokasi. Mengapa tak tangkap dan gari secara kasar macam polis lakukan kepada rakyat yang menyokong BERSIH?
8. Mengapa polis tidak menjalankan tugas secara adil kepada rakyat dalam hak berhimpun secara aman?
9. Mengapa polis menutup pintu rundingan dengan penganjur BERSIH 2.0? Adakah ini kerana tekanan Menteri Dalam Negeri sendiri merangkap Naib Presiden UMNO?
10. Apakah apabila PM menyetujui perhimpunan BERSIH diadakan di stadium, maka BERSIH tidak lagi kotor pada pandangan polis?
Kami dengan ini mendesak Ketua Polis Negara menjawab persoalan-persoalan ini secara jujur demi membersihkan institusi pasukan keselamatan. Berilah peluang rakyat menilai hujah-hujah Tuan.

Bersih 2.0: Pemuda PAS mahu Suhakam arah KDN, polis minta maaf

July 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Dewan Pemuda PAS mengemukakan empat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia melibatkan polis ketika menangani Himpunan Bersih 2.0 dan mahu Kementerian Dalam Menteri meminta maaf secara terbuka.

“Kami mahu Kementerian Dalam Negeri dan polis mintaa maaf secara terbuka ekoran keganasan dan kekerasan yang dilakukan semasa perhimpunan itu.

“Kita mempunyai bukti pihak keselamatan telah melakukan keganasan dan kekerasan ke atas peserta perhimpunan, kita ada rakaman video dan gambar bagi menjelaskan apa yang berlaku,” kata ketuanya Nasrudin Hasan (gambar) pada sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Suhakam.

Tegas beliau, walaupun polis memohon maaf, namun tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap pentadbiran Najib.

“Ya, kalau mereka minta maaf pun kita akan tetap ambil tindakan undang-undang kerana apa yang mereka lakukan ini amat bertentangan dengan hak asasi manusia, mereka sepatutnya menjadi pengamal keselamatan, bukan penggugat keselamatan,” katanya.

Menurut Dewan Pemuda PAS, empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan ialah tahap keganasan tidak munasabah, peguam dihalang akses kepada peserta perhimpunan ditahan, soal kebebasan beragama dan usaha menghalang perhimpunan aman yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Penggunaan kekerasan yang tidak munasabah telah dilakukan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terhadap peserta perhimpunan aman bercanggah dengan kebebasan berhimpun seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Malah, kami sebagai peguam dihalang untuk akses kepada peserta yang ditangkap dan ia sangat jelas bertentangan dengan undang-undang yang mana sesiapa yang ditangkap sepatutnya berhak tahu kesalahan mereka dan boleh akses kepada peguam.

“Malah pelanggaran yang ketiga adalah kebebasan beragama yang mana dua masjid utama iaitu Masjid Negara dan Masjid Jamek telah dikunci oleh polis menyebabkan peserta perhimpunan terpaksa menunaikan solat di bawah pokok dan atas jalan, yang keempat adalah pelanggaran terhadap perhimpunan aman itu sendiri yang mana ia sangat bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan,” kata Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS pusat Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi kepada Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee.

Justeru tegas beliau, ekoran keganasan yang dilakukan pihak keselamatan itu pihaknya mahu agar Suhakam menubuhkan panel penyiasat untuk menyiasat penyalahgunaan kuasa yang dilakukan pada Himpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu.

Bersih 2.0: Suhakam dakwa tindakan polis cabuli hak asasi

July 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Sha’ani Abdullah mengencam kekerasan dilakukan polis semasa bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia.

“Ini adalah isu yang besar, semua mangsa harus tampil ke depan dan kemukakan aduan secara terus supaya kita boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperoleh.

“Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia,” katanya pada sesi dialog dengan Dewan Pemuda PAS pusat yang mengemukakan empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan pada Sabtu lalu.

Sha’ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan.

“Tahan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pulapol juga merupakan satu pencabulan, mereka (polis) telah merancang untuk tahan mereka, ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan.

“Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang,” katanya dengan nada kesal.

Tambah Sha’ani, beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0 sebagai “orang yang tiada pelajaran.”
“Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana... mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun.

“Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani,” tegasnya.

Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.


Monday, 11 July 2011


Tahniah Tok Non dan Saiburi Sudin jadi VIP kat Pulapol
Posted on Sunday, July 10 @ 22:05:40 PDT
Dilulus untuk paparan oleh aya

RencahOleh Tok Senapi

Maaf kerana kru Kedah La bercuti dari alam maya kelmarin kerana semua berada di himpunan Bersih. Kami hadir ke KL sebagai menunaikan tanggungjawab dan arahan untuk turun perjuangkan sebuah demokrasi yang adil dan bersih di Malaysia

Jadi tak fokus sangat untuk buat liputan, so untuk laporan Bersih 2.0 tu pembaca boleh dapatkan info dari semua media maya pro Pakatan Rakyat. Jangan lupa lepas tu share link, sebarkan seluas-luasnya. Berlambak-lambak info yang ada siap dengan video lagi.

