Rihat Minda


Wednesday, 17 February 2010

Presiden PAS, keluarga selamatkan orang lemas | Print | E-mail
Harakahdaily

MARANG, 17 Februari: Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di Pantai Rusila berhampiran rumahnya.

(Gambar atas: Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas)

Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang iaitu berhampiran dengan rumahnya.

"Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila, yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai itu.

Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk aqiqah cucu Abdul Hadi.

Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke laut.

Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu.

"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut...saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai.

"Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai," cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.

Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau. Gambar itu kemudiannya tersebar ke marata-rata.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Shamsuddeen membuat catatan berikut dalam blognya:

"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang. Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.


Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan
beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat.

"Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."

Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58, (Gambar) bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya.

Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar.

Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

Tuesday, 16 February 2010

Nasyid: Antara Populariti Dan Prinsip
www.iluvislam.com
Oleh: Amin Inteam

mawaryangtinggi



Sejarah kemunculan nasyid di Malaysia

Irama nasyid sudah dikenali di Malaysia sejak munculnya kumpulan-kumpulan seperti Al-Jawaher, El-Suraya, Al-Mizan, Orkes Sinar Murni dan seumpamanya yang kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Perkembangan itu juga selari dengan munculnya kumpulan-kumpulan nasyid yang bergerak secara ‘indie’ atau ‘underground’ yang dipelopori oleh Jemaah Al-Arqam dalam era tahun 80-an.



Akhirnya, kewujudan genre yang bermatlamat murni ini mula disedari masyarakat umum secara total apabila Raihan menjengah dunia komersial industri muzik tanahair dengan album pertama mereka Puji-pujian yang mendapat sambutan luar biasa sehingga tercatit di dalam Malaysia Books of Records sebagai album paling laris jualannya yang masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa pun artis di Malaysia hatta Mawi sekalipun. Unit jualan yang dicatatkan pada ketika itu adalah 600,000 unit dan tidak mustahil, sehingga kini sudah mencecah 1 juta unit.


Faktor Ikhlas sebagai X-Factor


Apabila kita mengkaji dan menilai, bertanya dan mempersoal, apakah ciri-ciri kejayaan jualan tersebut, banyak faktor yang kita boleh catitkan antaranya kelainan, pembaharuan, kontroversi, lagu yang menarik, melodi yang easy-listening dan banyak lagi. Namun hakikatnya, disebalik faktor-faktor fizikal tersebut, terdapat satu faktor besar yang kurang mendapat perhatian umum kerana sifatnya yang tidak nyata iaitu IKHLAS. Sifat Ikhlas diibaratkan seekor semut hitam, yang berjalan di atas batu yang hitam dalam gua yang gelap dalam malam yang gelap pekat. Mengapa sifat ikhlas yang dibangkitkan sebagai salah satu faktor kejayaan Raihan sekiranya sifat itu diibaratkan sebagai satu yang sangat sukar dilihat? Di sini dihuraikan falsafahnya.




Kumpulan Raihan


Raihan adalah kumpulan nasyid pertama yang cuba keluar dengan album dalam dunia komersial tanpa ada sebarang rujukan tentang jualannya, sambutannya, konsepnya, adakah mereka akan diterima atau pelbagai persoalan lagi. Namun, mereka mengambil risiko ini untuk menjadi perintis kepada memperkenalkan irama ini kepada ruang lingkup yang lebih luas lagi. Adakah sewaktu mereka bergerak secara underground mereka tidak ikhlas? Bukan ini persoalannya, zaman underground sudah pasti mereka ikhlas dan tujuan utamanya adalah tetap berdakwah. Mungkin kalau kita kaji jualan album underground mereka pun jualannya tidak mustahil sudah mencecah jutaan unit semuanya. Apa yang ingin kita bincangkan di sini ialah dunia nasyid pasca komersial. Maka muncullah mereka dengan sebuah album yang menggunakan konsep perkusi semata-mata.

“By Allah’s Will”


Kalau kita kaji dengan logik akal, seperti mana yang penasyid-penasyid kini sering hujjahkan, jika kita ingin menarik kumpulan pendengar yang lebih luas, kita perlu mengikut arus muzik semasa, maka jelaslah teori itu langsung tidak dipraktikkan oleh Raihan pada ketika itu kerana muncul dengan muzik yang boleh dianggap outdated oleh kita sekarang. Kenapa dengan menggunakan teori yang salah, namun hasil kejayaan Raihan tercatit dalam sejarah? Sehingga dengan muzik outdated itu, mereka diperkatakan sehingga keluar Negara? Sehingga berita mengenai mereka muncul di dalam berita-berita televisyen dan akhbar luar Negara? Sehingga Prince Charles ingin menyaksikan persembahan mereka? Di sini bermulalah kupasan isu antara populariti dan prinsip. Dapatlah kita simpulkan di sini, sebagai Muslim dan Mukmin, kita tidak boleh berpegang dan yakin dengan teori logik akal semata-mata tanpa meletakkan kehendak Allah, keizinanannya dan Kuasanya yang menentukan natijah kerja dan usaha kita. Teringat penulis seorang pensyarah Biologi di Pusat Matrikulasi yang mewajibkan pelajar meletakkan ayat “by Allah’s will” dalam setiap jawapan teori-teori biologi yang dipelajari ketika itu. Di sinilah prinsip pertama kita sebagai penasyid yang membezakan kita dengan prinsip artis biasa yang selalunya diwajibkan oleh production house; wajah yang menarik, muzik dan lagu yang sedap, bakat yang ada walaupun sedikit.


Perbetulkan niat dan keyakinan pada kehendak Allah


Kembali kepada topik, hakikatnya album yang dikeluarkan Raihan pada ketika itu, jelaslah mendapat sambutan dengan sebab utamanya keizinan dan kekuasaan Allah yang menentukannya. Bertitik-tolak dari keikhlasan mereka, mereka menyerahkan segalanya pada Kekuasaan Allah, bukan pada teori dan logik akal dan nafsu. Hati-hati manusia di gerakkan oleh Allah, keinginan mereka membeli album ini, digerakkan oleh Allah, liputan media yang meluas ditentukan oleh Allah, Allah membuka hati ramai orang untuk melihat dan mendengar hasil kerja mereka ini. Hatta beberapa non-Muslim yang akhirnya memeluk Islam asbab mendengar lagu Raihan juga dibuka hati mereka oleh Allah. Sehinggakan non-muslim dari luar Negara yang tidak faham bahasa melayu, ada yang memeluk Islam mendengar lagu Raihan yang mereka tidak faham sepatah pun, juga kerana kekuasaan Allah yang membuka hati mereka.



Maka, kesimpulannya, sebelum seseorang penasyid, ingin keluar dengan album baru dan mengakui diri mereka sebagai pendakwah, menjadi kewajipan kepada mereka untuk berniat, sebagaimana kita memulakan sesuatu ibadah dengan niat, hendak solat kita berniat, hendak puasa kita berniat, hendak berdakwah melalui nasyid kita mulakan juga dengan niat; NIAT YANG IKHLAS untuk berdakwah kepada Allah. Namun hakikatnya tentu sukar untuk penasyid-penasyid menanam niat yang ikhlas hatta penulis sendiri sekalipun. Kenapa? Kerana kita semua sudah ada rujukan tentang kejayaan Raihan. Bukan mempertikaikan niat semua penasyid, tapi untuk kita berusaha memperbaharui niat kita. Sekurang-kurangnya, penasyid kedua, ketiga, keempat, kesepuluh, kelimapuluh dan seterusnya, pasti jika tidak banyak, sedikit terganggu niat mereka apabila melihat kejayaan Album Raihan dijual 600,000 unit dengan royalty mereka yang membolehkan mereka membeli rumah dan hidup selesa, dengan popularity mereka, yang disanjung dan muncul dalam media TV dan akhbar setiap masa, dengan sesetengah peminat yang tidak mengawal diri menyanjung dan memuja mereka. Pasti terdetik dalam hati, ingin kaya seperti mereka, ingin popular seperti mereka, ingin disanjung seperti mereka dan sebagainya. Namun inilah sebenarnya cabaran hebat bagi mereka yang ingin menjadi pendakwah dalam bidang ini. Hatta kepada Raihan sendiri, mungkin terganggu dengan faktor-faktor ini untuk album-album mereka yang seterusnya.



Penasyid harus memusatkan niat mereka untuk berdakwah melalui nasyid yang bakal mereka bawa. Penasyid harus meletakkan keyakinan mereka pada kehendak Allah dan bantuannya sehingga ke tahap sekiranya mereka meletakkan satu album yang tidak sedap lagunya, tidak hebat vokalnya, tidak up-to-date muziknya, tidak menarik wajahnya di pasaran, namun niat mereka Ikhlas kerana Allah, album itu mampu untuk meletup atas kehendak dan kekuasaan Allah yang hanya mengatakan “Kun fayakun”. Bukanlah tujuan penulis untuk menggalakkan hasil produksi yang tak berkualiti. Membuat kerja yang terbaik dan menghasilkan suatu yang terbaik adalah sangat digalakkan dalam Islam, Cuma ingin dihuraikan disini teori niat dan yakin pada kehendak Allah. Lebih cantik lagi sekiranya penasyid tersebut membuat satu album yang terbaik kualitinya dan beri’tikad dengan kualiti niat yang terbaik. Kita sebagai penasyid dan mungkin bakal penasyid, termasuk penulis sendiri, marilah kita renung jauh ke dalam diri kita sendiri, dalam 100% pecahan niat kita berapa peratuskah hakikatnya kita peruntukkan untuk menjadikan kerja kita ini sebagai dakwah. Sekiranya kita buatkan carta pai mungkinkah 10% untuk dakwah, 30% untuk duit, 40% kerana minat muzik, 20% kerana ingin popular dan disanjung. Atau banyak lagi pecahannya. Cuba kita renungkan secara telus dan amanah kepada diri kita sendiri, bagaimana pecahan peratusan kita? Atau mungkinkah 70% untuk popularity, atau 100% untuk wang, atau 100% kerana Allah, jika ada Alhamdulillah.


Renungkanlah sejenak untuk kebaikan diri kita sendiri, dan kebaikan genre nasyid tanahair yang kian suram dan tidak efektif dewasa ini.

Nasyid bukan dakwah?


Nasyid memang sebenar-benarnya salah satu cabang dakwah. Salahlah bagi mereka yang mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikaitkan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu Nasyid? Kalau bukan Islam sehingga memeluk Islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang Islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid.



Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, Nabi Daud di beri mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, Nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, Nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat dan budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka. Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti HIBURAN. Justeru, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadikan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya.


Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman manusia ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba pastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pendengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Bermula dari niat kita, pembikinan album, rakaman lagu di studio, pemilihan lirik dan lagu, susunan muzik, sekecil-kecil perkara pun harus di ambil berat sekiranya boleh membantu memfokuskan niat kita, umpama berwudhu sebelum rakaman, solat hajat, menghadap kiblat, berdoa sebelum rakaman dan seumpamanya. Kerana pernah dalam Islam sekecil-kecil amalan bersugi pun mampu mempengaruhi natijah usaha kita, sekecil-kecil rengangan dalam saf pun, mampu menewaskan kita dalam peperangan besar, maka dalam usaha dakwah kita, sekecil-kecil amalan pun perlu kita titik beratkan agar natijah lagu kita tidak mampu menjadi asbab hidayah kepada pendengarnya.




11 Comments · 1181 Reads · Print Bookmark and Share

Monday, 15 February 2010

Sekadar renungan menginsafi diri..

Bismillahirrahmanirrahim…

Pesan Imam Al-Ghazali, yang dekat itu MATI, yang jauh itu MASA LALU, yang besar itu NAFSU, yang berat itu MEMEGANG AMANAH, yang ringan itu MENINGGALKAN SOLAT, yang tajam itu LIDAH MANUSIA…

Jika kamu memancing ikan…

Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu…Janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu saja…kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan menderita selagi ia masih hidup.

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang…Setelah ia mulai menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya…Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja…Kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu…

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh…cukuplah sekadar keperluanmu…Apabila sekali ia retak…tentu sukar untukmu menampalnya semula…akhirnya ia dibuang…Sedangkan jika kamu cuba membaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi…

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya…Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa…Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamu menerimanya…akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu akan terus hingga ke akhirnya…

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi…yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain…terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan…yang pasti membawa kebaikan kepada dirimu. Menyayangimu. Mengasihimu. Mengapa kamu berlengah, terus mencuba membandingkannya dengan orang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain, kamu juga yang akan menyesal.

Elak Amal Adat Yang Syirik

Ada beberapa adat Melayu yang menjadi kemusykilan. Adat-adat tersebut masih diamalkan di sesetengah tempat. Antaranya:

1. Seseorang (suami) perlu mencabut paku yang telah dipakunya di mana-mana tempat untuk menyenangkan isterinya untuk bersalin.

2. Jangan belitkan kain tuala di leher, nanti anak yang keluar akan terbelit tali pusat di lehernya. Apakah pandangan ustaz ke atas perkara ini menurut Islam?

Jawapan: Cuba kita renung dan hayati makna ayat al-Kursi berikut: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya (mentadbirkan sekelian makhluk-Nya). Yang tidak pernah berasa mengantuk apalagi tidur. Yang Memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan Dengan izin-Nya (sahaja).

Yang Maha Mengetahui apa yang berada di hadapan mereka dan apa yang berada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah Kehendaki. Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara kedua-duanya. Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). (Al-Baqarah: 255)

Subhanallah, betapa agung konsep keesaan Allah swt yang digambarkan oleh ayat tersebut. Allah dengan jelas memberitahu kita bahawasanya segala kuasa itu adalah milik mutlak-Nya semata-mata bukan sahaja di bumi bahkan di langit!

Jadi, apa ukuran yang kita pakai sebagai orang-orang yang benar-benar beriman apabila kita meletakkan sejumlah kuasa pengakibat kepada paku dan tuala?

Adakah mempercayai sial pembawa padah dan petanda atau alamat buruk serasi dengan ajaran Islam terutamanya apabila kita menyentuh bab tauhid dan akidah Islam yang suci dan tulen? Atau dari mana asal kepercayaan-kepercayaan ini sebenarnya?

Sebenarnya ia berpunca daripada kepercayaan silam orang-orang Melayu pada zaman sebelum Islam. Ketika itu ideologi paganisme yang menisbahkan kuasa kepada setiap benda yang wujud di muka bumi ini lalu memuja segalanya. Dipanggil semangat itu, dan semangat ini.

Namun, saki-baki daki syirik kepercayaan lalu masih berakar umbi di jiwa generasi pewaris generasi yang telah bertukar kepada mempercayai ajaran agama Islam sejak kurun ke-10 lagi yang telah mula bertapak di Negeri Terengganu berdasarkan artifak sejarah Tugu Peringatan Batu (Batu Bersurat) yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu.

Walaupun 10 kurun telah berlalu, dan kurun ke-21 telah menjelma kini, ramai yang masih kabur untuk membezakan antara unsur syirik ideologi paganisme silam dengan dasar keesaan Allah swt yang menjadi asas berimannya seseorang yang bergelar Muslim.

Perlu diingat bahawa syirik yang bermaksud 'memberi hak perkongsian terhadap sesuatu contohnya kuasa di antara Allah dan sesuatu benda' ini adalah dosa besar nombor satu dalam senarai 70 dosa-dosa besar.

Allah swt dengan tegas menyatakan pendirian-Nya mengenai syirik ini bahawa ia adalah satu dosa besar yang sangat berat kesalahannya dalam surah al-Nisa', ayat 48 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan Mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua sekalipun), dan akan mengampunkan dosa lain selain daripada dosa itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar (berat).

Dalam ayat lain, Allah tegaskan perbuatan itu adalah satu kesesatan yang sangat menjauhkan seseorang daripada Allah dalam ayat 116 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan Mengampunkan dosa syirik orang yang mempersekutukan-Nya Dengan sesuatu (dengan sesuatu apa jua sekalipun), dan akan mengampunkan dosa lain selain daripada dosa itu (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya; Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat menjauhkannya (daripada Allah).

Langit mana kita sanggup junjung, bumi mana kita sanggup bertongkat apabila Allah telah menganggap kita terkeluar senarai daripada keampunan dan rahmat-Nya? Khazanah sunnah juga membawa hadis-hadis yang senada dengan ayat-ayat al-Quran yang telah kita baca tadi.

Hadis paling sahih daripada Sahih al-Bukhari menegaskan bahawa: Dari Abu Hurairah r.a. yang telah mendengar baginda saw bersabda: "Tiada petanda atau alamat buruk atau sial pembawa padah (dalam Islam). Sebaik-baiknya ialah kata-kata yang baik (senang didengari) diperdengarkan kepada kamu." (Sumber: Sahih al-Bukhari, juzuk 5, halaman 2171, bilangan hadis: 5422).

Hadis yang sama juga terdapat dalam Sahih Muslim, Sahih Ibnu Hibban, Sunan al-Bayhaqi al-Kubra, Musnad Imam Ahmadbin Hanbal, Musnad al-Tayalisi, dan Musnad Abu Ya'la menggambarkan betapa besar perkara ini di sisi Islam.

Jangan sekali-kali memandang remeh dan membiarkan ia berterusan dalam kehidupan kerana Imam Ahmad bin Hanbal ada meriwayatkan satu lagi hadis yang lebih jelas mengenai perkara ini yang bermaksud: Dari Abdullah bin 'Amru berkata: Rasulullah saw bersabda: "Sesiapa yang membenarkan petanda atau alamat buruk daripada sesuatu sehingga menjejaskan hajatnya untuk berbuat sesuatu sesungguhnya dia telah melakukan syirik.

Para sahabat bertanya: Maka apakah kaffarahnya (penebus kesalahan itu?) Rasulullah saw bersabda: Hendaklah kamu berkata: Allahumma La Khaira Illa Khayruk, Wa La Tiyara Illa Tiyaruk, Wa La Ilaha Ghayruk yang bermaksud: "Ya Allah, tiada kebaikan selain daripada kebaikan milik-Mu, tiada alamat atau petanda selain daripada alamat atau petanda dari-Mu, dan tiada Tuhan selain-Mu". (Sumber: Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, juzuk 2, halaman 220, bilangan hadis: 7045).

Sebaik-baiknya kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad saw seperti membaca: Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi shay'un fil ardhi wa la fissama' wa huwassami'ul alim yang bermaksud: "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada sesuatu di bumi dan di langit akan (dapat) memudhratkan (sesuatu yang lain) sedang Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. (Sumber: Sunan Abu Daud, juzuk 3, halaman 132, bilangan hadis: 5088)

Sumber : Serikasih.blogspot.com

Setiap Tutur Kata Cermin Peribadi

Penciptaan manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah swt dan khalifah di muka bumi mempunyai tujuan yang ditetapkan.

Antaranya, menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah swt yang mengakui sejak awal penciptaannya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk.

Al-Quran yang tiada sebarang keraguan di dalamnya, memaparkan panduan bagi membantu umat manusia mencapai kehidupan bahagia di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, wajarlah setiap perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Al-Zalzalah, 7-8). Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perlakuan sukar dikawal manusia.

Manusia boleh menuturkan apa saja bentuk kata-kata tanpa had berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Tanpa iman yang mantap, kata-kata yang dikuasai nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan hati yang lemah akan sentiasa membasahi lidah mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada yang baik atau sebaliknya. Keadaan umat Islam saling menghina dan memperlekeh sesama mereka, anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua dan keruntuhan moral di kalangan remaja.

Semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Sebagai manusia, kita harus ingat setiap apa yang kita katakan, ia tidak terlepas daripada catatan malaikat. Hal ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan serta kesilapan manusia tetapi memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir" (Qaaf, 18). Tutur kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, masyarakat mudah terpikat dengan Islam. Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak angkuh.

Firman Allah bermaksud: " Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (Toha, 43-44). Dakwah sedemikian tidak berjaya menambat hati Firaun, tetapi dengan perintah Allah, ia menunjukkan cara dan kaedah yang harus diikuti dalam proses dakwah hari ini. Selain itu, dalam al-Qur'an dengan jelas Allah menyatakan di antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran (' ibad ar-Rahman ) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik" (Al-Furqan, 63). Justeru adalah amat menyedihkan jika dilihat orang-orang yang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan yang lebih teruk lagi merasakan dirinya sahaja betul.


Sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita harus berasa rendah diri dan memilih kata-kata yang terbaik apabila berhadapan dengan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman khalayak pendengar. Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan setiap anggota kita adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak.

Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah diri kita daripada terus menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, basahi lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram" (Al-Ra'd, 28).

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
Sumber : serikasih.blogspot.com

Sejarah solat 5 waktu !

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SUBUH:

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yamg dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:

Manusia petama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahin as sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan
Rakaat kedua : Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus as tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar, maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam
Rakaat kedua: Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHIB:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa as iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu ini telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa as, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dan kejahilan tersebut iaitu:

Pertama:Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah SWT Yang Maha Esa
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tomahan ke atas ibunya siti mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahwa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

ISYAK:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa as. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya
Rakaat Kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun.

Suburkan Dengan Kasih Ilahi dan Tepislah Hasutan Syaitan.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Salam sejahtera, semoga sahabat sentiasa berada didalam keadaan sihat walafiat dan istiqamah dengan iman dan takwa kepada Allah s.w.t. Semoga jadilah kalian hamba Allah yang sujud dan ruku' dan sentiasa mengagongkan Allah dalam segenap kehidupan. Sentiasalah ikhlaskan hati serta awasilah diri dari sifat egoisme. Bebaskanlah diri dari sikap suka menonjolkan diri dan cintakan kemasyhuran. Belajarlah muhasabah diri setiap hari sehingga kalian mampu menjadi umpama pohon buah-buahan, manusia membalingnya dengan batu dan kalian membalasnya dengan buah.

Sahabat yang dihormati,
Kalianlah harapan hari esok yang berupaya memperelokkan lagi warna-warna kehidupan Islam dengan ketakwaan yang tinggi. Penuhilah dunia dengan limpah kasih-sayang berdasarkan kasih Ilahi. Usir was-was dihati dan usah membuka ruang-ruang untuk umpat-mengumpat serta mengadu domba kerana perbuatan itu akan membunuh kasih-sayang dan menyuburkan kebencian. Berlalunya hari-hari tanpa kasih sayang sungguh merupakan satu kerugian. Apabila perasaan persaudaraan Islam telah hilang dari hati manusia maka terhentilah semangat bantu-membantu. Alam ini berhajatkan hati, perasaan dan sentimen. Jadilah kalian sebagai hati bagi alam dan hidupkan ia dengan perasaan dan sentimen. Sesungguhnya manusia yang hidup hanya berdasarkan falsafah dan teori adalah umpama robot dan komputer yang memenuhi keperluan manusia.

Sahabat yang dimuliakan kerana Allah,
Usah leka diulit mimpi. Tugas ini merupakan tindakan segera! Langkah pertama kalian adalah menghindari halangan utama yang sentiasa melemahkan kekuatan iman dihati. Ingatlah kalian! Syaitan adalah halangan utama, syaitan akan menghasut dan memperdayakan hawa nafsu. Di dalam kitab yang ditulis oleh Imam Ghazali yang berjodol, 'Minhajul Abidin' yang menjelaskan terdapat tujuh langkah tipu daya syaitan yang menghasut manusia supaya terhindar daripada melaksanakan kebaikan serta mentaati perintah-perintah Allah.

Langkah pertama :
Syaitan sentiasa melarang manusia daripada mentaati Allah. Orang yang kuat imannya menegaskan : "Aku benar-benar mengharapkan pahala daripada Allah. Untuk itu aku mesti sentiasa taat kepada perintah Allah sebagai bekalan menuju akhirat".

Langkah kedua :
Syaitan sentiasa memujuk manusia supaya menangguhkan ketaatan kepada Allah. Orang yang kuat imannya menegaskan : "Kematianku berada dalam ketentuan Allah. Sekiranya aku menunda-nunda amalan hari ini ke hari esok, bagaimana pula amalan hari esok? Setiap hari aku punya amalan berlainan yang mesti dilaksanakan".

Langkah ketiga :
Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk tergesa-gesa dalam beramal mengerjakan sesuatu kebaikan kononnya boleh mengerjakan kebaikan yang lain. Orang yang kuat imannya menegaskan : "Amalan yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna."

Langkah keempat :
Syaitan terus memperdayakan manusia supaya melakukan amalan secara sempurna agar tidak dicela manusia. Orang yang kuat imannya menegaskan : " Bagiku cukupah dengan penilaian Allah. Tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia dan amalan yang dikerjakan kerana selain daripada Allah akan ditolak".

Langkah kelima :
Seterusnya syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal : "Sungguh tinggi darjatmu dapat beramal soleh. Pintar dan cerdik sekali dirimu". Orang yang kuat imannya menegaskan : "Segala kekuatan itu adalah daripada Allah. Allah yang melimpahkan taufik dan hidayah-Nya untuk aku beramal ibadat. Tanpa pahala daripada Allah apalah nilainya amalanku berbanding nikmat Allah yang luas sedangkan begitu banyak pula dosa-dosaku".

Langkah keenam ;
Dengan gagalnya hasutan syaitan dijalan sebelumnya, dia terus mencuba dengan cara yang lebih halus. Syaitan membisikkan : "Bersungguh-sungguhlah engkau beramal secara sembunyi, jangan sampai diketahui orang. Nanti Allah jualah yang akan memberitahu kepada orang lain bahawa engkaulah hamba Allah yang ikhlas". Begitulah syaitan cuba mencampurkan amalan seseorang dengan tipu dayanya yang sangat halus sehinggakan terjerumus kedalam bab riya'.

Orang yang kuat imannya menegaskan : " Hai yang dilaknat Allah tidak berhenti-henti engkau menghasut untuk merosakkan amalanku. Aku adalah hamba Allah. Dia yang berkuasa atasku. Jika Allah berkehendak memperlihatkan maupun menyembunyikan amalanku itu adalah hak-Nya. Aku tidak khuatir manusia tidak mengetahuinya kerana amalanku semata-mata kerana Allah".

Langkah ketujuh :
Syaitan tidak pernah putus asa menggoda manusia, berbagai cara dicubanya. Dia cuba pula dengan cara menanamkan perasaan buruk sangka. "Hai manusia janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sebab jika Allah telah menetapkanmu sejak azali sebagai orang yang akan berbahagia di akhirat nanti, maka meninggalkan ibadat tidak mendatangkan mudharat, engkau akan tetap menjadi orang yang berbahagia. Dan sebaliknya, jika Allah telah menetapkanmu sebagai orang yang celaka, tidak ada gunanya engkau beribadah. Nasibmu tetap akan malang".

Orang yang teguh imannya akan terus tetap pendirian : "Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku mentaati perintah Allah. Allah yang menentukan segala-galanya. Walau bagaimana ketetapan Allah ke atasku, aku tetap akan beribadah dengan harapan Allah meredhaiku. Sekiranya ditakdirkan nasibku malang, setelah beribadat dan taat kepada Allah aku tidak akan menyesal. Aku tetap yakin akan janji-janji Allah. Allah tetap menjanjikan pahala kepada siapa sahaja yang taat kepada-Nya".

Sahabatku,
Begitulah sifat syaitan sentiasa dengan tipu dayanya bermaksud agar kita terlalai dan gagal melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t. Sentiasalah berhati-hati dalam setiap langkah dan mohon pertolongan serta perlindungan Allah agar terpelihara daripada kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala-galanya berada dalam kekuasaan Allah, kepada-Nyalah kita mengarap keredhaan.

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive