Rihat Minda


Monday, 4 May 2009


 VideoKlip  Hide Ceramah Ustaz Azhar - Soal Jawab Wanita


Oleh: matuse68

"Ustaz Azhar - Soal Jawab Wanita

Video ceramah Ustaz Azhar bertajuk soal jawab wanita. Untuk lihat video sila klik disini...
"

Sunday, 3 May 2009

04 MAY 2009
Kesilapan dalam solat sering dipandang remeh
Ahmad Baei Jaafar

Suasana pada hari agak menggembirakan sesetengah ibu bapa apabila melihat anak remaja sudah berminat kepada kehidupan beragama. Remaja sudah dilihat mula mahu memenuhi surau dan masjid terutama pada waktu Maghrib dan Isyak.

Mereka mendapat kesedaran beragama semasa di bangku sekolah dan universiti. Arus kesedaran Islam bertiup kencang melawan arus kemodenan masa kini. Remaja kini sudah tidak malu untuk melakukan solat walaupun di tempat selain surau dan masjid.

Mereka sanggup melakukan solat kerana mahu menegakkan agama dalam diri mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Solat ialah tiang agama,” (Riwayat Baihaqi).

Ibu bapa dalam hal ini seharus bersyukur kerana anak mereka tidak lagi seperti terlepas tali, boleh terbang ke mana-mana. Mereka kini sudah boleh dikawal, iaitu dikawal oleh agama.

Walau bagaimanapun kita agak sedih apa melihat sesetengah ibu bapa yang masih liat untuk mendirikan solat. Mungkin seminggu sekali untuk solat Jumaat atau mungkin sesekali melakukannya sewaktu balik ke rumah pak mentua. Mereka lakukannya bukan kerana Allah tetapi kerana malu kepada mentua.

Ingatlah berdasarkan hadis di atas, sesiapa yang mendirikan solat bererti mereka telah mendirikan agama dan sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bererti dia meruntuhkan agama. Mahukah ibu bapa ini digelarkan sebagai yang meruntuhkan agama?

Menyedari keadaan ini, saya menyeru semua umat Islam agar tidak mengabaikan solat lima waktu kerana itulah identiti umat Islam. Kurang dari lima waktu, kuranglah keislaman mereka. Malah dengan jumlah yang kurang itu hampir-hampir menyamatarafkan mereka dengan orang bukan Islam.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula. Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat – dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. “Asy-hadu an la ilaha illah” – mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan “Asyhadu” dengan assyadu. Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. “Lailaha illallah” dipanjangkan “ha” pada perkataan “ilaha” menjadi ilahaa. Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna.

Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap. Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.

Waktu solat – terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu. Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul, takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut “Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan “baar” pada perkataan akbar. Dengan memanjangkan “akbar” itu tidak lagi memberi makna “Allah Maha Besar”. Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan. Antaranya ialah membaca “alhamdulillah” ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom. Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.

Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca “samiallahu liman hamidah”. Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah. Dengan memanjangkan perkataan pada “ha” memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya “hamidah” ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya. Wallahu a’lam.

Surat Terbuka Dato Tuan Ibrahim kepada Sahabat Lama Mej. Jen (B) Jamil Khair


 WARKAH BUAT SAHABAT LAMAKU KEPTEN JAMIL KHIR : DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN 

Assalamualaikum wrh wbt.

Kepada sahabat lama Jamil Khair Baharom,
Semoga Allah memberkati mu, walau lama kita tak bersua. Semoga Allah melimpah belas kasihanNya ke atasmu.

Terlebih dahulu Aku merakamkan ucapan takziah di atas bebanan yang sedang engkau pikul, kerana engkau tidak lebih baik dari Imam Ahmad yang menolak perlantikan sebagai Mufti, kerana itu bermakna ia meredai kezaliman khalifah. Tetapi engkau juga tidak sekejam Hajjah bin Yusuf al-Thaqafi yang bertindak membelakangkan hukum Allah bagi menunjukkan kekuasaan yang ada. 

Tetapi jauh lebih membimbangkan aku terhadapmu ialah engkau akan ‘terpaksa’ menentang Jamaah Islam, engkau akan menentang Parti Islam. Kami tahu kami bukanlah yang terbaik, tetapi aku lebih bimbang bilamana kamu menganggap UMNO lebih baik. Engkau akan terpaksa meredai kemungkaran yang diizinkan pemerintah dan membenarkan kezaliman ISA dan lainnya. Aku tahu engkau tidak kuat menahan kemurkaan Allah di akhirat seandainya Ia murka. Aku memohon perlindungan dariNya untuk aku dan kamu.

Lantaran itu, kumpullah mereka yang takutkan Allah, satulah kekuatan bagi menentang kezaliman , tegaklah makruf dan tentanglah kemungkaran dari dalaman UMNO yang kamu mampu; tetapi akhirnya kamu akan kecewa. Kerana kamu dilingkungi oleh bukan ahlinya.

Sekian, ingatan sahabat sementara hidup, kerana tiada pesanan di akhirat.

Wassalam.

Sahabat Lama;

TUAN IBRAHIM TUAN MAN.


Tidur-tidur yang sunat dikejutkan


Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:

seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله

“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua: 

Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.
 

Ketiga:
 

Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang. 
Rasulullah saw bersabda:


من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة 

“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah) 

Keempat:
 

Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.
 


Nabi saw bersabda:


إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم 

“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)
 

Kel
ima:
 

Tidur waktu subuh. 

Nabi saw bersabda:


الصبحة تمنع الرزق 
“Tidur Sesudah Subuh menegah Rezeki"
(Hr  Ahmad) – sanad lemah) 

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:


الأرزاق تقسم وأنت نائم 

“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:

Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها 

“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)
 

Ketujuh:

Tidur lepas solat asar.
 
Nabi saw bersabda:


من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه 

" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)
 

Kelapan: 


Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.
 

Kesembilan:

Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.


Kesepuluh:

Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله 

Maksudnya: 
“Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)


Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية 

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesebelas: 

Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.
 
Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت 
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)


Ke dua belas: 

Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur.
 Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم

“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)
 

Rujukan: Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad, Aunul Ma’bud oleh al-Abadi dan an-Nihayah oleh Ibnul athir.


Hukum orang kafir membaca al-Quran


Pengarang kitab فيض الرحمن في الأحكام الفقهية الخاصة بالقرآن Dr Ahmad Salim menyebut dalam kitabnya seperti berikut:


Hukum orang kafir membaca al-Quran


Terdapat dua pendapat dalam perkara ini:


Pendapat pertama: Haram bagi orang kafir zimmi atau yang lainnya untuk membaca al-Quran. Ini Ini kerana mereka yang lebih patut ditegah dari orang yang berjunub. Ini adalah mazhab Hambali.


Pendapat kedua: Harus bagi orang kafir untuk membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya.


Ini adalah mazhab Syafie. Pengarang kitab حاشية البجيرمي mensyaratkan supaya orang kafir tersebut diharap untuk masuk Islam. (habis kalam Dr Ahmad)


Apabila dilihat dalam kitab-kitab utama dalam mazhab Syafie saya menemui seperti berikut:


Imam Ramli dalam kitabnya نهاية المحتاج berkata:


“Orang kafir tidak ditegah untuk membaca al-Quran kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya.”


Pengarang kitab مغني المحتاج Imam Muhammad as-Syarbini telah berkata:


“ Perkara kedua yang dilarang bagi orang berjunub adalah membaca al-Quran bagi orang muslim. Adapun orang kafir tidak ditegah membaca kerana dia tidak percaya kepada kehormatannya seperti yang disebut oleh al-Mawardi.”


Al-Bujairimi berkata dalam kitabnya حاشية البجيرمي على شرح منهج الطلاب :


“Tidak ditegah orang kafir berjunub untuk duduk di mesjid dan membaca al-Quran. Adapun orang kafir yang berhaid dan bernifas dilarang membaca Quran dan duduk di masjid.”


Kalau kita lihat, sebab kepada tidak ditegah orang kafir yang berjunub membaca al-Quran dan duduk di masjid adalah sebab yang sama iaitu mereka tidak percaya kepada kehormatan masjid dan al-Quran. Pengharusan orang kafir adalah berdasarkan hadis yang mana Nabi saw telah menahan orang-orang musyrikin di masjid. Hukum orang kafir telah saya sebut dalam artikel yang lepas. Boleh cari dalam arkib.


Rujukan: فيض الرحمن في الأحكام الفقهية الخاصة بالقرآن oleh Dr Ahmad Salim,نهاية المحتاج oleh Imam Ramli, مغني المحتاج oleh Imam Muhammad as-Syarbini dan حاشية البجيرمي على شرح منهج الطلاب oleh al-Bujairimi. Sekali lagi sy mengucapkan terima kasih kepada mereka yg menyumbang untuk beli kitab2 rujukan. Dipersilakan siapa yg ingin meyumbang lagi. Banyak lagi kitab diperlukan.

Saturday, 2 May 2009

Agama anak: Macma juga bantah keputusan kabinet

PULAU PINANG, 2 Mei: Keputusan kabinet bahawa anak yang masih dibawah umur perlulah dibesarkan mengikut agama asal ibu atau ayahnya setelah mereka memeluk Islam telah dikecam hebat oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia(Mecma).

Menurut Setiausaha Agong Mecma,Ann Wan Seng, tindakan kabinet itu memberi implikasi buruk yang cukup besar kepada perkembangan dakwah Islamiah dalam negara ini.

"Apabila ibu bapa menukar agama akan ada masalah sekiranya anak-anak tidak dibenarkan ikut sama. Ia akan menjejaskan institusi kekeluargaan. Bagaimana dalam satu keluarga anak yang perlu dibimbing oleh keluarga tetapi tidak dapat bertindak sedemikian oleh ibu dan bapa.

"Ini menunjukkan keputusan tersebut adalah menafikan hak terhadap anak-anak.Pencabulan terhadap hak asasi manusia,hak yang diperuntukan oleh agama serta hak yang sepatutnya dimiliki oleh kedua ibu bapa yang punyai hak dan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka," katanya.

Beliau juga mendesak kerajaan supaya mengkaji semula serta menarik balik keputusan tersebut.

"Kerajaan sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu dan mendapat maklum balas daripada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.Mereka juga perlu memohon perkenan Tuanku Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama dalam negara ini.

"Pasangan yang memeluk Islam sepatutnya menyelesaikan segala isu yang berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah syariah dan bukannya di mahkamah sivil.Saya yakin keputusan yang dibuat itu tidak dirujuk kepada ulama dan tiada perbincangan serius dengan pihak berkuasa agama Islam.

"Akhirnya inilah natijahnya sehingga menimbulkan kesan yang besar dalam membendung masalah kemurtadan dan kepada institusi keluarga Islam sendiri," katanya.

Mauizah: Mohon ampun, tutup keaiban dosa daripada terdedah

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?" (Surah Ali Imran ayat 135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan.

Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum. 


Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi, apabila melakukan perkara keji atau menganiaya dan dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat dan mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya.

Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram.

Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengangampun lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa ayat 110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT dan beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia.

Mukmin yang 'ashi (derhaka) hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampun dan dilindung daripada pandangan orang ramai, dengan syarat mereka menyesali dan taubat bermula daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau Allahummaghfirli wa liwalidaiyya.

Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan.

Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat dan ditudungnya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu dan gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun." (Surah An-Nashr ayat 3)

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih dan beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)." (Surah Ali Imran ayat 17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain.

Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakkan manusia masih lena tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT.

Sebaliknya jika seseorang beristighfar dan berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah s.a.w. amat gemar beristighfar dengan: "Subhanaka Allahumma wa bihamdika Allahumma Ighfirli. Innaka Antat-Tauwwabur Rahim" Yang bermaksud: "Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya Allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau Amat penerima taubat lagi Maha Penyayang."

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata kata sanjungan dan bunga pujian.

Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala Kemuliaan yang tidak terhingga.

Sebelum meminta sesuatu dari Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci dan mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dia-lah Tuhan yang Maha Berilmu.

Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dia-lah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih dan tahmid.

FEEDJIT Live Traffic Map

Blog Archive