Jangan asyik jadi pembaca saja tapi jadi jugak penyebar maklumat. Ingat kerajaan zalim Tunisia dan Mesir tumbang kerana Revolusi Facebook. Jangan pandang remeh maklumat alam maya sebab ia sangat efisien di kalangan orang berilmu, orang berilmu adalah golongan dihormati dalam masyarakat, justeru cakap mereka didengar dan dipakai.

Sewaktu Tok Senapi dok berhimpun di depan Maybank bersama '6 ribu orang' (keh keh keh, RTM dan Utusan rabun itek) dapat mesej Tok Non dan Saiburi Sudin kena tahan di KL Central polis angkut naik trak. Setengah jam lepas tu terima mesej dari depa, dok ada kat Pulapol jadi VIP kat situ. Inilah adat perjuangan, baru kena gari, naik trak, masuk pusat tahanan kira kecik jer tu. Rakyat Burma dan China mati kerana nak perjuangkan demokrasi tapi sampai hari ini demokrasi tak dapat jugak.

Tok Non balas mesej Saiburi Sudin... "Sabaggg, kata Hassan Al Banna penjara adalah tempat rehat." Dia balas balik "Rehat kepala otak hang, ni bukan penjara... aku dok ketag kaki nak pi demo ni."

Teringat dalam hatiku, macam ni dok ada kalu orang PAS, kerajaan toksah buat macam manalah nak takutkan rakyat tak akan berjaya punya, sebaliknya akan menambahkan lagi semangat juang sehingga akhirnya kezaliman kerajaan BN yang memerintah lebih setengah kurun itu akan tumbang.




























Tahniah Tok Non dan Saiburi Sudin jadi VIP kat Pulapol

Thursday, 7 July 2011


Kesesatan Lagu Lady Gaga : Judas
Posted on Thursday, July 07 @ 01:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Open ArtikelOleh: zharifjenn

"
Dalam Islam, Judas Iscariot (Yudas Iskariot) telah dianggap sebagai pengkhianat kepada Nabi Allah Isa a.s. (Jesus Christ). Ini disebabkan oleh tingkah lakunya yang telah melakukan khianat kepada Nabi Isa dan pengikutnya. Islam juga menegaskan bahawa Yudas yang sebenarnya disalib dan bukannya Nabi Isa.



Di antara gambar yang terselit di dalam album Judas

Dalam Islam, Judas Iscariot (Yudas Iskariot) telah dianggap sebagai pengkhianat kepada Nabi Allah Isa a.s. (Jesus Christ). Ini disebabkan oleh tingkah lakunya yang telah melakukan khianat kepada Nabi Isa dan pengikutnya. Islam juga menegaskan bahawa Yudas yang sebenarnya disalib dan bukannya Nabi Isa.

Kisah pengkhianatan Yudas dalam Islam adalah digambarkan bermula dari sifat Yudas yang mudah tertarik kepada tawaran royalti sebanyak 30 keping perak sekiranya dapat memberitahu tempat persembunyian Nabi Isa dan kaum Al-Hawariyun (12 sahabat Rasullullah Nabi Isa) kepada ketua-ketua imam Yahudi.

Pada malam selepas Nabi Isa dan kaum Al-Hawariyun menjamah hidangan moreh terakhir dalam peristiwa Santapan Terakhir (Last Supper). Baginda (Nabi Isa) telah membawa kaum Al-Hawariyun untuk bertahannuth, bertaqarrub dan bertasbih kepada Allah SWT di Taman Gethsemani, Baitumuqaddis.

Gambaran Last Supper oleh pelukis Kristian (Judas di kanan hadapan)

Tidak beberapa lama kemudian, Nabi Isa telah menerima kedatangan Judas Iscariot bersama dengan bala tentera Rom yang berada di luar taman, Yudas yang masuk kedalam taman lalu segera datang menghampiri Nabi Isa dan membisikkan sesuatu kepada Nabi Isa (diriwayatkan dalam bisikan itu Yudas mengatakan kepada Nabi Isa dengan perkataan “Salam sejahtera wahai Rasullullah” dalam bahasa Ibrani).

Sejurus selepas itu Allah Yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana telah menukarkan raut wajah Yudas agar seiras dengan wajah Nabi Isa sekaligus mengangkat Nabi Allah Isa ke langit. Yudas yang tidak tahu mengena tentang perihal itu telah keluar daripada taman lalu terus ditangkap oleh bala tentera Rom yang menunggu di luar taman.

Dalam kejadian itu Yudas mengatakan yang dia bukan Nabi Isa yang dimaksudkan tetapi pernyataannya itu langsung tidak dihiraukan. Anggota Al-Hawariyun yang melihat peristiwa itu bertempiaran lari membawa diri sendiri.

Selepas kejadian itu, Yudas telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan, namun dia tetap berkeras yang mengatakan yang dia bukannya Nabi Isa yang dimaksudkan. Bangsa Israel, imam-imam kepala Yahudi, dan anggota kesatria Rom telah menolak pernyataan Yudas dan menetapkan agar Yudas disalibkan.

Gambar Hiasan

Pada hari penyaliban, Yudas telah didera, dicemuh dan dihina oleh kaum Israel, keadaan dia menjadi gila dan dia tidak siuman lagi. Sehinggalah dia telah disalibkan di kayu salib lalu dia berkata “Eli-Eli Lammasabacthtani” maksudnya Allah Allah mengapa Kau tinggalkan aku”. Sesungguhnya Allah tidak akan meninggalkan hambanya itu sesuka hati tetapi hanya sebagai balasan kepada perbuatan buruk orang yang mengkhianat RasulNya.

Al-Quran ada menerangkan dalam surat An Nisaa’:157 bahawa Nabi Isa tidaklah dibunuh mahupun disalib oleh orang-orang Kafir. Adapun yang mereka salib adalah orang yang bentuk dan rupanya diserupakan oleh Allah SWT seperti Nabi Isa as. (sebahagian ulama berpendapat orang yang diserupakan adalah muridnya yang mengkhianatinya yang bernama Yudas Iskariot, tetapi nama sebenar murid tersebut tidak dinyatakan dalam Al-Quran)

“dan kerana ucapan mereka: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa”.
(An Nisaa’ : 157)

Imbas Klip Video Judas

Ohohohoh
I'm in love with Judas

Ohohohoh
I'm in love with Judas

Judas! Judaas Judas! Judaas
Judas! Judaas Judas! GAGA

Begitulah permulaan lirik lagu Lady Gaga ini yang jelas memihak kepada Judas. Klip video ini bermula dengan mempertontonkan Gaga sedang menaiki motosikal bersama dengan Jesus sambil menjerit-jerit nama Judas di telinga Jesus. Ini menunjukkan Gaga berpura-pura bersama Jesus, padahal hatinya bersama dengan Judas.

Gaga membonceng motosikal bersama Jesus

Simbol mata Horus yang melambangkan tuhan Illuminati dipaparkan di dalam klip ini.

Ketika Gaga menyanyikan "I'm in love with Judas", salah seorang penari memakai baju bintang terbalik dikelilingi bahasa Hebrew. Simbol ini adalah lambang Baphomet yang menjadi lambang kepadaChurch Of Satan

Gaga tidak mudah untuk menjatuhkan Jesus. Tetapi Gaga adalah orang penting dalam komplot ini. Klip ini menunjukkan Gaga menutup mata kanannya, ini adalah simbolik kepada agenda Illuminati iaitu menjatuhkan semua agama di dunia ini.


Gambar album ni menunjukkan lambang salib terbalik (Antichrist). Ini menunjukkan mereka sangat anti terhadap Kristian. Amat pelik bukan? Majoriti penduduk US adalah Kristian. Ini disebabkan warga US sudah lama menolak kepercayaan mereka, jadi tidak hairanlah Lady Gaga lahir di negara mereka. Agenda illuminati untuk memisahkan agama dari kehidupan hampir mencapai matlamatnya. Mahukah kita umat Islam menjadi seperti ini?

Ramai remaja yang terpengaruh dan menjadikan Lady Gaga sebagai Idola. Kemasukan unsur-unsur ini semacam tiada sekatan atau mungkin ada sedikit sekatan yang tidak serius dilaksanakan. Dari segi lirik dan klip videonya jelas tidak membawa sebarang erti dalam memimpin kehidupan, apatah lagi untuk memartabatkan agama Islam. Baru-baru ini (3 Julai 2011) telah diadakan hari Lady Gaga di Taiwan. Ini menyebabkan ramai remaja yang menjadi 'gila'. lihat gambar festival Gaga di sini.

Untuk pengetahuan pembaca, ini bukanlah pertama kali Lady Gaga mengelurkan lagu yang penuh kontroversi. setiap lagu mempunyai maksud yang tersendiri dan membawa ajaran Kabbalah. Seperti lagu alejandro. Lirik lagu alejandro menganggap tuhan sebagai penghalang untuk dia bercinta. Ingat lah kawan-kawan, tiada Allah tiadalah segala percintaan.

Artikel yang membongkar lagu alejandro -- > Lady Gaga : Puppet Illuminati

Sanggupkan anda membiarkan anak-anak dan kaum keluarga hanyut dengan lirik-lirik lagu yang banyak memuji Dajjal ini? Ramai kanak-kanak yang tahu menyanyi tanpa tahu apa maksudnya. Tetapi inilah yang mencorakkan kehidupan anak-anak kita. Inilah permainan Licik Yahudi.
"

Tuesday, 5 July 2011

TGNik Aziz berdoa untuk Agong di depan Kaabah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: “Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,” kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berada di Mekah waktu ini kerana menunaikan umrah menyatakan demikian di dalam suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengutuskan surat itu sebagai respons kepada titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Berikut adalah kandungan penuh surat berkenaan.

Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011.

Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.

Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia.

Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.

Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.

Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Al-Mursyidul Am

Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bertarikh: 3 Syaaban 1432H bersamaan 5 Julai 2011M

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive